DALAMNYA MESEJ PANTUN...!

PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,
   Kelapa muda jadi kemirau,
      Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
   Rasa sedih buat tak hirau,
      Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
   Galah pendek buluh sumpitan,
      Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
   Sudah takdir sudah suratan,
      Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
   Gelama tidak berumpan lagi,
      Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang baru,
   Yang lama tidak berkenan lagi,
      Ibarat melukut di tepi gantang.

Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
Antologi Dirgahayu Bahasaku (Teks Tingkatan 5)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Betapa indah, puitis dan bermakna ciptaan nenek moyang kita. Menggambarkan keikhlasan hati dan ketinggian budi dalam melafazkan isi hati.

MAKSUD PANTUN RANGKAP PERTAMA
- Pantun ini menggambarkan perasaan kecewa yang cuba disembunyikan oleh seseorang. Mungkin seseorang itu terpaksa memendamkan rasa demi menjaga hati dan perasaan orang lain sesuai dengan sikap dan pegangan masyarakat lampau yang amat mementingkan orang sekeliling.

MAKSUD PANTUN RANGKAP KEDUA
- Pantun ini menjelaskan bahawa sesuatu musibah yang menimpa seseorang itu bukan berpunca daripada orang lain melainkan perkara itu telah ditakdirkan.

PENGAJARAN DARIPADA PANTUN RANGKAP KETIGA
- Tiga pengajaran yang boleh diambil daripada maksud pantun rangkap ini ialah:-
  • Kita janganlah mudah mengetepikan orang yang sudah lama bersama-sama kita apabila mendapat orang baharu.
  • Kita hendaklah menghargai orang lama walaupun telah mendapat orang baharu kerana sumbangan yang telah diberikan.
  • Kita mestilah mengenang jasa dan sumbangan orang lama.

Comments

Popular Posts