IBU DAN CEPER...!

Baca petikan cerpen di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

     Kucintai Sungai Ceper sama seperti kucintai ibu. Ia bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar dan akhirnya membentuk dirinya sebagai sebuah sungai yang panjang berliku-liku membawa kejernihan yang benar-benar sejahtera dengan arus yang kuat mendukung ketenteraman. Pasir-pasir yang berbiji halus, batu-batu kerikil yang berkilat mengalir di bawah bersama ikan yang cergas.
     Saling tidak tumpah seperti ibu yang rancak ke sana rancak ke sini seperti air terjun. Ibu tidak boleh tinggal diam sepanjang hari, sama seperti Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan, menampar tebing yang berselekoh, memasuki lubuk-lubuk yang dalam.
     Ibu juga bergerak di mana sahaja dia berada. Kalau di baruh, ibulah yang menajak dan menyisir selut. Ibulah yang memikul gemal dan tanam benih-benih itu dengan tulang empat kerat ibu yang tidak bermaya itu. kelak ibulah yang mengejar burung apabila padi menguning. Dan ibu jugalah yang menuai padi masak sampai habis gemal-gemal itu dijunjung masuk jelapang.
     Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagai anak panah yang baru sahaja lepas dari busurnya. Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.

(Dipetik daripada cerpen 'Ibu dan Ceper' oleh Shahnon Ahmad, Antologi Harga Remaja, DBP)

(a)  Berikan bukti-bukti yang menunjukkan kesibukan ibu dalam petikan di atas. [ 2 markah ]
Contoh Jawapan:
  • Beberapa bukti yang menunjukkan kesibukan ibu dalam petikan di atas ialah ibu tidak boleh duduk diam sepanjang hari. Selain itu ibu juga memikul gemal dan tanam benih-benih dengan tulang empat keratnya. (Berikan 2 bukti - 2 markah)
(b)  Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk menunjukkan kasih sayang anak terhadap ibu mereka? [ 3 markah ]
Contoh Jawapan:
  • Antara cara yang boleh dilakukan untuk menunjukkan kasih sayang anak terhadap ibu mereka adalah dengan sentiasa memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap ibu. Membantu ibu membuat kerja-kerja rumah dan membawa ibu mengerjakan umrah juga merupakan cara kita menunjukkan kasih sayang terhadap ibu kita. (Berikan 3 cara - 3 markah)  
(c)  Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan tiga pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. [ 4 markah ]
Contoh Jawapan:
  • Satu pengajaran yang terdapat dalam petikan ialah kita mestilah rajin berusaha mencari rezeki menyara kehidupan keluarga. Sementara tiga pengajaran dalam keseluruhan cerpen ialah kita hendaklah menyayangi ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Kita juga mestilah tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam hidup. Akhir sekali, kita hendaklah mengelakkan perbuatan yang boleh mencemarkan alam sekitar seperti sungai. (Berikan 4 pengajaran - 4 markah)
SOALAN PENGGAL PERTAMA 2013
TINGKATAN 4
SMS TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA

Comments

Popular Posts