KOSA KATA LUAS..!

Penggunaan kosa kata luas dan ungkapan bahasa indah secara bijak membantu seseorang penulis menghasilkan karya penulisan yang lebih matang, mantap dan intelek. Selain berjaya meyakinkan pembaca dengan idea dan pandangan yang diutarakan, penggunaan kosa kata luas dan ungkapan bahasa indah juga mampu menjadi daya penarik terhadap sesuatu karya yang ditulis. Cuba amati beberapa contoh penggunaan dua aspek dinyatakan di atas:-
  • Sejajar perkembangan mutakhir, tiba masanya untuk masyarakat mengamati dan menghayati perubahan, pencapaian dan masa depan bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Usaha melihat ke belakang seharusnya dijadikan landasan bagi menjana fikiran dalam usaha menegakkan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu agar wahana komunikasi ini dapat digunakan dengan penuh penghayatan dan keyakinan dalam semua bidang. 
  • Perjuangan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang tinggi dan bermartabat perlu dikuatkan dengan iltizam dan pendekatan yang kreatif dan berani, agar bahasa Melayu bukan sahaja menjadi milik orang Melayu, malah menjadi milik rakyat Malaysia dan penduduk Nusantara. (Petikan daripada  tulisan Tengku Fauziah 'Bahasa Melayu, Hala Tuju Selepas Merdeka', Dewan Bahasa, Januari 2013)

  • Tindakan yang menyeleweng daripada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidkan Negara telah menjadikan rakyat Malaysia kacau dan meracau dari segi penggunaan bahasa dan jati diri.
  • Salah satu petunjuk jati diri sesebuah bangsa atau negara ialah bahasanya. Dalam sejarah dunia moden, apabila bangsa Asia, Afrika dan Amerika Selatan dijajah oleh kuasa Barat, bahasa mereka dipinggirkan dan dilumpuhkan. (Petikan daripada tulisan Md. Salleh Yaapar, Bahasa Melayu dalam Bidang Pentadbiran dan Pendidikan, Dewan Bahasa, Januari 2013) 


Jelas, penggunaan unsur-unsur seperti kosa kata luas dan ungkapan bahasa indah menjadikan sesuatu hasilan penulisan lebih bermutu dan lebih matang.

Comments

Popular Posts