MAPAN / MAMPAN...!


Mapan atau mampan? Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, kedua-dua patah perkataan tersebut mempunyai makna/maksud tersendiri. Sebelum ini, ramai pengguna bahasa menganggap bahawa kedua-dua patah perkataan tersebut berasal dari yang satu, cuma wujud perbezaan dari segi ejaan sahaja. Cikgu sendiri pun pada mulanya berpendapat bahawa hanya kata 'mapan' yang betul dan boleh digunakan.

Sebenarnya mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud kata-kata di atas adalah seperti di bawah:-
  • mapan bermaksud : tidak berubah-ubah (sudah diterima umum), mantap; sudah kukuh, tidak goyah,     sudah stabil.
  • mampan bermaksud : mampu mengekalkan pencapaian/prestasi yang baik (ekonomi, pembangunan).
Daripada maksud yang diutarakan oleh kamus rujukan kita itu, boleh dirumuskan bahawa penggunaan kata 'mapan' lebih kepada sikap, sifat dan keadaan sesuatu, contohnya:-
  1. Remaja yang memiliki sahsiah yang mapan, sukar digugat oleh pengaruh negatif daripada Barat.
  2. Bahagian pertahanan pasukan negara semakin mapan dan sukar dicerobohi musuh.
Manakala kata 'mampan' pula digunakan lebih khusus kepada sesuatu untuk menggambarkan kebolehan/kemampuan mengekalkan keupayaan/prestasi yang baik contohnya ekonomi, pembangunan. Contoh ayat:-
  1. Walaupun keadaan ekonomi dunia menghadapi keadaan yang tidak menentu namun perkembangan ekonomi negara masih mampan.
  2. Bagi mengekalkan senario pembangunan negara yang mampan, kestabilan politik menjadi prasyarat utama.

Comments

Post a Comment

Popular Posts