PENAJA

RAKAN ILMU

Sunday, 30 June 2013

BENGKEL DI SMK(A) NAIM...!

Mohamad Azemi Zawawi
Walaupun hari ini 'Cuti Bola' di Kelantan, cikgu tak boleh cuti juga. Tanggal 30 Jun 2013, jam 9.00 - 11.00 pagi cikgu diundang ke majlis ilmu di SMK(A) Naim Lilbanat dalam program ceramah Bahasa Melayu PMR. Ceramah atau lebih tepatnya bengkel itu telah diadakan di dewan makan asrama.
Seingat cikgu, bengkel yang diadakan di sekolah ini amat membanggakan kerana rata-rata pelajarnya ceria dan gemar bertanyakan soalan. Tahniah.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Semoga terus berusaha dan berjaya.

Saturday, 29 June 2013

KATA BANYAK MAKNA...!

KATA BANYAK MAKNA bermaksud sesetengah perkataan itu mempunyai makna yang lebih daripada satu. Makna-makna perkataan ini dapat dilihat dengan jelas melalui penggunaannya dalam ayat.

1. Akal
  • daya fikir - Akal ialah anugerah Allah yang paling berharga.
  • ikhtiar - Mereka sedang mencari akal untuk keluar dari kawasan berbahaya itu. 
2. Alamat
  • tanda - Langit mendung alamat hari akan hujan.
  • keterangan tempat tinggal - Sebelum berpisah mereka bertukar-tukar alamat.
3. Barang
  • benda - Ibu membeli barang keperluan dapur di pasar raya itu.
  • lebih kurang - Tolong ambilkan saya barang sekilogram beras.
  • apa-apa sahaja - Barang kata ayah terpaksa dituruti.
4. Pengajaran
  • proses mendidik - Sistem pengajaran kini telah banyak berubah.
  • sesuatu yang diajar - Segala pengajaran gurunya akan disimpan di dalam hati.
  • pedoman atau peringatan - Semoga kejadian yang berlaku itu menjadi pengajaran.
5. Sesak
  • tidak lapang kawasannya - Pekan itu terlalu sesak.
  • sendat, tersekat - Bilik itu penuh sesak dengan buku lama.
  • berasa susah, miskin - Hidup mereka amat sesak selepas kematian ayah.

Friday, 28 June 2013

JATI DIRI...!


Jati diri merupakan kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata iaitu 'jati' dan 'diri'.
  • jati (sejati) - asli, tulen, yang sebenarnya, tidak bercampur, identiti.
  • diri - sendiri, tubuh badan kita.
  • jati diri bermaksud identiti diri atau keperibadian diri yang sebenar atau asli.
  • Contoh ayat:
Kita seharusnya mengawal kemasukan budaya asing demi memelihara jati diri bangsa Melayu.

Thursday, 27 June 2013

KATA GANDA SEPARA...!


KATA GANDA SEPARA
Berikut ialah senarai kata ganda separa yang tergolong dalam kelas kata nama serta contoh penggunaannya dalam ayat.
  1. bebalai - Mereka sedang berehat di atas bebalai itu.
  2. bebawang - Pohon bebawang mempunyai khasiat yang tersendiri.
  3. bebenang - Bebenang skru itu sudah haus.
  4. bebuli - Bebuli itu diisikan air zamzam.
  5. dedaun - Dedaun hijau menjadi bahan asas kerja tangannya.
  6. gegendang - Gegendang telinganya telah rosak akibat serangan barah.
  7. jejari - Jejari roda basikalnya telah berkarat.
  8. jejentik - Jejentik nyamuk aedes banyak terdapat di dalam takungan air yang jernih.
  9. kekabu - Emak mengisikan kekabu di dalam sarung bantal.
  10. kekisi - Kekisi jendela itu masih kuat walaupun sudah lama dibina.
  11. kekuda - Para pesilat mestilah memastikan kekudanya kuat dan stabil.
  12. tetupai - Tetupai pada tiang rumah itu masih kukuh.



KATA HAMPIR SAMA MAKNA 8...!

  • menyimbah - menyembur air kepada sesuatu dengan banyak, kuat
  • menyiram - mencurahkan air kepada sesuatu (tanaman)
  • merendam - menaruh sesuatu di dalam air
  • merenjis - memercikkan air pada seseorang atau sesuatu

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 7...!

  • menganyam - mengatur atau menyusun sesuatu supaya bersilang-silang atau berjalin (tikar)
  • memilin - memintal tali supaya terjalin
  • menenun - membuat kain daripada benang, kapas atau sutera
  • menyulam - menjahit perhiasan pada kain

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 6...!


  • terjelepok - jatuh terduduk, tersepuk
  • terperosok - jatuh ke dalam lubang, teperlus
  • tersungkur - jatuh ke depan serta muka terkena tanah, tersembam
  • terjunam - jatuh kepala dahulu

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 5...!

  • muncul - keluar dengan tiba-tiba atau datang menampakkkan diri
  • tampil - datang ke depan
  • terbit - keluar dari tempat yang terlindung (bulan, matahari dan lain-lain)
  • timbul - keluar atau naik ke atas dari dalam air dan lain-lain

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 4...!


  • memagut - menggigit (ular)
  • menggerit - menggigit sesuatu sedikit-sedikit dengan gigi depan (tikus, arnab, serangga)
  • menggigit - mencengkam atau memotong dengan gigi
  • mengunyah - melumatkan makanan di dalam mulut dengan gigi sebelum menelan

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 3...!


  • mencolok - menimbulkan rasa meluat, malu sesuatu kelakuan, pakaian dan lain-lain
  • mencucuk - menikam atau menusuk dengan benda tajam
  • menjolok - merodok sesuatu dengan galah supaya gugur
  • merodok - menikam sesuatu dengan senjata tajam ke depan dan ke atas

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 2...!


  • menatang - membawa sesuatu di atas tapak tangan
  • mengelek - mengepit sesuatu di rusuk atau di bawah ketiak atau di atas pinggul
  • menjinjing - membawa sesuatu dengan tangan yang terjulur ke bawah atau dengan hujung jari
  • menjunjung - membawa sesuatu di atas kepala

KATA HAMPIR SAMA MAKNA 1...!


  • memangkas - memotong hujung tumbuh-tumbuhan supaya pendek atau memotong dengan gunting (rambut)
  • mencencang - memotong sesuatu halus-halus, menetak berkali-kali
  • mengerat - memotong, memenggal, memancung (leher)
  • mengiris - memotong atau mengerat tipis-tipis

ESEI: PUNCA REMAJA MEROKOK...!


Pendahuluan:
  • Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok mencetuskan pelbagai langkah untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja.
  • Sejauh mana keberkesanan dan kejayaan langkah yang dilaksanakan adalah bergantung kepada sejauh mana komitmen kita serta setinggi mana kesedaran para remaja tentang bahaya rokok kepada kesihatan mereka.
  • Pelbagai punca atau faktor remaja terjebak dengan gejala merokok dan seterusnya gejala ketagihan merokok.
Idea-idea: (Punca-punca remaja merokok)
  • Pengaruh daripada rakan sebaya.
  • Perasaan bosan dengan beban tugas sebagai seorang pelajar.
  • Naluri ingin tahu remaja menyebabkan mereka mencuba sesuatu yang ditegah.
  • Rokok mudah didapati dan boleh dibeli walau hanya sebatang - murah.
  • Penguatkuasaan terhadap peraturan penjualan yang lemah dan tidak menyeluruh.
  • Remaja beranggapan bahawa mereka nampak lebih matang dan bergaya jika merokok.
  • Pengaruh iklan di media massa.
  • Latar belakang keluarga yang merokok.
  • Pengaruh persekitaran dan masyarakat.
  • Tidak ada kesedaran yang tinggi tentang kesan merokok yang membahayakan kesihatan.
  • Rokok menjadi alat escapisme atau pelarian daripada masalah.
  • Salah tanggapan bahawa merokok dapat menguruskan badan.
  • Keruntuhan institusi keluarga.
  • Meniru gaya personaliti atau artis pujaan.
Penutup:
  • Kesimpulannya pelbagai punca yang mendorong remaja terlibat dengan gejala merokok.
  • Semua pihak perlu memandang serius dan bahu-membahu dalam menangani gejala buruk ini.
  • Paling penting remaja sewajarnya sedar akan keburukan merokok dan mempunyai matlamat yang jelas dalam meniti hari-hari yang mendatang.

Wednesday, 26 June 2013

KATA HAMPIR SAMA...!


Ketika kita mengulang kaji subjek Bahasa Melayu, tidak kiralah sama ada bahagian esei mahupun tatabahasa, kekeliruan dari segi penggunaan kata iaitu fungsi dan maknanya sering menimbulkan masalah. Misalnya, terdapat banyak kata yang sangat hampir bunyi sebutan dan ejaannya, tetapi amat berbeza dari segi makna dan penggunaannya pula. Sila lihat contoh kata di bawah;-
  1. Pendalaman dan pedalaman
  • Pendalaman bermaksud proses mendalamkan sesuatu, menggali atau mengorek lubang; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Kerja-kerja pendalaman dasar sungai terpaksa ditunda kerana fenomena air pasang besar.
b. Aktiviti pendalaman sungai oleh hakisan semakin berkurangan di peringkat dewasa dan tua.
  • Pedalaman pula bermaksud kawasan atau lokasi yang berjauhan dari pusat bandar, juga disebut sebagai luar bandar, kampung, kawasan hulu dan lain-lain; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Mereka dikehendaki bertugas di kawasan pedalaman.
b. Kerajaan akan melaksanakan dasar memajukan penduduk di kawasan pedalaman
  1. Penempatan dan petempatan
  • Penempatan bermaksud proses menempatkan sesuatu, perpindahan atau pemindahan; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Proses penempatan mangsa banjir di kawasan yang lebih selamat itu berjalan lancar. 
b. Penempatan haiwan liar di habitat asal akan memakan masa dan kos yang tinggi.
  • Petempatan pula bermaksud kawasan, tempat atau lokasi yang didiami; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Dewasa ini petempatan orang asli sering dicerobohi oleh pembalak-pembalak haram.
b. Keperluan mendirikan petempatan baharu menimbulkan masalah kesesakan di bandar-bandar besar.
  1. Menjolok dan mencolok
  • Menjolok bermaksud menyentuh sesuatu dengan menggunakan benda yang lurus seperti galah, jari dan sebagainya; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Petani itu menjolok sarang tebuan dengan menggunakan galah panjang.
b. Budak nakal itu menjolok mata kawannya dengan sebatang pensel.
  • Mencolok pula bermaksud memalukan, perbuatan yang mengaibkan; contoh penggunaan dalam ayat-
a. Pakaian artis wanita itu mencolok mata.
b. Perlakuan muda-mudi yang berpeluk-pelukan di khalayak amat mencolok mata.

Kita sambung diskusi ini dalam kesempatan yang lain.

Tuesday, 25 June 2013

KELANTAN MENANG 2 - 0...!



LIGA SUPER MALAYSIA 25/6/2013:-
  • KELANTAN VS PAHANG: 2 - 0
  • ATM VS TERENGGANU: 1 - 1
  • JOHOR DT VS FELDA UNITED: 1 - 1
  • PERAK VS LIONSXII: 1 - 1

Monday, 24 June 2013

ESEI: IMPAK KEMASUKAN BURUH ASING...!


Ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat telah menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbat tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah, “Kesan-kesan Kemasukan Buruh Asing Kepada Negara Kita”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

Pendahuluan : 
  • 'Malaysia' suatu sebutan yang cukup berharga dalam kalangan pendatang asing di seluruh dunia. Bermula dari hujung dunia antara masyrik ke maghrib dan dari paksina ke daksina, rata-rata kaum pendatang amat terliur untuk memasuki Malaysia. Semua impian tersebut berpunca daripada kata-kata segolongan warga Indonesia di negara ini yang menyebut, “Di Malaysia emas boleh dikutip di kaki lima” menunjukkan peluang mencari rezeki dan hidup senang lenang terbuka dengan seluar-luasnya di sini. Oleh hal itu, tidak hairanlah negara kita menjadi destinasi pilihan warga asing. Memang benar kedatangan buruh asing telah membantu mempercepat pembangunan negara, namun kehadiran mereka turut menyumbang kepada  impak negatif juga sedikit impak positif.
  • Sebagai pilihan majikan, akibat kekurangan tenaga kerja tempatan – Jumlah penduduk Malaysia hanya sekitar 28 juta orang tidak mampu menampung permintaan buruh yang tinggi – sektor pembinaan, lebih-lebih lagi sebagai buruh kasar tidak menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Idea-idea Penting: (Kesan Kemasukan Buruh Asing)

  • Mengurangkan secara relatif upah buruh yang boleh mengurangkan kadar kos hidup – upah buruh asing masih rendah – kesungguhan mereka bekerja amat berbaloi - menguntungkan majikan

  • Membantu memindahkan kepakaran teknologi dan kemahiran – masyarakat tempatan semakin sedar tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh orang asing – wujud kemahuan ingin bersaing – kemajuan negara akan diterajui oleh anak watan sendiri pada masa depan - persaingan sihat

  • Timbul isu keselamatan dan jenayah – tidak semua warga asing yang datang dengan niat bekerja (terdiri daripada penjenayah yang sangat dikehendaki di negara mereka) – kes-kes samun dan rompak bersenjata banyak melibatkan warga asing – meningkatnya kes jenayah seperti pembunuhan, rompakan bersenjata, pembunuh upahan, pecah rumah

  • Timbul perebutan peluang ekonomi – warga asing yang mencuri peluang berniaga (rakyat Indonesia dan Nigeria) – tapak gerai peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur telah dimonopoli oleh warga asing -menutup periuk nasi rakyat tempatan, pertambahan kes barangan tiruan dan tidak berkualiti

  • Merampas peluang kerja rakyat tempatan – rakyat terpaksa bersaing untuk mendapat kerja – keutamaan majikan memilih pekerja asing dengan relatif gaji yang lebih rendah – hampir 100 peratus  pasaran buruh kasar dimonopoli oleh warga asing

  • Timbul konflik budaya dan moral – membawa masuk pengaruh asing yang tidak sesuai dengan budaya dan agama rakyat Malaysia – gejala pelacuran, bersekedudukan, gangsterisme, berpuak-puak – membawa kesan yang amat buruk kepada generasi muda – berlaku masalah setinggan dan petempatan yang tidak selesa

Kesimpulan :  
  • Tuntasnya, peluang untuk hidup di muka bumi ini telah dibuka oleh Allah kepada semua manusia. Tinggal lagi apabila rakyat di sesebuah negara itu tidak merebut peluang yang Allah kurniakan, nescaya datanglah orang luar yang mencuri kesempatan. Mungkin analogi ini tepat dengan situasi di Malaysia sekarang. Seyogia rakyat Malaysia harus bangkit untuk menyelamatkan nusa ini daripada ancaman berterusan daripada warga asing. Ingatlah, “Di sini bumi yang kita pijak, justeru di sinilah langit yang kita junjung”.

Ubah suai daripada Zuliana09.blogspot.com

Sunday, 23 June 2013

HIKAYAT KHOJA MAIMUN...!


Sinopsis

Bab 1 :
Khoja Maimun yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung Bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal ( wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor burung tiung betina. 
Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang anak raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterusnya, dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan bercerita kepadanya.



Bab 2: Cetera Pertama
Cetera pertama berkisar tentang Kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah membocorkan dia telah bermukah dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut mengganggap Bayan telah mati
Isteri saudagar menberitahu kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan kucing. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Dia telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali.
Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.



Bab 3: Cetera Kedua
Taif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan yang menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan Isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.
Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi sebuah negeri dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.



Bab 4 : Cetera Ketiga
Terdapat seorang suami yang begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya dikawal. Isterinya telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya. Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain.
Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan kain itu akan luntur
Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji kesetiaan isteri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterusnya, tiga orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera bertaubat. 
Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya.

Sumber: Zuliana09.blogspot.com

Monday, 17 June 2013

TATA- DAN MAHA-...!

Imbuhan dalam Bahasa Melayu terbahagi kepada DUA jenis, iaitu imbuhan asli dan juga imbuhan pinjaman. Pada kesempatan kali ini, cikgu akan membicarakan topik yang berkaitan dengan imbuhan pinjaman.
Imbuhan pinjaman ialah imbuhan yang diambil atau yang dipinjamkan dari bahasa-bahasa lain seperti imbuhan pinjaman bahasa Inggeris, imbuhan pinjaman bahasa Arab dan juga imbuhan pinjaman bahasa Sanskrit.
Apa kata kita mula berbincang dahulu berkenaan imbuhan pinjaman bahasa Sanskrit.
  • Imbuhan pinjaman bahasa Sanskrit semuanya tergolong dalam jenis imbuhan awalan, iaitu imbuhan yang digunakan di depan kata dasar.
  • Contoh imbuhan pinjaman bahasa Sanskrit ialah:-
  1. tata-
  2. maha-
  3. pra-
  4. eka-, dwi-, tri- dan panca-
  5. pasca-
  6. swa-
  7. tuna-
Awalan tata-
  • Awalan ini bermaksud peraturan, susunan atau sistem. Lihat penggunaannya pada kata dasar.
  1. tatabahasa = peraturan bahasa
  2. tataadab = sistem/petaruran adab
  3. tatacara = susunan acara
  4. tatahukum = peraturan
Awalan maha-
  • Awalan ini membawa maksud besar atau tertinggi. Lihat penggunaannya pada kata dasar.
  1. mahaguru = guru yang hebat, tertinggi
  2. maharaja = raja paling besar
  3. mahameru = gunung yang paling besar ( tempat tinggal dewa-dewa)
  4. mahahakim = hakim besar
  5. mahaduta = duta besar
  6. mahakarya = karya agung
  • Awalan maha- yang ditemukan dengan kata adjektif dieja berasingan. Kata 'maha' dalam binaan ini tidak lagi bertaraf imbuhan tetapi sebagai satu perkataan yang mantap. Contoh;
  1. maha mulia
  2. maha agung
  3. maha besar
  4. maha adil
  5. maha bijaksana
* Hanya perbincangan setakat awalan tata- dan maha- buat kali ini. Jika ada kesempatan, kita berbincang lagi tentang kata imbuhan pinjaman yang lain.

Sunday, 16 June 2013

MAKMUR TANAH AIRKU...!

Photo: Looking for a different environment instead of the usual park around your home? Try jogging at Taman Tasik Titiwangsa and immerse in a completely different view.

Image courtesy of: flickr.com
Ya Allah,
Aku pohon kepada-Mu,
Engkau kekalkanlah keamanan,
Kemakmuran, kedamaian dan ketenangan....
Bumi tercinta ini.

Amin.

BRAZIL 3, JEPUN 0...!


FIFA CONFEDERATION CUP 16 JUN 2013:-
  • BRAZIL VS JEPUN: 3 - 0
PreviousPreviousNext

Saturday, 15 June 2013

BINA AYAT...!

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2013
TINGKATAN 4
SM.SAINS TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
               [30 markah]

a) Bina Ayat
   i) berkuat kuasa - menguatkuasakan
  ii) berputar belit  - memutarbelitkan
 iii) berlipat ganda - melipatgandakan

Contoh Jawapan:
   i) berkuat kuasa : Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa serta-merta. 
      menguatkuasakan : Pihak sekolah akan menguatkuasakan peraturan baharu itu secepat mungkin.

  ii) berputar belit : Keterangan yang dikemukan itu tidak diterima kerana faktanya berputar belit
      memutarbelitkan : Tertuduh itu sering memutarbelitkan cerita semasa disoal balas oleh pendakwa.

 iii) berlipat ganda : Keuntungan daripada aktiviti haram itu berlipat ganda.
     melipatgandakan : Pelajar diminta untuk melipatgandakan usaha kerana peperiksaan semakin hampir.

PROMOSI III