KATA HAMPIR SAMA...!


Ketika kita mengulang kaji subjek Bahasa Melayu, tidak kiralah sama ada bahagian esei mahupun tatabahasa, kekeliruan dari segi penggunaan kata iaitu fungsi dan maknanya sering menimbulkan masalah. Misalnya, terdapat banyak kata yang sangat hampir bunyi sebutan dan ejaannya, tetapi amat berbeza dari segi makna dan penggunaannya pula. Sila lihat contoh kata di bawah;-
  1. Pendalaman dan pedalaman
  • Pendalaman bermaksud proses mendalamkan sesuatu, menggali atau mengorek lubang; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Kerja-kerja pendalaman dasar sungai terpaksa ditunda kerana fenomena air pasang besar.
b. Aktiviti pendalaman sungai oleh hakisan semakin berkurangan di peringkat dewasa dan tua.
  • Pedalaman pula bermaksud kawasan atau lokasi yang berjauhan dari pusat bandar, juga disebut sebagai luar bandar, kampung, kawasan hulu dan lain-lain; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Mereka dikehendaki bertugas di kawasan pedalaman.
b. Kerajaan akan melaksanakan dasar memajukan penduduk di kawasan pedalaman
  1. Penempatan dan petempatan
  • Penempatan bermaksud proses menempatkan sesuatu, perpindahan atau pemindahan; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Proses penempatan mangsa banjir di kawasan yang lebih selamat itu berjalan lancar. 
b. Penempatan haiwan liar di habitat asal akan memakan masa dan kos yang tinggi.
  • Petempatan pula bermaksud kawasan, tempat atau lokasi yang didiami; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Dewasa ini petempatan orang asli sering dicerobohi oleh pembalak-pembalak haram.
b. Keperluan mendirikan petempatan baharu menimbulkan masalah kesesakan di bandar-bandar besar.
  1. Menjolok dan mencolok
  • Menjolok bermaksud menyentuh sesuatu dengan menggunakan benda yang lurus seperti galah, jari dan sebagainya; contoh penggunaan dalam ayat -
a. Petani itu menjolok sarang tebuan dengan menggunakan galah panjang.
b. Budak nakal itu menjolok mata kawannya dengan sebatang pensel.
  • Mencolok pula bermaksud memalukan, perbuatan yang mengaibkan; contoh penggunaan dalam ayat-
a. Pakaian artis wanita itu mencolok mata.
b. Perlakuan muda-mudi yang berpeluk-pelukan di khalayak amat mencolok mata.

Kita sambung diskusi ini dalam kesempatan yang lain.

Comments

Popular Posts