PENAJA

RAKAN ILMU

Wednesday, 31 July 2013

ESEI: CARIK-CARIK BULU AYAM......!


BENTUK CERITA:-

        "Ani benci pada abang, Mak," jerik Ani.
        "Tak baik kamu cakap macam tu, Ani," ibunya menasihatinya.

Sudah lama Ani tidak bertegur sapa dengan abangnya. Hal ini berpunca daripada telatah abangnya yang menegur sikapnya yang suka pulang lewat.

        "Abang memang tak suka Ani berkawan," kata Ani dengan nada kecewa.
        "Niat abang kamu tu baik," nasihat ibunya lagi.
        "Jadi mak pun sokong kata-kata abang? tanya Ani.

        "Yang dikatakan oleh abang kamu tu benar. Mak tak menyebelahi sesiapa, cuma mak mahu kamu adik-beradik berbaik-baik semula," kata ibunya.

Abangnya tidak faham kenapa dia selalu pulang lewat. Mungkin di dalam kepala abang itu hanya memikirkan perkara yang negatif saja. Abang tak tahu dia pulang lewat kerana berbincang tentang pelajarannya dengan kawan-kawan.

        "Jika beginilah sikapmu, abang yakin kamu akan gagal dalam peperiksaan nanti," Ani teringat akan kata-kata abangnya itu. Ani berjanji akan membuktikan bahawa kata-kata abangnya itu tidak benar.

Hari ini keputusan PMR diumumkan. Ani tahu dia akan berjaya dengan cemerlang. Pagi-pagi lagi dia ke sekolah untuk mendapatkan keputusan bersama-sama dengan kawannya.

        "Yes.. aku berjaya," begitulah secara spontan suara yang terkeluar dari mulut Ani. Ani memeluk rakan-rakannya tanda terima kasih kerana sama-sama berusaha demi sebuah kejayaan.

Tiba-tiba abangnya datang sambil tersenyum. Di tangannya tergenggam sebuah bungkusan.

        "Ani, tahniah abang ucapkan," kata abangnya sambil menghulurkan bungkusan. Ani diam dan hanya tunduk membisu.

        "Abang telah menelefon pengetua sekolahmu. Daripada beliau abang dapat tahu bahawa Ani merupakan pelajar terbaik. Maafkan abang kerana menaruh prasangka buruk terhadap kamu," kata abangnya.

        "Sudahlah Ani, lupakan apa-apa yang telah terjadi. Bak kata pepatah, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga," nasihat ibunya.

(250 patah perkataan)

Tuesday, 30 July 2013

MEMBAIKI, MEMPERBAIK, DAN MEMPERBAIKI...!

Adakah ketiga-tiga patah perkataan di atas itu betul atau sebaliknya. Cuba kita analisis perkataan-perkataan tersebut.
  • Membaiki bermaksud menjadikan sesuai yang rosak agar menjadi baik, Contohnya, mereka sedang membaiki basikal yang rosak itu.
  • Memperbaik pula bermaksud menjadikan sesuatu yang sudah baik supaya menjadi lebih baik. Contohnya, kerja-kerja memperbaik jalan tar itu diteruskan walaupun hujan lebat.
  • Manakala perkataan memperbaiki pula tidak tepat dari segi hukum bahasa (tidak gramatis); iaitu Imbuhan awalan berangkap mem + per jika digunakan kepada kata adjektif, maka tidak perlu lagi dimasukkan imbuhan akhiran 'i' ataupun 'kan'. Contoh kesalahan lain ialah:-
  1. memperdalamkan  X sepatutnya memperdalam
  2. memperdalami  X sepatutnya memperdalam atau mendalami
  3. mempercepatkan  X sepatutnya mempercepat
  4. memperhebatkan  X sepatutnya memperhebat
FORMULA RINGKAS:
  • memper + KA > tiada akhiran -kan atau -i. (KA ialah kata adjektif)
  • diper + KA > tiada akhiran -kan atau -i

KATA HIKMAT...!


DEFINISI:-
  • Satu bentuk pengucapan baharu yang wujud melalui proses perkembangan bahasa Melayu dan dikarang khas untuk memperingati sesuatu peristiwa atau keadaan.
  • Ucapan ini digunakan untuk aktiviti sosial, alam sekitar, politik, ekonomi dan pendidikan.
  • Kata-kata hikmat mempunyai pengertian dan makna yang tinggi dan mendalam.
  • Pengucapan ini digunakan bagi tujuan menimbulkan semangat dan kesedaran tentang pentingnya sesuatu nilai hidup.
CONTOH KATA HIKMAT/MUTIARA KATA:-
  • Bahasa jiwa bangsa = Bahasa ialah semangat sesuatu bangsa - bahasa ialah ciri pengenalan bangsa.
  • Bahasa menunjukkan bangsa = Daripada pertuturan seseorang itu dapat diketahui asal keturunannya.
  • Bersekutu bertambah maju = Perpaduan dalam kalangan rakyat menjamin keamanan negara.
  • Muafakat itu berkat = Bekerjasama banyak membawa faedah.
  • Jikalau ada jalan masuk, tentu ada jalan keluar = Setiap masalah pasti ada penyelesaian.
  • Hidup ini satu perlumbaan = Kehidupan ini penuh dengan cabaran.
  • Jangan pandang orang berkata, pandanglah perbuatannya = Sentiasa berhati-hati menilai seseorang.
  • Hilang bahasa, lenyaplah bangsa = Jika sesuatu bahasa itu pupus, maka pupuslah bangsanya.
  • Bertenang itu pencuri masa = Kerja bertangguh itu merugikan diri sendiri.
  • Membaca jambatan ilmu = Membaca dapat menambah ilmu pengetahuan.
  • Pokok kebenaran menghasilkan buah yang pahit = Sesuatu yang benar menyusahkan orang bersalah.
  • Tangan yang menghayun buaian itu dapat memerintah dunia = Wanita turut berperanan membangunkan negara.

KESALAHAN FRASA JAMAK...!

Kesalahan penggunaan frasa jamak sering berlaku kerana kegagalan pelajar mengenali fungsi yang sedia dibawa oleh sesetengah perkataan sama ada telah membawa maksud jamak/banyak ataupun tidak. Sesetengah perkataan dalam bahasa Melayu telah sedia membawa maksud jamak/banyak, contohnya:-
  • senarai
  • himpunan
  • persatuan
  • mesyuarat
Bagi contoh perkataan di atas, adalah SALAH jika kata nama yang mengikutinya diGANDAkan. Lihat contoh kesalahan di bawah:-
  • senarai nama-nama X  sepatutnya senarai nama
  • himpunan buku-buku X sepatutnya himpunan buku
  • persatuan bekas-bekas pelajar X sepatutnya persatuan bekas pelajar
  • mesyuarat guru-guru X sepatutnya mesyuarat guru
Disenaraikan contoh kesalahan lain, cuba betulkan kesalahannya:-
  1. burung-burung berterbangan
  2. mayat-mayat bergelimpangan
  3. lembu-lembu berkeliaran
  4. sampah sarap bertaburan
  5. monyet-monyet bergayutan
  6. kereta-kereta berderetan
  7. lima puluh buah kereta-kereta
  8. pasangan penyanyi-penyanyi
  9. kumpulan pelajar-pelajar
  10. pertubuhan peladang-peladang
  11. penyokong-penyokong bola sepak berasakan

ESEI: FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL DIPINGGIRKAN...!


PENDAHULUAN:-
  • Permainan tradisional warisan masyarakat Melayu semakin dipinggir oleh generasi muda dewasa ini. Sesetengah daripada mereka langsung tidak mengetahui kewujudan permainan tradisional ini yang pernah popular sedikit masa dahulu.
  • Masyarakat dahulu menjadikan permainan tradisional sebagai wahana memupuk semangat ukhwah antara penduduk di samping mengisi masa senggang dengan kerja buat yang lebih berfaedah.
  • Antara permainan tradisional yang begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat tradisi kita ialah gasing, congkak, sepak raga, naik wau, ketingting, batu serembang, buah guli, lompat tali, galah panjang, coh, bola awa dan lain-lain.
  • Banyak faktor yang menyebabkan permainan tradisional warisan nenek moyang kita semakin dipinggir oleh generasi hari ini, antaranya:-
FAKTOR-FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL DIPINGGIRKAN:-
  1. Pengaruh besar yang dibawa oleh pelbagai permainan yang moden dan sofistikated - lebih relevan dengan perkembangan kemajuan sains dan teknologi; - permainan komputer, permainan video, mesin kawalan jauh, permainan robot, dan seumpamanya.
  2. Sikap dan pandangan masyarakat hari ini yang beranggapan permainan tradisional sudah ketinggalan zaman dan hanya layak berada di muzium-muzium.
  3. Semakin kurang  jumlah pejuang atau aktivitis yang aktif memperjuangkan nasib permainan tradisional; jika ada pun sekadar hidup segan mati tak mahu.
  4. Pihak-pihak bertanggungjawab sama ada di pihak kerajaan, NGO mahupun swasta tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan seni permainan tradisional sebagai khazanah budaya dan bangsa negara.
  5. Generasi muda tidak atau jarang-jarang didedahkan dengan keistimewaan dan kelebihan permainan tradisional sehingga menyebabkan mereka gagal mengenali budaya sendiri; tak kenal maka tak cinta.
  6. Pemikiran masyarakat moden hari ini lebih ke arah mengumpulkan harta kekayaan dan kejayaan anak-anak dalam pelajaran; Mereka menghadapi kekangan masa untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, makan angin apatah lagi untuk bergiat cergas mengisi masa dengan bermain permainan tradisional yang memakan masa yang lama.
  7. Kesukaran untuk mendapatkan peralatan permainan tradisional, bersaiz besar, harga yang mahal juga menjadi faktor kenapa permainan tradisional semakin dilupakan.
  8. Terlalu kurang penganjuran pertandingan permainan tradisional oleh pihak-pihak bertanggungjawab menyebabkan permainan jenis ini semakin lesu di bumi sendiri; Penganjuran permainan tradisional dari peringkat rendah hingga ke peringkat dunia akan lebih mempopularkan permainan tradisional. Contohnya permainan sepak raga yang diberikan sedikit inovasi dan dikenali dengan permainan sepak takraw telahpun popular sehingga ke peringkat antarabangsa.
  9. Penggiat-penggiat permainan tradisional di desa serta kampung tidak mendapat apa-apa bantuan dan dukungan daripada pihak kerajaan, apatah lagi daripada pihak swasta yang hanya bergerak atas dasar keuntungan perniagaan semata-mata.
  10. Institusi-institusi pendidikan tinggi seperti IPTA dan IPTS dingin serta beku dalam usaha menubuhkan jabatan pengajian yang bertanggungjawab mengkaji asal usul sejarah, melatih siswa-siswi dan memerkasakan segala bentuk seni budaya turun-temurun agar tidak ditelan kemajuan.
PENUTUP:-
  • Banyak perkara yang perlu dilakukan jika kita tidak ingin melihat satu persatu khazanah warisan berharga nenek moyang rebah menyembah bumi dek kelekaan anak watan sendiri.
  • Sebenarnya warisan tinggalan nenek moyang ini amat berharga dan boleh dijadikan aset penting membantu meningkatkan pendapatan negara jika dapat dieksploitasi dengan bijak, contohnya melalui industri kraf tangan, industri pelancongan dan industri hiliran lain.
  • Melalui penubuhan kelab dan persatuan yang berasaskan permainan tradisional di sekolah, IPTA dan IPTS dapat memupuk pelajar cinta akan permainan ini sejak awal usia lagi.
  • Permainan tradisional yang bijak diberikan inovasi mampu menjadi simbol unik negara, dan menjadi kebanggaan semua.
  • Semua pihak tidak kira peringkat usia, pangkat tinggi atau rendah, perlu bahu-membahu dalam usaha mempopularkan permainan tradisional sepanjang zaman dan janganlah kita hanya memandang sepi akan usaha ini. Genggam bara api biar sampai jadi arang.


Monday, 29 July 2013

CERPEN: SEGALA YANG TERINDAH ADA DI SANA...!


Karya Zainal Rashid Ahmad
SINOPSIS:-
Cerpen ini mengisahkan kehidupan penulis dan rakan-rakannya yang dibesarkan di kampung. Rata-rata penduduk kampung merupakan masyarakat miskin yang terpaksa bergantung kepada semua sumber tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling untuk mengubati penyakit kerana kos perubatan mahal. Mereka diajar mengaji oleh Hajah Tom yang sering bermurah hati dan dan amat disayangi oleh mereka. Mereka juga diajar tentang hal ehwal agama oleh Imam Haji Salleh Pumpong. Hubungan penulis dan rakan-rakan amat rapat dengan Hajah Tom dan Haji Salleh Pumpong. Kematian kedua-dua orang yang disayangi ini memberi kesan kepada penulis dan rakan-rakan. 

TEMA:-
Cerpen ini bertemakan tradisi kehidupan dalam masyarakat Melayu tradisional di kampung. Masyarakat kampung banyak bergantung kepada tumbuh-tumbuhan semula jadi bagi menjalani kehidupan mereka termasuklah dalam perubatan tradisional dan sumber makanan harian bagi mereka. Guru mengaji dan imam pula merupakan tempat rujukan bagi mendalami ilmu agama dan mengatasi sebarang masalah dalam kehidupan harian. 

PERSOALAN:-
  • Kepentingan alam semula jadi dalam meneruskan kehidupan harian. Contoh, Herba tumbuhan seperti daun melong, ubi jaga, asam jawa dan buah kundur digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. 
  • Pendidikan agama dalam masyarakat. Contoh, Bagi masyarakat Melayu tradisional, guru mengaji dan imam merupakan orang-orang penting bagi mendidik ahli-ahli dalam masyarakat 
  • Ketaatan kepada guru. Contoh, Masyarakat kampung tradisional terutamanya kanak-kanak amat taat kepada guru mengaji dan imam kampung.
  • Kemiskinan masyarakat di kampung. Contoh, Masyarakat kampung digambarkan sebagai masyarakat yang miskin. Penulis dan rakan-rakannya digambarkan sebagai orang miskin yang sudah lali dengan kelaparan. 
PLOT:-
  • Permulaan
Penulis mengingati zaman kehidupannya dan rakan-rakannya semasa mereka membesar di kampung.
  • Perkembangan
Penulis menceritakan kepentingan tumbuh-tumbuhan untuk mengubat pelbagai penyakit bagi menggantikan ubat-ubatan moden yang lebih mahal dan tidak mampu dibayar oleh penduduk kampung. 
  • Puncak
Penulis dan rakan-rakan amat sedih kerana kematian Hajah Tom dan Haji Salleh Pumpong, kedua-dua orang yang paling disayangi dan dihormati oleh mereka.
  • Peleraian
Penulis menganggap Hajah Tom dan Haji Salleh Pumpong merupakan dua orang yang tidak akan dilupakan oleh mereka. 


Antologi Harga Sebuah Lukisan

Sumber: Bahagian Perkembangan Kurikulum

Sunday, 28 July 2013

CERPEN: MENCARI NAFAS BAHARU...!

Karya Ayusari Mj
SINOPSIS:-
Cerpen ini mengisahkan Ana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chat, Hulu Pahang. Ana dan semua guru gigih berusaha menaikkan nama sekolah. Ana mula gelisah apabila anak murid kesayangannya Milah tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut. Ana terus ke rumah Milah untuk menziarahinya. Dia mendapati Milah sakit dan dalam keadaan yang lemah. Ana membawa Milah ke hospital dan doktor mengesahkan Milah menghidap penyakit leukemia jenis limfoblastik (ALL). Ana sedih kerana Milah meninggal dunia akibat penyakit tersebut sebelum sempat menerima sumsum tulang daripadanya. Peristiwa sedih itu menyebabkan Ana memohon ditukarkan kembali ke tempat kelahirannya.

TEMA:-
Cerpen ini bertemakan pengorbanan seorang guru.
Ana sanggup mengajar di sebuah sekolah di pedalaman Pahang. Dia bersama-sama guru di situ berusaha keras menaikkan prestasi sekolah. Dia juga berhasrat untuk mendermakan sumsum tulang kepada muridnya Milah yang menghidap leukemia. Malangnya, Milah meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulang Ana. 

PERSOALAN:-
  • Kegigihan guru-guru untuk menaikkan prestasi sekolah. Contoh, Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chat bekerja keras menaikkan prestasi sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum.
  • Pengorbanan guru terhadap murid. Contoh, Ana sanggup berkorban dengan mendermakan sumsum tulang kepada Milah. 
  • Kasih sayang guru terhadap murid. Contoh, Ana menyayangi Milah seperti adik sendiri.
  • Suka duka guru yang mengajar di pedalaman. Contoh, Ana gembira mengajar di pedalaman Pahang namun dia amat sedih apabila anak murid kesayangannya meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulangnya.
  • Kepentingan perubatan moden. Contoh, Ana membawa Milah ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah dia tidak sembuh dengan cara perubatan tradisional.
WATAK DAN PERWATAKAN

WATAK UTAMA:-

ANA
  1. Seorang guru lulusan universiti pendidikan tempatan.
  2. Berkhidmat di Sekolah Kampung Chat, Hulu Pahang.
  3. Gigih melaksanakan tugas. Contoh: Setiap pagi Sabtu, Ana mengadakan kelas tambahan untuk pelajar- pelajarnya sebagai persediaan untuk menghadapi PMR.
  4.  Sanggup berkorban terhadap anak didiknya. Contoh, Ana bertekad untuk mendermakan sumsum tulang kepada Milah yang menghidap penyakit leukemia.
  5. Penyayang. Contoh, Ana menyayangi Milah dan menganggapnya seperti adiknya sendiri.
  6. Prihatin. Contoh, Ana pergi ke rumah Milah setelah mendapat tahu Milah sakit.
WATAK SAMPINGAN

MILAH
  1. Murid kepada Ana.
  2. Pelajar tingkatan 1.
  3. Anak sulung daripada enam orang adik-beradik.
  4. Ibunya berniaga secara kecil-kecilan manakala ayahnya sebagai nelayan.
  5. Seorang pelajar yang rajin dan aktif dalam sukan. Contoh, setiap petang Milah ke sekolah menyertai aktiviti kokurikulum.
  6. Menghidap penyakit leukemia.
  7. Menerima rawatan kemoterapi untuk mengubati penyakitnya.
  8. Meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulang daripada Ana.
NILAI:-
  1. Kasih sayang
  2. Pengorbanan
  3. Kerajinan
  4. Simpati
  5. Kegigihan
  6. Keprihatinan
PENGAJARAN:-
  1. Kita hendaklah mengasihi sesama insan.
  2. Kita hendaklah sanggup berkorban untuk kebaikan orang lain.
  3. Kita hendaklah rajin membantu untuk meringankan beban orang lain.
  4. Kita hendaklah bersimpati akan nasib malang yang menimpa orang lain.
Antologi Harga Sebuah Lukisan
Sumber: Bahagian Perkembangan Kurikulum



OH MY BAHASA...!


EJAAN KATA BAHASA INGGERIS YANG DIMELAYUKAN:-

Bahasa Inggeris yang dimelayukan juga sedikit sebanyak mendatangkan masalah kepada pengguna bahasa. Namun jika kita mempunyai sikap prihatin akan bahasa, hal demikian sebenarnya tidak mendatangkan masalah yang besar. Disenaraikan di bawah ini ejaan perkataan daripada bahasa Inggeris yang telah dimelayukan; antaranya:-
  • bajet
  • boling
  • empati - lebih simpati
  • enjin
  • eksport
  • e-mel
  • emigrasi - perpindahan negeri
  • emigran - orang yang berpindah negeri
  • etnik
  • faks
  • faksimile
  • globalisasi
  • global
  • glamor
  • gimrama
  • gimik 
  • glukosa
  • golf
  • go-kart - sukan lumba kereta
  • gramatis
  • internet
  • hangar - bangunan tempat menyimpan kapal terbang
  • hedonistik - bersifat mementingkan keseronokan
  • hatrik - berulang sebanyak tiga kali
  • input
  • import
  • idiom - simpulan bahasa
  • idealistik - bersifat idealis
  • identiti - sifat diri
  • idea - buah fikiran
  • ideal - sempurna
  • ideologi - fahaman
  • idola - yang diminati
  • imiginasi
  • individual
  • kontinjen
  • kompleks
  • kapten
  • kapitalis
  • karpet
  • karakter - perwatakan
  • karnival
  • karisma - daya kepimpinan
  • kategori - bahagian
  • kemoterapi
  • legenda
  • losen - cecair yang agak pekat
  • skil
  • spesies
  • stor
  • setem
  • stesen
  • stres
  • strok
  • skuasy
  • protes
  • ragbi
  • tablet
  • telefon
  • teknologi
  • tip - petua/panduan
  • urbanisasi
  • unik
  • unit
  • vandalisme
  • versi
  • veteran
  • warden
  • wayar
  • wayarles

SOALAN PERCUBAAN 2013 SBP (TATABAHASA 3)...!


Soalan 8 - 14
MENGESAN KESALAHAN KATA/FRASA BERGARIS

 9. Aisyah masih rindukan kehidupannya di desa, walaupun telah lama berpindah ke kota. Tiada kesalahan.
                                        A                                                                 B                                                         C                        D

10. Intan meminta Ani membelikannya sutera batik di pasar pagi di Kampung Kota Lama. T. kesalahan.
                                                                                          A                           B                              C                                    D

11. Kuih-kuih ini mereka hantar ke kedai kopi berhampiran stesen bas sebelum ke sekolah. T. kesalahan.
                  A                         B                                                                                   C                                                           D                                
JAWAPAN:-

 9. A (sepatutnya rindu akan)
10. A (sepatutnya batik sutera - hukum DM)
11. B (sepatutnya dihantar oleh mereka - ayat pasif diri ke-3)

Kerana terlalu panjang ayat soalan 14,cikgu ubah suai seperti di bawah;

14. Sultan Ammar Muhaimin berkenan untuk mengurniakan tokoh pemimpin yang berwibawa itu pingat darjah kebesaran sempena majlis keputeraan baginda yang ke-63.
A (berkenan)  B (mengurniakan)  C (keputeraan)  D (Tiada kesalahan)

Jawapan: B - (sepatutnya mengurniai - mengurniakan > objek benda, mengurniai > objek orang).

Ubah suai BM1 Percubaan SBP 2013

SAJAK TIBA WAKTUNYA...!

ASPEK-ASPEK KOMSAS DALAM SAJAK TIBA WAKTUNYA 
KARYA GHAZALI LATEH

ITEM
PERNYATAAN
HURAIAN




Bentuk
Rangkap
Bilangan baris


Bilangan patah perkataan
Bilangan suku kata sebaris
Rima akhir
6 rangkap
Rangkap 1 – 5 baris                Rangkap 2 – 7 baris
Rangkap 3 – 4 baris                Rangkap 4 – 6 baris
Rangkap 5 – 5 baris                Rangkap 6 – 2 baris
3 hingga 6 patah perkataan sebaris
7 hingga 14 suku kata sebaris
Rangkap 1 – aabcc, Rangkap 2 – aaaaabb, Rangkap 3 - abcc        
Rangkap 4 – aabbbb, Rangkap 5 – aabbb , rangkap 6 - aa

Tema

Usaha mengangkat martabat golongan wanita
Penyajak mengajak supaya golongan wanita zaman siber kini berani ke hadapan dan melibatkan diri dalam pelbagai bidang untuk mengangkat mereka ke pentas dunia








Persoalan

Persoalan perubahan arus globalisasi berlaku dengan pantas
Negara maju kesan daripada perubahan arus globalisasi yang berlaku dengan pantas dan manusia perlu pantas merebutnya
Persoalan keberanian merebut peluang yang ada
Golongan wanita tidak perlu memikirkan halangan yang akan ditempuh sebaliknya merebut peluang yang terhidang di hadapan mereka
Persoalan peranan wanita memacu pembangunan negara
Golongan wanita mempunyai peranan yang sama penting dalam usaha membangunkan sesebuah negara
Persoalan ciri-ciri wanita pada zaman modenisasi
Penyajak meminta wanita lebih berani, berkeyakinan tinggi, menjaga budi pekerti untuk mendepani cabaran arus globalisasi
Persoalan tanggungjawab mengangkat martabat wanita ke pentas antarabangsa
Penyajak memberitahu bahawa sudah tiba masa golongan wanita berada di puncak pentas antarabangsa
Persoalan cabaran dalam menempuh kehidupan masa kini
Wanita perlu cekal menghadapi kehidupan zaman moden kerana banyak cabaran yang perlu ditempuh




Nilai
Tanggungjawab
Wanita perlu mengangkat martabat mereka setanding dengan golongan lelaki
Ketabahan
Wanita perlu tabah menghadapi cabaran hidup pada zaman moden
Keberanian
Wanita perlu berani tampil dengan idea yang bernas untuk membantu menjayakan wawasan negara
Keyakinan diri
Wanita perlu yakin akan kebolehan diri dalam usaha mencapai kesenangan hidup
Kegigihan
Legenda Mahsuri perlu dikenang kerana sejarah itulah yang mempopularkan Pulau Langkawi





Pengajaran
Kita hendaklah cekal menempuh arus globalisasi
Cabaran arus globalisasi sangat hebat dan masyarakat perlu bersedia menempuhnya
Kita hendaklah berani tampil ke hadapan untuk merebut peluang
Golongan wanita perlu berani merebut peluang yang terhidang di hadapan mereka
Kita hendaklah bertanggungjawab mengangkat martabat wanita
Sudah tiba masa golongan wanita mengangkat diri mereka ke pentass antarabangsa
Kita hendaklah memiliki ciri-ciri yang positif untuk berjaya
Wanita perlu berani, berkeyakinan tinggi, berbudi pekerti untuk berjaya dalam hidup
Jangan kita menganggap diri kita tidak penting kerana wanita juga memainkan peranan
Wanita tidak boleh menganggap diri mereka lemah kerana persoalan sedemikian boleh melumpuhkan semangat mereka



Gaya Bahasa
Pemilihan kata sangat indah
Dari putik dan pucuk berembun kemilau
Hiperbola
Merebut tunas-tunas harapan yang hijau
Metafora
Tunas-tunas harapan
Imejan
Persada dunia
Sinkope
Kautanya
Inversi
Usah kautanya persoalan dilema
Aliterasi
Merebut tunas-tunas harapan – konsonan n
Asonansi
Dari putik dan pucuk berembun kemilau – vokal u
Nada
Patriotik
Bersemangat untuk memacu negara


Sumber: Blog Cikgu Azaman

10 PETUA BELAJAR...!

Kali ini ingin saya berkongsi maklumat yang sangat penting bagi setiap pelajar agar mencapai kecemerlangan dalam akademik dengan menghindari 10  perkara yang boleh merencatkan kecergasan minda.
………………………………………………………..
1.Tidak mengambil sarapan pagi.
Otak merupakan organ yang paling banyak menggunakan tenaga, iaitu sebanyak 25% daripada badan. Tidak mengambil sarapan  pagi menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan mengurangkan bekalan nutrisi kepada otak. Banyak sel otak akan menjadi kurang aktif pada hari tersebut.

2.Terlebih makan.
Tidak bermakna makan berlebihan menyebabkan otak menjadi semakin baik. Makan berlebihan menyebabkan banyak darah dialirkan kepada perut dan usus untuk tujuan pencernaan, menyebabkan kekurangan darah yang sampai kepada otak. Ini mengakibatkan mengantuk, malas dan hilang daya fokus.

3.Merokok.
Asap rokok sangat berbahaya kerana mengandungi pelbagai racun dan boleh membunuh banyak sel otak.

4.Mengambil Gula Berlebihan.
Gula yang berlebihan di dalam badan boleh mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak yang sihat.

5.Menghidu Udara Yang Tercemar.
Otak merupakan pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia.Menghidu udara tercemar menyebabkan kerosakan sel-sel otak. Berkawan dengan perokok juga mendedahkan kita kepada asap rokok yang sangat berbahaya kepada otak.

6.Tidur Yang Berlebihan.
Tidur adalah baik untuk kesihatan otak kita.Namun tidur yang berlebihan menyebabkan otak kurang aktif dan melemahkan daya berfikir seseorang.

7.Tidur Dengan Menutup Muka.
Tidur sambil meniarap dan menekup muka ke bantal atau menutup dengan buku atau lengan boleh menyebabkan banyak gas karbon dioksida terperangkap dan disedut semula semasa bernafas.Ini boleh menyebabkan otak kekurangan oksigen.

8.Kurang Berimaginasi.
Berifkir merupakan satu cara yang baik untuk mengasah otak kita. Kurang berimaginasi menyebabkan tahap kecerdasan otak menurun.

9.Jarang Berfikir.
Jarang-jarang berfikir menyebabkan otak kita menjadi lembap dan tidak aktif. Maka, selalu berfikir akan melatih otak kita bekerja dan meningkatkan keupayaan otak kita.

10.Tidak Membaca Al-Quran.
Al-Quran merupakan kalimah-kalimah Allah s.w.t. Membacanya akan banyak memberi manfaat kepada badan kita termasuklah mengaktifkan otak kita dan mengelakkannya daripada rosak.Tidak membaca Al-Quran menyebabkan otak kita menjadi dungu dan dangkal.

SOALAN PERCUBAAN 2013 SBP (TATABAHASA 2)...!


Pilih pasangan ayat yang betul.
AYAT PASIF

Soalan 26.
  • I    Emas yang mahal itu ayah tidak terbeli.
  • II   Lututnya yang luka itu kena jahit semalam.
  • III  Paip yang rosak itu telah dibaiki oleh kami.
  • IV  Kotak yang berat itu tidak terangkat oleh adik.
JAWAPAN:-
  • A I dan II
  • B II dan III
  • C II dan IV
  • D III dan IV
ANALISIS:-

Ayat I - Salah, ayat pasif diri ke-3; sepatutnya tidak terbeli oleh ayah.
Ayat II - Betul, ayat pasif menggunakan kata bantu 'kena'.
Ayat III - Salah, ayat pasif diri pertama; sepatutnya telah kami baiki.
Ayat IV - Betul, ayat pasif diri ke-3; tidak terangkat oleh adik (sama alasan dengan ayat I)

JADI untuk soalan no.26, jawapan yang betul ialah C (II dan IV)



SOALAN PERCUBAAN 2013 SBP (TATABAHASA)....!

MARKAH PERCUMA..?
Kesempatan ini cikgu akan cuba berkongsi dengan pembaca tentang soalan 'memilih pasangan ayat yang betul' iaitu soalan 25. Soalan ini agak mencabar dan mengelirukan bagi sesetengah pelajar.

Soalan 25
  • I    Anak yatim yang kami jumpa semalam menceritakan semula peristiwa yang meragut nyawa 
               kedua-dua orang tuanya.
  • II   En. Jefridin bersetuju memperisterikan anaknya dengan jejaka idaman anak emasnya itu.
  • III  Kerajaan akan terus memperkasakan industri pelancongan negara.
  • IV  "Berapa umur adik kamu yang comel ini?" tanya jurujual sambil mencubit pipi adikku yang comel
                itu.
  • A I dan II
  • B II dan III
  • C III dan IV
  • D I, II, III dan IV   
ANALISIS:-

Ayat I
- Salah frasa kerja transitif > sepatutnya menceritakan peristiwa itu semula.
Ayat II
- Salah dari segi maksud ayat > sepatutnya memperisterikan anaknya dengan gadis idaman (ayat II bermaksud mengahwinkan lelaki dengan lelaki...!)
Ayat III
- Salah dari segi pengimbuhan kata adjektif 'perkasa' kata yang bermula dengan huruf 'p' apabila menerima imbuhan meN-, huruf 'p' akan dilenyapkan; contonnya pasti > memastikan, pukul > memukul. Jadi perkasa > memerkasakan!
Ayat IV
- Betul kerana walaupun kata tanya 'berapa' tidak digunakan bersama dengan partikel 'kah', kehadiran partikel pada kata tanya hanyalah 'sunat' sahaja; contohnya siapa nama awak?, Di mana awak tinggal? masih betul walaupun tiada partikel 'kah' dalam ayat tersebut.

RUMUSAN:-
Pada pendapat cikgu, untuk soalan 25 di atas hanya ayat IV sahaja yang betul, dan  tiada jawapan pilihan yang disediakan.

Apakah pandangan anda?

Saturday, 27 July 2013

ESEI: LANGKAH MENJADI PELAJAR CEMERLANG...!


Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelajar pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sekiranya pelajar itu sendiri mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi  untuk mencapainya. Pelajar-pelajar  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaan mampu menjamin masa hadapan seseorang pelajar yang lebih gemilang. Oleh hal itu, pelajar-pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, jika asyik mengabaikan pelajaran, bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Sebagai seorang pelajar,  saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu nanti?

Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan adalah dengan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberikan perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar disebabkan faktor memberikan sepenuh tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar fikiran saya tidak mengelamun jauh semasa guru mengajar. Saya juga juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang saya fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan yang telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberikan  tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

            Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan berkualiti. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan cuba mengikutinya dengan jujur sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkualiti agar kita akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikuti jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan jujur, pasti saya tidak akan menggelabah ketika peperiksaan menjelang tiba. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa yang berlalu tidak akan kembali, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan membuatkan saya lebih bersedia menghadapi sesuatu peperiksaan.

            Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan memperbanyak aktiviti mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada bahasa Inggeris iaitu, 'practice makes perfect' sesusai dipraktikkan. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam apa-apa jua bidang. saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah  sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain dan  sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran Sains. Tegasnya, saya akan membuat latihan yang banyak dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanyakan guru-guru di sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di bilik darjah. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan lebih mudah memahami dan saya juga akan lebih menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah diajar topik yang sama seperti yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen juga merupakan langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah berputus asa. Saya tidak akan cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seorang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah menempuhi beberapa kali kegagalan kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan dan halangan. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan saya tidak akan mudah berputus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat kedua-dua orang ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Allah. Kata orang tua-tua, Allah hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai pengalaman yang luas. Saya akan sentiasa patuh akan nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Allah supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua orang ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Allah atas segala pemberian-Nya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam beberapa perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya lebih terjamin dan cemerlang. Justeru, saya akan belajar lebih berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

Ubah suai dan pembetulan daripada karangan pelajar.

PROMOSI III