ESEI: CARIK-CARIK BULU AYAM......!


BENTUK CERITA:-

        "Ani benci pada abang, Mak," jerik Ani.
        "Tak baik kamu cakap macam tu, Ani," ibunya menasihatinya.

Sudah lama Ani tidak bertegur sapa dengan abangnya. Hal ini berpunca daripada telatah abangnya yang menegur sikapnya yang suka pulang lewat.

        "Abang memang tak suka Ani berkawan," kata Ani dengan nada kecewa.
        "Niat abang kamu tu baik," nasihat ibunya lagi.
        "Jadi mak pun sokong kata-kata abang? tanya Ani.

        "Yang dikatakan oleh abang kamu tu benar. Mak tak menyebelahi sesiapa, cuma mak mahu kamu adik-beradik berbaik-baik semula," kata ibunya.

Abangnya tidak faham kenapa dia selalu pulang lewat. Mungkin di dalam kepala abang itu hanya memikirkan perkara yang negatif saja. Abang tak tahu dia pulang lewat kerana berbincang tentang pelajarannya dengan kawan-kawan.

        "Jika beginilah sikapmu, abang yakin kamu akan gagal dalam peperiksaan nanti," Ani teringat akan kata-kata abangnya itu. Ani berjanji akan membuktikan bahawa kata-kata abangnya itu tidak benar.

Hari ini keputusan PMR diumumkan. Ani tahu dia akan berjaya dengan cemerlang. Pagi-pagi lagi dia ke sekolah untuk mendapatkan keputusan bersama-sama dengan kawannya.

        "Yes.. aku berjaya," begitulah secara spontan suara yang terkeluar dari mulut Ani. Ani memeluk rakan-rakannya tanda terima kasih kerana sama-sama berusaha demi sebuah kejayaan.

Tiba-tiba abangnya datang sambil tersenyum. Di tangannya tergenggam sebuah bungkusan.

        "Ani, tahniah abang ucapkan," kata abangnya sambil menghulurkan bungkusan. Ani diam dan hanya tunduk membisu.

        "Abang telah menelefon pengetua sekolahmu. Daripada beliau abang dapat tahu bahawa Ani merupakan pelajar terbaik. Maafkan abang kerana menaruh prasangka buruk terhadap kamu," kata abangnya.

        "Sudahlah Ani, lupakan apa-apa yang telah terjadi. Bak kata pepatah, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga," nasihat ibunya.

(250 patah perkataan)

Comments

Popular Posts