PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 30 September 2013

ESEI: BAGAIMANA CARA MENGHORMATI GURU....!

Tajuk karangan seperti di atas terasa penting pula, lebih-lebih lagi apabila semakin dekat dengan tarikh PMR. Cikgu berasakan tajuk sebegini amat baik untuk pelajar-pelajar kuasai, manalah tahu, kalau-kalau keluar nanti...?

Soalan:-
Guru merupakan individu yang banyak berjasa kepada pelajar-pelajar. Kerana merekalah, pelajar-pelajar mencapai pelbagai kejayaan sama ada masa kini mahupun pada masa hadapan. Sebagai seorang pelajar yang prihatin, bagaimanakan cara anda menghormati guru-guru anda?

Tema: Guru
Kehendak soalan/tugasan: Cara-cara menghormati guru

PENDAHULUAN:-
Kerjaya seseorang yang bergelar guru atau cikgu amat mulia di sisi masyarakat. Peranan dan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka adalah amat berat dan mencabar demi melahirkan generasi manusia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) selaras dengan falsafah pendidikan negara. Guru ialah pelita yang mampu menerangi hidup pelajar-pelajarnya. Guru juga ibarat lilin, yang sanggup menerangi kehidupan pelajar-pelajarnya walaupun dirinya sendiri kadang-kadang terbakar. Begitulah jasa dan pengorbanan seseorang guru, sehinggakan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, betapa besar sumbangannya kepada semua.
Sebagai seorang pelajar yang tahu berterima kasih dan tahu menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru, sudah semestinya kita menghormati guru-guru dan sentiasa menjaga hati dan perasaannya. Pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh pelajar sebagai tanda kita menghormati guru-guru kita.

IDEA-IDEA PENTING:-
  • Kita hendaklah sentiasa mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru.
  • Ketika proses pembelajaran dan pengajaran, kita mestilah memberikan sepenuh perhatian tentang pelajaran yang diajar.
  • Ketika bertemu dengan guru, kita mestilah memberi salam secara ikhlas.
  • Kita seharusnya ringan tangan untuk membantu guru-guru yang memerlukan bantuan, seperti menolong mereka membawa buku, peralatan mengajar, beg dan sebagainya.
  • Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh agar dapat menguasai ilmu yang disampaikan oleh guru-guru dan seterusnya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.
  • Sebagai pelajar yang amat menghormati guru, kita hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang di sekolah kita.
  • Kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan guru-guru.
  • Kita hendaklah sentiasa menyokong segala program dan aktiviti sekolah agar berjalan dengan lancar.
  • Kita hendaklah mengelakkan sifat buruk sangka terhadap guru-guru dan sentiasa menjaga nama baik guru walau di mana-mana kita berada.
  • Menziarahi mereka jika mereka sakit.
  • Kita mestilah menyiapkan tugasan yang diberikan tanpa banyak kerenah.
  • Memberikan hadiah kepada guru contohnya sempena hari jadi, ulang tahun perkahwinan dll.
  • Bercakap dengan suara perlahan dan penuh sopan santun ketika bersama dengan guru.
PENUTUP:-
  • Kesimpulannya pelbagai cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda kita menghormati guru-guru yang telah banyak berjasa kepada kita.
  • Tanpa seorang guru, siapalah kita sekarang?
  • Sebagai pelajar yang prihatin, kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita dengan sebaik mungkin. 

Sunday, 29 September 2013

MEROTAN...!


Perkataan-perkataan yang sering diuji dari segi makna dan penggunaannya dalam ayat adalah seperti berikut:-
  • merotan
  1. memukul dengan rotan - Cikgu disiplin merotan pelajar yang ponteng sekolah.
  2. mencari rotan  - Ayah pergi merotan di hutan.
  • membului
  1. mencabut bulu - Ibu sedang membului ayam yang baru disembelih itu.
  • merumput
  1. mencabut / memotong rumput - Mereka sedang merumput di bendang.
  2. sedang makan rumput - Lembu itu sedang merumput di padang.

Saturday, 28 September 2013

MU KALAH LAGI...!


ENGLAND PREMIER LEAGUE 28/9/2013:-
  • TOTTENHAM VS CHELSEA: 1 - 1
  • ASTON VILLA VS MANCHESTER CITY: 3 - 2
  • FULHAM VS CARDIFF: 1 - 1
  • HULL CITY VS WEST HAM: 1 - 0
  • MANCHESTER UTD VS WEST BROM: 1 - 2
  • SOUTHAMPTON VS CRYSTAL PALACE: 2 - 0

KLATE TEWAS DI LARKIN...!


PIALA MALAYSIA 28/9/2013:-
  • JOHOR DT VS KELANTAN: 4 - 2
  • LIONSXII VS ATM: 1 - 0
  • SIME DARBY VS SARAWAK FA: 0 - 0

Friday, 27 September 2013

SOALAN SPOT BM2...!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pelajar dan pembaca yang dihormati sekalian….
Peperiksaan PMR semakin menjelang tiba dan hal ini menyebabkan cikgu sering diajukan pembaca sama ada pelajar, guru mahupun ibu bapa tentang soalan-soalan  yang mungkin keluar dalam PMR nanti. Ada sesetengah pertanyaan itu pula diiringi dengan pujuk rayu dan sesetengahnya pula siap dengan harapan yang menggunung tinggi. Alahai, …. sakit kepala cikgu dibuatnya.
SEBENARNYA, walaupun cikgu mempunyai pengalaman yang luas dalam hal-ehwal Bahasa Melayu PMR ini, namun kerja-kerja nujum-menujum ini bukanlah baik malah kadang-kadang merugikan. Bayangkan jika soalan atau tajuk yang dijangka keluar, tak muncul tiba, siapa yang mahu dipersalahkan?
Berkenaan dengan tajuk atau soalan yang akan keluar nanti, pelajar-pelajar bakal calon PMR sekalian janganlah terlalu takut atau risau, kerana semua skop topiknya telah diajarkan oleh guru masing-masing.
CUMA nasihat cikgu, untuk soalan-soalan karangan, pelajar mestilah menguasai tajuk-tajuk yang berkisar tentang diri pelajar sendiri, seperti tajuk yang berkaitan dengan persekolahan (asrama, kokurikulum, teknik belajar, peranan ibu bapa, disiplin, kantin, sukan dan kesihatan). Tajuk-tajuk yang berkaitan ibu bapa dan pihak sekolah juga seharusnya diberikan perhatian oleh pelajar-pelajar. Contoh soalan atau tajuk karangan yang PATUT dikuasai pelajar ialah:-
  • Bagaimanakah cara mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar?
  • Peranan ibu bapa/guru/pelajar dalam menangani masalah disiplin pelajar.
  • Faedah menabung kepada pelajar.
  • Kebersihan (2012).
  • Kebaikan koperasi sekolah.
  • Program motivasi (surat) - (2012)
  • Aktiviti sempena sambutan kemerdekaan - (2012)
  • Usaha memupuk sikap menghormati warga tua oleh remaja - (2012)
  • Pentingnya menguasai pelbagai bahasa
Bagi soalan novel pula, soalan yang keluar pada tahun lepas adalah tentang perwatakan, 2010 – nilai, 2009 – persoalan, 2008 – latar tempat, 2007 – pengajaran, 2006 – watak dan 2005 – latar tempat, masa dan masyarakat. Soalan novel pada tahun 2012 adalah tentang persoalan. Untuk 2013, mungkin latar, boleh diambil berat oleh pelajar-pelajar.

SOALAN PMR 2008...!


Pilih pasangan ayat yang betul.

25.
I     Pesuruh-pesuruhjaya negara ASEAN yang bermesyuarat di sini diraikan dalam satu majlis.
II    Mesyuarat permuafakatan antara sekolah menengah itu dihadiri oleh guru-guru besar.
III   Ketidakpuasan hati penduduk setempat terhadap pemaju perumahan itu telah disuarakan kepada YB.
IV   Pengambilalihan syarikat itu oleh pengurusan baharu bertujuan untuk memantapkan syarikat.

  • A  I dan II
  • B  II dan IV
  • C  I, II dan III
  • D  II, III dan IV
ANALISIS:-
Ayat 1: SALAH - sepatutnya Pesuruhjaya-pesuruhjaya
Ayat 2: BETUL
Ayat 3: BETUL
Ayat 4: BETUL

JAWAPAN: D

27.
I     Kita harus bertanggungjawab atas apa-apa yang kita lakukan.
II    Adik begitu lancar bila menyebut perkataan yang diucapkan oleh ibu.
III   Untuk mengatasi kesempitan wang, Amir melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat.
IV   Pihak sekolah berusaha meningkatkan tahap pelajaran khususnya yang lemah dalam akademik.

  • A  I dan II
  • B  I dan III
  • C  II dan IV
  • D  III dan IV
ANALISIS:-
Ayat 1: BETUL
Ayat 2: SALAH - bila sepatutnya digantikan dengan apabila
Ayat 3: BETUL
Ayat 4: SALAH - ayat tidak gramatis.

JAWAPAN: B

Thursday, 26 September 2013

MANCHESTER UTD 1 LIVERPOOL 0...!



ENGLAND CAPITAL ONE CUP 26/9/2013:-
  • MANCHESTER UNITED VS LIVERPOOL: 1 - 0
  • BIRMINGHAM VS SWANSEA: 3 - 1
  • NEWCASTLE UTD VS LEEDS: 2 - 0
  • TRANMERE VS STOKE CITY: 0 - 2
  • WEST BROM VS ARSENAL: 1 - 1

Wednesday, 25 September 2013

SOALAN PERIBAHASA PMR 2009...!


28. Hassan berbelanja dengan mengikut kemampuan dirinya. Dia tidak sedikit terpengaruh oleh orang lain.
      Sikap Hassan diibaratkan...
  • A ikut hati mati, ikut rasa binasa.
  • B ukur baju di badan sendiri.
  • C pipit sama pipit, enggang sama enggang.
  • D ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Jawapannya ialah B. 

29. Sarjan Harun berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta.
      Peribahasa yang paling sesuai untuk menggambarkan semangat yang ditunjukkan ialah....
  • A harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
  • B daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.
  • C alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
  • D biar berputih tulang, jangan berputih mata.
Jawapannya ialah D.

30. Peribahasa pucuk dicita ulam mendatang membawa maksud...
  • A mencapai sesuatu yang dihajati dengan mudah.
  • B mendapat sesuatu dengan tidak disangka-sangka.
  • C memperoleh sesuatu lebih daripada yang diharapkan.
  • D memiliki sesuatu tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Jawapannya ialah C.

Tuesday, 24 September 2013

SOALAN PMR 2009....!


Soalan 25 - 27
Pilih pasangan ayat yang betul.

25.
   I  Puan Zaharah memasukkan dua setengah gelas tepung ke dalam adunan itu.
  II  Beratus orang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat selepas kejadian ribut itu.
 III  Program Bacalah Sayang yang dianjurkan oleh belia di kampung itu melibatkan semua kanak-kanak.
  IV Datuk mewasiatkan separuh daripada bahagian sahamnya dalam syarikat itu didermakan.
  • A  I dan II
  • B  III dan IV
  • C  I, II, dan III
  • D  II, III, dan IV
ANALISIS:-
Ayat I    - SALAH kerana penggunaan kata bilangan, sepatutnya dua gelas setengah.
Ayat II   - SALAH kerana kesalahan penggunaan kata bilangan beratus, sepatutnya beratus-ratus.
Ayat III  - BETUL
Ayat IV  - BETUL

JAWAPAN: B iaitu ayat III dan IV  


Monday, 23 September 2013

ESEI: RENCANA MEMBANTERAS JENAYAH....!

Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama
Oleh : Azaman Bin Zakaria

"Warga emas dibunuh ... Utusan Malaysia
Guru maut ditembak berhampiran sekolah …. Berita Harian
Peniaga nasi kukus disamun….Kosmo"

Tajuk-tajuk akhbar di atas menggambarkan sekelumit daripada kes jenayah yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini. Kadar jenayah di Malaysia sama ada jenayah indeks atau jenayah jalanan menunjukkan senario yang membimbangkan ramai pihak. Menurut statistik daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun 2010, sebanyak 177,520 kes jenayah indeks dan 24,837 kes jenayah jalanan telah direkodkan di seluruh negara. Kes-kes seperti tembak, bunuh, samun bersenjata api, rompakan, rogol, mencuri dan sebagainya sering meniti di dada-dada akhbar tempatan. Masyarakat semakin bimbang akan situasi ini kerana jenayah yang berlaku bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan harta benda tetapi lebih menyedihkan lagi mangsa menemui ajal. Oleh hal itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan secara kolektif bagi menangani kejadian jenayah di negara kita agar masyarakat dapat hidup dengan selamat, aman dan tenteram.

Kerajaan memainkan peranan dominan dalam usaha mencegah jenayah di Malaysia. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggubal undang-undang berkaitan jenayah yang lebih ketat lagi bagi mengekang kejadian jenayah di negara kita. Undang-undang bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi (ISA) dan Akta Hasutan yang telah dimansuhkan oleh kerajaan sebelum ini perlu diganti dengan akta lain yang setaraf supaya kes-kes jenayah berat dapat ditangani dengan lebih berkesan. Usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan kedua-dua akta yang telah dibubarkan itu diharap mampu mengekang kejadian jenayah indeks dan jenayah jalanan. Akta ini perlu lebih tegas lagi supaya penjenayah lebih takut untuk melakukan jenayah. Kerajaan juga perlu komited melaksanakan inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah. Kadar jenayah di seluruh negara menyaksikan penurunan mendadak sejak inisiatif-inisiatif NKRA mengurangkan jenayah diperkenalkan oleh kerajaan. Statistik menunjukkan sepanjang tahun 2010, berlaku pengurangan sebanyak 5 peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus bagi jenayah jalanan di seluruh negara.  Langkah-langkah kerajaan melalui inisiatif NKRA seperti penambahan sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 50 kawasan panas di seluruh negara dan Program Bandar Selamat yang telah diaktifkan semula  menampakkan kesan yang agak ketara.  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kesungguhan beliau untuk memberi fokus kepada usaha membanteras kegiatan jenayah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan selamat. Menurut beliau lagi, kerajaan komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan berusaha memerangi penjenayah dalam Operasi Cantas Khas yang sedang beroperasi sekarang agar kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti PDRM tidak tergugat. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan merupakan pihak yang dominan dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.

Selain itu, masyarakat juga turut berperanan dalam usaha membanteras kejadian jenayah di negara kita. Masyarakat perlu peka akan keadaan persekitaran di kawasan kediaman mereka. Mereka perlu melaporkan segera kepada pihak polis jika mempunyai maklumat atau melihat kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman mereka. Masyarakat perlu mewujudkan hubungan yang erat dengan pasukan polis supaya usaha membanteras jenayah menjadi efektif. Masyarakat tidak boleh menyembunyikan maklumat tentang aktiviti jenayah yang berlaku di tempat mereka kerana hal ini akan menyebabkan pasukan polis tidak dapat membanteras jenayah dengan segera. Sebagai contoh, masyarakat boleh menyalurkan maklumat segera melalui sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menerusi talian POLISKN32728 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah. Penyaluran maklumat awal daripada masyarakat tentang aktiviti yang mencurigakan akan mampu memberi peluang dan ruang kepada pihak polis membanteras aktiviti jenayah dengan pantas sebelum berlaku. Masyarakat juga perlu menubuhkan Rukun Tetangga di kawasan kediaman mereka untuk mencegah jenayah daripada berlaku di kawasan kejiranan mereka. Penubuhan Rukun Tetangga ini membolehkan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) dapat dilakukan pada waktu malam mengikut giliran. Masyarakat akan meronda kawasan kejiranan untuk memastikan keadaan selamat. Rondaan ini bukan sahaja mampu mencegah kejadian jenayah tetapi juga secara tidak langsung hubungan antara masyarakat juga menjadi rapat dan mesra ibarat sambil menyelam minum air. Peranan masyarakat ini juga turut dikongsi oleh Tan Sri Lee Lam Thye merangkap Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang menyatakan bahawa masyarakat merupakan ejen membanteras jenayah yang efektif selain pihak polis. Beliau menyeru supaya masyarakat memainkan peranan mereka dengan membantu pihak polis mencegah jenayah. Hubungan yang erat antara komuniti dengan pihak polis mampu menangani jenayah jalanan seperti ragut, samun, curi dan sebagainya. Jadi, jelas menunjukkan bahawa masyarakat harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.

Pihak swasta dan NGO mempunyai tanggungjawab tertentu dalam usaha membanteras kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi di negara kita dewasa ini. Sebagai contoh, pihak swasta yang memiliki kemampuan yang lebih dari segi kewangan boleh bertindak sebagai ejen-ejen yang menaja dana kewangan kepada program antijenayah yang dianjurkan. Sesetengah agensi swasta yang berkecimpung dalam bidang keselamatan juga boleh menyumbangkan kepakaran dan peralatan yang dimilki dalam usaha membanteras kegiatan jenayah terutamanya di lokasi-lokasi berisiko tinggi. Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO juga boleh menjalankan peranan membanteras jenayah dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan kempen-kempen kesedaran tentang bahaya jenayah dan langkah-langkah menjauhinya. NGO yang terlibat dengan seni pertahanan diri seperti judo, silat dan seumpamanya bolehlah menambahkan ahli-ahli masing-masing agar kemahiran seni pertahanan diri ini dapat dijadikan alat bagi menangkis kejadian jenayah yang mungkin berlaku. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Sila sambung dengan mengemukakan idea-idea yang lebih bernas. 



MU KALAH TERUK 1 - 4...!


ENGLAND PREMIER LEAGUE 22/9/2013:-
  • ARSENAL VS STOKE CITY: 3 - 1
  • CRYSTAL PALACE VS SWANSEA: 0 - 2
  • CARDIFF VS TOTTENHAM: 0 - 1
  • MANCHESTER CITY VS MANCHESTER UNITED: 4 - 1
  • CHELSEA VS FULHAM: 2 - 0

Sunday, 22 September 2013

KATA BANTU...!


  • Kata bantu digunakan untuk menerangkan kata kerja.
  • Ditulis sebelum kata kerja.
  • Terbahagi kepada DUA jenis:-
  1. Kata bantu aspek
  2. Kata bantu ragam
Kata Bantu Aspek
  • Menjelaskan sesuatu perbuatan dari segi masa.
  • Antara kata bantu aspek ialah:-
  1. sudah 
  2. telah 
  3. pernah
  4. masih
  5. sedang
  6. akan
  7. belum
Kata Bantu Ragam
  • Menjelaskan sesuatu perbuatan dari segi perasaan atau ragam.
  • Antara kata bantu ragam ialah:-
  1. mesti
  2. harus
  3. dapat
  4. mampu
  5. boleh
  • Kata bantu aspek boleh juga digabungkan dengan kata bantu ragam dalam satu-satu ayat.
  • Antara contohnya:-
  1. sedang hendak
  2. belum boleh
  3. akan dapat
  4. masih belum
  5. harus sudah
  6. harus telah
  7. mesti akan
  8. mesti telah

KELANTAN MENANG BESAR...!

Kelantan menang besar ke atas Pahang, manakala Terengganu seri dengan Negeri Sembilan. Johor DT pula dimalukan di halaman sendiri apabila tewas kepada PKNS FC.
KEPUTUSAN PIALA MALAYSIA 21/9/2013:-
  • KELANTAN VS PAHANG: 4 - 0
  • SIME DARBY VS ATM: 1 - 1
  • JOHOR DT VS PKNS FC: 0 - 2
  • KEDAH VS LIONSXII: 1 - 3
  • NEGERI 9 VS TERENGGANU: 2 - 2
  • SARAWAK FA VS PERAK: 6 - 1
  • SELANGOR VS JOHOR FA: 2 - 1
  • T-TEAM VS FELDA UTD: 2 - 1

Saturday, 21 September 2013

KATA PEMERI DAN KATA NAFI...!

Kata pemeri iaitu ialah dan adalah tidak boleh digunakan bersama-sama dengan kata nafi iaitu bukan dan tidak.
Contoh ayat:-
  • Orang muda itu adalah/ialah bukan abang saya. (salah)
  • Orang muda itu bukan abang saya. (betul)
  • Tohmahan itu adalah tidak benar. (salah)
  • Tohmahan itu tidak benar. (betul)

MEMPERHAMBA / MEMPERHAMBAKAN....!

Terdapat TIGA perkataan iaitu 'hamba', 'isteri' dan 'suami' yang sering ditanya dalam peperiksaan PMR iaitu dari segi makna dan penggunaannya apabila perkataan-perkataan tersebut menerima imbuhan mempeR- dan mempeR-...-kan. Jika perkara sedemikian diambil mudah, pasti kita akan melakukan kesilapan. Sila analisis maksud perkataan yang telah diimbuhkan di bawah:-
  • memperhamba = melakukan diri seseorang seperti hamba (menjadikan orang lain seperti hamba)
  • memperhambakan = menjadikan diri kita seperti hamba
  • memperisteri = menjadi seseorang perempuan itu isteri kita (mengahwini)
  • memperisterikan = memberikan isteri kepada seseorang (mengahwinkan)
  • mempersuami = menjadikan seseorang lelaki itu suami kita (mengahwini)
  • mempersuamikan = menjadikan/memberikan seseorang itu bersuami (mengahwinkan)
Contoh ayat:-
  1. Wanita itu memperhamba ibunya sendiri.
  2. Kita hendaklah memperhambakan diri kepada Allah.
  3. Cikgu memperisteri bekas anak murid perempuannya sendiri.
  4. Pak Ali memperisterikan anak lelakinya dengan gadis desa.
  5. Usahawan wanita itu mempersuami pemandunya sendiri.
  6. Pak Samad mempersuamikan anak perempuannya dengan guru itu.

IMBUHAN APITAN beR-...-an...!

Burung berterbangan....
Penggunaan apitan beR-...-an menghasilkan bentuk kata kerja terbitan yang membawa maksud perbuatan yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak. Maka kata nama TIDAK boleh digandakan lagi. Lihat contoh penggunaan apitan tersebut dalam ayat-ayat di bawah:-
  1. Lampu merah bergantungan di dinding. (Bukannya Lampu-lampu)
  2. Bendera warna-warni berkibaran di sepanjang jalan. (Bukannya Bendera-bendera)
  3. Bintang bertaburan di langit. (Bukannya Bintang-bintang)
  4. Burung layang-layang berterbangan di angkasa. (Bukannya Burung-burung)
  5. Daun kering berguguran di halaman rumah. (Bukannya Daun-daun)
  6. Kanak-kanak berkejaran di padang sekolah. (Bukannya Banyak kanak-kanak)
(m.s 201: Tatabahasa Dewan Edisi Ke-3)

Kita tidak perlu lagi menggandakan kata nama seperti lampu, bendera, bintang, burung layang-layang, daun dalam ayat-ayat di atas kerana kata kerja yang berapitan beR-...-an telah membawa maksud jumlah subjek yang banyak.
Begitu juga dengan kanak-kanak dalam ayat ke-6 di atas, kata ganda tersebut memang tidak boleh digandakan lagi dan apabila menambah perkataan 'banyak', 'semua', 'kebanyakan' dan lain-lain yang membawa maksud banyak, maka ayat tersebut menjadi TIDAK gramatis.

PERCUBAAN PMR MRSM 2013...!


Soalan 18 - 21
MENGESAN KESALAHAN FRASA BERGARIS

18. Pegawai Daerah itu sedang berucap di hadapan segelintir orang penduduk kampung .............
  • A segelintir penduduk-penduduk kampung
  • B segelintir penduduk kampung
  • C segelintir penduduk kampung-kampung
  • D segelintir orang penduduk kampung
* Frasa segelintir orang penduduk kampung adalah SALAH kerana kata segelintir ialah kata bilangan tak tentu yang TIDAK memerlukan penjodoh bilangan. Jawapan yang paling tepat untuk soalan 18 ialah B.

19. Aktiviti melukis memang menjadi kegemaran saya sejak daripada zaman kanak-kanak lagi.
  • A kegemaran saya sejak dari
  • B kegemaran saya semenjak dari
  • C kegemaran saya sejak
  • D kegemaran saya sejak daripada
* Frasa bergaris soalan di atas adalah SALAH. Kesalahan ini berpunca daripada penggunaan kata sendi nama 'sejak' dan 'daripada' digunakan secara berturutan. Contoh kesalahan lain adalah seperti oleh kerana, demi untuk, selain daripada, dan lain-lain. Jawapan untuk soalan di atas ialah C.

20. Majalah usahawan melaporkan bahawa fabrik batik pembuatan Malaysia ............
  • A fabrik batik buatan Malaysia
  • B fabrik batik dibuat Malaysia
  • C fabrik batik diperbuat Malaysia
  • D fabrik batik pembuatan Malaysia
* Frasa bergaris dalam ayat di atas tidak gramatis. Kesilapannya berpunca daripada penggunaan perkataan 'pembuatan' sepatutnya dituis buatan. Jawapan untuk soalan 20 ialah A.

21. Atlet dari Kenya sangat pantas berlari menuju ke garisan penamat dalam acara maraton.
  • A sangat lancar berlari
  • B terlalu gagah berlari
  • C cergas sekali berlari
  • D sangat pantas berlari
* Frasa bergaris untuk soalan di atas adalah BETUL dan pilihan jawapan sepatutnya ialah D.

Friday, 20 September 2013

BENGKEL BM DI DARUL ULUM...!

Mohamad Azemi Zawawi
Pagi ini jam 10.30, cikgu akan bersama-sama dengan pelajar SMU Darul Ulum dan pelajar 3 Lambda dalam bengkel bahasa Melayu PMR. Bengkel bahasa yang akan berlangsung di sekolah tersebut merupakan program anak angkat yang diseliakan oleh Cikgu Arif Padilah, Guru Cemerlang Geografi, SMS. Tengku Muhammad Faris Petra. Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu juga merupakan khidmat bakti pihak sekolah kepada sekolah-sekolah terpilih.
Dalam bengkel itu nanti, aspek yang akan diberikan penekanan ialah topik-topik tatabahasa yang sering ditanyakan dalam peperiksaan melalui latih tubi serta teknik penyelesaian masalah.

Jumpa di sana.

Thursday, 19 September 2013

ESEI: FAKTOR PENGANGGURAN SISWAZAH...!


PENDAHULUAN:-
  • Bilangan siswazah kian bertambah dari setahun ke setahun.
  • Fenomena ini secara langsung melambangkan kesedaran rakyat negara kita tentang pendidikan semakin tinggi.
  • Meskipun begitu, keseronokan siswazah menggenggam segulung ijazah tidak berpanjangan kerana kegusaran terus bersarang dalam jiwa mereka yang belum mendapat sebarang pekerjaan.
  • Pelbagai faktor yang menyebabkan sesetengah siswazah terpaksa menganggur dan sentiasa tersisih dalam merebut peluang pekerjaan.
IDEA-IDEA PENTING:-
  • Siswazah terlalu memilih pekerjaan walaupun pekerjaan yang ditawarkan adalah terhad.
  • Suasana kerja dan persekitaran yang kurang selesa juga mendorong siswazah menunggu peluang pekerjaan yang sesuai.
  • Siswazah yang menganggur menyifatkan kursus pengajian yang ditawarkan IPTA dan IPTS kurang profesional dan tidak memenuhi prospek pasaran kerja semasa.
  • Mereka juga menyalahkan pihak IPT kerana tidak memberikan perincian tentang masa depan lulusan sesuatu kursus yang ditawarkan.
  • Kebanyakan siswazah meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.
  • Keputusan peperiksaan yang diperoleh oleh siswazah kurang menonjol di samping tahap keupayaan berkomunikasi yang lemah dalam kalangan siswazah.
  • Pertambahan siswazah di pasaran kerja yang mendadak menyebabkan peluang kerja semakin sempit.
  • Ketiadaan latihan persediaan pekerjaan menyebabkan timbulnya masalah pengangguran kerana firma, syarikat akan lebih cenderung memilih siswazah yang mempunyai pengalaman.
  • Siswazah tidak mahu menceburi bidang kerja seperti usahawan, pertanian kerana mereka lebih berminat 'makan gaji'.
  • Perkembangan ekonomi negara yang lembab menyebabkan pertumbuhan kilang perusahaan, pusat perniagaan dan segala kegiatan ekonomi menjadi terbatas menyebabkan peluang kerja semakin terhad.
  • Dasar kerajaan yang memanjangkan tempoh persaraan wajib kakitangan awam kepada 60 tahun menyebabkan peluang kerja untuk siswazah muda terjejas.
  • Kecenderungan siswazah yang hanya memilih kerjaya tertentu menyebabkan berlaku persaingan sengit untuk merebut pekerjaan tersebut sedangkan  kerjaya yang tidak menjadi pilihan menghadapi masalah kekurangan pekerja.
  • Dasar pengurangan pekerja oleh sesebuah syarikat atau firma yang menghadapi masalah kewangan.
  • Penggunaan peralatan berteknologi tinggi dalam pelbagai sektor perindustrian dan pengurusan menyebabkan penggunaan tenaga manusia yang semakin kurang.
  • Langkah berjimat cermat oleh pihak agensi kerajaan dan swasta.
PENUTUP:-
  • Usaha yang berkesan wajar dilaksanakan agar fenomena ini tidak berterusan.
  • Pelaksanaan Dasar Industriliasasi Pertanian merupakan langkah signifikan untuk mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.
  • Pihak kerajaan juga berusaha menarik minat siswazah supaya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, yakni industri kecil dan sederhana serta industri pembuatan yang berasaskan produk pertanian.
  • Langkah kerajaan memberikan bimbingan dan latihan Program Usahawan Muda mampu melahirkan usahawan dalam kalangan siswazah.

Wednesday, 18 September 2013

PANTUN LAPAN KERAT...!

PANTUN LAPAN KERAT
Harun Mat Piah (Penyelenggara)

PANTUN
MAKSUD
Buat bangsal di tengah hutan,
        Tebaslah hutan buat halaman,
                 Di tepi halaman menanam kubis,
                          Diselang dengan pokok papaya;
Biarlah sabar dengan perlahan,
        Itulah tanda tuan beriman,
                Tidak patah digoncang iblis,
                          Akhirnya tuan menang berjaya.

Orang yang beriman mempunyai sifat sabar dalam diri yang dapat mencegah  daripada dihasut oleh iblis dan akhirnya akan berjaya dalam hidup.
Ikan teluk parang-parang,
       Anak ketam disangka lelabi,
                Berburu musim tengkujuh,
                          Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
       Cucu Adam sepaian nabi,
                Turun dari langit ketujuh,
                          Jadi khalifah kepada Allah.

Manusia bukan sebarang makhluk kerana ia adalah daripada keturunan nabi Adam yang diturunkan daripada langit ketujuh untuk menjadi pemimpin dibumi Allah.
Lengkang-lengkung apa dipaku,
        Paku jatuh patah dua,
                Menjadi riuh orang di darat,
                         Anak Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
        Kerana lalai rosak binasa,
               Kebudayaan Timur dinodai Barat,
                         Bahasa ibunda hina terbiar.

Bumi yang diwarisi daripada nenek moyang akan musnah jika kita leka. Budaya Timur akan lenyap apabila dipengaruhi oleh budaya Barat sehingga bahasa ibunda terpinggir di bumi sendiri.

KLATE MENANG DI GANU...!


PIALA MALAYSIA 17/9/2013:-
  • TERENGGANU VS KELANTAN: 1 - 3
  • ATM VS SELANGOR: 1 - 1
  • FELDA UTD VS JOHOR FA: 2 - 5
  • JOHOR DT VS SIME DARBY: 2 - 2
  • PAHANG VS N.SEMBILAN: 3 - 0
  • PERAK VS KEDAH: 0 - 1
  • PKNS FC VS T-TEAM: 5 - 0

Tuesday, 17 September 2013

HAMPIR SAMA MAKNA...!


  • BASI
  1. basi = makanan yang sudah rosak akibat tercemar
  2. busuk = buruk atau rosak dan mengeluarkan bau yang tidak enak
  3. hangit = makanan yang dimasak terlalu lama hingga hangus
  4. tengik = sejenis bau seperti bau minyak yang sudah lama
  • BEKU
  1. beku = keras atau kental kerana sejuk (cecair)
  2. kaku = tidak bergerak, tidak dapat dilenturkan
  3. kejur = keras dan kaku (mayat, tubuh)
  4. tegang = keras dan liat (urat, otot-otot)
  • EMPUK
  1. empuk = lembut dan mudah dikunyah (makanan, kerusi)
  2. lemau = tidak garing kerana dimasuki angin (biskut)
  3. lembik = tidak keras
  4. lembut = mudah dilentur, lembik
  • MUNCUL
  1. muncul = keluar dengan tiba-tiba
  2. tampil = datang ke depan
  3. terbit = keluar dari tempat terlindung (matahari, bulan)
  4. timbul = keluar atau naik ke atas dari dalam air
  • MENCOLOK
  1. mencolok = menimbulkan rasa meluat, benci (kelakuan, pakaian)
  2. mencucuk = menikam dengan benda tajam
  3. menjolok = merodok sesuatu dengan galah
  4. merodok = menikam sesuatu ke depan dan ke atas dengan senjata tajam 
  • MENATANG
  1. menatang = membawa sesuatu di atas tapak tangan
  2. mengelek = mengepit sesuatu di rusuk atau di bawah ketiak
  3. menjinjing = membawa sesuatu dengan hujung jari
  4. menjunjung = membawa sesuatu di atas kepala
  5. memikul = membawa sesuatu di atas bahu atau belakang
  6. mengandar = membawa sesuatu dengan sebatang kayu yang diletakkan di atas bahu
  • MEMANGKAS
  1. memangkas = memotong hujung tumbuhan, rambut dengan gunting
  2. mencencang = memotong sesuatu halus-halus (daging)
  3. menghiris = mengerat nipis-nipis (bawang)
  4. mengerat = memotong sesuatu, memenggal
  5. mencantas = memotong hujung dahan agar pendek
  • MEMAGUT
  1. memagut = menggigit (ular), memakan (lembu)
  2. menggerit = menggigit (tikus, arnab, tupai)
  3. mengunyah = melumat makanan di dalam mulut
  4. melulur = menelan bulat-bulat (ular)
  5. meneguk = menelan benda cair
  • TERJELEPOK
  1. terjelepok = jatuh terduduk, tersepuk
  2. terperosok = jatuh ke dalam lubang, terperlus
  3. tersungkur = jatuh ke depan serta muka terkena tanah, tersembam
  4. terjunam = jatuh kepala dahulu
  • BOLAK-BALIK
  1. bolak-balik = pulang dan pergi lagi di stesen yang sama
  2. lalu lalang = keluar masuk, banyak kali lalu
  3. mundar-mandir = berjalan pergi balik, ulang alik
  4. pindah-randah = selalu bertukar tempat
  • MEMILIN
  1. memilin = memintal tali
  2. menganyam = mengatur dan menyusun sesuatu supaya bersilang-silang
  3. menenun = membuat kain daripada benang
  4. menyulam = menjahit perhiasan pada kain

INSENTIF - INISIATIF...!


Fenomena aneh...
LATIHAN BINA AYAT:-
Binalah ayat dengan menggunakan pasangan perkataan di bawah tanpa menambah atau mengubahkan perkataan-perkataan tersebut.
  1. boleh    -    dapat
  2. jarang    -    jarang-jarang
  3. menemukan    -    menemui
  4. menghadiahi    -    menghadiahkan
  5. insentif    -    inisiatif
  6. fenomena    -    rasional
  • boleh (kebenaran/keizinan) - Saya boleh balik ke rumah awal pada hari ini kerana demam.    
  • dapat (kemampuan/kebolehan) - Saya dapat menjawab soalan Matematik itu dengan pantas.
  • jarang (renggang/tidak rapat) - Rambut saya semakin jarang.
  • jarang-jarang (tidak kerap) - Dia jarang-jarang balik ke kampung setelah berpindah ke bandar.
  • menemukan (terjumpa sesuatu) - Saya menemukan beberapa keping wang kertas lama di bilik itu.
  • menemui (menziarahi/mengunjungi) - Saya pergi menemui Pengetua di pejabatnya.
  • menghadiahi (KKT > objek orang) - Saya menghadiahi kakak seutas jam tangan.
  • menghadiahkan (KKT > objek benda) - Saya menghadiahkan seutas jam tangan kepada kakak.
  • insentif (galakan/dorongan) - Mereka mendapat insentif berbentuk wang atas kejayaan mereka.
  • inisiatif (usaha/cara) - Pelbagai inisiatif telah diambil untuk membendung masalah disiplin pelajar.
  • fenomena (keadaan/suasana) - Fenomena berjerebu berpunca daripada pembakaran terbuka.
  • rasional (waras/matang) - Kita mestilah berfikiran rasional apabila berhadapan dengan kesulitan.

Monday, 16 September 2013

BIDALAN...!

Bidalan ialah jenis peribahasa yang mempunyai susunan kata yang telah umum digunakan. Dalamnya terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran. Contoh bidalan ialah:-
  • ada gula ada semut = tempat banyak rezeki mesti jadi tumpuan
  • air ditetak tidak akan putus = pergaduhan adik-beradik tidak akan berpanjangan
  • berjalan sampai ke batas, berlayar sampai ke pulau = sesuatu pekerjaan hendaklah dikerjakan hingga selesai
  • belum duduk sudah berlunjur = belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira
  • biar genting, jangan putus = lebih baik rugi sedikit daripada rugi besar
  • bangkai gajah tidak dapat ditudung dengan nyiru = kesalahan besar tidak dapat disembunyikan
  • dengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan = mengharapkan keuntungan besar yang belum pasti, untung sedikit dilepaskan
  • jauhari juga yang mengenal manikam = hanya orang yang bijak sahaja yang mengetahui kelebihan ilmu
  • lemak manis santan berlada = kata-kata yang manis tetapi penuh dengan sindiran
  • pukul anak sindir menantu = mengata-ngata orang tetapi sebenarnya kata-kata itu dituju kepada orang lain
  • seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit = seorang yang membuat silap, habis orang lain turut menerima kesan buruk
  • mengajar itik berenang = mengajar orang yang sudah pandai ialah perbuatan yang sia-sia 

KEMBALI KE TANAH AIR...!

Salam sejahtera,
Sesudah hampir seminggu berada di Yogyakarta dan Bandung, kini cikgu telah berada di bumi Kota Bharu. Syukur Alhamdulillah kerana diberikan keselamatan serta kesejahteraan semasa berkunjung ke negara orang. Satu perkara penting yang mahu cikgu kongsikan bersama dengan pembaca sekalian ialah betapa rakyat Indonesia begitu memartabatkan bahasa mereka sehinggakan bukan sahaja bahasa Indonesia menjadi bahasa pertuturan sebahagian besar rakyatnya, malah bahasa Indonesia juga digunakan sepenuhnya dalam majlis-majlis rasmi. 
Ketika cikgu dan rombongan mengadakan kunjungan rasmi ke SMA De Brito Yogyakarta, salah sebuah sekolah swasta seliaan mubaligh Kristian, kami diberikan taklimat oleh Kepala Bahagian Hal-ehwal Pelajar menggunakan bahasa Indonesia dengan fasih sekali, walaupun beliau seorang Kristian berbangsa Cina.  
Renung-renungkan pula di negara kita....
Stesen kereta api Yogyakarta....

Kenangan di Tangkuban Parahu, Bandung, Jawa Barat.



Thursday, 12 September 2013

SALAM DARI YOGYAKARTA...!



Yogyakarta, Indonesia
Salam sejahtera kepada pembaca setia sekalian,

Telah beberapa hari cikgu tidak mengemaskinikan blog SISI BAHASAKU, terasa juga rindu akan perkongsian ilmu yang selalu dilakukan. Hal ini kerana cikgu kini berada di Yogyakarta kerana mengikuti rombongan Program Pengantarabangsaan Etos Hoki dan Matematik, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra ke Yogyakarta dan juga Bandung, Indonesia. Cikgu akan pulang ke tanah air pada 16 September 2013. Atur cara kunjungan rasmi dan kunjungan ke beberapa lokasi menarik di sini membuatkan cikgu tiada peluang untuk mengeposkan topik-topik baharu diskusi tentang isu-isu bahasa Melayu buat tatapan para pembaca sekalian.

Harap maklum dan ketemu lagi...

Monday, 9 September 2013

ESEI: FAKTOR PEMBUANGAN BAYI...!

PENDAHULUAN:
  • Mutakhir ini kejadian pembuangan bayi di negara kita begitu menular dan amat membimbangkan.
  • Hal ini menunjukkan betapa negara kita semakin dilanda oleh gejala kebejatan sosial yang sukar dibendung.
  • Pelbagai faktor yang menyebabkan kes ini semakin menular dalam kalangan remaja.
  • Seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
IDEA-IDEA PENTING: (Faktor kes pembuangan bayi semakin menular)
  1. Pegangan agama yang semakin rapuh dalam kalangan remaja. Mereka mudah tercebur kepada perbuatan mungkar kerana cetek ilmu agama.
  2. Pengaruh negatif yang tersebar luas dalam kalangan remaja. Perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang lebih membawa keburukan jika tidak dipantau.
  3. Kurangnya kawalan oleh ibu bapa kerana terlalu sibuk dengan urusan mencari nafkah dan kekayaan dunia. Anak dibiarkan bebas tanpa sedikit pun kawalan.
  4. Langkah penguatkuasaan yang lemah oleh pihak bertanggungjawab membuka peluang yang lebih kepada remaja yang hidup tanpa pegangan dan hala tuju yang jelas.
  5. Pengaruh rakan sebaya dan masyarakat sekeliling yang tempang amat dominan dalam mempengaruhi tingkah laku para remaja.
  6. Kurang kesedaran dalam diri remaja itu sendiri menyebabkan mereka mudah bertindak mengikut nafsu dan perasaan.
  7. Pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tanpa had dan batasan mudah menarik mereka melakukan seks haram.
  8. Anggota masyarakat dan jiran yang mengambil sikap ‘seperti enau di dalam belukar’ menyebabkan kes pembuangan bayi sukar dibanteras.
  9. Sistem pendidikan yang terlalu mengutamakan akademik juga menjadi pemangkin meningkatnya kes pembuangan bayi.
  10. Pengaruh negatif daripada media massa.
  11. Fesyen yang mencolok mata serta mendedahkan aurat semakin menjadi pilihan masyarakat.
  12. Meningkatkan populasi remaja dan belia di bandar-bandar besar kerana menuntut ilmu ataupun mencari pekerjaan.
  13. Semakin ramai remaja dan belia tinggal berjauhan dari keluarga.
  14. Keruntuhan institusi keluarga akibat perceraian menyebabkan remaja mencari haluan sendiri.
  15. Ibu bapa gagal menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana kebanyakan mereka juga cetek dan jahil agama.
  16. Sikap para remaja yang suka berfoya-foya ketika umur masih muda. 
PENUTUP:
  • Pelbagai faktor yang sama-sama membantu meningkatkan kes pembuangan bayi.
  • Semua pihak perlu berganding bahu secara bersungguh-sungguh untuk membanteras gejala sesat ini.
  • Remaja mestilah sedar bahawa perbuatan membuang bayi ialah perlakuan keji yang amat dilarang oleh agama.

SEPERTI...!


  • Seperti aur ditarik songsang = pekerjaan yang sangat sukar akibat tersalah cara.
  • Seperti embun di hujung rumput = tidak kekal/jangka masa yang pendek
  • Seperti gembala diberi keris = orang yang mendapat sesuatu yang tidak berguna
  • Seperti air dalam dulang = negeri yang aman damai
  • Seperti bulan kesiangan = pucat
  • Seperti burung gagak pulang ke benua = jauh berjalan tapi ilmu tidak bertambah
  • Seperti hujan jatuh ke pasir = nasihat yang tidak dihargai
  • Seperti gading dilarik = wajah yang cantik
  • Seperti gajah masuk kampung = bertindak ikut suka hati
  • Seperti air digenggam tak tiris = kedekut
  • Seperti anjing berebut tulang = tamak
  • Seperti Belanda meminta tanah = diberi sedikit hendak banyak
  • Seperti membungkus api = menyimpan rahsia yang lambat laun diketahui juga
  • Seperti ayam berak kapur = pucat kerana lama sakit

CIRI ESEI CEMERLANG...!

Bagi Bahasa Melayu Kertas 1 (1103/1) Sijil Pelajaran Malaysia, dua soalan mesti dijawab oleh setiap calon. Markah penuhnya adalah 130 ( 100 markah – Karangan Respons Terbuka, 30 markah untuk karangan berdasarkan bahan rangsangan ).
CIRI ESEI CEMERLANG RESPONS TERBUKA
CEMERLANG ( 80 – 100 markah )
  • Idea yang relevan mengikut tugasan, dihuraikan dengan jelas dan MATANG, disertakan dengan contoh yang sesuai.
  • Penggunaan pelbagai jenis kata yang luas dan tepat.
  • Penggunaan KOSA KATA LUAS dan tepat.
  • Ejaan dan tanda baca yang betul.
  • Penggunaan pelbagai jenis ayat yang gramatis ( ayat penyata, tanya, seru dan perintah )
  • Laras bahasa yang sesuai dengan tugasan.
  • Penggunaan unsur bahasa yang bervariasi.
  • Gaya bahasa menarik dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan seperti peribahasa, pantun, cogan kata.
  • Pengolahan menarik dan berkesan serta pemerengganan yang sesuai.
  • Wacana lengkap dan terdapat kesinambungan idea yang jelas antara perenggan.
  • Setiap perenggan isi perlu diselitkan dengan penegasan/kesimpulan kecil.

Sunday, 8 September 2013

MELESTARIKAN...!

Perkataan 'lestari' berasal daripada perkataan pinjaman dari Indonesia. Perkataan ini agak produktif dan kerap digunakan oleh pengguna bahasa Melayu, namun kadangkala penggunaannya tidak begitu tepat dengan fungsi dan maknanya. Makna 'lestari' merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah;-
  • lestari = tidak berubah-ubah, kekal, tetap.
  • melestarikan = menetapkan, mengekalkan; contoh mengekalkan hutan.
  • kelestarian = keadaan ( hutan, persekitaran dll ) yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal, asli, keaslian.
  • pelestarian = perlindungan daripada kemusnahan.
Contoh penggunaan dalam ayat:-
  1. Keadaan hutan paya bakau itu masih kekal lestari sungguhpun kawasan yang berhampiran telah dimajukan.
  2. Usaha-usaha melestarikan sumber kekayaan hutan sering disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai antipembangunan.
  3. Kelestarian hutan hujan tropika tertua telah berjaya menarik jumlah pelancong asing yang ramai ke Malaysia.
  4. Pelestarian hutan semula jadi dapat mengelakkan flora dan fauna daripada masalah kepupusan. 

PROMOSI III