ESEI: BAGAIMANA CARA MENGHORMATI GURU....!

Tajuk karangan seperti di atas terasa penting pula, lebih-lebih lagi apabila semakin dekat dengan tarikh PMR. Cikgu berasakan tajuk sebegini amat baik untuk pelajar-pelajar kuasai, manalah tahu, kalau-kalau keluar nanti...?

Soalan:-
Guru merupakan individu yang banyak berjasa kepada pelajar-pelajar. Kerana merekalah, pelajar-pelajar mencapai pelbagai kejayaan sama ada masa kini mahupun pada masa hadapan. Sebagai seorang pelajar yang prihatin, bagaimanakan cara anda menghormati guru-guru anda?

Tema: Guru
Kehendak soalan/tugasan: Cara-cara menghormati guru

PENDAHULUAN:-
Kerjaya seseorang yang bergelar guru atau cikgu amat mulia di sisi masyarakat. Peranan dan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka adalah amat berat dan mencabar demi melahirkan generasi manusia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) selaras dengan falsafah pendidikan negara. Guru ialah pelita yang mampu menerangi hidup pelajar-pelajarnya. Guru juga ibarat lilin, yang sanggup menerangi kehidupan pelajar-pelajarnya walaupun dirinya sendiri kadang-kadang terbakar. Begitulah jasa dan pengorbanan seseorang guru, sehinggakan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, betapa besar sumbangannya kepada semua.
Sebagai seorang pelajar yang tahu berterima kasih dan tahu menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru, sudah semestinya kita menghormati guru-guru dan sentiasa menjaga hati dan perasaannya. Pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh pelajar sebagai tanda kita menghormati guru-guru kita.

IDEA-IDEA PENTING:-
  • Kita hendaklah sentiasa mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru.
  • Ketika proses pembelajaran dan pengajaran, kita mestilah memberikan sepenuh perhatian tentang pelajaran yang diajar.
  • Ketika bertemu dengan guru, kita mestilah memberi salam secara ikhlas.
  • Kita seharusnya ringan tangan untuk membantu guru-guru yang memerlukan bantuan, seperti menolong mereka membawa buku, peralatan mengajar, beg dan sebagainya.
  • Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh agar dapat menguasai ilmu yang disampaikan oleh guru-guru dan seterusnya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.
  • Sebagai pelajar yang amat menghormati guru, kita hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang di sekolah kita.
  • Kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan guru-guru.
  • Kita hendaklah sentiasa menyokong segala program dan aktiviti sekolah agar berjalan dengan lancar.
  • Kita hendaklah mengelakkan sifat buruk sangka terhadap guru-guru dan sentiasa menjaga nama baik guru walau di mana-mana kita berada.
  • Menziarahi mereka jika mereka sakit.
  • Kita mestilah menyiapkan tugasan yang diberikan tanpa banyak kerenah.
  • Memberikan hadiah kepada guru contohnya sempena hari jadi, ulang tahun perkahwinan dll.
  • Bercakap dengan suara perlahan dan penuh sopan santun ketika bersama dengan guru.
PENUTUP:-
  • Kesimpulannya pelbagai cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda kita menghormati guru-guru yang telah banyak berjasa kepada kita.
  • Tanpa seorang guru, siapalah kita sekarang?
  • Sebagai pelajar yang prihatin, kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita dengan sebaik mungkin. 

Comments

Popular Posts