ESEI: RENCANA MEMBANTERAS JENAYAH....!

Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama
Oleh : Azaman Bin Zakaria

"Warga emas dibunuh ... Utusan Malaysia
Guru maut ditembak berhampiran sekolah …. Berita Harian
Peniaga nasi kukus disamun….Kosmo"

Tajuk-tajuk akhbar di atas menggambarkan sekelumit daripada kes jenayah yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini. Kadar jenayah di Malaysia sama ada jenayah indeks atau jenayah jalanan menunjukkan senario yang membimbangkan ramai pihak. Menurut statistik daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun 2010, sebanyak 177,520 kes jenayah indeks dan 24,837 kes jenayah jalanan telah direkodkan di seluruh negara. Kes-kes seperti tembak, bunuh, samun bersenjata api, rompakan, rogol, mencuri dan sebagainya sering meniti di dada-dada akhbar tempatan. Masyarakat semakin bimbang akan situasi ini kerana jenayah yang berlaku bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan harta benda tetapi lebih menyedihkan lagi mangsa menemui ajal. Oleh hal itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan secara kolektif bagi menangani kejadian jenayah di negara kita agar masyarakat dapat hidup dengan selamat, aman dan tenteram.

Kerajaan memainkan peranan dominan dalam usaha mencegah jenayah di Malaysia. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggubal undang-undang berkaitan jenayah yang lebih ketat lagi bagi mengekang kejadian jenayah di negara kita. Undang-undang bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi (ISA) dan Akta Hasutan yang telah dimansuhkan oleh kerajaan sebelum ini perlu diganti dengan akta lain yang setaraf supaya kes-kes jenayah berat dapat ditangani dengan lebih berkesan. Usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan kedua-dua akta yang telah dibubarkan itu diharap mampu mengekang kejadian jenayah indeks dan jenayah jalanan. Akta ini perlu lebih tegas lagi supaya penjenayah lebih takut untuk melakukan jenayah. Kerajaan juga perlu komited melaksanakan inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah. Kadar jenayah di seluruh negara menyaksikan penurunan mendadak sejak inisiatif-inisiatif NKRA mengurangkan jenayah diperkenalkan oleh kerajaan. Statistik menunjukkan sepanjang tahun 2010, berlaku pengurangan sebanyak 5 peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus bagi jenayah jalanan di seluruh negara.  Langkah-langkah kerajaan melalui inisiatif NKRA seperti penambahan sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 50 kawasan panas di seluruh negara dan Program Bandar Selamat yang telah diaktifkan semula  menampakkan kesan yang agak ketara.  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kesungguhan beliau untuk memberi fokus kepada usaha membanteras kegiatan jenayah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan selamat. Menurut beliau lagi, kerajaan komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan berusaha memerangi penjenayah dalam Operasi Cantas Khas yang sedang beroperasi sekarang agar kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti PDRM tidak tergugat. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan merupakan pihak yang dominan dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.

Selain itu, masyarakat juga turut berperanan dalam usaha membanteras kejadian jenayah di negara kita. Masyarakat perlu peka akan keadaan persekitaran di kawasan kediaman mereka. Mereka perlu melaporkan segera kepada pihak polis jika mempunyai maklumat atau melihat kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman mereka. Masyarakat perlu mewujudkan hubungan yang erat dengan pasukan polis supaya usaha membanteras jenayah menjadi efektif. Masyarakat tidak boleh menyembunyikan maklumat tentang aktiviti jenayah yang berlaku di tempat mereka kerana hal ini akan menyebabkan pasukan polis tidak dapat membanteras jenayah dengan segera. Sebagai contoh, masyarakat boleh menyalurkan maklumat segera melalui sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menerusi talian POLISKN32728 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah. Penyaluran maklumat awal daripada masyarakat tentang aktiviti yang mencurigakan akan mampu memberi peluang dan ruang kepada pihak polis membanteras aktiviti jenayah dengan pantas sebelum berlaku. Masyarakat juga perlu menubuhkan Rukun Tetangga di kawasan kediaman mereka untuk mencegah jenayah daripada berlaku di kawasan kejiranan mereka. Penubuhan Rukun Tetangga ini membolehkan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) dapat dilakukan pada waktu malam mengikut giliran. Masyarakat akan meronda kawasan kejiranan untuk memastikan keadaan selamat. Rondaan ini bukan sahaja mampu mencegah kejadian jenayah tetapi juga secara tidak langsung hubungan antara masyarakat juga menjadi rapat dan mesra ibarat sambil menyelam minum air. Peranan masyarakat ini juga turut dikongsi oleh Tan Sri Lee Lam Thye merangkap Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang menyatakan bahawa masyarakat merupakan ejen membanteras jenayah yang efektif selain pihak polis. Beliau menyeru supaya masyarakat memainkan peranan mereka dengan membantu pihak polis mencegah jenayah. Hubungan yang erat antara komuniti dengan pihak polis mampu menangani jenayah jalanan seperti ragut, samun, curi dan sebagainya. Jadi, jelas menunjukkan bahawa masyarakat harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.

Pihak swasta dan NGO mempunyai tanggungjawab tertentu dalam usaha membanteras kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi di negara kita dewasa ini. Sebagai contoh, pihak swasta yang memiliki kemampuan yang lebih dari segi kewangan boleh bertindak sebagai ejen-ejen yang menaja dana kewangan kepada program antijenayah yang dianjurkan. Sesetengah agensi swasta yang berkecimpung dalam bidang keselamatan juga boleh menyumbangkan kepakaran dan peralatan yang dimilki dalam usaha membanteras kegiatan jenayah terutamanya di lokasi-lokasi berisiko tinggi. Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO juga boleh menjalankan peranan membanteras jenayah dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan kempen-kempen kesedaran tentang bahaya jenayah dan langkah-langkah menjauhinya. NGO yang terlibat dengan seni pertahanan diri seperti judo, silat dan seumpamanya bolehlah menambahkan ahli-ahli masing-masing agar kemahiran seni pertahanan diri ini dapat dijadikan alat bagi menangkis kejadian jenayah yang mungkin berlaku. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Sila sambung dengan mengemukakan idea-idea yang lebih bernas. 



Comments

Popular Posts