PENAJA

RAKAN ILMU

Wednesday, 30 October 2013

ESEI: MEMBANTERASKAN PENDERAAN...!

Masih ada manusia pada era ini yang memiliki sifat kebinatangan yang langsung tidak berperikemanusiaan. Mereka ini tergamak melakukan kezaliman dan keganasan terhadap mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak yang tidak berdaya dan lemah yang sepatutnya dilindungi dan diberikan kasih sayang.
Lihat saja kes yang melibatkan adik Syafiah Humairah, 3 tahun didera secara sadis sehingga menyebabkannya mati secara kejam. (Berdasarkan laporan akhbar Mingguan Malaysia, 28 Februari 2010)
Bermula dari hari itu, banyak orang akan bercakap tentang adik Syafiah, banyak orang yang bersimpati dan banyak orang yang akan tampil dengan pelbagai teori, tetapi … itu hanyalah seketika sahaja. Hangat-hangat tahi ayam. Lepas itu, masyarakat kita akan kembali seperti sediakala, sibuk dengan urusan dunia yang tiada kesudahan, - terlalu mementingkan materialistik dan terlalu mementingkan diri sendiri.
Banyak usaha yang boleh dilaksanakan demi membanteraskan kejadian penderaan ke atas kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini agar kejadian yang berlaku ke atas adik Syafiah tidak akan berulang lagi. Antaranya:-
  • Kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang tanggungjawab terhadap kanak-kanak wajib ditingkatkan.
  • Peranan masyarakat sekeliling sebagai mata dan telinga pihak berkuasa perlu digerakkan.
  • Tingkatkan pendidikan agama dalam kalangan masyarakat agar masyarakat lebih terdidik dengan ajaran agama yang secara langsung dapat menyekat kejadian yang tidak bertamadun ini.
  • Kursus keibubapaan oleh pihak-pihak tertentu wajar diperbanyak agar para ibu bapa lebih sedar akan peranan mereka dalam institusi kekeluargaan.
  • Menggubalkan undang-undang bukan sahaja menghukum pesalah malah menggubal undang-undang pencegahan awal agar segala kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.
  • Peranan ahli keluarga terdekat dalam memberikan nasihat, mengambil berat dan bertindak tegas terhadap ahli keluarga sendiri yang terlibat hendaklah ditingkatkan.
  • Kerajaan melalui kementerian tertentu perlu mengambil langkah-langkah proaktif dan relevan dalam menangani kes penderaan terhadap kanak-kanak ini.
  • Membasmikan masalah kemiskinan dan keciciran dalam pelajaran juga boleh membantu mengurangkan kes penderaan.
  • Anggota polis perlu diberikan latihan yang cukup untuk membanteraskan kejadian ini manakala anggota masyarakat pula perlu prihatin dan bukan sekadar bertindak sesudah terlewat.
  • Pemimpin masyarakat mestilah memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan dalam mengesan dan seterusnya membanteraskan kes penderaan ini.
  • Pihak berwajib hendaklah mewujudkan pusat-pusat jagaan yang sempurna untuk menempatkan kanak-kanak yang malang agar mereka mendapat perhatian dan kebajikan.
  • Manusia-manusia yang didapati menjadi pendera ini hendaklah diberikan pengajaran yang secukup-cukupnya setimpal dengan apa yang telah dilakukannya.
AL-FATIHAH BUAT ADIK SYAFIAH…

BINA AYAT SPM 2008...!

Soalan 3:
(a) Tulis satu ayat bagi setiap frasa di bawah:
  • suka duka
Kita terpaksa menempuh suka duka kehidupan dengan tabah.
  • baik buruk
Baik buruk tingkah laku anak-anak sebenarnya berpunca daripada didikan ibu bapa.
  • penat lelah
Penat lelahnya kini telah terbalas apabila perniagaannya mula berkembang maju.
  • melayari laman web
Masa senggangnya diisikan dengan aktiviti melayari laman web sosial.
  • pembangunan mesra alam
Mutakhir ini kerajaan amat menitikberatkan pembangunan mesra alam yang dapat melestarikan alam sekitar.
  • semangat setia kawan
Semangat setia kawan perlu diterapkan ke dalam diri para remaja agar kehidupan mereka akan lebih bermakna. 

Tuesday, 29 October 2013

STATISTIK PENDUDUK MALAYSIA...!

Malaysia Sepintas Lalu
2009201020112012
Keluasan (km2)330,803
Penduduk (juta)
Jumlah28.128.629.029.3
Lelaki14.514.714.915.1
Perempuan13.613.914.114.2
Purata kadar Pertumbuhan Penduduk Tahunan1.81.81.31.3
Kelahiran dan Kematian (per 1,000 penduduk)
Kadar Kelahiran Kasar18.517.217.1p17.2e
Kadar Kematian Kasar4.84.64.6p4.7e
Kadar Kesuburan Jumlah2.32.12.1p2.1e
Jangkaan Hayat (tahun)
Lelaki71.671.7p72.0e72.3e
Perempuan76.576.8p77.1e
77.2e

Sumber: Jabatan Perangkaan Negara

KELEMAHAN DALAM MENGARANG...!

Ketika menanda karangan pelajar, cikgu akan  menemukan beberapa kelemahan yang biasa yang dilakukan berulang kali walaupun sering ditegur dan diberikan tunjuk ajar. Hal ini demikian menyebabkan cikgu kadang-kadang berasa kecewa dan adakalanya menggelegak juga darah di kepala.
Antara kelemahan pelajar ketika mengarang ialah:-
  • Menulis karangan tanpa sebarang perancangan menyebabkan karangan yang dihasilkan tidak tersusun dari segi isi, huraian isi yang tidak lengkap yang tidak menampakkan kematangan berfikir, isi yang diutarakan tidak relevan dan bernas di samping tiada contoh yang sesuai.
  • Banyak pelajar mengarang tanpa menggunakan kerangka karangan yang lengkap seperti perenggan pendahuluan, perenggan isi-isi dan perenggan penutup.
  • Pelajar langsung tidak memasukkan ungkapan bahasa indah atau frasa menarik dalam penulisan.
  • Pelajar selesa dengan menulis karangan menggunakan SATU jenis ayat sahaja iaitu ayat penyata, sepatutnya pelajar juga harus menggunakan ayat tanya, ayat songsang, ayat pasif dan ayat-ayat lain dalam setiap penulisan karangan.
  • Terdapat kesalahan bahasa yang mudah dan asas seolah-olah mereka langsung tidak mempunyai asas bahasa walaupun yang paling asas. Contoh kesalahan bahasa yang mudah seperti:-
  1. antara punca-punca > antara punca
  2. di abad ini > pada abad ini
  3. jalanraya > jalan raya
  4. maksima > maksimum
  5. di kalangan remaja > dalam kalangan remaja
  6. ini kerana > hal ini kerana
  • Kedangkalan pengetahuan dalam sesuatu tajuk karangan yang hendak ditulis menyebabkan pelajar gagal mengutarakan idea yang bernas, matang dan bijak.
Pelajar perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh jika mahu karangan yang dihasilkan mendapat markah yang baik. Selain merancang terlebih dahulu sebelum mengarang, kerja-kerja penyemakan juga tidak boleh diabaikan. Pelajar mestilah menyemak hasil karangan dari segi ejaan, penggunaan bahasa agar sebarang kesilapan mudah dapat diperbetul.

Monday, 28 October 2013

KK / K...!

Cikgu ada banyak menerima pertanyaan tentang ejaan sesuatu perkataan yang melibatkan kk dan k. Banyak pelajar yang masih keliru dengan penggunaan kk dan juga k.  Di mana nak menggunakan kk dan di mana pula nak mengggunakan k?
SEBENARNYA begini, untuk memudahkan pelajar faham dan tidak mungkin keliru lagi adalah dengan berdasarkan pegangan mudah di bawah:-
  • 'kk' biasanya digunakan kepada kata kerja (KK), contohnya:
  1. menggalakkan, digalakkan,
  2. membanyakkan, dibanyakkan,
  3. mendudukkan, didudukkan,
  4. meletakkan, diletakkan
  5. menembakkan, ditembakkan
  6. menidakkan, 
  7. memasukkan
  8. menyogokkan
  9. merujukkan
  • 'k' biasanya digunakan kepada kata nama (KN), contohnya:
  1. galakan, penggalakan
  2. kebanyakan
  3. kedudukan, pendudukan
  4. peletakan,
  5. tembakan
  6. kemasukan
  7. sogokan
  8. rujukan

CERPEN: MEMORI SEORANG TUA...!

Tema:-
  • Semangat perjuangan (patriotik) seorang tokoh pejuang mahu berkongsi pengalaman lampau beliau dengan masyarakat. > Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucu dalam usaha beliau membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
Persoalan:-
  • Sikap generasi muda yang memandang sepi jasa tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada negara.
  • Pengorbanan demi cinta akan negara.
  • Rasa tanggungjawab terhadap nasib anak bangsa pada masa depan.
  • Kekecewaan seseorang tokoh nasionalisme pada penghujung usia.
  • Kecintaan terhadap bangsa dan tanah air.
  • Cabaran pada zaman pramerdeka.
Watak-watak:-
  1. Pak Itam
  2. Tuk Mat
  3. Rokiah
  4. Halimah
  5. Rogayah
  6. Jali
  7. Siti Nurhidayah

Saturday, 26 October 2013

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL...!

Soalan : Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut ialah kita hendaklah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan supaya jiwa menjadi tenang. Sebagai contoh, Bujei tabah menghadapi kekejaman Alias terhadapnya seperti memukul, menyepak dan menerajangnya tanpa belas kasihan. Walaupun diperlakukan macam-macam oleh Alias, dia tidak pernah serik.
Pengajaran lain ialah kita hendaklah ikhlas membantu orang lain supaya sifat ego dapat dielakkan. Bukti peristiwa yang memaparkan pengajaran ini ialah Adila ikhlas menolong mengubah perwatakan Bujei. Pada Adila, Bujei hanyalah menjadi mangsa alam dan manusia. Sebenarnya Bujei memiliki kepandaian dan pengetahuan yang luas. Adila yakin mampu mengubah Bujei menjadi manusia yang sempurna semula.

Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah rajin berusaha supaya tidak membebankan orang lain. Sebagai contoh, sebahagian kawasan tanah di hadapan rumah nenek Bujei sudah diterangkannya. Belukar dan semak samun sudah ditebas dan tanahnya sudah digemburkan kerana Bujei ingin menanam sayur-sayuran. 



Soalan : Huraikan peristiwa yang mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri anda berdasarkan novel yang anda kaji.

Contoh jawapan :

Novel yang saya kaji ialah Renyah karya Gunawan Mahmood. Banyak peristiwa yang mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri saya apabila membaca novel tersebut. Antara peristiwa tersebut ialah Datuk Dolhi tabah mengharungi cabaran yang berlaku dalam keluarganya sehingga nama baiknya tercemar gara-gara perbuatan anak-anaknya yang menconteng arang ke mukanya. Peristiwa seperti Hasnol ditangkap kerana melakukan rasuah, Mukhlis terlibat dalam ajaran songsang, Dani terlibat dengan penagihan dadah dan Ilham mengganggu perniagaannya banyak meresahkan datuk Dolhi, tetapi akhirnya Datuk Dolhi berjaya mengharungi permasalahn tersebut dan berharap anak-anaknya mampu menebus kesalahan yang lalu dan berharap masa depan anak-anaknya kembali cerah. Peristiwa ini menimbulkan kesan yang mendalam kepada diri saya kerana kasih sayang antara ibu bapa terhadap anak-anak tidak pernah putus walaupun anak-anak telah mencemarkan maruah keluarga. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita hendaklah membantu menyelesaikan permasalahan anak-anak supaya kehidupan mereka terjamin. 

Peristiwa lain yang menimbulkan kesan yang mendalam dalam diri saya ialah Datuk Dolhi gigih memperluaskan perniagaannya sehingga ke luar negara dengan mengikut rombongan perniagaan untuk meneliti peluang-peluang yang boleh diteroka bagi melebarkan sayap perniagaannya walaupun usianya sudah meningkat dan menghadapi masalah kesihatan. Peristiwa ini menimbulkan kesan kepada diri saya kerana matlamat tanpa usaha yang gigih tidak akan membawa kejayaan. Walaupun ada kekurangan dalam diri tetapi dengan usaha yang gigih kita mampu untuk mencapai kejayaan sama ada dalam atau luar negara.

Peristiwa Datuk Dolhi mahu orang Melayu mengubah sikap supaya tidak mudah cepat berpuas hati dengan apa yang dimiliki dan mengambil sikap seperti orang Cina mendidik keluarga mereka dalam suasana perniagaan juga menimbulkan kesan kepada diri saya. Hal ini demikian kerana sikap orang Melayu yang cepat berpuas hati akan menyebabkan hasil yang diusahakan tidak akan bertahan lama dan tidak dapat bersaing dengan orang lain yang sentiasa melakukan perubahan. Jika kita ingin berjaya, kita hendaklah melakukan perubahan dari masa ke masa supaya barangan yang dihasilkan akan lebih berkualiti.



Soalan : Huraikan peristiwa yang mampu anda teladani berdasarkan novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :

Novel yang saya pelajari ialah Renyah karya Gunawan Mahmood. Novel ini banyak memaparkan peristiwa yang dapat saya teladani dalam menjalani kehidupan seharian. Peristiwa tersebut ialah Datuk Dolhi lebih suka menggunakan kereta saga limosin baru buatan Malaysia ke majlis-majlis rasmi kerana dia lebih mengutamakan barangan buatan tempatan. Dalam hal berpakaian, dia lebih suka menggunakan batik Kelantan kerana buatannya bermutu tinggi. Peristiwa ini dapat saya teladani kerana kita perlu menggunakan barangan buatan tempatan dalam kehidupan seharian kerana barangan buatan tempatan telah memiliki kualiti yang tinggi dan terbukti mampu bersaing dengan barangan daripada negara luar.

Peristiwa seterusnya ialah Datuk Dolhi meminta isterinya memikirkan semasak-masaknya sebelum membuka butik untuk mengelakkan kerugiaan pada masa akan datang. Padanya daripada rugi, lebih baik wang tersebut dibelanjakan untuk membela anak yatim. Peristiwa tersebut dapat saya teladani dalam menjalani kehidupan seharian kerana kita perlu berfikiran rasional dengan membuat pertimbangan yang wajar sebelum mengambil sesuatu keputusan agar keputusan yang diambil tidak akan membebankan kita kelak. 

Peristiwa lain ialah Hasnol bersikap angkuh terhadap ibunya apabila dia memiliki wang yang banyak hasil daripada perbuatan rasuahnya semasa membayar hutang kepada ibunya. Peristiwa ini memberi teladan kepada saya kerana sebagai anak kita tidak boleh bersikap angkuh dan sombong kepada ibu kerana sikap sedemikian akan memakan diri kita kelak. 



Soalan : Jelaskan kritikan yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan :


Novel yang saya pelajari ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Dalam novel tersebut, banyak kritikan yang ditujukan kepada masyarakat untuk kita jadikan pengajaran dalam kehidupan. Antara  kritikan tersebut ialah sikap seorang suami yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Peristiwa yang menunjukkan kritikan tersebut ialah Harun tidak menjalankan tugasnya sebagai suami yang bertanggungjawab sebaliknya sering meminta wang daripada Fatimah untuk berjudi. Jika isterinya enggan menyerahkan wang tersebut, Harun akan memukul dan menerajang iaterinya tanpa belas kasihan. Sepatutnya sebagai suami, Harun perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan bukannya melepaskan tanggungjawab tersebut. 

Kritikan seterusnya ialah sikap manusia yang tamak terhadap harta anak yatim. Peristiwa yang menunjukkan kritikan tersebut ialah Harun mempengaruhi Sidang Saman supaya memujuk Hafiz menandatangani dokumen untuk menjual tanah pusaka arwah ibunya dan dia sanggup merasuah Sidang Saman agar matlamatnya tercapai. Hal ini menunjukkan ketamakan Harun kerana ingin menjual tanah yang menjadi kepunyaan Bujei yang merupakan anak yatim. Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab kita perlu membantu anak yatim kerana mereka juga berhak untuk disayangi. 

Ktirikan seterusnya ialah sikap masyarakat yang suka membuli insan yang kurang normal. Kritikan ini dapat ditujukan kepada Alias yang sering memukul, menendang dan menerajang Bujei apabila Bujei enggan melakukan perkara yang dimintanya. Bujei dikehendaki terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan dirinya setiap kali melihat kelibatnya. Perbuatan tersebut tidak patut dilakukan terhadap manusia yang kurang normal seperti Bujei kerana Bujei juga merupakan manusia yang perlu dilayan seperti manusia normal yang lain.

Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman

PALING TERKENAL...!

Sesetengah pengguna bahasa terkeliru oleh penggunaan kata penguat dengan sesetengah kata yang berimbuhan ter- yang membawa maksud paling. Mereka tidak pasti sama ada kata tersebut memang berimbuhan ter- atau sebaliknya. Sila lihat contoh di bawah:-
  • terbesar = paling besar > sangat terbesar   X
  • tercantik = paling cantik > amat tercantik  X
  • tertinggi = paling tinggi > paling tertinggi  X
  • termoden = paling moden > begitu termoden  X
  • terputih = paling putih > terputih sekali  X
Namun begitu, tidak semua imbuhan ter- membawa maksud paling. Contohnya apabila imbuhan ter- digunakan pada kata kerja (KK). Jika imbuhan ter- ini tidak membawa maksud paling, maka penggunaan kata penguat tidak menjadi kesalahan. Lihat contoh-contoh di bawah:-
  • ter + kenal(KK) = tidak membawa maksud paling ‘kenal’  > sangat terkenal (BETUL)
  • ter + tarik(KK) = tidak membawa maksud paling ‘tarik’  > amat tertarik (BETUL)
  • ter + goda(KK) = tidak membawa maksud paling ‘goda’  > sungguh tergoda (BETUL) 
  • ter + pesona(KK) = tidak membawa maksud paling ‘pesona’  > agak terpesona (BETUL)
  • ter + kemuka(KK) = tidak membawa maksud paling 'kemuka' > paling terkemuka (BETUL)
Kesimpulannya, hanya imbuhan ter- yang digunakan pada kata adjektif sahaja yang membawa maksud paling. Imbuhan ter- sedemikian tidak lagi boleh digunakan bersama dengan kata penguat yang juga membawa maksud paling.
Contoh ayat:-
  1. Tokoh pendidikan yang amat terkenal itu telah meninggal dunia. BETUL
  2. Para pelancong begitu tertarik oleh keindahan alam semula jadi. BETUL
  3. Dia sangat terpesona oleh kepelbagaian budaya rakyat Malaysia. BETUL
  4. Buku itu yang paling tertebal. SALAH
  5. Gunung yang tertinggi sekali di Malaysia ialah Gunung Kinabalu. SALAH
  6. Penyanyi itu begitu termasyhur ketika ini. SALAH

HADIRIN DAN HADIRAT....!


Kita sering menemukan kata hadirin yang digunakan bersama-sama dengan kata hadirat sebagai kata ganda yang bermaksud orang yang hadir iaitu hadirin-hadirat. Kita menganggapkan bahawa kata akar 'hadir' yang menerima imbuhan akhiran pinjaman daripada bahasa Arab iaitu -in dan -at untuk membezakan jantina ataupun gender. Contoh lain seperti:-
  • muslim
  1. muslim + -in  - muslimin > lelaki muslim
  2. muslim + -at - muslimat > perempuan muslim
  • mukmin 
  1. mukmin + -in - mukminin > lelaki mukmin
  2. mukmin + -at - mukminat > perempuan mukmin
Sebenarnya hadirat tidak boleh digunakan bersama-sama dengan kata hadirin menjadi kata ganda kerana hadirat jika dirujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 membawa maksud tempat menghadap (raja, Nabi, Tuhan). Kita sepatutnya menggunakan sidang hadirin bukannya sidang hadirin-hadirat ataupun sidang hadirin dan hadirat sekalian.
Analisis:-
  • Sidang hadirin sekalian     /
  • Sidang hadirin-hadirat sekalian   X
  • Sidang hadirin dan hadirat sekalian   X

ESEI: PENGALAMAN DAN KEMAHIRAN DALAM KERJAYA...!

KEMAHIRAN MUDAHKAN DAPAT KERJA
Mempunyai kelayakan tinggi tetapi terpaksa memilih pekerjaan tidak setimpal dengan kelulusan? Itu adalah antara dilema sebilangan graduan institusi pengajian tinggi tempatan apabila gagal memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan. Biarpun mempunyai ijazah sarjana muda mahupun diploma, kerjaya yang dipilih tidak menjanjikan gaji lumayan malah ada yang ‘terpaksa’ menggunakan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon jawatan kosong.
Bukan memilih, tetapi persaingan dunia kerja yang semakin hebat ‘memaksa’ graduan tidak terlalu berkira selain tidak mahu terus menyandang gelaran ‘penggangur terhormat’. Apakah faktor penyebab ramai graduan tidak memperoleh pekerjaan berdasarkan kelayakan? Adakah kursus tidak menepati kehendak pasaran kerja ataupun majikan bersikap pilih kasih? Mungkin juga graduan tidak mempunyai kemahiran tambahan berbentuk teknikal seperti mampu berkomunikasi dengan baik terutama dalam Bahasa Inggeris (BI) menyebabkan mereka gagal menambat hati majikan.
Masalah graduan terutama wanita sukar memperoleh pekerjaan setimpal disebabkan kesilapan memilih kursus pengajian. Kebanyakannya lebih gemar memilih bidang pengajian berbentuk akademik semata-mata sedangkan kehendak pasaran kerja masa kini lebih kepada teknikal. Walaupun gender bukan isu utama, kebanyakan majikan lebih gemar mengambil graduan lelaki kerana lebih berkeupayaan dalam kemahiran teknikal meskipun keputusan akademiknya sederhana.
Kita tidak boleh menyalahkan majikan semata-mata kerana pasaran kerja masa kini memang begitu. Oleh hal itu, pelajar dinasihatkan supaya bijak memilih bidang pengajian, jangan memilih bidang yang mudah tetapi kurang pasaran kerja. Memang ada graduan terpaksa bekerja dan menerima gaji yang lebih rendah daripada kelayakan. Ada juga yang memperoleh pekerjaan baik biarpun kelulusannya tidak setimpal, Hal ini  terpulang kepada rezeki dan usaha. Selain salah membuat pilihan bidang pengajian, faktor pengalaman juga dikatakan sebagai satu penyumbang utama graduan berpuas hati dengan tawaran kerja.
Kerana tiada pilihan, mereka melupakan seketika impian untuk bergelar ‘pegawai’ dan menerima apa-apa jua tawaran kerja asalkan mempunyai gaji dan boleh meneruskan hidup. Bagi graduan wanita, kurangnya kemahiran serta keupayaan jaringan pergaulan sosial menyumbang faktor kesukaran memperoleh pekerjaan. Ada majikan suka mengambil pekerja tanpa pengalaman, jadi tidak timbul rungutan hanya mahukan yang berpengalaman. Paling penting graduan perlu melengkapkan diri dengan keperluan industri. Graduan wanita perlu mengikis tanggapan sukarnya bersaing dengan lelaki sebaliknya tunjukkan mereka juga boleh melakukannya.Jangan ada tanggapan, tidak boleh dalam diri.
Ini alaf baru, semua ada kelebihan dan keupayaan.”Memang sukar tetapi kena mula langkah. Pandang secara positif di samping merangka strategi untuk masa depan. Ada graduan wanita bekerja di butik sebagai pembantu jualan biarpun memiliki segulung ijazah sarjana muda komunikasi dari sebuah universiti kerana selepas puluhan temu duga, tidak lagi sanggup menunggu pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan. Malah ada graduan yang sanggup menerima pekerjaan berkelulusan lebih rendah, termasuk SPM kerana yang penting, bekerja dan mempunyai pendapatan.

THIS IS KOTA BHARU...!

Sekali lagi slogan 'This is Kota Bharu' menidakkan pasukan lawan apakala berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV. Malam tadi pasukan ATM terpaksa menggigit jari setelah hajat mereka untuk beraksi di slot final Piala Malaysia 2013 disekat wira-wira The Red Warriors. Walaupun perlawanan malam tadi berkesudahan seri 2 - 2, pasukan Kelantan telah berjaya melangkah ke tiket final dengan agregat 4 - 3. Sungguhpun ATM mendahului Kelantan dengan jaringan awal 2 - 0, semangat juang TRW tidak mudah luntur. Selepas separuh masa pertama, Kelantan menggandakan serangan sehingga tiba ke sepuluh minit terakhir perlawanan, akhirnya Kelantan menemukan gol yang dicari-cari melalui pemain gantian Fakri dan dikuti dengan jaringan gol penyamaan oleh Piya, kapten pasukan Kelantan.
This is Kota Bharu..... membuktikan keajaipan Kelantan...

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR KE-2 PIALA MALAYSIA:
  • KELANTAN VS ATM: 2 - 2 (Kelantan menang dengan agregat 4 - 3) 

Friday, 25 October 2013

MEMELIHARA / MEMULIHARA...!

Memelihara berasal daripada kata dasar ‘pelihara’ yang bermaksud bela, jaga dan rawat. Jadi maksud kata ‘memelihara’ ialah:-
  • membela, menjaga, merawat, menternak, melindungi, membiarkan ….
Contoh ayat:-
  1. Mereka memelihara anak angkat itu sehingga dewasa.
  2. Makanan seimbang dapat memelihara tubuh daripada diserang pelbagai penyakit.
  3. Ramai penduduk kampung itu memelihara lembu.
  4. Sesetengah orang lelaki suka memelihara janggut.
  5. Umat Islam diingatkan supaya memelihara lidah daripada perbuatan mengumpat.
Manakala kata ‘memulihara’ pula berasal daripada kata dasar ‘pulihara’. Maksud kata‘memulihara’ pula ialah:-
  • memulihkan dan menjaganya, melindungi sesuatu supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik 
Contoh ayat:-
  1. Kerja-kerja memulihara alam sekitar kita akan menjadi lebih mudah jika mendapat kerjasama daripada semua pihak.
  2. Betapa pentingnya kita berusaha mengekal dan memulihara bentuk muka bumi di kawasan tanah tinggi.

BAGAI ANJING MENYALAK BUKIT...!

Banyak sekali ungkapan peribahasa yang membawa maksud melakukan sesuatu pekerjaan yang sia-sia atau perbuatan yang tidak membawa faedah apa-apa. Antaranya:-
  • Bagai kambing menanduk bukit > kerja yang sia-sia yang merugikan diri.
  • Bagai mencencang air > melakukan kerja yang tidak berfaedah.
  • Laksana layang-layang melawan angin > perbuatan yang sia-sia.
  • Laksana mencari sungai yang tiada berhulu > berpenat lelah yang sia-sia
  • Laksana wau melawan angin > perbuatan yang sia-sia.
  • Seperti anjing menyalak bukit > perbuatan yang sia-sia.
  • Bagai menghitung bulu kambing > perbuatan yang sia-sia.
  • Bagai hujan jatuh ke pasir > perbuatan yang sia-sia.
  • Jangan lemparkan pancing tiada berumpan > kerja yang sia-sia.
  • Arang habis, besi binasa > pekerjaan yang sia-sia.

PROMOSI III