PENAJA

RAKAN ILMU

Wednesday, 16 October 2013

ESEI: LANGKAH MENANGANI KEGAWATAN EKONOMI...!


Langkah-langkah Untuk Menangani Masalah Kegawatan Ekonomi Yang Melanda Negara Malaysia
Kini, rakyat Malaysia seperti juga rakyat di negara-negara jiran, iaitu Indonesia dan Thailand telah dikejutkan dengan satu isu yang sukar dileraikan, iaitu kegawatan ekonomi yang semakin meruncing berikutan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan dollar AS. Kejatuhan nilai ringgit ini dikatakan akibat serangan spekulator mata wang, iaitu George Soros. Hal ini menyebabkan mata wang atau ringgit kita jatuh secara mendadak semenjak tahun 1997. Hal ini terbukti dengan perbezaan yang ketara antara nilai ringgit jika dibandingkan dengan dollar AS. Dalam pada itu, negara kita dikatakan sebagai salah sebuah negara Asia yang masih boleh mengawal keadaan ini jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Korea Selatan yang terpaksa meminjam wang dari Tabung Wang Antarabangsa. Keadaan di Malaysia masih stabil kerana kerajaan memperuntukkan RM490 billion yang masih ada dalam simpanan kerajaan untuk membiayai projek-projek pembangunan pada tahun 1998 bagi meningkatkan taraf ekonomi negara. Di samping itu, rakyat diseru supaya menyokong tindakan kerajaan dan membantu kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Hal ini bersesuaian dengan pantun yang saya ciptakan ini, iaitu:

Pergi ke kedai membeli tajak,
Tajak dibeli di kedai Pak Ali,
Para pengguna haruslah bijak,
Untuk menangani krisis ekonomi.


Oleh hal yang demikian, ketika kerajaan giat berusaha menangani masalah ini, rakyat seharusnya berdiri teguh dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengatasinya. Rakyat juga perlu mengatur langkah dan strategi yang tersusun untuk membantu kerajaan. Kita mendapati bahawa usaha-usaha itu telah pun mengeluarkan hasil yang boleh dibanggakan. Rakyat banyak membantu dan seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia membantu kerajaan dengan tidak boros ketika berbelanja. Oleh hal yang demikian, kita harus merancang perbelanjaan sebelum membeli sesuatu barangan. Contohnya, kita harus memikirkan sama ada hendak dibeli atau tidak sesuatu barang supaya tidak berlaku pembaziran. Hal ini demikian kerana, pembaziran merupakan satu punca utama yang boleh mengakibatkan krisis ini menjadi semakin tenat dan sukar diatasi. Dalam usaha rakyat untuk menangani isu ini, kaum wanita sebagai suri rumah perlu memainkan peranan ini dengan bijak. Contohnya, mereka boleh membekalkan anak-anak mereka dengan makanan setiap hari apabila anak-anak mereka hendak ke sekolah. Kaum wanita juga sebolehnya tidak membeli barang-barang kemas semasa negara dilanda kegawatan ekonomi. Dengan berjimat dalam perbelanjaan, kita dapat membantu kerajaan untuk menangani masalah ini.

Seterusnya, langkah untuk mengatasi krisis kegawatan ekonomi ialah pihak kerajaan wajar mengawal pengaliran keluar wang negara ke negara lain. Jika sebelum ini, masyarakat Malaysia gemar melancong ke negara asing, maka sekarang mereka seharusnya melancong di dalam negara sendiri dan membatalkan rancangan untuk melancong di luar negara. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelakkan pengaliran mata wang ke negara yang kita lawati kerana salah satu penyebab dan punca kegawatan ekonomi ialah pengaliran wang yang banyak ke negara lain. Pengaliran mata wang Malaysia juga dapat dikurangkan dengan mengurangkan import dan menambahkan eksport. Ini perlu diberi penekanan yang sewajarnya kepada sektor tertentu seperti sektor perindustrian. Sektor pelancongan negara juga memainkan peranan penting, terutamanya di kawasan pedalaman yang belum diusahakan sepenuhnya oleh arus pembangunan. Mereka harus meningkatkan atau meluaskan promosi ke seluruh dunia untuk menggalakkan pelancong asing datang ke negara ini. Di samping itu, kita harus meningkatkan eksport negara yang dapat membantu kerajaan menangani krisis ini dan dapat menambah tabungan negara.

Selain itu, rakyat Malaysia yang mempunyai harta atau menyimpan wang di luar negara perlu menjual harta atau mengeluarkan wang mereka di luar negara dan melabur di Malaysia. Dengan berbuat demikian, mereka dapat membantu memulihkan ekonomi negara Contohnya, kita mendapati ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang membeli tanah dan ladang di Australia dan di New Zealand, dan tidak ketinggalan juga yang menyimpan wang di Switzerland dan di Singapura. Jadi, jika rakyat mebawa pulang wang mereka yang dilaburkan di negara asing ke negara ini, maka masalah kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh negara ini dapat diminimumkan segera. Seharusnya, rakyat menyedari hakikat ini dan membantu kerajaan seperti berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenag-senang kemudian.
 

Ditinjau kepesatan negara dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek pendidikan di Malaysia dari Timur sampai ke Barat dan dari Perlis sampai ke Sabah, kita banyak mempunyai pusat pengajian tinggi, iaitu universiti awam dan universiti swasta. Oleh hal yang demikian, untuk membantu menangani krisis ini, pengaliran wang keluar dari negara ini haruslah dibendung. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menentukan anak-anak mereka supaya menyambung pendidikan tinggi di dalam negara sendiri dan tidak menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara. Sebagai langkah yang drastik, kerajaan Malaysia telah mengurangkan penghantaran pelajar tajaan ke luar negara dan mereka yang layak hanya ditempatkan di universiti-universiti terkemuka negara sahaja. Hal ini demikian kerana dalam era dunia sains dan teknologi, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bukannya sebuah negara yang mundur. Malaysia diakui sebagai negara yang berkembang pesat dalam bidang pendidikan tinggi. Rakyat, terutamanya ibu bapa seharusnya sedar bahawa pendidikan di Malaysia setaraf dengan dunia luar dan menghantar anak-anak mereka belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara untuk mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Oleh itu, pelajar-pelajar kita yang berada di luar negara dalam semester akhir disarankan supaya pulang ke tanah air dan menyambung pelajaran di sini. Penghantaran anak-anak ke luar negara ini menelan belanja yang banyak dan merugikan negara jika kursus atau jurusan yang dipelajari itu ditawarkan di Malaysia. Oleh hal yang demikian, seharusnya rakyat peka dengan saranan kerajaan kerana hal ini dapat membantu bukan sahaja negara, malahan rakyat negara ini.

Akhirnya, rakyat Malaysia perlu bijak berbelanja dan lebih mengutamakan barangan tempatan. Kesedaran ini wajar disemai dan dipupuk dalam sanubari setiap rakyat kerana pembelian barang import akan menyebabkan pengaliran keluar mata wang negara kita ke negara pengeksport. Oleh hal yang demikian, media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi krisis ini dengan mengadakan kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia”.Sebenarnya, penduduk Malaysia kini lebih terpengaruh oleh barangan buatan luar negara, iaitu barangan import yang dikatakan lebih tahan lama dan berjenama. Sebenarnya, barangan Malaysia juga berkualiti seperti barangan import. Rakyat Malaysia juga disarankan supaya jangan terlalu boros ketika berbelanja kerana hal ini akan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan. Rakyat Malaysia sepatutnya bersama-sama berganding bahu untuk membantu kerajaan dalam menangani krisis ini. Mereka perlu berpegang pada cogan kata Bersatu Teguh, Bercerai Roboh. Sekiranya kita tidak bersatu, bahu-membahu, dan bersikap seperti enau di dalam belukar, kegawatan ekonomi yang dihadapi negara tidak dapat dipulihkan. Negara akan terus berada dalam keadaan kemunduran ekonomi yang akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan rakyat. 


No comments:

Post a Comment

PROMOSI III