PENAJA

RAKAN ILMU

Saturday, 12 October 2013

ESEI: MANFAAT IMURID, ISUKAN...!

Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap pelajar akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi pelajar yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh hal yang demikian, penyertaan setiap pelajar dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendukung aspirasi 1Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini juga selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendukung semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai manfaat yang diperoleh daripada Dasar 1Murid 1Sukan. 

        Dasar 1Murid 1Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan pelajar dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh hal itu, Dasar 1Murid 1Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan pelajar di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan pelajar dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap pelajar termasuk mereka yang berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah diwajibkan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S  diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun pelajar prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan bersungguh-sungguh mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui lapangan sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar positif ini.

       Selain itu, Dasar 1Murid 1Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan pelajar sekolah agar menjadi ahli anggota masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat, otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi pelajar dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan aktiviti sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan yang berlebihan atau obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario itu amat merugikan, kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak menghidap obesiti dalam kalangan penduduk di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Tegasnya, amalan gaya hidup sihat ini wajar dipupuk diterapkan bersungguh-sungguh. Genggam bara api, biar sampai jadi arang.

     Jika kita singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1Murid 1Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan lebih memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1Murid 1Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

        Seperkara lagi, Dasar 1Murid 1Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikalDasar ini boleh memberikan akses kepada semua pelajar mendapatkan manfaat daripada penglibatan mereka dalam sukan khususnya kepada pelajar yang kurang atau yang tidak aktif. Pelajar-pelajar pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis daripada kamus kehidupan mereka kerana mereka juga perlu memperuntukkan masa untuk melakukan aktiviti kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, hoki, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, pelajar dapat fokus akan pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, pelajar akan beroleh lebih kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, pelajar dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan ini.

      Pada masa yang sama, Dasar 1Murid 1Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua pelajar yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Pelajar boleh menyertai lebih daripada satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan. Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini sedikit masa lagi.

       Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1Murid 1Sukan banyak membawa  manfaat kepada pelajar di negara kita. Oleh hal itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada pelajar sekolah agar menyertai pelbagai aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1Murid 1Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan batok di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya fantasi semata-mata. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.

Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Anelyza SPM

No comments:

Post a Comment

PROMOSI III