JOM JOIN PILOT...!

Industri penerbangan ialah satu industri yang unik dan berdaya maju untuk mendatangkan pulangan kepada negara. Ia juga suatu industri yang strategik dan sensitif kepada isu-isu keselamatan dan kesejahteraan, sama ada kepada penumpang, pengguna perkhidmatannya, mahupun keselamatan negara amnya. Oleh sebab itu, industri ini dikawal selia oleh pelbagai peraturan, perundangan dan garis panduan yang ketat, yang sebahagian besarnya perlu diselaraskan dengan keperluan piawaian industri penerbangan antarabangsa. Dengan demikian, tenaga kerja yang terlibat dalam industri ini, sama ada juruterbang, jurutera kapal terbang, mekanik mahupun pengawal trafik udara, perlu dilatih dan mendapat kelulusan, sijil serta lesen yang khusus, yang juga diiktiraf secara global.

            Industri penerbangan ialah satu industri yang profesional. Profesional dengan erti kata dikawal selia secara kendiri (self-regulatory) oleh industri tersebut melalui badan kawalan yang diiktiraf. Badan ini berperanan menetapkan piawaian dan peraturan industri, memperkenalkan dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penerbangan, mengawal kualiti perkhidmatan penerbangan, dan juga mengeluarkan lesen dan sijil kepada mereka yang ingin berkhidmat dalam industri penerbangan. Bagi industri penerbangan, badan kawal selia yang dimaksudkan ialah Jabatan Penerbangan Awam (JPA atau DCA). DCA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang berperanan menggubal, memperkenal, melaksana dan menguatkuasakan segala perundangan, peraturan dan garis panduan berkaitan  industri penerbangan di negara ini. Semua peraturan, perundangan dan garis panduan ini pula perlulah dipastikan selaras dan menepati piawaian dan kehendak industri antarabangsa agar perkhidmatan penerbangan di Malaysia diiktiraf secara global.

            Berdasarkan faktor sejarah, Malaysia lebih banyak dipengaruhi oleh undang-undang penerbangan British, yang dikendalikan oleh CAA (Civil Aviation Authority of UnitedKingdom) berbanding FAA (Federal Aviation Administration of the United States) di Amerika. CAA kemudiannya menjadi ahli kepada JAA (Joint Aviation Authorities oftheEuropean Union) yang memberi pengiktirafan kepada semua pemegang lesen daripada mana-mana badan gabungannya untuk berkhidmat dalam industri penerbangan di mana-mana negara Eropah atau yang menerima-pakai persijilan JAA. Oleh sebab DCA Malaysia memakai sistem CAA, maka sijil yang dikeluarkan oleh DCA juga diiktiraf oleh JAA (Ir. Ahmad Jais Alias dan Hj. Ahmad Zahir Mokhtar, 2007).

Bidang Tugas Juruterbang

Kerjaya sebagai juruterbang sememangnya glamour tetapi penuh cabaran serta berisiko. Ramai anak muda sama ada lelaki atau perempuan menyimpan azam dan cita-cita untuk bergelar seorang juruterbang. Kerjaya ini menuntut seseorang itu berdepan dengan cabaran dan tidak gentar memandu pesawat di awan biru. Memandu kapal terbang bukan seperti memandu kereta atau kenderaan lain kerana cara pengendalian amat berbeza. Untuk memahirkan diri, seseorang itu perlu menjalani latihan khas di pusat-pusat atau sekolah-sekolah latihan penerbangan sama ada di dalam atau di luar negara.

            Juruterbang yang berkemahiran dan terlatih mampu menerbangkan pesawat penumpang dan kargo tanpa mengira sama ada perjalanan itu jauh atau dekat. Tugas para juruterbang bermula selewat-lewatnya satu jam sebelum penerbangan. Mereka akan melaporkan diri dan menerima taklimat dan maklumat tentang setiap penerbangan yang bakal dilakukan. Sebelum penerbangan juruterbang akan menyemak pelan penerbangan berdasarkan keadaan cuaca, suhu, kelajuan angin dan berat pesawat semasa berlepas serta keperluan bahan api di samping memeriksa kelengkapan dan peralatan elektronik. Semasa dalam penerbangan pula, juruterbang akan membuat pemeriksaan rutin terhadap semua sistem yang beroperasi dan menerima serta melaksanakan arahan daripada pengawal lalu lintas udara dari mula hingga akhir penerbangan.

            Keadaan yang paling mencabar ketika bertugas ialah semasa berlepas, pendakian, penurunan dan pendaratan yang mana memerlukan penumpuan penuh setiap juruterbang agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Selepas mendapat lesen, juruterbang berpeluang memandu pelbagai jenis pesawat seperti Fokker, Airbus, DC-10 dan Boeing. Kerjaya ini sekarang terbuka luas berikutan perkembangan pesat industri penerbangan di dalam dan di luar negara. Terdapat banyak syarikat penerbangan sama ada di dalam mahupun luar negara yang menyediakan peluang pekerjaan sebagai juruterbang. Dari segi pendapatan pula, kerjaya ini menjanjikan gaji yang cukup lumayan serta ditambah dengan pelbagai insentif lain selaras dengan tugasnya yang cukup mencabar dan berisiko.

Ciri-Ciri Peribadi Yang Diperlukan Sebagai Juruterbang
  • Mempunyai minat yang mendalam terhadap kerjaya juruterbang.
  • Mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta berani.
  • Komitmen yang tinggi serta minat yang mendalam dalam bidang ini.
  • Boleh berkomunikasi dengan baik.
  • Menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik
  • Menguasai mata pelajaran Sains, Matematik dan Fizik.
  • Berumur  antara 18 hingga 24 tahun.
  • Mempunyai rekod kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental.
  • Mempunyai pendengaran dan penglihatan yang baik (penglihatan 6/6 tanpa bantuan optik dan tidak buta warna).
  • Ketinggian minimum tidak kurang daripada 160 cm (5 kaki 4 inci).
  • Sanggup bekerja di luar stesen dalam tempoh masa singkat atau lama.

Comments

Popular Posts