PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 31 December 2013

BINA AYAT SPM 2008...!

Bina ayat:
a) Tulis satu ayat bagi setiap frasa di bawah:
  • suka duka
Kita terpaksa menempuh suka duka kehidupan dengan tabah.
  • baik buruk
Baik buruk tingkah laku anak-anak sebenarnya berpunca daripada didikan ibu bapa.
  • penat lelah
Penat lelahnya kini telah terbalas apabila perniagaannya mula berkembang maju.
  • melayari laman web
Masa senggangnya diisikan dengan aktiviti melayari laman web sosial.
  • pembangunan mesra alam
Mutakhir ini kerajaan amat menitikberatkan pembangunan mesra alam yang dapat melestarikan alam sekitar.
  • semangat setia kawan
Semangat setia kawan perlu diterapkan ke dalam diri para remaja agar kehidupan mereka akan lebih bermakna. 

Wednesday, 25 December 2013

ESEI: PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN...!

Pengurusan masa yang berkesan sangat penting kepada setiap orang. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa masa itu emas, menunjukkan masa merupakan sesuatu yang sangat bernilai dan tiada tandingannya. Dalam sepotong hadis, Rasulullah menyatakan bahawa masa ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, maka masa akan memotong kita. Begitulah pentingnya masa kepada semua orang, terutamanya kepada pelajar sekolah. Mereka perlu bijak menguruskan masa  kerana pelbagai faedah akan diperoleh jika dapat menguruskan masa dengan berkesan.

Pengurusan masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah dibuat secara berjadual. Pada masa yang sama, mereka tidak akan berada dalam keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang diberikan tugasan supaya menyiapkan buku skrap Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan mengenai sumbangan negara kita dalam membantu negara-negara yang mengalami bencana alam di rantau Asia dapat diselesaikan mengikut tempoh yang dirancang jika pelajar tersebut membuat jadual kerja yang lebih terancang. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pengurusan masa yang berkesan menyebabkan seseorang itu mampu menyusun aktiviti secara lebih terancang.

Selain itu, dapat membentuk disiplin diri yang terpuji juga merupakan faedah yang akan diperoleh jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan. Seseorang itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji al-Quran. Jadual yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut  berupaya menguruskan kehidupannya dengan teratur kerana  mereka dapat melaksanakan urusan kehidupan mereka secara teratur. Mereka perlu mematuhi jadual yang telah dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku, seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah menguruskan masa dengan berkesan. Pakar motivasi pendidikan, Dr. Ismail Zain sering mengingatkan pelajar sekolah supaya bijak merancang masa kerana kecemerlangan datang daripada pengurusan masa yang berkualiti. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, disiplin diri yang terpuji dapat dibentuk jika seseorang itu menguruskan masa dengan berkesan.

Akhir sekali, pengurusan masa yang berkesan juga mampu meningkatkan kecemerlangan diri setiap orang. Masa yang dirancang dengan sempurna dapat meningkatkan kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Hal ini demikian kerana seseorang yang bijak merancang masa mampu mengelakkan diri mereka daripada membazir masa dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Masa yang dirancang secara berkualiti dapat melahirkan insan yang holistik. Sebagai contoh, pelajar yang bijak merancang masa akan cemerlang dalam bidang akademik,  kokurikulum dan sahsiah. Hal ini dapat direalisasikan jika mereka merancang masa yang berkualiti seperti menetapkan tempoh masa untuk belajar, mengikuti kelas tuisyen, berekreasi, menonton televisyen, membantu ibu bapa dan mengaji al-Quran. Pelajar yang merancang masa seperti ini dapat membina kecemerlangan diri mereka kerana kehidupan seharian mereka telah dihabiskan dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Mereka bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum tetapi pada masa yang sama terhindar daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat. Oleh itu,jelas menunjukkan bahawa jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan, kecemerlangan diri akan dapat dinikmati dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya, setiap masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa yang terlepas tidak akan kembali semula. Berapa banyak masa yang telah kita bazirkan sebelum ini perlu dihitung semula kerana kita tidak berupaya untuk mengembalikan semula masa yang telah berlalu.  Peribahasa ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadi, segala-galanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman

PMR MASIH KEKAL...!















Sumber: Utusan Malaysia 20/12/2013

INFO PMR 2013...!


































Sumber: Utusan Malaysia 20/12/2013

Monday, 23 December 2013

KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA...!



Kasihnya ayah ... sanggupkah berpisah...

INTERNET TERGENDALA...!

Mohamad Azemi Zawawi
Seminggu tanpa talian internet amat membosankan. Bermula 17 Disember - 23 Disember 2013, komunikasi internet di kawasan cikgu mengalami gangguan. Setelah membuat aduan di talian 100, cikgu dimaklumkan tentang kerosakan kabel SVC dan kerja-kerja pemulihan siap sepenuhnya pada hari ini. Sepanjang tempoh kerosakan itu, cikgu tidak dapat mengemaskinikan blog 'Sisi Bahasaku' dan sebarang kemusykilan dipohon ribuan kemaafan.

Harap maklum.
Cikgu Azemi

Thursday, 19 December 2013

SEMAK PMR 2013 SECARA ONLINE...!

Semak Online Keputusan Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM | Kini anda boleh membuat semakan secara online keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM ataupun STPM. Selain itu, anda juga boleh membuat semakan untuk peperiksaan percubaan, peperiksaan akhir, pertengahan atau awal penggal persekolahan. Anda hanya perlu mengikut beberapa langkah mudah untuk menyemak keputusan peperiksaan tersebut. SAPS telah menyediakan satu lagi kemudahan yang membolehkan pihak ibu bapa melihat prestasi peperiksaan pencapaian anak mereka. Sila klik menu pilihan di sebelah kiri dan masukkan ID pelajar di laman web SAPS:-

Semak Online Keputusan Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM
  • Sila layari laman web: http://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/index.php
  • Klik butang Semakan Ibu Bapa yang berwarna merah.
  • Masukkan No Kad Pengenalan atau Sijil Surat Beranak dan pilih sama ada Sekolah Rendah atau Sekolah Menengah dan seterusnya klik butang Semak Laporan.

SEMAKAN PMR 2013 SECARA SMS...!


Wednesday, 18 December 2013

SULALATUS SALATIN: KITAB ORANG MELAYU...!



Tidak ada kitab dalam kepustakaan orang Melayu yang lebih penting daripada Salatus Salatin atau Sejarah Melayu. Terdapat banyak versi kitab ini, khabarnya lebih 30, yang paling popular diusahakan oleh WG Shellabear. Seorang pengkaji dan penulis tempatan, A Samad Ahmad telah menerbitkan versi DBP yang membawa judul Salatus Salatin. Kitab ini dipercayai ditulis oleh seorang pujangga, sejarawan dan ilmuwan Melayu terkenal bernama Tun Sri Lanang. 

Sejarah Melayu memang patut menjadi bacaan wajib semua orang Melayu. Inilah kitab yang sebenarnya menggalurkan sejarah orang Melayu yang raja-rajanya dikatakan berasal daripada Iskandar Zulkarnaen hinggalah pada zaman Kerajaan Melayu Johor. Kitab ini bukan sahaja menumpukan perhatian pada kisah raja-raja dan orang-orang besar tetapi juga kisah rakyat jelata. 

Seperti juga halnya dengan Salasilah Melayu dan Bugis, Taufat al-Nafis dan Hikayat Raja-Raja Pasai, kitab Sejarah Melayu tidak boleh dilihat dalam konteks ‘sejarah’ hari ini. Kitab-kitab ini menggunakan pelbagai sumber termasuk mitos dan legenda bagi meriwayatkan sejarah. Adakalanya sukar diterima insiden atau episod yang digambarkan sebagai sejarah. Tetapi bahan-bahan yang dianggap tidak objektif dan tepat ini punya peranannya yang tersendiri. Oleh sebab itu kitab Sejarah Melayu dikategorikan sebagai historiografi Melayu. 

Dalam Sejarah Melayu, salah seorang daripada keturunan Iskandar Zulkarnaen bernama Sang Sapurba mengahwini Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun di Bukit Seguntang. Perkahwinan inilah yang memulakan ‘sumpahan’ raja-rakyat, di mana raja tidak boleh menzalimi rakyat dan rakyat tidak boleh menderhakai raja. Persetiaan inilah yang diguna pakai dalam konteks kesetiaan pemerintah dengan yang diperintah sehingga ke hari ini. 

Sejarah Melayu memancarkan nilai, pandangan dunia dan 'psyche' orang Melayu. Terlalu banyak peristiwa di dalamnya yang memberikan bayangan bagaimana legitimasi raja diperkukuh melalui mitos dan legenda. Terlalu juga terdapat banyak cerita penganiayaan yang dilakukan ke atas rakyat. Juga cerita tentang gagalnya orang Melayu menghormati kepandaian dan kecerdikan seperti yang berlaku pada budak yang menyelamatkan Singapura daripada dilanggar todak. 
Lihat sahajalah makna kesetiaan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dalam Sejarah Melayu. Berbeza dengan Hikayat Hang Tuah, teman Hang Tuah yang menderhaka adalah Hang Kasturi. Pengabdian Hang Tuah mutlak terhadap rajanya. Orang Melayu pada masa itu tidak ada pilihan melainkan bersetia pada rajanya. Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan malapetaka luar biasa. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Sang Rajuna Tapa yang belot di Singapura kerana membuka gerbang untuk kemasukan tentera Betara Majapahit, dia dan isterinya menjadi batu dan beras di rumahnya menjadi tanah. 

Terlalu banyak kisah dalam Sejarah Melayu yang hebat dan luar biasa, malah menjadi potensi bahan filem dan drama TV. Badang merupakan Hercules Melayu dengan kekuatannya. Semerluki, panglima Bugis yang bersumpah tidak akan ke Tanah Melayu sekiranya batu yang dicampakkan ke laut, timbul. Tun Jana Khatib dengan keilmuan yang hebat lalu dicemburui raja. Tun Kudu harus menyerah dirinya pada Tun Ali bagi membolehkan adiknya Tun Perak menjadi bendahara. Sultan Muzafir Shah pernah dibuang menjadi nelayan. Raja China menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka. Jangan lupa kisah pengkhianat Raja Mendeliar dan Si Kitul yang menyebabkan kehancuran Melaka. 

Sejarah Melayu juga memuatkan kisah Bendahara Seri Wak Raja yang membunuh diri kerana berasa malu apabila pintu ditutup orang sewaktu beliau hendak masuk menghadap. Bendahara ini ayah kepada Tun Kudu dan Tun Perak. Juga kisah Sultan Alauddin Shah yang turun padang melihat rakyatnya pada waktu malam. 

Minda Melayu tak banyak berubah 

Jangan lupa, penulis kitab ini mempunyai cara-cara yang tersendiri menyindir rajanya. Apabila Sultan Mahmud berkenankan Puteri Gunung Ledang, baginda bersedia sanggup menunaikan semua syarat yang dituntut, melainkan darah anaknya sendiri, Raja Ahmad. Sezalim-zalim Sultan itu, baginda tunduk pada Maulana Yusof yang enggan membuka pintu rumahnya melainkan Sultan mengatakan beliau “Fakir Mahmud.” 

Sejarah Melayu tidak lengkap tanpa drama, intrig, kisah percintaan, pengorbanan, pengkhianatan dan peperangan. Terlalu banyak yang boleh dipelajari daripada kitab ini. Nampaknya minda Melayu tidak banyak berubah daripada zaman yang diceritakan oleh Tun Sri Lanang dalam kitab ini. Melaka musnah kerana dengki dan dendam kesumat manusia yang berkepentingan. 

Dunia politik Melayu harus belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin dan pembesar dalam kitab besar dan bermakna ini.

Sumber: Ubah suai daripada Johan Jaafar, Berita Harian, 6/11/2013

Tuesday, 17 December 2013

FIKSYEN SAINS DALAM PENULISAN...!


BENGKEL penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan yang diadakan di Auditorium Universiti Malaysia Kelantan (UMP) baru-baru ini mendapat sambutan dalam kalangan penulis Kelantan.
Bengkel sehari itu sarat dengan ilmu dan petua bernas dalam penghasilan novel yang yang bercorak sains dan teknologi. Bengkel ini dibimbing oleh tokoh sastera iaitu Dr. Saleeh Rahamad, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas, Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar dan Prof Madya Dr. Lim Swee Tin.
Turut serta sebagai panel ialah Pengarah Penerbitan UTM Press, Dr. Kassim Thukiman dan timbalannya, Khalid Mazlan yang bersemangat menggamit penyertaan khalayak penulis merebut peluang berkarya dan menyertai sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi yang yang dimulakan sejak 2009.
Program seumpama ini seharusnya direbut oleh kepimpinan persatuan penulis sebagai aktiviti yang berharga dalam membina ilmu ahli-ahli tanpa perlu menampung sebarang kos kecuali pengangkutan untuk ke UMK.
Paling tidak, ganjaran hadiah yang ditawarkan iaitu RM15,000 untuk juara bagi novel fiksyen sains teknologi terbaik, tempat kedua RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000 menjadi penyuntik semangat untuk mencungkil bakat yang ada.
Seperti kata, Mazlan dalam ucapan pembukaan bengkel berkenaan, banyak insentif bakal diperoleh pemenang termasuk cetakan beroyalti sebanyak 3,000 naskhah. Selain itu ada cadangan untuk dijadikan teks Komsas sekolah menengah. Ini menjadi rebutan peminat sastera untuk menyemarakkan fiksyen bercorak sains dan teknologi dalam kesusasteraan tanah air.
"Kalau dahulunya, karya fiksyen sains dan teknologi boleh dihitung dengan jari biarlah kali ini kita sama-sama menjadi pendukung untuk mewarnai dunia kesusasteraan dengan genre moden berasaskan cereka sains tanpa mengabaikan mesej positif kepada khalayak pembaca," katanya.
Dr. Hashim dalam bicaranya mengenai Fiksyen Sains Dan Teknologi Musim Ke-3, Apa Yang Dicari berkata, kriteria pemilihan adalah berkaitan dengan ilmu sains dan teknologi sebagai penggerak plot naratif.
Manakala idealisme dan gagasan pemikiran lebih menjuruskan kepada usaha membentuk jati diri bangsa dan melahirkan masyarakat saintifik yang berinovasi.
Nilai kreativiti karya yang dibangunkan melalui reka cipta yang asli secara luwes dan fasih; nilai bahasanya indah, kreatif, imaginatif dan berkesan. Kuat menunjang temanya, bukan sahaja membawa makna cerita bahkan bahasa itu sendiri dilihat sebagai idea, pemikiran dan ideologi.
Nilai keseimbangan yakni karya terbina secara harmonis antara subjek dengan teknik pengolahan serta mampu menarik minat pembaca ialah taruhan utama setiap sayembara yang dianjurkan.
Beliau berkata, nilai kognitif pula mampu menjana daya penaakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik, mengemukakan pemikiran positif, bervariasi, ganda depan, memancar citra tempatan, nilai akhlak yang menyumbangkan pembinaan sahsiah dan menyanjungi kemurnian adab Timur.
Malah, katanya, nilai keprihatinan yakni karya peka terhadap aspirasi nasional, dinamika sosial dan isu kemanusiaan sejagat perlu diselitkan dalam penghasilan karya.
"Karya yang besar lazimnya membawa satu falsafah tentang kehidupan masa depan dengan ideologi tertentu. Ideologi itu dibahaskan dan dinilai kembali sebagai satu saringan ilmu yang diwacanakan.
"Oleh itu, adalah menjadi harapan supaya peserta sayembara tidak hanya memaparkan elemen sains dan teknologi sebagai penggerak naratif tetapi mampu menggerakkan satu idea yang lebih besar terhadap pembangunan manusia khususnya bangsa Malaysia," katanya.
Dr. Ahmad Zaki dalam bicaranya Memfiksyen Sains dan Teknologi berpegang kepada kata kunci bahawa penulis mencipta teknologi tanpa kekangan bahan, masa dan ruang malah mampu berimaginasi menerjah alam futuristik untuk mencipta teknologi.
Justeru, katanya, pengkarya atau penulis juga mampu menzahirkan ilham yang pelbagai dalam bentuk sastera dengan melampaui rakaman fakta dan realiti dan menjadikan hasilnya sebagai wadah fiksyen yang ilmiah unsurnya dan berkesan menyampaikan ilham agung serta mesej yang tersirat.
Menurutnya, ilusi imaginasi ialah kejayaan pengkarya menggunakan elemen seni untuk memanjangkan imaginasi pembaca dan pada masa yang sama pembaca perlu percaya dan yakin spekulatif sains dan teknologi yang diceritakan dalam novel mungkin boleh berlaku secara saintifik dalam persekitaran komuniti mereka.
"Cipta teori atau hukum sains dan teknologi baru untuk dijadikan persoalan menarik dalam novel fiksyen sains dan teknologi boleh digarapkan dengan mewujudkan pertentangan dengan teori asal (antitesis), mencipta teori yang belum pasti kesahihannya, menukar elemen dalam teori asal, menukar persekitaran atau menerapkan teori asal pada aplikasi yang belum pernah digunakan adalah pendekatan bijak menghasilkan karya fiksyen yang berkualiti.
"Penghasilan karya ini tidak seharusnya bergantung kepada imaginasi tetapi masih perlu berpaut kepada kajian dan penyelidikan, merujuk buku, ensiklopedia dan sebagainya ," ujarnya.
Dr. Ahmad Zaki berkata, contoh perwatakan bagi karya fiksyen sains dan teknologi mungkin boleh diserlahkan seperti protagonis dan antagonis yang membabitkan watak manusia, robot, komputer atau makhluk asing.
Dr. Lim Swee Tin pula dalam bicaranya Menjengah Kekuatan Kkarya Pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-2 berkata, novel adalah rakaman wacana dalam kehidupan. Seawal huruf sehinggalah pengakhirannya novel memerihalkan sebuah pemikiran.
Novel sains dan teknologi, katanya, secara mudah boleh difahami sebagai karya yang menggunakan tema yang bersangkutan dengan bidang sains dan secara relatifnya masih baharu di persada kesusasteraan.
Ini sewajarnya perbanyakkan peneroka dan penggeraknya yakni warga karyawan sendiri serta mereka yang meminatinya.
Beliau turut membicarakan skop kreatif dalam penghasilan novel, kriteria nilai dan kesan karya; kekuatan karya musim pertama, kesepaduan elemen struktur karya, perincian elemen struktur novel, ketelitian sebagai satu teknik penggarapan dan panjang lebar kupasan mengenai novel Equilibria hasil karya Sri Rahayu Mohd. Yusop yang memenangi tempat kedua.
Sementara itu, Dr. Saleeh Rahamad memperkatakan etika, ideologi, nilai dan idealisme, undang-undang, agama, khurafat dan politik dalam bicaranya yang bertajuk Paksi Cereka Sains; Etika, Ideologi dan Nilai.
"Novel yang dicari bukanlah sebuah alam utopia, sebuah dunia antah berantah sehingga menjangkau latar waktu masa depan tetapi cukuplah dengan dunia masa kini yang latarnya yang kita kenali. Yang utama ialah penjelasan sains dalam perkara yang menggerakkan plot dan memadai juga dengan pengetahuan sains yang sedia ada.
"Tujuannya adalah untuk mendekatkan pembaca dengan dunia sains dan mereka dapat memahami misteri dalam alam sains. keghairahan untuk mencari dunia asing dan latar masa depan hanya akan memerangkap teks ke dalam genre fantasi," katanya.
Keseluruhannya bengkel ini adalah ruang awal untuk bertatih sementara sayembara adalah taruhannya. Dengan petua dan laras yang diberikan oleh ahli panel memudahkan peserta menepati kriteria yang diperlukan oleh sayembara ini.


Sumber: Ubah suai dari Utusan Malaysia, 15/12/2013


Saturday, 14 December 2013

JOM BAYAR ZAKAT GAJI...!

Takrifan Zakat Pendapatan

Menurut Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr. Hussein Shahatah, zakat gaji dan pendapatan diistilahkan sebagai zakat al-Mal al-Mustafad iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional.

Takrif Zakat Gaji dan Pendapatan

Zakat Gaji dan Pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli profesional.

Terdapat dua kaedah mengira zakat pendapatan iaitu:

RMRM
Cara 1Pendapatan Kasar Setahun x 2.5% (jika melebihi nisab)
Contoh: RM30,000.00 x 2.5%750
Cara 2Pendapatan Yang Layak di Zakat x 2.5% (setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan)
Contoh:
A. PENDAPATAN dari sumber seperti elaun, bonus, dividen yang diterima (setahun)30,000
B. TOLAK PERBELANJAAN yang dibenarkan (setahun)
1. Diri8,000
2. Isteri3,000
3. Anak 4 orang x RM1,0004,000
4. Pemberian kepada ibu bapa (contoh: RM100 A * 12)1,200
5. KWSP (contoh: 11%)3,300
6. Caruman ke organisasi / koperasi / institut kewangan yang membayar zakat bagi pihak pencarum dan pendeposit (contoh: Lembaga Tabung Haji)900
Jumlah Tolakan20,400
C. PENDAPATAN YANG LAYAK DIZAKAT (A - B)9,600
D. ZAKAT YANG WAJIB DIBAYAR (kerana C lebih dari nisab) RM9,600 A— 2.5%240
E. JUMLAH POTONGAN GAJI ZAKAT SEBULAN (RM240 A/12 bulan)20

KULIAH PAGI...!

Friday, 13 December 2013

PENJODOH...!



INFO:- 
  • Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan.
  • Penjodoh bilangan digunakan untuk mengelaskan sesuatu benda mengikut bentuk, rupa, saiz, dan sebagainya.
  • Yang berikut ialah beberapa contoh penjodoh bilangan serta penggunaannya.
Penjodoh Bilangan
Penggunaan
baris
Untuk benda yang bersusun atau orang yang beratur seperti kedai, pokok, orang dan sebagainya
batang
Untuk benda yang panjang seperti kayu, pokok, sungai, pen, dan sebagainya
biji
Untuk benda yang kecil-kecil seperti telur, manik, buah-buahan, dan sebagainya
cucuk
Untuk benda-benda yang dicucuk seperti sate, buah-buahan, dan sebagainya
das
Untuk bunyi tembakan senapang atau meriam
ekor
Untuk haiwan sepeti kucing, monyet, lembu, dan sebagainya
gugus
Untuk pulau atau buah-buahan seperti anggur, rambutan, dan sebagainya
ikat
Untuk benda-benda yang diikat seperti kayau, buah-buahan, sayur-sayuran, dan sebagainya
jambak
Untuk benda yang dalam bentuk karangan atau berangkai-rangkai seperi bunga, anak kunci, buah-buahan, dan sebagainya
keping
Untuk benda yang nipis dan pipih seperti roti, papan, gambar, dan sebagainya
ketul
Untuk benda-benda yang berketul dan padu seperti batu, ais, arang, dan sebagainya
laras
Untuk senjata api seperti senapang, meriam, dan sebagainya
lembar
Untuk benda yang panjang dan halus seperti benang, tali, dan sebagainya
pasang
Untuk benda-benda yang berpasangan seperti baju, anting-anting, kasut, dan sebagainya
sikat
Untuk pisang
ulas
Untuk isi buah seperti durian, cempedak, nangka, dan sebagainya
utas
Untuk benda yang panjang dan dapat digulung seperti rantai, dawai, tali, dan sebagainya

Thursday, 12 December 2013

KEPUTUSAN PMR 19 DIS...!

Keputusan PMR 2013 akan diumumkan pada 19 Disember 2013 iaitu lebih kurang seminggu dari sekarang. Jika benar-benar berlaku, mungkin boleh menjadi satu rekod keputusan terawal PMR oleh Lembaga Peperiksaan. Kebiasaannya tarikh pengumuman keputusan PMR sekitar 25 Disember ataupun pada hujung-hujung bulan Disember.
Apa-apa pun, semua calon PMR 2013 diharapkan bersabar dan yang beragama Islam, jangan lupa perbanyakkan solat sunat Hajat dan membaca al-Quran. Selepas solat fardu, bacalah doa-doa untuk memohon pertolongan daripada Allah yang maha kuasa.

Amin.

KPPM BAHARU...!


YBhg. Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,
Kementerian Pendidikan Malaysia


Warga Kementerian Pendidikan Malaysia mendapat ketua baharu. Pelantikan beliua berkuat kuasa mulai 8 Disember 2013. Beliau ialah YBhg. Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof.

Tahniah,
Semoga KPM terus cemerlang di bawah pentadbiran Datuk.

Wednesday, 11 December 2013

LUBUK PERIBAHASA...!

  • belakang parang jika diasah nescaya tajam= seseorang yang bodoh akan jadi pandai juga jika diajar dengan betul
  • seperti ular kena palu= keadaan yang bengkang-bengkok
  • seperti rumput di tepi jalan= orang yang hina dan dipandang rendah
  • jikalau ular menyusur akar tiada akan hilang bisanya= seseorang yang berkedudukan tinggi tidak akan jatuh darjatnya jika bergaul dengan orang biasa
  • seperti kera mendapat bunga = orang yang tidak menghargai pemberian / pertolongan orang
  • si kudung mendapat cincin = beroleh untung tapi tidak dapat merasai nikmatnya
  • orang buta diberi bersuluh = perbuatan yang sia-sia
  • orang mengantuk disorongkan bantal = mendapatkan sesuatu yang dihajati mestilah gembira
  • bagai dakwat dengan kertas = tidak pernah berpisah, pasangan yang cocok
  • seperti embun di hujung rumput = kasih sayang yang tidak kekal
  • seperti ikan di dalam belat = keadaan yang sesak
  • seperti ikan pulang ke lubuk = orang yang balik ke tempat asal dan tidak mahu ke mana-mana lagi
  • besar periuk besar keraknya = besar pendapatan, besar perbelanjaannya
  • hujung lurus, pangkal berkait = orang yang zahirnya nampak baik tapi hatinya tidak
  • jauhari yang mengenal manikam = hanya orang yang bijaksana saja tahu kelebihan sesuatu ilmu
  • jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya = hendaklah berusaha untuk mendapat apa yang dihajati
  • rumah sudah siap, pahat berbunyi = mula bercakap-cakap (tidak puas hati) selepas sesuatu kerja telah siap
  • ukur baju di badan sendiri = membuat sesuatu biarlah sepadan dengan kemampuan diri
  • baik berjagung-jagung sementara padi belum masak = membuat kerja sambilan sebelum mendapat kerja sebenar
  • belum duduk sudah berlunjur = belum mendapat apa yang dihajati sudah mula berasa gembira / puas
  • biar putih tulang, jangan putih mata = sanggup mati daripada menyerah kalah
  • segan berkayuh, perahu hanyut = malas berusaha pasti tidak akan berjaya
  • bagai anjing buruk kepala = orang yang diketahui kejahatan akan dibenci orang
  • bagai bulan jatuh ke riba = mendapat untung besar
  • bagai hujan jatuh ke pasir = perbuatan yang sia-sia
  • bagai kucing dibawakan lidi = orang yang ketakutan
  • gajah mati, tulang bertimbun = orang kaya mati pasti banyak meninggalkan harta
  • diam penggali berkarat = ilmu yang disimpan saja, lama-lama akan hilang
  • patah kemudi perahu hanyut = apabila hilang pemimpin maka akan jadi kacau-bilau rakyat jelata
  • seperti hujan jatuh ke pasir = nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu kerja yang sia-sia
  • seperti air di dalam kolam = orang yang tenang sikap dan tingkah lakunya
  • ada sampan hendak berenang = sengaja menyusahkan diri
  • burung terbang dipipiskan lada = sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh
  • darah setampuk pinang = orang yang belum berpengalaman
  • nasi sudah menjadi bubur = sudah terlanjur, tidak dapat diubah lagi
  • menarik rambut di dalam tepung = bersikap bijaksana dan berhati-hati dalam menyelesaikan masalah
  • bagai lebah menghimpun madu = sangat rajin
  • bagai murai tercabut ekor = perempuan yang suka bercakap banyak
  • di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung = hendaklah kita menurut adat dan aturan di tempat yang kita tinggal

Tuesday, 10 December 2013

SEMAKAN ONLINE KE SBP 2014...!

Semakan Tawaran Pelajar Tingkatan 1 ke Sekolah Berasrama Penuh 2014


Bagi ibu bapa / penjaga mempunyai anak yang memohon ke sekolah berasrama penuh, bolehlah membuat semakan / rayuan mulai sekarang. Berikut ialah  link untuk semakan Pelajar Tingkatan 1(2014) ke Sekolah Berasrama Penuh :



Sila Masukkan Angka Giliran UPSR 2013 dan Klik Butang Semakan

PROMOSI III