ESEI: BELAKANG PARANG SEKALIPUN JIKA....!


SOALAN:
Tulis sebuah cerita berdasarkan maksud peribahasa 'Belakang parang sekalipun jika diasah akan tajam jua.' Panjang karangan anda hendaklah melebihi 180 patah kata.

          "Sudah tiga kali kamu kandas dalam ujian Bahasa Melayu. Soalan yang saya kemukakan hanya soalan-soalan asas tatabahasa yang mudah. Jika kamu sedar bahawa kamu lemah dalam tatabahasa, mengapa kamu tidak bertanya kepada rakan-rakan ataupun saya?" Tanya Cikgu Azemi dengan nada yang agak keras. Afiq hanya diam membatu. Dia agak takut dan malu ditengking oleh cikgu di depan rakan sekelas. Dalam hatinya dia bertekad untuk berubah dan lebih bersungguh-sungguh belajar terutamanya subjek Bahasa Melayu.

          Sejak kejadian itu, perangai dan sikap Afiq berubah tiga ratus enam puluh darjah. Dia tidak lagi bersikap seperti melepaskan batok di tangga ketika guru-guru sedang mengajar. Afiq memberikan tumpuan yang penuh terhadap pelajaran yang disampaikan oleh cikgu-cikgunya. Dia juga rajin mencatat nota dan tip-tip yang diberikan oleh cikgunya. Masa yang terluang digunakan untuk membuat latihan mengulang kaji pelajaran terutamanya bidang tatabahasa yang sering kali menjadi duri dalam daging kepadanya. 
Selain itu, Afiq juga sering bertanyakan rakan-rakan serta cikgunya jika dia menghadapi masalah dalam pembelajaran. Dia ingin membuktikan bahawa dia boleh berjaya dalam pelajaran seperti rakan-rakannya.

             Perubahan ketara yang berlaku pada Afiq disedari oleh rakan-rakannya. Sesetengah rakan karibnya tidak selesa dengan apa yang berlaku. Pelbagai sindiran dan cemuhan yang dilemparkan kepadanya. Namun demikian, Afiq tetap bersabar. Dia sedar untuk berjaya, dia terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri. Dia yakin bahawa dia akan berjaya pada suatu hari nanti.

          Kini, peperiksaan akhir tahun bermula. Sepanjang masa peperiksaan itu, Afiq menjawab setiap soalan dengan penuh yakin kerana dia telah membuat persediaan yang rapi. Dia tidak menghadapi masalah ketika menjawab soalan-soalan peperiksaan, terutamanya subjek Bahasa Melayu. 

        Apabila keputusan peperiksaan Bahasa Melayu diumumkan, Afiq tersenyum gembira. Cikgu Azemi menghampirinya dan menepuk-nepuk bahunya. Dia mendapat markah tertinggi dalam subjek tersebut. Cikgu Azemi mengucapkan tahniah atas kejayaan Afiq dan meminta semua pelajar lain mencontohi sikap Afiq yang rajin berusaha walaupun pada mulanya dia seorang pelajar yang lemah terutamanya dalam tatabahasa.

          "Contohilah sikap Afiq. Berpeganglah pada peribahasa belakang parang sekalipun, jika diasah akan tajam jua". kata Cikgu Azemi.


Comments

Popular Posts