PENAJA

RAKAN ILMU

Friday, 28 February 2014

ESEI: LANGKAH BERJIMAT CERMAT...!

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan semakin ketara dan sukar dikawal. Peningkatan harga bahan bakar dunia menyebabkan segala kos yang membabitkan kehidupan manusia mengalami peningkatan di luar jangkaan. Fenomena ini semestinya memberikan kesan negatif kepada manusia yang berperanan sebagaikelompok pengguna, lebih-lebih lagi mereka yang tergolong dalam golongan miskin dan sederhana.
Bagi mengurangkan kesan-kesan akibat peningkatan kos sara hidup ini, pelbagai langkah berjimat cermat perlu dilaksanakan. Antaranya:-
  • Mengawal dan mengurangkan penggunaan kad kredit dalam perbelanjaan harian supaya dapat mengelakkan sifat boros.
  • Berbelanja mengikut keperluan bukannya mengikut nafsu.
  • Hanya membeli barang keperluan utama dan membelinya secara borong.
  • Mengurangkan amalan makan di luar.
  • Mengurangkan penggunaan peralatan elektrik di rumah.
  • Menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta.
  • Rakyat berpendapatan rendah dan sederhana digalakkan melakukan kerja sampingan.
  • Ahli rumah perlu mengurangkan penggunaan air, permainan komputer, atau aktiviti yang melibatkan kos bayaran.
  • Menggalakkan masyarakat melancong di dalam negara sendiri.
  • Pihak kerajaan perlu mengelakkan projek-projek yang menelan belanja yang besar.
  • Kerajaan juga mengurangkan perbelanjaan mengurus; mesyuarat diadakan di pejabat bukannya hotel-hotel.
  • Bank Negara menaikkan kadar keuntungan bagi setiap simpanan dan pelaburan pelanggan bank.
  • Pihak kerajaan mestilah memperkenalkan langkah-langkah mengawal kenaikan harga barangan seperti mewujudkan lebih banyak kedai 1Malaysia, wang BR1M dan seumpamanya.
  • Rakyat digalakkan mencari peluang-peluang baharu untuk menambahkan pendapatan.
  • Kempen jimat cermat perlu dilaksanakan sepanjang masa.


Thursday, 27 February 2014

ESEI: USAHA MENANGANI MASALAH OBESITI...!


PENDAHULUAN:-
Kaji selidik yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat negara kita menghadapi masalah obesiti. Hal ini demikian dikatakan berlaku akibat peningkatan dalam taraf hidup serta gaya hidup rakyat kita yang kurang peka terhadap penjagaan kesihatan.

IDEA-IDEA / ISI-ISI:- (usaha-usaha menangani...)
  • Memberikan pendidikan tentang kepentingan penjagaan kesihatan.
  • Ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak agar sentiasa bersenam untuk menjaga kesihatan.
  • Mengelak daripada makan di luar.
  • Ibu bapa perlu menyediakan makanan sendiri yang sihat di rumah.
  • Pengusaha makanan mestilah menyediakan makanan yang berkhasiat untuk pelanggan.
  • Kurangkan kunjungan ke premis yang menjual makanan segera.
  • Mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak, manis dan banyak karbohidrat.
  • Mengaturkan jadual pemakanan yang sihat dan seboleh-bolehnya tidak mengambil makanan berat pada waktu malam.
  • Masyarakat perlu diberikan kesedaran tentang bahaya obesiti yang menjadi punca utama pelbagai jenis penyakit.
  • Ibu bapa mesti mengawal pemakanan anak-anak di rumah.
  • Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama menjalankan kempen pengambilan makanan seimbang dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
  • Masyarakat perlu diberikan motivasi supaya menjadikan aktiviti riadah, bersenam bersama-sama keluarga sebagai amalan harian.
  • Individu yang menghadapi masalah obesiti hendaklah cepat-cepat mendapatkan rawatan.
  • Pihak bertanggungjawab hendaklah mengawal kebanjiran makanan segera dan makanan ringan di pasaran.

ESEI: USAHA MEMAJUKAN KRAF TANGAN...!


PENDAHULUAN:-

Pertambahan pengusaha barangan kraf tangan sejak belakangan ini membuktikan bahawa kegiatan hiliran itu berdaya saing dan berpotensi sebagai pemangkin perkembangan ekonomi negara. Pengeluaran barangan kraf tangan sebelum ini hanyalah merupakan perusahaan kecil-kecilan dan berasaskan keluarga. Peningkatan permintaan bagi barangan kraf tangan yang semakin ketara ini memberikan gambaran bahawa barangan tersebut berkualiti serta memiliki keunikan dan keindahan daya cipta asli yang menepati cita rasa terkini.

ISI-ISI / IDEA-IDEA:-
  • Kerajaan melaksanakan program menjadikan industri kraf tangan sebagai punca pendapatan penduduk luar bandar secara berterusan.
  • Pengusaha wajar melaksanakan beberapa strategi membabitkan kawalan kualiti, produktiviti, kawalan harga serta kaedah pemasaran.
  • Pengusaha mestilah kreatif menghasilkan barangan kraf yang menarik, mengikut cita rasa pembeli yang berteraskan nilai budaya masyarakat yang unik.
  • Pengusaha perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membuat penyelidikan mengenai kecenderungan pembeli dan kehendak pasaran.
  • Penggunaan peralatan moden seperti mesin dan perkakas moden membantu meningkatkan pengeluaran kraf tangan yang bermutu.
  • Kerajaan seharusnya membantu golongan pengusaha dengan cara menyediakan modal, menyediakan pasaran yang lebih luas.
  • Pihak kerajaan dan swasta membantu mempromosikan barangan kraf tangan di semua peringkat.
  • Kerajaan melalui agensi tertentu menyediakan kursus latihan kepada sesiapa yang berminat dalam menceburi bidang ini.
  • Pihak kerajaan dan pengusaha perlu mengawal harga dengan cara menghapuskan peranan orang tengah.
  • Pihak bertanggungjawab menggalakkan pengusaha mengembangkan perniagaan bukan sekadar di peringkat desa dan kampung tetapi juga di bandar-bandar besar.
  • Kerajaan dan pihak swasta sering menganjurkan pameran-pameran barangan kraf tangan di dalam mahupun di luar negara.
  • Sektor korporat dan agensi kerajaan seharusnya menjadikan barangan kraf tangan negara sebagai hadiah cenderamata syarikat.
  • Pihak kerajaan mestilah mengawal kemasukan barangan kraf dari luar negara.
  • Laksanakan kempen membeli barangan kraf tempatan.


ESEI: PENGARUH KE ATAS REMAJA...!

Banyak orang berpendapat bahawa perubahan sikap dan pegangan remaja pada hari dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang berpengaruh, antaranya:-
  • Pengaruh luar dari Barat contohnya yang membawa kepada transformasi budaya liar;
  • Pengaruh budaya hedonisme;
  • Pengaruh permainan video canggih seperti 'Playstation'
  • Pengaruh cakera padat video (VCD) lucah;
  • Pengaruh majalah picisan yang berlambak di pasaran;
  • Kecanggihan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang melampaui batas;
  • Dasar langit terbuka menerusi kemudahan internet;
  • Televisyen yang merupakan medium yang paling berpengaruh merobah jiwa remaja;
  • Penampilan selebriti yang songsang seperti artis lelaki bersubang, berambut panjang, terbabit dengan dadah dan pergaulan bebas;
  • Pengaruh ajaran sesat;
  • Pengaruh daripada gerakan kebebasan, liberalisme;
  • Pengaruh daripada rakan sebaya yang songsang pegangannya;
  • Pengaruh filem;
  • Pengaruh daripada kehidupan masyarakat sekitar yang terlalu mementingkan kebendaan dan keseronokan.

Wednesday, 26 February 2014

SEMAK STATUS MOHON TG.4 AMBILAN 2 SBP...!

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan Empat Ambilan Kedua Tahun 2014 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (menu Aplikasi Berkala)  bermula 24 Februari 2014 (Isnin).
Harap maklum.
Sila klik alamat di bawah untuk mengetahui status permohonan anda.

Tuesday, 25 February 2014

PERIBAHASA SPM...!

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan di bawah.

Walaupun dia pendiam, namun prestasinya dalam pelajaran amat membanggakan. Untuk mencapai sesuatu kejayaan pula, kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana jika kita mempunyai cita-cita yang tinggi, sudah tentu kita akan berjaya. Ada sesetengah orang pula mengemukakan pelbagai alasan jika tidak berjaya dalam pelajarannya. Ada sesetengahnya pula akan melakukannya dengan pelbagai cara untuk berjaya.
  1. Diam-diam ubi berisi, diam-diam penggali berkarat.
  2. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. /Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. /Genggam bara api biar sampai jadi arang.
  3. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Dalam kehidupan kita, kita akan dapat melihat pelbagai ragam manusia. Hal ini demikian kerana setiap manusia mempunyai tabiat yang berbeza-beza. Oleh hal itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk membentuk anak mereka supaya menjadi baik atau sebaliknya. Perangai atau kelakuan anak biasanya mengikut orang yang mendidiknya. Jika tidak dididik dengan baik, anak-anak boleh menyebabkan ibu bapa mendapat malu.
  1. Banyak udang, banyak garam; banyak orang, banyak ragam.
  2. Anak ibarat kain putih. /Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
  3. Menconteng arang ke muka.

Monday, 24 February 2014

KAH...KAH...!

Pagi tadi cikgu ada menerima SMS daripada Norhashimah, katanya dari Sarawak yang bertanyakan masalah penggunaan partikel ‘kah’ dalam ayat tanya.
JAWAPANNYA:-
  • Ayat tanya digunakan untuk menanyakan sama ada tempat, benda, cara, sebab dan sebagainya.
  • Ayat tanya biasanya menggunakan kata ganti tanya seperti:
  1. apa  > menanyakan benda atau binatang
  2. siapa  > menanyakan manusia
  3. mana  > menanyakan tempat
  4. berapa  > menanyakan jumlah
  5. mengapa  > menanyakan sebab
  6. bagaimana  > menanyakan cara
Kebiasaannya ayat tanya disertakan dengan partikel ‘kah’ untuk menjelaskan maksud dan penggunaan partikel ‘kah’ sebenarnya tidaklah WAJIB. Cuma jika disertakan ‘kah’, ayat tanya tersebut menjadi lebih sempurna.
CONTOH AYAT TANYA:-
  • Siapakah nama awak?   √
  • Siapa nama awak?  √
  • Siapa nama awakkah?  X
HARUS diingat partikel ‘kah’ TIDAK boleh diletakkan di akhir atau penghujung ayat.

Sunday, 23 February 2014

GURU TAK PERLU GUNA PBS...!

Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof
KUALA LUMPUR 23 Feb. -   Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
"KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.
Selain itu, antara tindakan yang diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
"War Rooms PBS di peringkat KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari semasa ke semasa," katanya.
KPM juga sedang melaksanakan usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih mudah dan berkesan.
Beliau juga memaklumkan bahawa KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Feb lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
KPM juga, katanya, telah mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.
"Kesemua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang melaksanakannya," katanya.
Sumber: BERNAMA

HOKI DAN MESYUARAT LEMBAGA...!

Hampir seminggu cikgu tidak mengemaskinikan SISI BAHASAKU dan mungkin ini telah menimbulkan tanda tanya kepada pengunjung setia blog ini. Sebenarnya pada minggu lepas, cikgu terpaksa menempuhi hari-hari yang benar-benar sibuk sehinggakan tiada sedikit kesempatan pun untuk cikgu membuka blog sendiri. 
Bermula 17 - 19 Februari 2014, cikgu terpaksa menghadiri Mesyuarat Lembaga Peperiksaan di Hotel Permai, Kuala Terengganu dan selepas tamat sahaja mesyuarat di Kuala Terengganu, cikgu sebagai jurulatih pasukan hoki lelaki dan perempuan Faris Petra, terpaksa pula ke Kuantan kerana menyertai Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Zon Timur 2014 bermula 19 - 23 Februari 2014.
Jam 10.30 malam tadi baru cikgu tiba di rumah.
Syukur alhamdulillah, pasukan bimbingan cikgu muncul sebagai juara bagi kategori perempuan dan naib juara bagi kategori lelaki.
Selepas mengharungi masa yang memenatkan, insya-Allah, jika diizinkan Allah cikgu akan mula mengemaskinikan blog kesayangan cikgu ini secepat mungkin.

Sunday, 16 February 2014

MELEWATI...!

Perkataan melewati berasal daripada perkataan lewat yang bermaksud lambat, akhir atau hampir-hampir, lampau, lanjut, larut, melampaui waktu dan menerusi. Contoh penggunaan dalam ayat ialah:-
  1. Mereka lewat datang ke kelas. (lambat)
  2. Usianya sudah lewat. (lanjut)
  3. Musim menuai sudah lewat. (selesai)
  4. Dia balik agak lewat malam. (akhir)
Apabila menerima imbuhan apitan meN-i, perkataan tersebut juga membawa pelbagai maksud seperti melalui, melintasi, melebihi had, melebihi (umur), dan menempuhi. Contoh penggunaan dalam ayat ialah:-
  1. Kami berjalan melewati bangunan bersejarah itu. (melintasi)
  2. Ketika melewati kawasan itu, saya terdengar satu suara yang menyeramkan. (melalui)
  3. Dia melewati soalan yang sukar itu dengan berhati-hati. (menempuhi)
  4. Usianya sudah melewati setengah abad. (melebihi)
  5. Dia jarang-jarang bangun melewati pukul 7.00 pagi. (melebihi had)

Saturday, 15 February 2014

SINOPSIS SUTERA DALAM LUKISAN (BAB 6)...!

BAB 6: PASANG UMPAN

  • Harun memberitahu Sidang Saman akan haknya yang ingin dituntut daripada bekas isterinya, Fatimah. Sidang Saman meminta Harun berjumpa dengan kadi dan pegawai agama untuk mengemukakan haknya. (perwatakan)
  • Kata-kata Sidang Saman membuatkan air muka Harun merah padam. Dia menyedari bahawa dia tidak akan mendapat apa-apa yang dihajatinya. Tujuannya untuk mendapatkan timbang rasa dan kerjasama Sidang Saman belum tentu tercapai. Terdetik di hatinya untuk menyogok Sidang Saman sekiranya ketua kampung itu sanggup membantunya. (perwatakan)
  • Sidang Saman memberitahu tanah sawah dengan tapak rumah itu tidak sampai dua ekar dan itu sahajalah harta atas nama arwah Fatimah. Tanah dusun yang ada itu tetap atas nama ayah Hafiz. Tapak rumah pula telah dijual oleh Harun tetapi belum ditukar nama lagi. Sidang Saman mempersoalkan yang mana lagi hak yang ingin dituntut oleh Harun. (dialog)
  • Harun meminta tandatangan Sidang Saman untuk dia berkuasa di atas tanah sawah dan tapak rumah itu walaupun tanah itu telah dijualnya. Sidang Saman menyedari perkara salah yang akan dilakukan oleh Harun. Harun menunjukkan keramahannya di hadapan Sidang Saman tetapi tersembunyi rahsia peribadinya yang sebenar. (perwatakan)
  • Harun menjual tanah itu dengan harga RM4 ribu tanpa sebarang surat dan resit. Nama Fatimah masih tetap pada geran itu. Jika dia berkuasa ke atas tanah itu, dia akan membayar balik RM4 ribu dan ditambah dua ribu lagi kepada Wak Senen.
  • Sidang Saman mempersoalkan wang yang akan diperoleh Harun untuk membayar kepada Wak Senen. Harun menyatakan perkara itu tidak menjadi masalah kepadanya.
  • Sidang Saman menyedari muslihat Harun dan menanyakan Harun tentang harga semasa tanah itu jika dijual sekarang ini. Harun menyatakan lebih kurang RM25 ribu akan diperoleh jika menjual harta itu.
  • Sidang Saman menyarankan supaya Harun berjumpa dengan Hafiz kerana Hafiz juga ada hak ke atas tanah itu. Harun meminta supaya Sidang Saman memujuk Hafiz kerana Hafiz tidak mahu bertemu dengannya. Sidang Saman menyarankan supaya Harun mendapatkan tandatangan Hafiz supaya hasratnya tercapai. Harun bersetuju tanpa menyedari bahawa Sidang Saman juga mempunyai muslihat tertentu. (dialog)
  • Mak Lamah memarahi Sidang Saman kerana menyebelahi Harun. Sidang Saman menyarankan Mak Lamah supaya tidak membuat sangkaan buruk terhadapnya kerana dia tahu untuk menguruskan hal Harun. (perwatakan)
  • Mak Lamah tidak dapat tidur memikirkan hal perbualan antara suaminya dengan Harun. Dia memikirkan suaminya akan menjadi fasik seperti Harun yang cuba membelakangkan hukum syarak dalam mengendalikan harta anak yatim. (monolog dalaman)
Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman

Friday, 14 February 2014

MARCAPADA INI, MUTAKHIR INI...!

Sebelum ini cikgu ada membincangkan kesalahan penggunaan 'penanda wacana' dalam penulisan karangan. Kecenderungan pelajar untuk menggunakan 'penanda wacana' yang difikirkan 'hebat' adalah kerana mereka beranggapan bahawa pemeriksa akan memberikan markah yang baik khusus untuk penanda wacana yang digunakan. Untuk makluman pelajar, sebenarnya tidak ada peruntukan markah yang khusus untuk penggunaan penanda wacana, lebih-lebih lagi penanda wacana yang tidak sesuai atau sama sekali tidak boleh digunakan.
Penanda wacana seperti 'mutakhir ini' dan 'marcapada ini' sering digunakan oleh pelajar, walhal penggunaannya benar-benar SALAH dan tidak menepati peraturan bahasa yang baku.

  • Mutakhir misalnya merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 bermaksud terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu dan kemas kini. Contoh penggunaan dalam ayat ialah:-
  1. Berita mutakhir (terbaharu) tentang penculikan itu akan disiarkan oleh Buletin TV3.
  2. Buku Kamus Dewan Edisi ke-4 menjadi rujukan mutakhir (terakhir) kepada pelajar-pelajar.
  3. Mutakhir (Akhir-akhir ini), ramai pelajar terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Cuba analisis pula contoh ayat yang menggunakan perkataan 'mutakhir ini' di bawah:-
  1. Sejak mutakhir (akhir-akhir ini) ini, gejala sosial semakin menular dalam kalangan pelajar.- Penggunan kata 'ini' berulang-ulang. - SALAH
  • Begitu juga dengan penggunaan 'marcapada' yang bermaksud dunia sekarang ini. Jadi jika pelajar menggunakan kata 'marcapada' dengan kata 'ini', maka terlahirlah ayat seperti di bawah:-
  1. Marcapada (Dunia sekarang ini) ini, ramai pelajar suka akan hiburan. - Pengulangan kata ini - SALAH
  • Penggunaan yang betul kata marcapada ialah:-
  1. Diharapkan dengan kursus seperti ini para remaja tidak akan terpedaya dengan marcapada yang penuh dengan pancaroba.


RENUNGKAN...!

Wednesday, 12 February 2014

KK TANPA IMBUHAN...!


BINA AYAT DARIPADA KATA KERJA TANPA IMBUHAN
Untuk menjawab soalan 3(a), 1103/2 ; Bahasa Melayu Kertas 2 SPM, calon-calon dikehendaki membina ayat daripada perkataan yang diberikan tanpa melakukan apa-apa perubahan pada kata tersebut seperti menambahkan atau membuang imbuhan, menggunakan kata tersebut sebagai peribahasa atau menjadikannya sebagai kata nama khas. Hal ini demikian, kadang-kadang boleh mendatangkan masalah kepada calon-calon tertentu. Mereka secara sedar atau tidak sedar akan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
Silat amati contoh kesalahan di bawah.
  • beli
  1. Saya beli buku itu di kedai koperasi sekolah. (sepatutnya Saya membeli....)
  2. Buku itu dibeli oleh saya di kedai koperasi. (sepatutnya dibeli oleh mereka...)
Dua contoh ayat yang dibina menggunakan kata 'beli' di atas adalah SALAH dan TIDAK GRAMATIS.

Seharusnya calon-calon sedar bahawa untuk membina ayat BETUL ketika menggunakan kata kerja tanpa imbuhan adalah dengan cara :-
  • membina ayat perintah; contoh -
  1. Sila beli buku di koperasi sekolah @
  2. Jangan beli buku di kedai itu kerana hanrganya sangat mahal.
  •  membina ayat pasif diri pertama atau kedua; contoh -
  1. Buku itu saya beli di kedai koperasi sekolah. @
  2. Buku itu awak beli di mana?
  • membina ayat cakap ajuk; contohnya -
  1. Ali: "Saya beli buku itu di kedai koperasi sekolah."


Saturday, 8 February 2014

IMBUHAN APITAN KATA GANDA...!

Bagi sesetengah pelajar, kata ganda yang menerima imbuhan apitan menyebabkan berlaku perubahan pada setiap permulaan kata ganda tersebut, misalnya:-
  • kucar-kacir + meN -kan > mengucar-ngacirkan
  • uar-uar + meN-kan > menguar-nguarkan
Sebenarnya, tidak semua kata ganda yang menerima imbuhan apitan menyebabkan berlaku perubahan seperti di atas. Perkataan kucar-kacir dan uar-uar sepatutnya diejakan seperti di bawah:-
  • kucar-kacir + meN-kan > mengucar-kacirkan
  • uar-uar + meN -kan > menguar-uarkan
Sepasang lagi kata yang sering mengelirukan apabila menerima imbuhan apitan meN-kan ialah:-
  • meN + ke tengah + -kan > mengetengahkan BUKANNYA mengenengahkan
  • meN + ke tepi + -kan > mengetepikan BUKANNYA mengenepikan

MOHON PROGRAM PRAUNIVERSITI KPM 2014/15...!

PERMOHONAN KEMASUKAN KE PROGRAM PRAUNIVERSITI KPM

10 Februari 2014
Permohonan Kemasukan Ke Program PraUniversiti KPM
Dimaklumkan bahawa Permohonan Kemasukan ke Program Pra-Universiti KPM sesi Akademik 2014/2015 kini telah dibuka. Borang permohonan boleh didapati secara ‘online’ di web KPM iaitu: www.moe.gov.my
Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dicetak dan dihantar ke Bahagian Sukan, KPM pada atau sebelum 09 April 2014 untuk tindakan selanjutnya.

Friday, 7 February 2014

ESEI: KEPENTINGAN BAHASA INGGERIS...!


PENDAHULUAN:-
  • Menguasai bahasa asing terutama bahasa Inggeris bukanlah bermakna mahu meminggirkan bahasa Melayu.
  • Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua membantu peranan bahasa Melayu dalam pencarian dan pengukuhan ilmu para pelajar.
  • Pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, antaranya menjadikan bahasa tersebut sebagai medium pembelajaran dan pengajaran (PdP) bidang Sains dan Matematik untuk Tahun Satu dan Tingkatan Satu sejak 2003.
  • Selepas itu kerajaan mewujudkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi mengimbangi aspirasi sebahagian besar rakyat Malaysia.
  • Kementerian Pendidikan turut melaksanakan program English Teaching Assistant (ETA) dengan menggunakan guru penutur jati bagi mengajar bahasa itu di sekolah-sekolah.
ISI-ISI:
Antara kepentingan dan keistimewaan menguasai bahasa Inggeris adalah:-
  • Membantu serta memudahkan pelajar-pelajar menguasai ilmu pengetahuan terutamanya di peringkat tinggi kerana kebanyakan universiti menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris, contohnya UiTM malah buku-buku ilmiah yang menjadi rujukan pelajar ditulis dalam bahasa Inggeris.
  • Memudahkan proses komunikasi antarabangsa ketika proses pembelajaran mahupun selepas memasuki alam pekerjaan terutamanya yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris yang meluas seperti bidang perubatan dan kejuruteraan.
  • Pelajar yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik akan memiliki tahap keyakinan diri yang tinggi ketika menghadiri sesi temu duga atau menguruskan sebarang pembentangan kertas kerja ketika dalam dunia pekerjaan.
  • Menjadi batu loncatan kepada kejayaan pelajar atau individu dalam menceburi bidang usahawan, perniagaan dan perusahaan di peringkat antarabangsa.
  • Mempunyai peluang yang lebih luas dalam mendapatkan pekerjaan yang menjadi pilihan utama.
  • Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dunia dan apabila seseorang itu dapat menguasainya dengan baik, secara langsung akan memberikan pelbagai manfaat dan kepentingan seperti mudah berkomunikasi ketika berada di luar negara, boleh memanfaatkan segala kemudahan dalam internet dan lain-lain.

Wednesday, 5 February 2014

KELEMAHAN PENANDA WACANA...!

Penanda wacana begitu penting ketika menulis karangan atau esei. Di samping sebagai alat penghubung idea dalam sesuatu kerja penulisan, penanda wacana juga bertindak sebagai pelengkap sesebuah hasil penulisan yang sempurna jika digunakan secara tepat dan kena pada situasinya.
Namun, yang menjadi persoalannya, masih ramai pelajar yang gagal menggunakan penanda wacana dengan betul, apatah lagi kesesuaiannya dengan mesej ayat yang mahu dicoretkan.
Sila amati contoh kesilapan penggunaan dan pembetulan penggunaan penanda wacana di bawah:-
PENGGUNAAN PENANDA WACANA
SALAH
BETUL
Justeru itu
justeru
Selain daripada itu
Selain itu
Selain dari itu
Selain itu
Sehubungan itu
Sehubungan dengan itu
Ini kerana
Hal ini kerana
Bagaimana pun
bagaimanapun
Dalam pada itu
Sementara itu
Ini sepatutnya
Hal ini sepatutnya
Di dalam hal ini
Dalam hal ini
Akan tetapi
Tetapi
Oleh kerana
Oleh sebab / Kerana
Ini menyebabkan
Hal ini menyebabkan
Sayogia
Seyogia
Jika sekiranya
Jika / Sekiranya
Agar supaya
Agar / supaya
Demi untuk
Demi / untuk
Demi kerana
demi

Tuesday, 4 February 2014

SEMAK AMBILAN KE-2 TG. I SBP 2014...!


Semakan ambilan kedua secara online Tingkatan Satu Sekolah Berasrama penuh 2014 boleh dibuat bermula esok, 5 Februari 2014 dengan melayari alamat di bawah, di bahagian APLIKASI BERKALA:-

Monday, 3 February 2014

MERATA-RATA dan MERATA...!

Perkataan merata-rata dan merata mempunyai maksud yang tidak sama. Berdasarkan fahaman cikgu merata berasal daripada kata 'rata' yang bermaksud permukaan yang sama dan tidak tinggi rendah, datar; permukaan padang bola sepak itu amat rata. Rata juga membawa maksud menyeluruh atau semua; pembahagian harta pusaka itu hendaklah sama rata. Merata pula bermaksud menjadi rata; padang bola sepak itu kelihatan merata apabila rumputnya telah dipotong.

Manakala merata-rata berasal daripada kata rata-rata yang bermaksud serata dan ke mana-mana, segenap, seluruh; sampah sarap terdapat di merata-rata kawasan sekolah. Jangan letakkan kerusi di merata-rata tempat.

Daripada maklumat di atas, maka boleh dirumuskan bahawa:-
  • Jangan buang sampah di merata tempat. - SALAH
  • Jangan buang sampah di merata-rata tempat. - BETUL
  • Harta pusaka hendaklah dibahagi sama rata-rata. - SALAH
  • Harta pusaka hendaklah dibahagi sama rata. - BETUL
  • Permukaan pentas itu kelihatan merata. - BETUL
  • Permukaan pentas itu kelihatan merata-rata. - SALAH
  • Permukaan pentas itu kelihatan rata. - BETUL



CEGAH dan TEGAH...!

Perkataan cegah dan tegah memang terdapat dalam kamus bahasa Melayu. Adakah maksud dan penggunaannya sama dan boleh ditukar ganti? 
Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-4, cegah (m.s. 254) bermaksud halang; mencegah - menolak, menegah;- berusaha supaya jangan berlaku, terkena dan lain-lain. Sentiasa berjaga-jaga.
Contoh ayat:-
  1. Polis mengambil langkah mencegah kegiatan subversif.
  2. Perjanjian damai itu gagal mencegah kejadian pertempuran antara Israel dengan Palestin.
Manakala kata tegah (m.s. 1624) pula bermaksud sesuatu yang  tidak dibenarkan, larangan; yakni lawan suruhan (perintah). Menegah - tidak membenarkan (melakukan sesuatu), melarang.
Contoh ayat:-
  1. Islam menegah umatnya meminum arak dan berzina.
  2. Pihak sekolah menegah pelajarnya terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.
Kesimpulannya, kata cegah dan tegah hampir-hampir dari segi maksud yang dibawanya. Cuma pengguna bahasa Melayu perlu sedikit teliti ketika menggunakannya mengikut situasi yang mana lebih sesuai.

Sunday, 2 February 2014

AYAT MAJMUK...!


KONSEP AYAT MAJMUK
  • Gabungan dua ayat tunggal atau lebih.
  • Disusun mengikut cara tertentu (menggunakan kata sendi dan kata hubung) sehingga menjadikannya ayat baharu.
Contoh:-
  1. Abu sedang membaca buku. - Ayat tunggal
  2. Ali sedang menulis karangan. - Ayat tunggal
  • Abu sedang membaca buku dan Ali sedang menulis karangan. - Ayat majmuk
  1. Amin kurus. - Ayat tunggal.
  2. Amin kuat makan. - Ayat tunggal
  • Amin kurus tetapi kuat makan. - Ayat majmuk.
  1. Dia menerangkan sesuatu. - Ayat tunggal
  2. Ibunya diserang sakit jantung. - Ayat tunggal
  • Dia menerangkan bahawa ibunya diserang sakit jantung. - Ayat majmuk.

Saturday, 1 February 2014

PENGECUALIAN KATA MAJMUK....!

Sepertimana diketahui umum, kata majmuk yang merupakan gabungan dua patah perkataan, membawa makna tersendiri dan dieja secara terpisah, contohnya:-
  • guru besar
  • jalan raya
  • kertas kerja
  • mata pelajaran
  • ubah suai
  • alat tulis dan lain-lain.
Namun demikian, terdapat juga kata majmuk yang terkecuali daripada ciri di atas. Segelintir kata majmuk ini dieja rapat atau bergabung, antaranya:-
  • tanggungjawab
  • setiausaha
  • jawatankuasa
  • kerjasama
  • suruhanjaya
  • matahari
  • tandatangan
  • olahraga
  • kakitangan
  • beritahu
  • warganegara
  • bumiputera
  • pesuruhjaya
  • sukarela
  • antarabangsa

POLA AYAT...!

Terdapat 4 pola bagi ayat dasar dalam bahasa Melayu
POLA AYAT
SUBJEK
PREDIKAT
FN + FN
Cikgu Azemi
guru Bahasa Melayu kami.
FN + FK
Ibu
sedang menjahit.
FN + FA
Kucing itu
sangat cantik.
FN + FS
Kereta api itu
dari Tumpat.
·         FN – Frasa nama
·         FK – Frasa kerja
·         FA – Frasa adjektif
·         FS – Frasa sendi

PROMOSI III