PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 31 March 2014

PENGGANDAAN KATA MAJMUK...!

PENGULANGAN/PENGGANDAAN KATA MAJMUK
SALAH
BETUL
Mata pelajaran-mata pelajaran
Mata-mata pelajaran
Guru besar-guru besar
Guru-guru besar
Kertas kerja-kertas kerja
Kertas-kertas kerja
Rumah besar-rumah besar
Rumah-rumah besar
Perdana menteri-perdana menteri
Perdana-perdana menteri
Ilmu agama-ilmu agama
Ilmu-ilmu agama
Alat tulis-alat tulis
Alat-alat tulis

Saturday, 29 March 2014

SKEMA RUMUSAN: PENGGAL 1(2014)

PEPERIKSAAN PENGGAL PERTAMA
TINGKATAN 4
SMS TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA

SKEMA RUMUSAN (Markah 30)
PENDAHULUAN:
  • Petikan membincangkan kelebihan/kebaikan/faedah/keistimewaan sejarah dalam kehidupan manusia. (2m)
ISI TERSURAT:
Kelebihan/kebaikan/faedah/keistimewaan sejarah dalam kehidupan:-
  1. melatih kita menyanjung tinggi jasa masyarakat terdahulu. (2m)
  2. menyanjung kebenaran fakta sejarah. (2m)
  3. elemen penting pembentukan jati diri/membentuk keperibadian diri yang masih utuh dengan nilai, adat, budaya, agama, bangsa dan negara dalam kalangan rakyat terutama generasi muda/dapat dijadikan panduan bagi membentuk jati diri seseorang tentang negaranya. (2m)
  4. menjadikan kita bangga akan masa silam negara kita yang cemerlang.(2m)
  5. turut menyemarakkan semangat patriotik dalam diri kita. (2m)
  6. mengajar kita tentang tindak-tanduk manusia yang dapat dijadikan teladan/garis panduan.(2m)
  7. menjadi pengajaran untuk mengelakkan persengketaan antara kita. (2m)
  8. dapat memperlihatkan kekuatan institusi keluarga yang kita warisi. (2m)
  9. menguatkan semangat kekitaan dan tanggungjawab dalam kalangan anggota keluarga. (2m)
  10. menyedarkan remaja tentang warisan kebudayaan negara. (2m)
  11. akan melahirkan individu yang berjiwa besar terhadap negara. (2m)
ISI TERSIRAT:
Cara-cara meningkatkan minat murid terhadap subjek Sejarah:-
  1. ibu bapa memperkenalkan konsep sejarah kepada anak-anak sejak awal lagi. (2m)
  2. guru-guru mempelbagaikan kaedah pengajaran untuk menarik minat murid. (2m)
  3. sekolah mengadakan pertandingan esei sejarah dengan hadiah yang menarik. (2m)
  4. sekolah menganjurkan program 'Bulan Patriotisme' melibatkan semua murid. (2m)
  5. buku Sejarah memuatkan ilustrasi/gambar berwarna yang dapat menarik minat. (2m)
  6. Kementerian Pendidikan memperkenalkan subjek Sejarah sejak sekolah rendah lagi. (2m)
  7. menggalakkan penghasilan filem berunsurkan sejarah kepahlawanan negara. (2m)
  8. memastikan hanya guru terlatih sahaja yang mengajar subjek Sejarah. (2m)
PENUTUP:
  • Kesimpulannya, setiap individu harus mempelajari/menghayati serjarah agar semangat cinta akan negara dapat dipupuk. (2m)



Thursday, 27 March 2014

PENTAKSIRAN SUMATIF 1...!

BAHAGIAN A (30 MARKAH)

Soalan 1 (5 markah)
Arahan soalan:
Anda diminta membina sebaris ayat bagi setiap perkataan di bawah tanpa membuat perubahan pada perkataan tersebut.

a)    urus setia

b)    ibu pejabat

c)    cenderahati

d)    budaya

e)    jarang


Soalan 2 (5 markah)
Arahan soalan:
Anda diminta memasukkan bahagian ayat di bawah ke dalam petak yang sesuai.

a)    Bapa Ali sedang bercucuk tanam di kebun.
b)    Yang berbaju kurung itu kakak saya.
c)    Kedai itu menjual barangan runcit.
d)    Dengan tergesa-gesa, dia ke tandas.
e)    Ibu negeri Kelantan ialah Kota Bharu.

No.
SUBJEK
PREDIKAT
a


b


c


d


e



Soalan 3 (6 markah)
Arahan soalan:
Berikan maksud bagi setiap peribahasa di bawah.

a)    Seperti melukut di tepi gantang

b)    Bagai mencurah air ke daun keladi

c)    Genggam bara api biar sampai jadi arang


Soalan 4 (10 markah)
Arahan soalan:
Baca dengan teliti petikan di bawah. Kemudian senaraikan sepuluh kesalahan yang terdapat dalam petikan tersebut.

Ketika saya sedang mewawancara seorang tokoh politik terkenal tanahair, saya cuba bertanyakan soalan tentang trajedi kemalangan yang melibatkan pejalan kaki. Dia memberitahu bahawa kadar kemalangan yang melibatkan kematian semakin meningkat dari masa ke semasa oleh kerana pelbagai faktor.

Salah satu faktornya adalah kecuaian manusia. Setengah pengguna jalanraya samada pemandu atau pejalan kaki menjadikan jalan raya sebagai tempat pelumbaan haram. Mereka berbuat sedemikian kerana pengaruh kawan dan tidak mempunyai kesedaran.

Kata orang-orang tua, jalan raya boleh menjadi medan pengumpulan mayat dan jenazah korban jalanan. Kita sepatutnya lebih berjimat-cermat untuk terus berjaya di dalam hidup ini. Tiada guna kita memiliki otak yang bijak jika kita tidak menggunakan akal itu untuk kebaikkan.

1)    …………………………
2)    …………………………
3)    …………………………
4)    …………………………
5)    …………………………
6)    ………………………....
7)    …………………………
8)    …………………………
9)    …………………………
10) …………………………



Wednesday, 26 March 2014

PERILAKU ATAU PERI LAKU...!

Pahit tapi berkhasiat...
Kata 'peri' membawa maksud hal, keadaan atau sifat sesuatu atau peristiwa. Contoh penggunaannya seperti:
  • diwartakannya kepada wazir-wazir tentang peri kebesaran kerajaan negeri Melaka.
  • terdengar cerita orang tentang peri baik paras puteri itu.
'Peri' juga membawa maksud betapa atau bagaimana seperti dalam ayat berikut, "Kita hendaklah sentiasa sedar peri mustahaknya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Kata 'peri' hendaklah dieja berpisah dengan perkataan lain kerana kata tersebut telah mantap dan mempunyai maksud tersendiri.
Namun, kita jangan dikelirukan pula dengan ejaan perkataan-perkataan di bawah:-
  1. peribadi
  2. perilaku
  3. perikemanusiaan
  4. peribumi
  5. peribudi
  6. perihal
Jangan ada pula yang mempertikaikan kenapa ejaan untuk perkataan-perkataan di atas dirapatkan dan tidak dipisahkan seperti 'peri penting', 'peri mustahak', 'peri kebesaran' dan 'peri baik'.
Sebenarnya ejaan perkataan 1 - 6 di atas tiada kaitan langsung dengan 'peri' yang dibincangkan sebelum ini. Enam perkataan ini samalah kedudukannya dengan ejaan perkataan di bawah:
  • perigi
  • peridung
  • periang
  • peringat
  • peria

Tuesday, 25 March 2014

ESEI: KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG...!

Tugasan Dalam Cuti 3 Alpha dan 3 Lambda
Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan mengambil makanan seimbang dalam kehidupan seharian terutamanya golongan pelajar. Panjang huraian anda hendaklah TIDAK MELEBIHI 120 patah kata.


* Tugasan ini hendaklah dihantar pada minggu pertama persekolahan dibuka.

Friday, 21 March 2014

PROGRAM KEJURUTERAAN DI LUAR NEGARA...!


PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan penajaan untuk program kejuruteraan di Jerman, Perancis, Jepun dan Korea untuk tahun ini kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013. 

JPA, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari http://esilav2.jpa.gov.my mulai esok sehingga Khamis, 27 Mac. 
"Pertanyaan mengenai program tajaan ini boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3670/3398/3564/3489 pada hari bekerja mulai 9 pagi hingga 4.30 petang atau melalui emel penawaranlsp@jpa.gov.my," katanya. 


Pemohon digalakkan menyemak status terkini permohonan di laman web www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my 
Keputusan SPM 2013 yang diumumkan hari ini menunjukkan seramai 13,970 calon memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus. 
Seramai 405 calon pula berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Thursday, 20 March 2014

RESULT SPM2013 HARI INI...!


FARIS PETRA BAGAIMANA ?????
Makluman awal Faris Petra berada di kedudukan pertama negeri. Namun yang sedikit mendukacitakan ialah tiada seorang pun calon yang memperoleh semua A+ sama ada 10A+ ataupun 9A+. Subjek-subjek yang meningkat dari segi GP ialah Fizik, Biologi, Sejarah dan Pendidikan Islam. Seramai 27 orang calon memperoleh kesmua A iaitu 9A. Gred purata yang diperoleh Faris Petra ialah 1.88.

Tuesday, 18 March 2014

PT3 GANTI PMR...!


Sah PMR dan PBSMR digantikan dengan PT3. Kementerian Pendidikan Malaysia mengesahkan bahawa peperiksaan PMR dan PBSMR akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) melalui pengumuman yang dibuat oleh YAB Menteri Pendidikan Malaysia.

" PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran ScienceMathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study). 
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan."
Kini, kita masih tertunggu-tunggu bentuk format soalan bagi subjek-subjek PT3 tersebut terutamanya bagi subjek yang mengandungi ujian bertulis. Memandangkan tarikh peperiksaan PT3 yang dijangka akan berlangsung pada awal September atau Oktober ini, guru-guru dan pelajar perlu diberikan maklumat yang segera dan tepat agar persiapan rapi dapat dilakukan.

PENAMBAHBAIKAN PBS...!

KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru  untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.
Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.
 Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.   
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.


Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.
Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.
Oleh sebab bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara automatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.   
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran ScienceMathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study). 
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.
PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

RESULT SPM 2013 ONLINE...!

RESULT STPM 2013...!

Sunday, 16 March 2014

ESEI: PUNCA AKTIVITI KO KURANG DISUKAI...!

Team Hoki SMS Tg. Muhd Faris Petra bersama dengan penulis.
Antara punca kegiatan kokurikulum tidak begitu disukai oleh pelajar :-
  • Pihak sekolah melaksanakan kegiatan kokurikulum seperti melepaskan batuk di tangga.
  • Pihak sekolah mengecualikan pelajar kelas peperiksaan daripada sebarang aktiviti kokurikulum.
  • Sikap ibu bapa yang meletakkan keutamaan tentang pencapaian akademik.
  • Perbelanjaan yang agak besar bagi menyediakan keperluan untuk bergiat dalam kegiatan ini.
  • Kekurangan peruntukan untuk menjalankan aktiviti menyebabkan kegiatan ini hambar dan tidak berjaya menarik minat pelajar.
  • Kesuntukan masa menyebabkan pelajar menjadikan hari cuti untuk menyiapkan kerja sekolah dan berehat.
  • Kekurangan pakar dan pemimpin yang berkebolehan di pihak guru menyebabkan kegiatan ko menjadi kosong dan membuang masa.
  • Sikap sesetengah pihak pengurusan sekolah yang memandang serong terhadap pelajar yang terlibat dan aktiviti ko itu sendiri.
  • Kurang kesedaran tentang kepentingan ko menyebabkan pelajar tidak berminat.
  • Kekurangan kemudahan prasarana seperti kawasan yang sesuai, peralatan, pengangkutan dan kewangan menyebabkan kegiatan ini menjadi seperti hidup segan mati tak mahu.
  • Pihak sekolah juga kementerian lebih mengutamakan prestasi akademik daripada prestasi bidang lain.
  • Kurang mendapat sokongan daripada anggota masyarakat dan pihak swasta juga pihak  kerajaan.

Thursday, 13 March 2014

HIKAYAT SERI KELANTAN...!


TEMA:-
  • Keistimewaan seorang puteri yang mempunyai kelebihan luar biasa iaitu Tuan Puteri Sa'dung.
  • Puteri Sa'dung mempunyai kesaktian seperti menghilangkan Kota Jelasin dan mahligainya.
  • Baginda seorang yang cantik menyebabkan Raja Siam ingin mengahwininya walaupun baginda telah bersuami.
PERSOALAN:-
  • Kasih sayang antara suami dengan isteri - Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa'dung saling menyayangi dan berasa sangat sedih ketika mereka berpisah.
  • Kepentingan perpaduan dalam mempertahankan negara - Rakyat Kota Jelasin bersatu padu menentang serangan Siam.
  • Semangat bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan - Rakyat Siam bermuafakat dalam merancang strategi bagi menyerang Kota Jelasin.
  • Kepentingan diplomasi dalam menyelesaikan persengketaan - Sultan Abdullah bertindak secara diplomasi dengan Tuk Ca demi menyelamatkan negeri baginda daripada tentera Siam.
SINOPSIS:-
  • Mengisahkan Encik Siti yang memerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung yang tidak mempunyai anak.
  • Baginda telah mengambil anak angkat bernama Tuan Puteri Sa'dung iaitu anak Raja Jembal.
  • Encik Siti mengahwinkan Puteri Sa'dung dengan Sultan Abdullah dan menyuruh Sultan Abdullah membina sebuah kota dan diberi nama Kota Jelasin.
  • Encik Siti telah berpindah ke Gunung Ayam dan menjadi pemerintah di sana.
  • Raja Siam telah mengetahui cerita tentang kecantikan Puteri Sa'dung dan memerintahkan ahli nujumnya, Tuk Ca dan tentera untuk pergi ke Kota Jelasin untuk mendapatkan tuan puteri daripada Sultan Abdullah.
  • Sultan Abdullah amat marah dan menghalau utusan Raja Siam itu.
  • Tentera Siam telah menyerang Kota Jelasin dan berlakulah peperangan. Tentera Siam telah dapat ditewaskan kerana kesaktian Tuan Puteri Sa'dung.
  • Dengan takdir Tuhan, Kota Jelasin ditimpa bencana dan rakyat hidup dalam kelaparan.
  • Tentera Siam telah mengambil kesempatan dengan mengepung Kota Jelasin tetapi Tuan Puteri Sa'dung telah menggunakan kesaktiannya untuk memindahkan Kota Jelasin ke tempat lain.
  • Tentera Siam telah mendapatkan Tuk Ca untuk mengetahui di mana mahligai Tuan Puteri Sa'dung.
  • Tuk Ca mendapati mahligai tersebut terletak di dalam Cerang Bahana. Tuk Ca mengarahkan tentera Siam menuju ke arah selatan untuk menangkap Puteri Sa'dung.
  • Setelah sampai, tentera Siam telah mengepung mahligai tersebut. Puteri Sa'dung dapat merasakan bahawa pihaknya akan kalah dan meminta Sultan Abdullah menanyakan Tuk Ca akan hajat Raja Siam menyerang Kota Jelasin.
  • Tuk Ca menjelaskan bahawa Raja Siam tidak berhajat menakluk Kota Jelasin, tetapi hanya ingin memiliki Tuan Puteri Sa'dung.
  • Setelah berfikir baik dan buruknya, Sultan Abdullah sedia melepaskan Tuan Puteri Sa'dung dan Puteri Sa'dung pun bersedia untuk dibawa ke Siam.
  • Tuan Puteri Sa'dung dan Sultan Abdullah saling berpelukan. Selepas itu Tuan Puteri Sa'dung dibawa Tuk Ca ke kapal dan belayar ke Siam.

Tuesday, 11 March 2014

ESEI: KESAN BURUK MAKANAN SEGERA...!


Antara keburukan makanan ringan dan makanan segera ialah:-
  • kandungan gula dan garam yang tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan.
  • mengandungi garam MSG yang berbahaya kepada tubuh badan manusia.
  • tidak mengandungi khasiat yang diperlukan.
  • mengandungi perisa bukan asli iaitu diperbuat daripada bahan kimia.
  • boleh menyebabkan penggemar menjadi ketagihan.
  • mengandungi bahan pengawet.
  • mengandungi kandungan kolesterol dan lemak yang tinggi.
  • harga yang mahal tetapi kurang berkhasiat.
  • menjadi punca pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, kegagalan buah pinggang.
  • menyebabkan penggemar mengabaikan pemakanan seimbang.
  • menggalakkan pembaziran.
  • meningkatkan masalah obesiti dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak.
  • menjejaskan populariti makanan tradisi masarakat.
  • menggalakkan penggunaan makanan import.

Monday, 10 March 2014

JOM JADI GURU...!


PROGRAM PERSEDIAAN IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN DENGAN KEPUJIAN (PPISMP) AMBILAN JUN 2014

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP).

Sila layari alamat di bawah:-


ESEI: PUNCA KEJADIAN JEREBU...!

Jerebu yang sering melanda negara kita telah mendatangkan pelbagai masalah. Pada tahun 2005, kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat di beberapa buah kawasan yang teruk dilanda fenomena jerebu. Hakikatnya, jerebu telah mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada alam sekitar dan kehidupan kita. 
Antara punca berlakunya kejadian jerebu ialah:-
  • Aktiviti pembakaran secara terbuka oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab.
  • Aktiviti pembakaran hutan dan kawasan penanaman oleh peladang-peladang terutamanya di Indonesia.
  • Pembakaran sampah sarap di kawasan pembuangan sampah dengan tujuan untuk melupuskan sampah.
  • Asap kenderaan turut menjadi penyebab berlakunya jerebu.
  • Pelepasan asap dari pusat perindustrian.
  • Peningkatan jumlah kenderaan di dalam negara menyebabkan berlaku peningkatan kadar pencemaran ruang udara negara.
  • Pertumbuhan pesat pembangunan di bandar menyebabkan kepadatan penduduk yang tinggi yang selari dengan peningkatan pencemaran udara dan alam sekitar.
  • Pembukaan kawasan-kawasan petempatan dan estet perindustrian secara tidak terkawal menyebabkan kawasan hutan simpanan semakin mengecil.
  • Kepadatan penduduk yang semakin meningkat.
  • Musim kemarau yang berpanjangan menggalakkan kejadian jerebu.
  • Hutan-hutan batu telah menggantikan hutan semula jadi yang berfungsi sebagai penyumbang kepada peningkatan kadar oksigen di permukaan bumi.
  • Sikap sesetengah manusia yang lebih mementingkan diri sendiri.
  • Pembalakan haram semakin berleluasa.

Sunday, 9 March 2014

SAH DUA TEAM FARIS KE KEBANGSAAN...!



DUA TEAM FARIS KE FINAL


Setelah dua tiga hari tidak mengemaskinikan blog SISI BAHASAKU.com kerana membawa ahli Kelab Fotografi ke Langkawi iaitu pada 6 - 8 Mac 2014, warga Farisian sekali lagi mendapat berita gembira kerana kedua-dua buah pasukan bola keranjang berjaya melangkah ke final dalam Hari Kecemerlangan SBP Zon Timur, yang berlangsung di SMS Pasir Puteh.
Penentuan juara dan naib juara Zon Timur akan dapat diketahui pada pagi ini. Pasukan bola keranjang perempuan akan berhadapan dengan tuan rumah manakala pasukan lelaki kita akan membuat penentuan dengan pasukan dari SMS Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

Thursday, 6 March 2014

ESEI: PUNCA TERCETUSNYA BENCANA ALAM...!

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah banyak meragut nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letupan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasa pun yang mampu menghalang kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak lagi terancam.


     Aktiviti pembalakan memang merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan tidak memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, pasti akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh hal itu, perkara ini membuktikan bahawa masalah ini menjadi penyebab bencana alam berlaku.


     Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma akan mengalami masalah pernafasan dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh hal itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia yang tidak berdosa.


     Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh hal itu, perkara ini jelas membuktikan bahawa sikap angota masyarakat yang tidak bertanggungjawab menjadi punca becana alam berlaku.


     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku kebiasaannya disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.


     Kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh hal itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera sebelum bertindak agar kita tidak ditimpa oleh bencana alam akibat tindakan kita sendiri yang tidak bertanggungjawab.

Wednesday, 5 March 2014

TOKOH KEPIMPINAN PENDIDIKAN...!

2011Datuk (Dr) Haji Nor bin Daim @Matnor bin Daim
2010Profesor Dato' Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid
2009Tan Sri Dato' Asiah binti Abu Samah
Tan Sri Abdul Rafie bin Mahat (Anugerah Khas)
2008Dato' Haji Rashidi bin Ramlan
2007Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin
2006Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Awang Had bin Salleh
2005Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman bin Haji Arshad
2004Tan Sri Dato'(Dr) Haji Murad bin Mohd Noor

KEKOSONGAN JAWATAN DI KPM...!

IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN DI EDUCATION MALAYSIA, KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
 Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara di atas.

2.    Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia ingin mempelawa calon-calonWARGANEGARA MALAYSIA yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan di Education Malaysia (EM), Kementerian Pendidikan Malaysia, seperti berikut:
i.    Pengarah Gred 48 (Terbuka), Education Malaysia

        a.    Dubai
        b.    Ho Chi Minh City

ii.    Atase Pendidikan Gred 41/44 (Terbuka), Education Malaysia

        a.    Australia

iii.    Atase Pendidikan (Promosi) Gred 41 (Terbuka), Education Malaysia

        a.    Dubai
        b.    Beijing
        c.    Ho Chi Minh
3.    Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi pegawai-pegawai berikut:
i)    Cik Nurul Hidayah Binti Ahmad Zamzuri
       Penolong Setiausaha
       03-8870 5211
       hidayah.zamzuri@moe.gov.my

ii)    Puan Mardiana Binti Zulkifli
       Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi)
       03-8870 5241
       mardiana.zulkifli@moe.gov.my
4.    Tarikh tutup permohonan adalah pada 21 Mac 2014 (Jumaat). Segala kerjasama dan perhatian YBhg./Datuk/Dato'/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan mengenai perkara ini amat dihargai dan didahului ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

''BERKHIDMAT UNTUK NEGARA''

Tuesday, 4 March 2014

SINOPSIS SUTERA DALAM LUKISAN (BAB 7)...!

BAB 7: MALU

  • Selepas peristiwa malang yang menimpa ibunya dulu, Hafiz seperti bersumpah tidak mahu menghampiri tanah tapak rumah dan sawah pusakanya. Baginya melalui lorong ke situ apa lagi menghampiri kawasan itu hanya akan mengembalikan kenangan pahit dan mengerikan padanya.
  • Sesekali Hafiz bertemu dengan Wak Senen dan Wak Senen akan memberinya duit. Duit-duit itu tidak pernah dibelanjakannya dan dia menyimpannya di dalam kendi tembaga yang ditinggalkan oleh neneknya dan disorokkannya di bawah rumah yang tidak mungkin diketahui oleh sesiapa. (latar tempat dan perwatakan)
  • Hafiz ragu-ragu untuk menggunakan wang kertas RM10 itu kerana bimbang kalau-kalau akan menimbulkan tuduhan orang terutamanya Alias kerana mungkin dia akan merampas kesemua wang yang disimpannya.
  • Kepulangan Harun ke kampung itu sudah diketahuinya. Ada orang yang sengaja menakut-nakutkannya tentang kepulangan bapa tirinya itu. Sememangnya dia takut dituduh lagi sebagai penyebab kematian ibunya. Dia tahu bahawa dia tidak bersalah tetapi dia tidak mampu menafikan tuduhan bapa tirinya itu. (monolog dalaman)
  • Sejak kepulangan bapa tirinya itu, dia tidak pernah sekalipun bersua muka. Sengaja dia mengelakkan dirinya daripada bertemu dengan Harun. Dia begitu takut dan benci akan Harun. (perwatakan)
  • Pada petang itu, ketika dia berkira-kira untuk mengambil buah betik masak di tanah Sidang Saman, dia disergah oleh Samsul. Samsul mengusik Hafiz dengan menyuruhnya memanjat pokok betik dan disuruh turun pula. Samsul gembira dan puas kalau Hafiz berjaya diolok-olokkan. (latar masa)
  • Hafiz tidak dibenarkan oleh Samsul makan betik itu sehingga dia berjumpa dengan Harun terlebih dahulu. Hafiz enggan berjumpa dengan bapa tirinya itu sambil beredar dari situ dengan langkah yang cepat.
  • Samsul memberitahu bahawa orang yang sebenarnya ingin berjumpa dengan Hafiz ialah Adila. Hafiz malu untuk berjumpa dengan Adila kerana merasakan dirinya tidak padan dengan Adila. (perwatakan)
  • Hafiz mengikut juga Samsul sambil memikirkan pertemuannya dengan Adila nanti. Dia bimbang akan pendapat Adila tentang dirinya yang tentu tidak sesuai dengan orang pekan itu.
  • Di kawasan halaman rumah Sidang Saman, Same’ah dan Adila sedang duduk di atas pangkin di bawah pokok belimbing besi. Hafiz dapat mendengar mereka ketawa. Hafiz ketakutan dan dari jauh melihat kedua-duanya senyum kepadanya. (latar tempat)
  • Mak Lamah memanggil Hafiz dan menyediakan makanan. Dia jarang datang ke situ sejak Adila bertunang tetapi dia tahu selok-belok rumah itu. Hafiz menjaga tertib ketika makan di hadapan Mak Lamah dan keluarganya. Mak Lamah memberitahu bahawa Adila akan menemu ramah Hafiz setelah selesai makan.
  • Hafiz keberatan untuk berjumpa dengan Adila kerana penampilannya yang agak kotor tetapi diyakinkan oleh Mak Lamah. Hafiz pergi juga bertemu dengan Adila. Dia menjadi rimas dengan senyuman Adila. Dari jauh, Mak Lamah dan anak-anaknya memerhatikannya sambil ketawa.
  • Hafiz berdebar-debar apabila berhadapan dengan Adila apatah lagi apabila mendengar suara serta ucapan yang lemah-lembut dan hormat daripada Adila terhadapnya. Hafiz duduk di bangku kayu panjang yang dibuat agak ke bawah sedikit daripada pangkin. Adila duduk di sebelah menghadap Hafiz. (latar tempat)
  • Dia memperkenalkan dirinya sebagai Mohamad Hafiz. Tersentuh hatinya apabila orang memanggil nama sebenarnya. Dan menyedarkan dirinya bahawa masih ada manusia yang luhur.
  • Adila menyatakan beberapa tujuan dia ingin berjumpa dengan Hafiz. Pertamanya dia ingin berkenalan dengan Hafiz, kedua ingin bertanya tentang diri Hafiz dan ketiga ingin mengubah keadaan diri Hafiz. Dia ingin bercakap dengan Hafiz setiap hari. (dialog)
  • Hafiz merasakan terdapat perbezaan apabila berjumpa dengan Adila. Dia merasakan Adila tidak pun menganggapnya sebagai seorang yang bodoh atau terkeluar daripada norma-norma kemanusiaan biasa. Dia merasakan Adila telah mengangkat darjat dirinya.
  • Hafiz memberanikan dirinya bertanyakan sebab Adila ingin berjumpa dengannya. Adila memberitahu bahawa dia ingin menulis kisah Hafiz untuk dijadikan sebagai bahan kajian jika Hafiz bersetuju. Hafiz menjadi ketakutan setelah mendengar perkataan borang dan repot kerana dia pernah dipermainkan oleh Alias yang ingin membawanya kepada polis untuk mengisi borang dan repot.
  • Hafiz tidak jadi untuk bercakap dengan Adila kerana bimbang apa yang dikatakan oleh Alias akan dilakukan oleh Adila. Dia ingin meninggalkan tempat itu tetapi sempat dihalang oleh Samsul. Samsul meyakinkan Hafiz supaya tidak menyamakan Alias dengan Adila.
  • Hafiz ditanya tentang kehidupan yang telah dilaluinya, fasal ibu bapanya yang telah meninggal dunia dan neneknya. Hafiz dapat dipengaruhi untuk menceritakannya. Dia menahan kesedihan ketika menceritakan peristiwa yang menimpa emaknya dan berkali-kali pula dia menafikan bahawa dia yang menyebabkan kebakaran rumahnya. (perwatakan)
  • Adila mempercayai kata-kata Hafiz dan menganggap Hafiz tidak bersalah. Hampir waktu Asar berakhir, mereka berpisah. Dia seronok dapat berbual-bual dengan Adila dan berjanji akan datang keesokannya. (latar masa)
Sumber: Ubah suai dari Blog Cikgu Azaman

PROMOSI III