PERILAKU ATAU PERI LAKU...!

Pahit tapi berkhasiat...
Kata 'peri' membawa maksud hal, keadaan atau sifat sesuatu atau peristiwa. Contoh penggunaannya seperti:
  • diwartakannya kepada wazir-wazir tentang peri kebesaran kerajaan negeri Melaka.
  • terdengar cerita orang tentang peri baik paras puteri itu.
'Peri' juga membawa maksud betapa atau bagaimana seperti dalam ayat berikut, "Kita hendaklah sentiasa sedar peri mustahaknya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Kata 'peri' hendaklah dieja berpisah dengan perkataan lain kerana kata tersebut telah mantap dan mempunyai maksud tersendiri.
Namun, kita jangan dikelirukan pula dengan ejaan perkataan-perkataan di bawah:-
  1. peribadi
  2. perilaku
  3. perikemanusiaan
  4. peribumi
  5. peribudi
  6. perihal
Jangan ada pula yang mempertikaikan kenapa ejaan untuk perkataan-perkataan di atas dirapatkan dan tidak dipisahkan seperti 'peri penting', 'peri mustahak', 'peri kebesaran' dan 'peri baik'.
Sebenarnya ejaan perkataan 1 - 6 di atas tiada kaitan langsung dengan 'peri' yang dibincangkan sebelum ini. Enam perkataan ini samalah kedudukannya dengan ejaan perkataan di bawah:
  • perigi
  • peridung
  • periang
  • peringat
  • peria

Comments

Popular Posts