PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 29 April 2014

DRAMA GELANGGANG TUK WALI...!


Sinopsis

Babak 1
Ripin telah pergi ke rumah Tuk Wali, untuk memaklum jemputan bersilat di majlis perkahwinan rumah Haji Kodri. Kedatangannya disambut oleh Mak Umi. Tuk Wali mahu memenuhi jemputan tersebut walaupun demam. Tuk Wali juga berbual dengan Ripin tentang kerakusan manusia yang menyebabkan kepupusan spesies pokok-pokok herba di hutan sebagaimana yang dilakukan oleh Si Guan. Tuk Wali kesal oleh sebab harga akar-akar kayu semakin rendah Tuk Wali meminta Ripin memastikan murid-murid silat berkumpul kerana wartawan akan datang pada malam itu.

Babak 2
Tuk Wali bersiap-siap untuk pergi ke rumah Haji Kodri dengan berpakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping dan bersongkok. Tidak lama kemudian, Imam dan Siak berkunjung ke rumah Tuk Wali. Kedatangan mereka disambut oleh Mak Umi. Siak menyatakan perasaan tidak senang kerana Tuk Wali masih bersilat di gelanggang. Baginya Tok Wali sepatutnya menghabiskan masa di masjid. Mak Umi mempertahankan suaminya kerana selama ini suaminya tidak pernah tinggal solat berjemaah di masjid malah mengerjakan solat sunat setiap malam. Bagi Mak Umi, Tuk Wali hanya memenuhi hajat orang untuk memeriahkan majlis, tidak melanggar adat dan agama. Mak Umi meminta Imam dan Siak bercakap dengan Tuk Wali sendiri tentang hal itu. Dia juga akan memaklumkan nasihat Siak dan Imam kepada Tok Wali.

Babak 3
Tuk Wali meluahkan rasa tidak senangnya terhadap Piee cucu tirinya, Piee yang telah memalukan dirinya di rumah Haji Kodri. Mak Umi mahu Tuk Wali mengubatkan Piee yang menagih dadah. Tuk Wali menyuruh Mak Umi menghalau Piee jika datang ke rumah itu lagi. Tuk Wali terlalu marah kepada Piee kerana dia telah mencuri wang tambang Tuk Wali ke Mekah yang berjumlah RM2000.00. Mak Umi memaklumkan nasihat Imam dan Siak kepada Tok Wali. Tuk Wali mengatakan bahawa dia boleh duduk berzikir di masjid tetapi dia juga perlu mengubatkan orang yang patah kaki, terseliuh, dan histeria. Tuk Wali mengimbas dirinya ketika muda dahulu yang sering dipuji,dan dianggap hebat. Apabila dia sudah tua segala yang dilakukannya dipandang tidak elok. Mak Umi mencadangkan anak-anak muridnya seperti Ripin menggantikan tempatnya untuk bersilat di majlis kahwin. Tuk Wali mengatakan bahawa silat sudah sebati dengan dirinya. Tok Wali dikunjungi oleh Ripin dan Mariam. Tuk Wali menyarankan Ripin dan Mariam mengambil tempatnya untuk mengajar silat tetapi mereka berdua tidak bersedia Mereka merayu agar Tuk Wali terus mengajarkan silat. Tuk Wali mengambil sebilah keris dan menceritakan asal usul keris tersebut Tok Wali merasakan Ripinlah yang layak untuk menjadi pewaris keris itu. Dua orang wartawan dari majalah Pejuang, iaitu Halim dan Jamil datang ke rumah Tuk Wali untuk menemu ramahnya.. Piee cucu tiri Tuk Wali yang baru keluar dari pusat pemulihan muncul. Setelah kedua-dua wartawan itu pulang, Tuk Wali menampar dan memarahi Piee kerana masuk ke dalam biliknya. Empat orang pemuda telah datang ke rumah Tuk Wali. Menyangka Tuk Wali tiada di rumah lalu mereka bermain gitar, menyanyi sambil menari-nari. Tuk Wali memarahi mereka. Salah seorang pemuda telah ditampar oleh Tuk Wali kerana bersikap biadap.

Babak 4
Siak datang ke rumah Tuk Wali dan mencabar Tuk Wali agar bersilat dengannya. Siak berasa marah kerana Tuk Wali telah menampar cucunya yang mahu belajar silat. Mereka bertarung menggunakan sundang. Mak Umi mencari Ripin untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Ripin berjaya mengunci pergerakan Siak. Ripin mencadangkan Tuk Wali dan Siak menyelesaikan masalah dengan cara berunding.. Mak Umi menyuruh Ripin menghantarnya ke rumah Berahim kerana dia tidak mahu melihat pergaduhan antara Tuk Wali dengan Siak. Siak akhirnya meninggalkan rumah. Tuk Wali yang kepenatan dan akhirnya terlena dibuai mimpi indah.

Babak 5
Piee masuk ke rumah Tuk Wali dan mengambil biola serta sebilah keris yang tersisip di dinding beranda itu. Tuk Wali menyedari perkara itu dan memarahi Piee, Kemudian berlaku pergaduhan dan pertikaman antara Tuk Wali dengan Piee. Semasa Tuk Wali ingin mengambil biola yang dijatuhkan oleh Piee, Tuk Wali ditikam oleh Piee. Tikaman itu terkena di perut Tuk Wali. Tuk Wali dapat mengambil keris daripada tangan Piee. Tuk Wali semakin lemah apabila banyak darah keluar daripada lukanya. Ripin terkejut apabila melihat Tuk Wali yang terbaring berlumuran darah. Ripin mahu menghantar Tuk Wali ke hospital tetapi Tuk Wali enggan. Tuk Wali sempat menyerahkan keris tersebut kepada Ripin sebelum meninggal. Ripin ingin menuntut bela atas kematian Tuk Wali. Dia menyangka Siak yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Imam muncul dan melihat Ripin memegang keris dalam keadaan Tuk Wali telah terbujur kaku. Imam menyangka bahawa Ripin telah membunuh Tuk Wali. Berlaku tuduh menuduh antara Siak dan Ripin Mariam dan Mak Umi sampai lalu menerpa ke arah mayat Tuk Wali. Mak Umi dan Mariam ingin tahu orang yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Ripin saling menuduh sekali lagi. Mak Umi menafikan Ripin membunuh Tuk Wali.

Tema:
Pemikiran drama Tok Wali ialah perjuangan mempertahankan warisan budaya bangsa.
Tok Wali mengajarkan ilmu persilatan sejak 50 tahun lalu kepada pemuda-pemudi kampung. Dia juga mematuhi pantang larang mencari pokok-pokok kayu herba di hutan demi memelihara warisan hutan tersebut pada masa akan datang.

Persoalan:
1. Persoalan sikap hormat –menghormati dalam kalangan masyarakat terhadap orang yang berilmu
Ripin amat menyanjung tinggi Tok Wali yang telah mengajarnya ilmu silat.

2. Persoalan budaya warisan bangsa yang diremehkan.
Ada sesetengah penduduk kampung yang mencemuh Tok Wali kerana bersilat dalam majlis perkahwinan.

3. Persoalan masalah penagihan dadah yang sukar dirawat.
Piee yang baru keluar dari pusat pemulihan kembali menagih kerana tidak dipantau oleh ibu bapanya.

4. Persoalan perasaan dengki dan khianat.
Ada pihak yang dengki kepada Tok Wali lalu menghalau Piee dari majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.
5. Persoalan dendam yang berpanjangan.
Siak masih menyimpan perasaan dendam kepada Tok Wali kerana Tok Wali berkahwin dengan bekas tunangnya
6. Persoalan keprihatin dan dalam kalangan masyarakat.
Tok Wali merawat orang sakit, menguruskan jenazah dan perkara-perkara lain tanpa meminta sebarang upah.

Plot
Jenis Plot :
Bersifat kronologi – peristiwa berkembang mengikut urutan waktu babak demi babak. Walau bagaimanapun terdapat unsur imbas kembali, contohnya sejarah keris yang diwarisi oleh Tok Wali.
Pembinaan Plot:

Terdapat empat peringkat binaan plot iaitu
(i) Permulaan

Pembaca diperkenalkan dengan watak utama iaitu Tok Wali dan watak-watak sampingan iaitu Mak Umi dan Ripin. Tok Wali diundang membuat pertunjukan silat di majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.
(ii) Perkembangan

Tok Siak berkunjung ke rumah Tok Wali dan berjumpa dengan Mak Umi. Mereka berhasrat menasihati Tok Wali agar berhenti bersilat kerana usia Tok Wali telah lanjut dan tidak manis dipandang jika masih lagi bersilat di gelanggang.Tok Wali kesal kerana peranannya tidak lagi dihargai oleh orang-orang kampung. Berlaku pertarungan antara Siak dan Tok Wali kerana Tok Wali telah menampar anak saudara Tok Wali.
(iii) Klimaks

Tok Wali telah ditikam oleh Piee semasa Piee mencuri keris dan biola milik Tok Wali. Tok Wali mati setelah sempat menyerahkan keris kepada Ripin.

(iv) Peleraian
Berlaku tuduh-menuduh antara Ripin dan Siak tentang pembunuh yang telah menikam Tok Wali.

 Teknik Penceritaan:
1. Teknik pemerian

Pengarang menggambarkan ruang hadapan rumah Tok Wali yang dipamer dengan pelbagai jenis senjata lama.


 2. Teknik dialog
Sebahagian besar drama disampaikan dalam bentuk dialog antara watak.

3. Teknik imbas kembali

Tok Wali menceritakan peristiwa dia menewaskan 4 orang perompak kedai emas .Secara kebetulan dia sedang duduk di bangku kedai emas tersebut.
 4. Teknik suspens.

Pembaca tertanya-tanya pihak yang akan menang dalam pertarungan antara Siak dan Tok Wali.

 Watak dan Perwatakan
1. Tok Wali

1. Watak utama

2. Nama sebenarnya ialah Wak Raja Waliudin bin Raja Agus.
3. Dia berumur dalam lingkungan 70-an.
4. Dia merupakan guru silat yang membuka gelanggangnya sendiri di halaman rumah.
5. Dia merupakan tukang urut, penggali kubur, tok mudim, dan boleh merawat beberapa jenis penyakit.

6. Dia seorang yang tegas dengan pendirian
Tok Wali tetap mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri walaupun dinasihati oleh isterinya, Siak dan Imam.

7. Dia seorang yang berani.
Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.

8. Dia seorang yang pantas bertindak
Tok Wali pantas dan cekap menewaskan perompak yang cuba merompak kedai emas.
9. Dia seorang yang taat akan perintah agama.
Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan solat sunat.
10. Dia seorang yang suka membantu orang lain

Tok Wali melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti memandikan jenazah tanpa meminta upah.

 2. Ripin
1. Anak murid Tok Wali

2. Berusia dalam lingkungan 30-an
3. Anak murid yang dipercayai oleh Tok Wali untuk mewarisi kerisnya.
4. Dia seorang yang menghormati orang tua
Ripin sangat menghormati Tok Wali dan bersopan ketika bercakap dengan Tok Wali.
5. Dia seorang yang taat suruhan gurunya.
Apabila disuruh oleh Tok Wali mengumpulkan anak-anakmuridnya kerana ada pemberita datang, Ripin patuh akan kehendak Tok Wali
6. Dia seorang pendendam
Ripin mahu menuntut bela atas kematian Tok Wali.


 3. Mak Umi
1. Dia ialah isteri Tok Wali.
2. Berusia dalam lingkungan 50-an.
3. Dia mahir ilmu persilatan semasa muda.
4. Dia seorang yang bijak

Mak Umi bijak membalas percakapan Siak dan Imam yang mahu menasihati Tok Wali.
5. Dia seorang yang penyabar
Mak Umi sabar melayan kerenah Tok Wali yang membidas kata-katanya.
6. Seorang yang prihatin
Mak Umi mengambil berat tentang Piee yang menjadi penagih dadah.


 Latar
Latar masa

1. Pada waktu pagi
Ketika Ripin datang ke rumah Tok Wali.
2. Pada waktu petang
Ketika Tok Wali bersiap sedia hendak pergi ke majlis kenduri di rumah Haji Kodri.
3. Pada waktu malam
Ketika Tok Wali bermain biola dan berbual-bual dengan Mak Umi.


 Latar tempat
1. Di rumah Tok Wali
2 orang pemberita datang menemu ramah Tok Wali di rumahnya.


3. Di gelanggang silat


Tok Wali bertarung dengan Siak di gelanggang silat.
 Latar masyarakat

1. Masyarakat yang mempertahankan warisan bangsa. Tok Wali mengajarkan ilmu silat supaya dapat diwarisi oleh anak-anak muda kampungnya.

2. Masyarakat yang beradab. Tok Wali memenuhi jemputan Haji Kodri supaya membuat pertunjukan silat di majlis kenduri di rumahnya.
3. Masyarakat yang saling menghormati Ripin menghormati Tok Wali kerana memiliki ilmu persilatan dan melayan percakapan Tok Wali dengan sopan.
4. Masyarakat yang hipokrit - Siak menggunakan alasan agama untuk mengurangkan pengaruh Tok Wali di kampung itu.
5. Masyarakat yang tidak berakhlak. Piee menjadi penagih dadah dan sukar dipulihkan lagi.
6. Masyarakat yang taat perintah agama. Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid.


 Nilai
1. Nilai ketegasan

Tok Wali tegas dengan pendiriannya mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri kerana baginya perbuatannya itu tidak salah.


2. Nilai keberanian
Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.
3. Nilai taat akan perintah agama

Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan solat sunat.


4. Nilai hormat-menghormati
Ripin menghormati Tok Wali yang tinggi ilmu persilatan dan merupakan guru silatnya.

5. Nilai bertanggungjawab
Tok Wali berasa dirinya bertanggungjawab meneruskan usaha mengajarkan ilmu silat kepada anak-anak muda kampung tersebut.

6. Nilai tolong-menolong
Ripin membantu Mak Umi yang memanggilnya supaya menamatkan pergaduhan antara Tok Wali dan Siak.

7. Nilai keprihatinan
Tok Wali sering melakukan kerja kemasyarakatan tanpa mengharapkan upah seperti menggali kubur dan memandikan jenazah.

Pengajaran:
1. Kita hendaklah mempertahankan warisan bangsa agar generasi akan dating berpeluang mendapat manfaatnya.

2. Kita hendaklah menghormati guru dan orang yang lebih tua daripada kita kerana mereka banyak berjasa kepada kita.
3. Kita hendaklah sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan agar masyarakat hidup harmoni.
4. Janganlah kita bersikap hipokrit dalam hidup kerana sikap itu memberi kesan yang negatif.
5. Setiap masalah yang dihadapi haruslah diselesaikan secara rundingan supaya tidak berlaku kecederaan atau pertumpahan darah.
6. Kita mestilah bersabar atas ujian yang menimpa kita supaya kehidupan lebih sejahtera.
7. Kita hendaklah bijak menangani masalah yang timbul agar tidak menimbulkan kesusahan kepada diri sendiri kelak.

Sunday, 27 April 2014

BRIDGET JOHNSON JUARA PIDATO PABM 2014...!


SERDANG: Peserta Australia Bridget Johnson diumumkan juara pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2014.
Johnson, yang memilih tajuk 'Alam Sekitar Milik Kita', mengetepikan tujuh orang peserta lain bagi membawa pulang Piala Pusingan Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai serta sijil.
Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Peserta China Chen Nan, yang memilih tajuk 'Uniknya Perayaan di Malaysia' diumum pemenang kedua manakala tempat ketiga dirangkul peserta Yaman Aiman Saleh Hasn Alammari dengan pidato bertajuk 'Malaysia Syurga Makanan'.
PABM 2014, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, disertai 80 orang pemidato dari 75 negara termasuk Rusia, Itali, Belanda, Jepun, Jerman, Gambia, Ghana, Arab Saudi, Afrika Selatan, Belgium, India, Jordan dan Kenya.



Monday, 21 April 2014

ESEI: KESAN NEGATIF DADAH...!

1. Merosakkan sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang) .

2. Dalam keadaan mabuk atau khayal , penagih tidak dapat mengawal pergerakan dan perimbangan badannya .

3. Risiko jangkitan HIV/AIDS , Hepatitis dan Sawan apabila menggunakan alat suntikan yang dikongsi .

4. Kesan ke atas wanita mengandung iaitu seperti keguguran , kelahiran bayi songsang , lahir belum cukup bulan , kematian bayi semasa lahir dan melahirkan bayi yang tidak sempurna atau cacat .

5. Melemah dan merosak daya pemikiran , pemahaman , percakapan , pengiraan dan kebolehan menyelesaikan masalah .

6. Menyebabkan gangguan emosi dalam kehidupan keluarga dan masyarakat .

7. Peningkatan kes-kes sosial dan jenayah seperti budaya samseng , kecurian , rompakan , rogol , pembunuhan dan sebagainya . Hal ini adalah kerana penagih sebenarnya telah mengalami kerosakan otak dan mampu atau sanggup melakukan apa-apa sahaja demi ketagihan mereka kepada dadah .

8. Membawa maut kepada : -

a. Diri sendiri

Contohnya :
Akibatnya daripada pengambilan dos yang berlebihan .

b. Ahli keluarga

Contohnya :
Ibu , kerana tindakan ganas atau luar kawalan penagih kerana memerlukan wang untuk membeli dadah .

c. Orang awam

Contohnya :
Kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh dadah .

Sunday, 20 April 2014

ESEI: LANGKAH MENARIK PELABUR ASING...!

Pelaburan asing merupakan salah satu sumber utama bagi pembangunan negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing menyebabkan pendapatan negara meningkat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan meningkatkan kemajuan dalam aktiviti ekonomi. Oleh hal itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan pelaburan asing di negara ini.
Langkah pertama yang dijalankan adalah dengan mengadakan skim galakan kepada para pemodal. Skim galakan merupakan daya tarikan yang mustahak untuk menggalakkan pelaburan asing. Melalui usaha ini, kerajaan telah memberikan beberapa kelebihan kepada pemodal yang bertaraf perintis seperti pengecualian cukai untuk tempoh tertentu. Dalam usaha membolehkan pemodal asing melabur di sini, kerajaan juga harus melonggarkan peraturan pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang lebih besar sehingga 100% dalam sesuatu projek atau perniagaan tertentu.
Selain itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menghantar delegasi perdagangan bagi menarik pelabur dari luar negara. Delegasi ini bertujuan untuk menyedarkan pelabur asing mengenai potensi pelaburan di Malaysia sama ada melalui seminar pelaburan, mesyuarat atau laporan media massa. Maklumat atau info-info pelaburan kepada pelabur asing juga disampaikan menerusi pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia di seberang laut.
Di samping itu, kerajaan Malaysia juga menyediakan kawasan perindustrian dan kemudahan infrastruktur yang serba lengkap dan efisien. Penyediaan tapak perindustrian dan kemudahan infrastruktur ini bertujuan untuk menarik minat pemodal-pemodal asing untuk memajukan perusahaan baharu di sini. Dengan adanya prasarana yang lengkap, sudah tentu akan dapat memudahkan pelabur asing melaksanakan projek pelaburan mereka di sini kerana boleh mengurangkan kos bagi penyediaan pembinaan kilang, kemudahan asas yang diperlukan serta lain-lain.
Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan memajukan bidang teknologi dan kemahiran tenaga pekerja bagi menarik ramai pelabur asing. Selaras dengan matlamat ini, kerajaan telah melaksanakan program rancangan latihan kepakaran demi meningkatkan kemahiran dan kecekapan guna tenaga tempatan. Pertambahan dan langkah menaikkan taraf sekolah-sekolah vokasional dan teknik adalah contoh inisiatif kerajaan dalam menyediakan sejumlah tenaga kerja yang mahir dan produktif.Tambahan pula, kerajaan melalui pelbagai agensi telah mempergiat program penyelidikan dan pembangunan memperkenalkan teknik untuk pengeluaran moden dan lain-lain.
Pelabur asing yang hendak menanam modal di sesebuah negara harus memasti pelaburan mereka adalah terjamin. Oleh hal itu, kestabilan politik merupakan faktor utama untuk menggalakkan lagi sektor ini. Sekiranya keadaan politik tidak stabil dan berlakunya  krisis perkauman, hal ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan para pelabur dan mendorong mereka mengalihkan aset ke negara lain. Kerajaan Malaysia juga telah menandatangani Perjanjian Jaminan Pelaburan dengan negara-negara asing yang bermatlamat untuk memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memiliknegarakan mana-mana syarikat asing di negara ini. Perjanjian ini dapat menambahkan keyakinan pelabur asing dan menggalakkan kemasukan modal asing ke negara ini.
Kesimpulannya, pelaburan asing akan terus meningkat sekiranya kerajaan Malaysia berusaha menyediakan suasana yang kondusif dan menjamin keselamatan pelaburan asing di negara ini. Walau bagaimanapun, di sebalik keghairahan menarik minat pelaburan asing, kita harus sentiasa berhati-hati agar langkah kita itu tidak akan mendatangkan implikasi negatif yang boleh membebankan negara.  Beringat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Monday, 14 April 2014

PERIBAHASA MELAYU DAN MAKSUD...!

Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Genggam bara api biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dan taraf.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan / orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

FORMAT SOALAN BM PT3...!


Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sebagai guru Bahasa Melayu dan penulis blog dan mungkin juga sebagai seorang JU subjek Bahasa Melayu dan orang yang banyak terlibat dengan Lembaga Peperiksaan, saya sebenarnya juga belum mendapat maklumat lengkap tentang format soalan Bahasa Melayu bagi peperiksaan PT3 yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2014 ini.

Untuk makluman pembaca, guru-guru, ibu bapa dan para pelajar sekalian, saya banyak menerima pertanyaan tentang format Bahasa Melayu PT3 daripada pelbagai kalangan pembaca. Apa yang boleh saya katakan ialah kita tunggu dan lihat tindakan daripada pihak Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan dalam masa yang terdekat ini.

Sebagai guru Bahasa Melayu yang mengajar di tingkatan 3 juga, saya juga begitu risau tentang kelambatan pihak-pihak berkenaan memaklumkan format lengkap tentang subjek Bahasa Melayu walaupun peperiksaan tersebut dikatakan dikendalikan sendiri oleh pihak sekolah. 
Saya berjanji akan cuba memberikan maklumat terperinci melalui blog ini jika memperoleh maklumat terkini tentang PT3 tersebut.

Saturday, 12 April 2014

ESEI: KEPENTINGAN MENJAGA ALAM SEKITAR...!

   
  Alam sekitar adalah sangat penting kepada manusia kerana alam sekitar membekalkan oksigen, makanan, air, tempat tinggal, dan lain-lain.
Alam Sekitar merangkumi tanah-tanih, hutan, gunung-ganang, bukit-bukau, sungai, tasik, dan lautan. Menjadi tanggungjawab kepada manusia yang dikurniakan akal untuk menjaga dan memastikan alam sekitar sentiasa dalam keadaan sempurna.

Setiap apa yang diciptakan Allah mempunyai kepentingan dan fungsinya yang tertentu. Begitu juga dengan kewujudan alam sekitar kita yang sememangnya berfungsi sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Pencipta. Sepertimana yang diketahui, alam ini merupakan tempat tinggal segala hidupan termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Tanpa alam ini, kehidupan tidak akan berlaku. Makhluk yang hidup pula, memerlukan habitat atau tempat tinggal, tempat membiak dan tempat untuk mendapatkan makanan.

Keselesaan hidup manusia dan haiwan akan wujud di dalam persekitaran alam sekitar yang berkualiti. Alam sekitar yang berkualiti juga amat penting untuk memelihara hubungan antara satu organisma dengan organisma yang lain. Sebarang kesan buruk daripada persekitaran akan menjejaskan hidupan lain. Contohnya, udara  perlu bersih untuk pernafasan haiwan dan tumbuhan. Udara yang tercemar akan  mengganggu proses ini. Pencemaran udara akan menyebabkan penyakit yang  menyerang sistem respirasi. Air yang bersih juga penting untuk kehidupan. Kira-kira 70% daripada kandungan sel ialah air. Air sungai yang dicemari  dengan sisa kilang dan kawasan perlombongan pula merosakkan habitat hidupan akuatik dan seterusnya mengakibatkan kematian.
Sebagai satu sumber ekonomi dan biologi, kita perlu memastikan kewujudan berterusan alam sekitar yang berkualiti di bumi ini. Tanggungjawab setiap individu di dunia ini adalah untuk memelihara alam sekitar yang bersih sangat diperlukan untuk menjamin alam sekitar yang bersih untuk generasi sekarang dan akan datang.

Keseimbangan antara pengurusan alam sekitar dengan kepentingan ekonomi dan pembangunan. Kegiatan-kegiatan ekonomi dan pembangunan manusia, seperti menangkap ikan dan membalak adalah untuk meningkatkan taraf hidupnya. Kegiatan ini  melibatkan perubahan kepada struktur alam semula jadi di sekeliling, sesuai dengan kehendaknya. Manusia harus bijak merancang untuk mengawal dan mengekalkan keseimbangan ekologi alam sekitarnya. Sumber bumi yang kaya ini boleh dikelaskan kepada dua, iaitu sumber yang boleh diperbaharu dan sumber yang tidak boleh diperbaharu. Sumber yang boleh diperbaharu ialah sumber yang boleh dihasilkan atau diwujudkan kembali di alam semula jadi dalam tempoh yang singkat. Hasil  laut seperti kupang, ikan dan rumpai air merupakan satu contoh hidupan yang boleh diperoleh sepanjang masa. Kayu balak dan rotan mengambil masa yang lebih untuk pertumbuhan, larangan ke atas penggunaan pukat harimau, dan galakan terhadap aktiviti penanaman semula balak dan rotan di  Malaysia ialah contoh usaha yang diambil untuk memulihara alam semula jadi. 

Sumber yang tidak boleh diwujudkan kembali melalui kegiatan manusia ialah sumber yang tidak boleh dikembalikan semula. Sumber yang tidak boleh dikembalikan adalah seperti petroleum dan bijih timah. Kegiatan ekonomi sumber ini perlu  dikawal atau dihadkan agar  tidak kehabisan dalam jangka waktu yang singkat. Kegiatan perlombongan di permukaan bumi menghasilkan sisa logam seperti  plumbum yang boleh mencemarkan sungai. Permukaan bumi pula menjadi terdedah kepada ejen hakisan. Kawasan lapang yang berpasir akan wujud dan kawasan ini akan menjadi tidak subur dan menakung air. Usaha-usaha yang boleh dijalankan untuk memulihkan kawasan seperti ini kepada kawasan rekreasi seperti Taman Tasik Perdana dan Sunway Lagoon di Kuala Lumpur, Malaysia. Industri yang berasaskan pertanian dan pengilangan menghasilkan sisa yang  toksik dan berbahaya. Sisa ini mendatangkan risiko yng tinggi kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Satu peraturan di bawah Akta Kualiti  Alam Sekitar 1974 yang telah dikuatkuasakan dalam tahun 1979 mewajibkan semua industri mengolah air buangan untuk mengasingkan bahan  pencemar ke paras yang selamat sebelum dilepaskan ke mana-mana saliran air daratan. Sisa toksik yang tidak boleh diolah perlu dibakar, dikitar semula atau dihapuskan dengan cara yang selamat seperti ditanam. Pembukaan tanah untuk projek perumahan dan perbandaran perlu disertakan dengan pelan penanaman tumbuhan.  Alam sekitar haruslah diurus dengan teliti dan teratur dalam sebarang aktiviti ekonomi atau pembangunan. Alam sekitar dengan keseimbangan ekologinya yang  unik tidak harus dikorbankan demi kepentingan manusia semata-mata. 

Ubah suai daripada Blog bmpengurusanuum.blogspot.com

ESEI: KRISIS MAKANAN DUNIA...!

MAKANAN semakin berkurangan. Inilah hakikat yang sudah terbentang di depan mata biarpun laporan mengenainya ditenggelamkan pelbagai paparan krisis politik dan kemelut bencana alam yang berlaku saban hari.

Tidak keterlaluan jika dikatakan impak pemanasan global lebih mendapat perhatian meluas sebahagian besar penduduk dunia, berbanding kekurangan makanan yang kian meruncing seperti dinyatakan laporan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini. 

Laporan yang berupa amaran langsung, mengaitkan perkembangan membimbangkan itu dengan pertambahan penduduk yang meningkat 3 bilion orang kepada 9.5 bilion orang dalam masa 50 tahun. Malangnya, pertambahan tidak seimbang dengan hakikat sumber makanan yang semakin hari kian menyusut. 

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) baru-baru ini mendakwa, 30 peratus ternakan semakin pupus dan 75 peratus hasil pertanian kepelbagaian genetik pula sudah lenyap. 

Tidak cukup dengan itu, keluasan tanah bagi setiap orang pula semakin susut iaitu dari 0.38 hektar pada 1970 kepada 0.23 hektar pada 2000 dan cuma 0.15 hektar pada 2050. 

Laporan Program Alam Sekitar PBB pula mendedahkan bahawa sumber air, daratan, tumbuhan, haiwan dan ikan semuanya semakin susut. 

Hal ni diburukkan lagi dengan fakta oleh Program Makanan Sedunia (WFP) yang menyatakan bahawa 57 buah negara termasuk 29 buah di Afrika, 19 buah di Asia dan 9 buah di Amerika Latin, dilanda banjir buruk yang telah menjejaskan sumber makanan, selain masalah kemarau dan bahang panas di Asia, Eropah, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay.

Tidak hairanlah perkembangan yang membimbangkan itu menyebabkan FAO sudah memberikan amarannya seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarahnya, Jacque Diouf kepada akhbar Telegraph, baru-baru ini. 

"Jika anda menggabungkan peningkatan harga minyak dan harga makanan dunia, anda sebenarnya bakal menyaksikan elemen krisis sosial yang teruk pada masa depan." 

Kenyataan oleh peneraju FAO yang bertanggungjawab memantau keperluan makanan sebagai nadi manusia itu sememangnya amat menakutkan. 

Lebih membimbangkan, kita sebenarnya tidak perlu menunggu sehingga 50 tahun untuk melihat kesan kekurangan makanan yang sebenarnya sudah pun ketara dan mencecah tahap krisis ini. 

Buktinya, masalah kekurangan makanan begitu ketara di Caracas, Venezuela sehingga terpaksa dicatu. Rusuhan berebutkan makanan di Benggala Barat, Mexico serta dalam kalangan mangsa ribut Sidr, Bangladesh yang kelaparan juga bukan isu kecil. 
Malah, amaran kelaparan sudah pun dilontarkan dalam kalangan penduduk Jamaica, Nepal, Filipina dan benua kecil Afrika. 

"Ada 854 orang juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah 4 juta orang, setiap tahun. Kami berdepan masalah kekurangan bekalan makanan yang paling teruk dalam sejarah. Bagi penduduk miskin, jangkauan mereka untuk mendapatkan makanan kian jauh," tegas Pengarah Program Makanan Sedunia (WFP), Josette Sheeran. 

Kenyataannya disokong tindakan kerajaan beberapa buah negara yang terpaksa mengawal kos pengeluaran roti, jagung serta produk tenusu lain. 
Namun, usaha itu pasti gagal lagi dengan harga kebanyakan makanan utama dunia meningkat mendadak dan mencetuskan pula inflasi makanan sebanyak 18 peratus di China, Indonesia dan Pakistan (13 peratus) 10 peratus atau lebih di Amerika Latin, Russia dan India. 

Harga gandum pula meningkat dua kali ganda, jagung meningkat 50 peratus berbanding setahun lalu dan beras – makanan ruji sebahagian besar penduduk Asia, terbukti meningkat lebih 20 peratus. 

Peningkatan harga makanan itu dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak yang terus ketara. Pada masa sama, petani Amerika pula bertindak menukar daripada penanaman bijirin kepada tanaman biofuel. Tidak kurang juga ancaman cuaca ekstrem dan permintaan besar daripada negara berpenduduk ramai dunia, India dan China. 
Di Venezuela, kekurangan daging, susu dan ayam juga semakin mencengkam. 

Apakah pula tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah itu? Ada yang bertindak sendiri, termasuk melancarkan boikot seperti di Argentina apabila penduduknya memulaukan tomato yang dikatakan jauh lebih mahal daripada daging.

Di Itali, rakyatnya mengadakan kempen sehari 'Boikot Pasta' sebagai membantah kenaikan harga makanan berkenaan. 

Di Jerman, ahli politik berhaluan kirinya menggesa kerajaan meningkatkan faedah kebajikan bagi membolehkan rakyatnya berdepan peningkatan harga barangan. 

Inilah bahan bukti masalah kekurangan makanan yang kian meruncing ini. Silap besar jika ada yang beranggapan kekurangan makanan hanya bersifat sementara dan setempat semata-mata. 

Hal ini demikian juga bukan setakat membabitkan keperluan mengisi perut, tetapi harganya yang meningkat dan kekurangannya boleh mencetuskan ketidakstabilan politik. 

Pendek kata, sesebuah negara itu boleh menjadi huru-hara jika rakyatnya sukar mendapat makanan, apalagi selepas menikmati 'zaman mewah' selama ini dengan kebanjiran makanan tempatan mahupun yang diimport. 

Zaman mewah makanan yang menyebabkan ramai rambang mata memikirkan makanan pilihan hati atau menggunakan hujung jari mendail khidmat penghantaran makanan ke depan pintu rumah. Bayangkan keadaannya apabila dunia kekurangan beras untuk menghasilkan nasi; gandum bagi pembuatan roti, pasta, piza dan roti canai serta gula!
Atau ternakan seperti ayam, itik, lembu, kambing dan ikan yang pupus akibat ancaman penyakit, pencemaran dan ketiadaan tanah untuk diternak. Pasti sukar bukan? Bukan setakat membayangkannya, berdepan dengan hakikatnya juga sukar, apa lagi  membabitkan kelangsungan atau survival spesies manusia sendiri. 

Persoalannya, apakah penduduk dunia sedia menghadapi zaman kesusutan makanan ini? Apakah alternatif yang kita ada? Setakat menyimpan makanan utama hanya bersifat sementara dan bertumpu kepada individu dan keluarga semata-mata. 

Pakar pula melontarkan pelbagai inisiatif bagi menseimbangkan bekalan makanan bagi tempoh mendatang. Hal ini termasuk memastikan pasaran secara automatik segera bertindak mengatasi kekurangan makanan, kerana harga yang tinggi pasti menggalakkan lebih ramai orang mengutamakan usaha pertanian. 

Tidak kurang juga harapan menyaksikan penghasilan biji benih dan teknologi baharu yang membolehkan tanaman lebih tahan atau kebal penyakit dan tahan perubahan cuaca ekstrem. 

Pakar sebelum ini berkata, jika ramai yang memilih untuk mengurangkan amalan memakan daging, lebih banyak lagi tanah pertanian bagi tujuan pemakanan manusia dan bukannya haiwan, dapat diwujudkan. 

Selain itu, usaha perancangan keluarga juga dapat mengurangkan tekanan ke atas permintaan di pasaran makanan dunia. Golongan penting seperti nelayan juga harus dididik untuk mengutamakan kepentingan alam sekitar daripada keuntungan semata-mata. Ikan yang kecil harus dilepaskan semula bagi memastikan sumber makanan penting itu terus wujud. 

Paling penting, manusia sendiri - dari pelbagai peringkat dan di ceruk mana dunia sekali pun harus dididik untuk menghargai makanan dan mengelakkan pembaziran. Mereka juga harus didedahkan dengan kepentingan menanam sendiri sayuran di tepi rumah yang sekali gus membuktikan sikap menghargai makanan. 

Jika manusia terus leka, pepatah tepuk dada tanya selera sukar lagi dipraktikkan apabila makanan sudah pun terhad sehingga mengancam kelangsungan manusia.

PROMOSI III