ESEI: LANGKAH MENARIK PELABUR ASING...!

Pelaburan asing merupakan salah satu sumber utama bagi pembangunan negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing menyebabkan pendapatan negara meningkat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan meningkatkan kemajuan dalam aktiviti ekonomi. Oleh hal itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan pelaburan asing di negara ini.
Langkah pertama yang dijalankan adalah dengan mengadakan skim galakan kepada para pemodal. Skim galakan merupakan daya tarikan yang mustahak untuk menggalakkan pelaburan asing. Melalui usaha ini, kerajaan telah memberikan beberapa kelebihan kepada pemodal yang bertaraf perintis seperti pengecualian cukai untuk tempoh tertentu. Dalam usaha membolehkan pemodal asing melabur di sini, kerajaan juga harus melonggarkan peraturan pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang lebih besar sehingga 100% dalam sesuatu projek atau perniagaan tertentu.
Selain itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menghantar delegasi perdagangan bagi menarik pelabur dari luar negara. Delegasi ini bertujuan untuk menyedarkan pelabur asing mengenai potensi pelaburan di Malaysia sama ada melalui seminar pelaburan, mesyuarat atau laporan media massa. Maklumat atau info-info pelaburan kepada pelabur asing juga disampaikan menerusi pejabat Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia di seberang laut.
Di samping itu, kerajaan Malaysia juga menyediakan kawasan perindustrian dan kemudahan infrastruktur yang serba lengkap dan efisien. Penyediaan tapak perindustrian dan kemudahan infrastruktur ini bertujuan untuk menarik minat pemodal-pemodal asing untuk memajukan perusahaan baharu di sini. Dengan adanya prasarana yang lengkap, sudah tentu akan dapat memudahkan pelabur asing melaksanakan projek pelaburan mereka di sini kerana boleh mengurangkan kos bagi penyediaan pembinaan kilang, kemudahan asas yang diperlukan serta lain-lain.
Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan memajukan bidang teknologi dan kemahiran tenaga pekerja bagi menarik ramai pelabur asing. Selaras dengan matlamat ini, kerajaan telah melaksanakan program rancangan latihan kepakaran demi meningkatkan kemahiran dan kecekapan guna tenaga tempatan. Pertambahan dan langkah menaikkan taraf sekolah-sekolah vokasional dan teknik adalah contoh inisiatif kerajaan dalam menyediakan sejumlah tenaga kerja yang mahir dan produktif.Tambahan pula, kerajaan melalui pelbagai agensi telah mempergiat program penyelidikan dan pembangunan memperkenalkan teknik untuk pengeluaran moden dan lain-lain.
Pelabur asing yang hendak menanam modal di sesebuah negara harus memasti pelaburan mereka adalah terjamin. Oleh hal itu, kestabilan politik merupakan faktor utama untuk menggalakkan lagi sektor ini. Sekiranya keadaan politik tidak stabil dan berlakunya  krisis perkauman, hal ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan para pelabur dan mendorong mereka mengalihkan aset ke negara lain. Kerajaan Malaysia juga telah menandatangani Perjanjian Jaminan Pelaburan dengan negara-negara asing yang bermatlamat untuk memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memiliknegarakan mana-mana syarikat asing di negara ini. Perjanjian ini dapat menambahkan keyakinan pelabur asing dan menggalakkan kemasukan modal asing ke negara ini.
Kesimpulannya, pelaburan asing akan terus meningkat sekiranya kerajaan Malaysia berusaha menyediakan suasana yang kondusif dan menjamin keselamatan pelaburan asing di negara ini. Walau bagaimanapun, di sebalik keghairahan menarik minat pelaburan asing, kita harus sentiasa berhati-hati agar langkah kita itu tidak akan mendatangkan implikasi negatif yang boleh membebankan negara.  Beringat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Comments

Popular Posts