PENAJA

RAKAN ILMU

Friday, 30 May 2014

RENYAH: TEKNIK PLOT...!

Teknik Plot:-
  • Cara pengarang menyampaikan cerita dalam sesebuah karyanya. Kepelbagaian teknik dalam penyampaian cerita oleh pengarang dapat menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaannya.
Antara teknik plot novel Renyah:-
  • Dialog (Cerita yang disampaikan melalui dialog watak-watak). Contohnya:
“Aku cipta enam, aku nyanyi sepuluh.”
“Wah, boleh tahan!”      (muka surat 46)
  • Monolog dalaman (Pembaca diceritakan tentang kisah sesuatu melalui pemaparan perkara yang difikirkan atau kata-kata di dalam hati watak). Contohnya:
Ini semua Saiful Bahri punya kerja, bisik hatinya. Dialah yang menguruskan segala-galanya termasuk sedikit-sedikit belanja kahwin.     (muka surat 114)
  • Imbas kembali / flashback (Kisah silam watak yang menjadi penghubung cerita seterusnya. Disampaikan kepada pembaca melalui lamunan watak, mengingat kembali peristiwa lampau atau watak bercerita kepada watak-watak lain). Contohnya:
Datuk Dolhi terkenangkan pertama kali dia pergi ke Jepun mengikut program JICA. Terkulat-kulat dia dan rakan-rakan mencuba resepi Jepun. Rasa was-was tidak dapat dielakkan.  (muka surat 113) 

Monday, 26 May 2014

PT3 SUBJEK BM...?

Ketika bertugas sebagai Hakim Bahas di HKSBP ke-41 di SM. Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 22 - 27 Mei 2014, cikgu telah dimaklumkan oleh seorang guru di sekolah tersebut tentang contoh instrumen soalan Bahasa Melayu PT3 yang sedang menjadi buruan warga guru, para ibu bapa dan pelajar-pelajar terutamanya pelajar tingkatan 3.

Setelah meneliti contoh instrumen tersebut, cikgu masih tertanya-tanya sama ada contoh instrumen itu merupakan contoh instrumen PT3 ataupun hanya sekadar contoh instrumen PBSMR yang telah dimansuhkan sebelum dilaksanakan sebagai menggantikan PMR. Hal ini demikian juga kerana pada muka depan contoh instrumen itu tidak tercatat nama 'Pentaksiran Tingkatan 3', sekadar dicetakkan nama PENTAKSIRAN PERINGKAT MENENGAH RENDAH, PENTAKSIRAN PUSAT 2014.

Walau bagaimanapun, untuk perkongsian, pada kesempatan pada kali ini cikgu akan cuba berbincang tentang format soalan instrumen tersebut untuk rujukan dan makluman awal. Instrumen contoh tersebut terdiri daripada 9 muka surat yang mengandungi soalan bahagian A dan soalan bahagian B. Di bahagian A, soalan tatabahasa, pemahaman komsas, peribahasa dan soalan bentuk baharu iaitu 'ulasan' berdasarkan bahan rangsangan. Panjang ulasan tersebut hendaklah antara 80 hingga 100 patah kata.

Dalam bahagian B pula, pelajar dikehendaki menulis karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 180 patah kata. Pelajar dikehendaki memilih SATU soalan daripada DUA tajuk karangan yang dikemukakan. 

Daripada pengamatan awal cikgu, tiada lagi format soalan aneka pilihan untuk tajuk tatabahasa, tiada lagi soalan tentang novel dan instrumen penulisan Bahasa Melayu hanyalah terdiri daripada SATU kertas sahaja, tidak seperti PMR yang terdiri daripada DUA kertas iaitu BM Kertas 1 dan BM kertas 2.









Tuesday, 20 May 2014

RESEPI JIWA LUHUR...!



  • Ambilkan akar pohon rasa fakir dan berhajat kepada Allah bersama akar kerendahan hati yang ikhlas akan Allah;
  • Campurkan dengan taubat. Lalu masukkan wadah reda atas semua ketentuan dan takdir Allah;
  • Campurkan juga rasa qana’ah iaitu rasa puas dengan apa-apa Allah berikan kepada kita;
  • Jadikan taubat sebagai campurannya;
  • Masukkan ke dalam kuali takwa. Tuangkan ke dalamnya air rasa malu. Lalu didihkan dengan api cinta;
  • Kemudian masukkan ke dalam adunan rasa syukur;
  • Serta toskan dengan kipas harapan;
  • Lalu akhirnya, 
  • Minumlah dengan senduk pujian.

Friday, 16 May 2014

JAWAPAN / JAWABAN...!


Salah satu proses pembentukan kata bahasa Melayu ialah proses pengimbuhan. Proses ini melibatkan sesuatu kata dasar itu diimbuhkan dengan imbuhan-imbuhan sama ada awalan, akhiran mahupun sisipan. Proses morfologi ini akan menyebabkan berlakunya perubahan dari segi makna, golongan kata dan juga bentuk kata itu sendiri. Contohnya:-
  1. makan (kata kerja) + -an > makanan (kata nama)
  2. bulat (kata adjektif) + meN- + -kan > membulatkan (kata kerja)
  3. bulat (kata adjektif) + -an > bulatan (kata nama)
  4. gambar (kata nama) + di- + -kan > digambarkan (kata kerja)
Pada kesempatan ini, cikgu ingin berkongsi maklumat tentang sesetengah kata dasar yang berubah dari segi bentuk secara 'tidak menepati proses mprfologi' tetapi masih diterima pakai atas alasan telah digunakan 'sekian lama' dan 'diterima umum'.
Cuba kita analisis bagaimana kata 'jawapan' boleh terbentuk apabila diimbuhkan dengan akhiran 
-an.
  • jawab (kata kerja) + -an > jawapan ? sepatutnya jawaban.
Walaupun pada hakikatnya kata jawaban yang BETUL dan menurut proses morfologi, namun kata 'jawapan' juga diterima sebagai BETUL berdasarkan alasan di atas tadi.
  • Kesimpulannya kedua-dua patah kata iaitu jawapan atau jawaban boleh digunakan, walau bagaimana pun, kita seharusnya lebih mengutamakan penggunaan kata jawaban kerana faktor ketepatan dari segi proses morfologi.

Monday, 12 May 2014

ERTI HARI GURU...!

PENGENALAN

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA
  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi),
    pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam
    masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah  antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan
    -persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil
    langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
LOGO HARI GURU
Putih 
- Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak 
- Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning
- Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan. Bulan dan bintang
  membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah
- Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru
- Menunjukkan perpaduan muhibah.

Dari pusat lambang tersebut, muncullah buku yang memberi ilmu pengetahuan dalam segala lapangan bagi kepentingan negara yang aman dan makmur. Di hadapan buku didapati reka bentuk seorang murid yang sentiasa memerlukan pengajaran dan pendidikan daripada guru. Dua reka bentuk di antara murid dengan buku,ialah guru perempuan dan lelaki berfikiran sama dalam segala lapangan tentang mata pelajaran dan kokurikulum. Mereka sentiasa menggalakkan murid-murid supaya meninggikan mutu pelajaran dan kegiatan kokurikulum mengikut prinsip-prinsip Rukun Negara. Dari bawah didapati satu garisan bulat yang tebal mengandungi slogan "HIDUP BERBAKTI". Ini menjadi sebuah tapak yang luas dan kukuh membuktikan perpaduan guru.

IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Saturday, 10 May 2014

FRASA MENARIK DALAM ESEI...!

1. Belakangan ini, isu berkaitan dengan remaja dalam kalangan masyarakat saban waktu diwara-warakan dalam media arus perdana malah sering menjadi polemik yang hangat diperdebatkan di negara kita. Lantaran itu, semua pihak mestilah komited dan beriltizam untuk mendepani isu ini kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah cara-cara untuk ………………………………?
2.  Semua pihak mestilah berusaha untuk memperkasakan remaja supaya ‘generasi Y’ ini dapat diperkasakan di negara kita. Penggemblengan tenaga dan usaha untuk menjayakannya amatlah diharapkan kerana orang bijak pandai pernah berpesan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dalam pada itu, usaha yang sistematik dan proaktif mestilah digerakkan mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu, mestilah bermula dengan langkah pertama
3.  Mafhum daripada sepotong hadis yang bermaksud,jagalah masa sihatmu sebelum tiba masa sakit. Hadis ini jelas menggambarkan betapa pentingnya kesihatan diri dalamkehidupan kita. Kesihatan merupakan kurniaan Tuhan yang sangat bernilai. Kesihatan yang baik membolehkan kita menguruskan kehidupan dengan baik. Persoalannya, adakah kita sedar tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan? Lantaran  itu, kita perlu mencari wasilah dan ikhtiar untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera. Situasi ini bertepatan dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
4.  Sebagai sahmura negara, remaja seharusnya rajin berusaha seperti lebah menghimpunkan madu. Mengapakah wujud sikap malas dalam diri? Berpeganglah pada prinsip bukan senang untuk menjadi senang dan bukan susah untuk menjadi susah.
5.  Disiplin merupakan elemen terpenting dalam kehidupan remaja / pelajar. Tanpa disiplin tidak mungkin tugasan seharian dapat diselesaikan dengan baik. Jagalah dan pupuklah disiplin dalam diri seperti menjaga nyawa sendiri. Hal ini kerana tiada apa-apa di dunia ini yang dapat menandingi nikmat hidup kurniaan Tuhan. Jadilah manusia yang bersyukur . Hayatilah juga mafhum mulia  yang menyatakan bahawa kehidupan sebagai sebatang tubuh. Jika ada anggotanya yang sakit, justeru semua tubuh akan berasa sakit dan bersama-sama berjaga malam. Senario ini juga terungkap dalam aforisme yang berbunyi yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa disiplin diri maka tempanglah kehidupan.
6. Badan cergas , otak cerdas. Slogan ini sering kita dengar dan kita lihat melalui paparan  media massa. Seiring dalam mengejar arus globalisasi, amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat harus ditingkatkan bagi merealisasikan visi dan misi negara menjadi negara maju pada tahun 2020. Sejajar dengan itu, bagi merealisasikan misi negara tersebut, kita perlu melahirkan masyarakat yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan berpandangan jauh serta mempunyai emosi yang stabil kerana daripada aspek-aspek inilah lahirnya masyarakat yang akan menjadi peneraju untuk menggerakkan kemajuan negara pada masa hadapan.
7.  Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Budaya kuning yang kian menular umpama virus epidemik dalam masyarakat telah menyebabkan remaja semakin alpa dan lalai tentang tanggungjawab mereka terhadap tanah air tercinta ini. Era globalisasi sejajar dengan arus pemodenan telah mengaburi mata setiap individu untuk mengutamakan kesejahteraan negara. Nilai materialistik dan individualistik yang menguasai jiwa masyarakat telah menyukarkan modus operandi  untuk menyuburkan semangat perpaduan atau nasionalisme yang semakin sirna. Setiap rakyat Malaysia memikul tanggungjawab yang berat untuk menghidupkan nilai perpaduan dan  kesyukuran  yang begitu syumul pada suatu masa dahulu. Sebagai warganegara yang mendukung nilai cinta akan negara, kita perlu mengamalkan prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
8. Remaja  kontemporari yang kononnya semakin bijak telah mula tenggelam punca dan sanggup melakukan tindakan dan tingkah laku ganas di luar batasan. Pelbagai krisis yang melanda mereka telah menjadi anasir perosak sehingga situasi yang harmoni dan harmonis bertukar menjadi neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi mula melanda golongan sahmura ini sehingga menimbulkan kesan kemurungan dan halunisasi. Memandangkan fenomena ini berupaya mengancam kesejahteraan komuniti, heterogen sinergi menanganinya harus diambil dengan seberapa segera. Kata orang tua-tua, api kecil baik dipadam.

Pandangan cikgu tentang penggunaan frasa/klausa/istilah/kata ketika menulis atau menghasil
kan karangan:-

1. Penggunaan frasa/klausa/istilah/kata yang tertentu ketika menulis karangan perlulah berhati-hati kerana boleh menyebabkan sesuatu hasil karangan menjadi sukar difahami dan berjela-jela huraiannya.
2. Sesetengah pelajar atau calon peperiksaan menggunakan teknik hafalan bagi ayat-ayat tertentu, kemudian dimasukkan terus sebagai perenggan pendahuluan atau permulaan perenggan tanpa melihat kesesuaian dengan ayat-ayat yang dihasilkan selepas itu.
3. Penggunaan frasa atau kata tertentu yang 'melampau' menyebabkan seseorang pemeriksa sukar memahami maksud yang mahu disampaikan, atau kadang-kadang penggunaan frasa tersebut langsung tidak sesuai. Lihat contoh  (8) di atas, .... sehingga menimbulkan kesan kemurungan dan halunisasi. Apakah maksud halunisasi? Jika tidak salah, kata halunisasi merujuk istilah perubatan yang bermaksud suara halus yang sering didengari oleh pesakit mental. Cuba baca satu lagi contoh penggunaan frasa yang tidak sesuai, "memandangkan fenomena ini berupaya mengancam kesejahteraan komuniti, heterogen sinergi menanganinya harus diambil dengan seberapa segera". Cikgu ingin bertanya, kenapakah kita perlu menggunakan frasa heterogen sinergi sehingga boleh mencacatkan keseluruhan isi yng mahu disampaikan?  Heterogen sinergi dalam ayat tersebut lebih sesuai digantikan dengan frasa 'kerjasama yang erat', . Janganlah sekali-kali kita beranggapan bahawa penggunaan frasa atau istilah tertentu itu akan diberikan martkah bonus oleh setiap pemeriksa.

Monday, 5 May 2014

PERTANDINGAN ESEI...!

PERTANDINGAN MENULIS ESEI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SEMPENA HARI GURU 2014

05 May 2014
PERTANDINGAN MENULIS ESEI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SEMPENA HARI GURU 2014

SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN

1.     Pertandingan terbuka kepada :

Kategori murid sekolah rendah ( 7 – 12 Tahun)
Kategori murid sekolah menengah (13 – 17 Tahun)
Kategori Guru  
Kategori Terbuka


2.     Panjang Esei  :

Kategori murid sekolah rendah : 150 patah perkataan
Kategori murid sekolah menengah : 400 patah perkataan
Kategori Guru  : 800 patah perkataan
Kategori Terbuka : 800 patah perkataan


3.     Jumlah perkataan mestilah dicatatkan dengan tepat pada penghujung bawah sebelah kanan esei.

4.     Esei adalah karya asal menggunakan Bahasa Malaysia dan tidak pernah diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.

5.     Tajuk Esei:

“Profesion Perguruan  Kerjaya  Mulia”

6.     Format esei :

Ditaip atas kertas A4 menggunakan perisian Office Word.

Jenis aksara : Arial
Saiz aksara : 12 pt.
Langkauan baris : 1.5


7.       Maklumat penyertaan hendaklah dilengkapkan pada Borang Penyertaan yang sediakan dengan menyertakan salinan kad pengenalan/sijil lahir yang telah disahkan oleh Guru Besar/Pengetua/Ketua Jabatan.

8.       Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat-menyurat berkaitan dengan peraduan tidak akan dilayan.

9.       Keputusan akan diumumkan di laman sesawang Kementerian Pendidikan  

          Malaysia (www.moe.gov.my), melalui emel dan telefon.

10.    Hadiah disediakan untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga serta lima (5) sagu hati mengikut kategori yang dipertandingkan serta sijil penghargaan.

11.    Esei adalah hak milik Kementerian Pendidikan Malaysia dan urus setia berhak  untuk menggunakannya, menyunting dan menyiarkan dalam mana-mana penerbitan.

12.    Pegawai dan petugas yang terlibat sebagai urus setia pertandingan menulis esei Hari Guru 2014  tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

13.    Urus setia berhak untuk meminda syarat-syarat pertandingan tanpa  memaklumkan kepada peserta terlebih dahulu.

14.    Bukti penghantaran tidak boleh dianggap sebagai bukti penerimaan. Pihak urus  setia tidak akan bertanggungjawab terhadap kiriman yang tidak sampai atau rosak dalam perjalanan

15.    Semua pertanyaan boleh menghubungi urus setia pertandingan (Pn. Norita binti Hamzah di talian 03-88846504/03-88846489 atau emel : norita.hamzah@moe.gov.my.)

16.    Semua penyertaan hendaklah sampai kepada urus setia pada atau  sebelum 15 Mei 2014. Penghantaran boleh dilakukan melalui emel kepada urusetiapertandinganesei.kpm@gmail.com, melalui pos atau menghantar sendiri kepada:

Pejabat Menteri Pendidikan II

Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 18, No. 2, Menara 2,
Jalan P5/6, Presint 5
62200 Wilayah Persekutuan Putrajaya


(u.p. Urus Setia Pertandingan Menulis Esei Hari Guru 2014)

Thursday, 1 May 2014

KOMSAS: SAJAK HARGA REMAJA...!

SAJAK
MAKSUD

Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Seseorang remaja amat berharga
jika hatinya bersih
daripada sebarang gejala negatif
remaja itu digambarkan sesegar daun menghijau
serta kesegaran pepohon
di tepi jalan.


Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Penyajak mengemukakan pertanyaan tentang cara remaja memenuhi zaman remajanya
Sama ada beroleh keburukan akibat kelalaian
dalam mengejar cinta berlandaskan nafsu
atau mendapat nikmat daripada belajar
dalam menghadapi kesukaran menuntut ilmu.

Remaja amat mahal
                                                
                                     sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
                                             pendirian
keberanian dan ilmu

Sesungguhnya seseorang remaja itu amat bernilai
hinggakan
tidak dapat dijual beli
nilai seseorang remaja diukur
berdasarkan keteguhan pendirian,
keberanian dan ilmu yang dimiliki.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.

Penyajak meminta remaja memenuhi hidupnya
dengan mempunyai hala tuju yang jelas.

PROMOSI III