JAWAPAN / JAWABAN...!


Salah satu proses pembentukan kata bahasa Melayu ialah proses pengimbuhan. Proses ini melibatkan sesuatu kata dasar itu diimbuhkan dengan imbuhan-imbuhan sama ada awalan, akhiran mahupun sisipan. Proses morfologi ini akan menyebabkan berlakunya perubahan dari segi makna, golongan kata dan juga bentuk kata itu sendiri. Contohnya:-
  1. makan (kata kerja) + -an > makanan (kata nama)
  2. bulat (kata adjektif) + meN- + -kan > membulatkan (kata kerja)
  3. bulat (kata adjektif) + -an > bulatan (kata nama)
  4. gambar (kata nama) + di- + -kan > digambarkan (kata kerja)
Pada kesempatan ini, cikgu ingin berkongsi maklumat tentang sesetengah kata dasar yang berubah dari segi bentuk secara 'tidak menepati proses mprfologi' tetapi masih diterima pakai atas alasan telah digunakan 'sekian lama' dan 'diterima umum'.
Cuba kita analisis bagaimana kata 'jawapan' boleh terbentuk apabila diimbuhkan dengan akhiran 
-an.
  • jawab (kata kerja) + -an > jawapan ? sepatutnya jawaban.
Walaupun pada hakikatnya kata jawaban yang BETUL dan menurut proses morfologi, namun kata 'jawapan' juga diterima sebagai BETUL berdasarkan alasan di atas tadi.
  • Kesimpulannya kedua-dua patah kata iaitu jawapan atau jawaban boleh digunakan, walau bagaimana pun, kita seharusnya lebih mengutamakan penggunaan kata jawaban kerana faktor ketepatan dari segi proses morfologi.

Comments

Popular Posts