PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 22 July 2014

BADAN, DASAR, RENDAH...!

KATA BANYAK MAKNA
Melalui soalan 3(a) bagi peperiksaan SPM subjek Bahasa Melayu, calon akan diuji tentang kemahiran membina ayat dengan perkataan yang diberikan. Ada kemungkinan calon-calon diuji kemahiran mereka tentang bagaimana membina ayat menggunakan perkataan yang sama tetapi mempunyai makna yang berbeza. Contoh soalan:-
  • Tulis dua ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.
  1. badan
  2. dasar
  3. rendah
JAWAPAN:-

1. badan
  • Badan kanak-kanak itu dipenuhi lumpur dari sawah.
  • Ayah saya bergiat aktif dalam badan kebajikan bukan kerajaan.
2. dasar
  • Dasar sungai Kelantan dipenuhi sampah dan bahan buangan kilang.
  • British melaksanakan dasar pecah dan perintah ketika menjajah negara kita dahulu.
3. rendah
  • Dia mendapat markah yang rendah dalam ujian Bahasa Melayu itu.
  • Penjenayah itu bertubuh rendah dan gempal.

Sunday, 20 July 2014

ESEI: PERANAN REMAJA DALAM MENGISI KEMERDEKAAN....!

 
PENDAHULUAN:-
  • Negara kita banyak memperoleh kejayaan dan berada pada landasan yang tepat untuk mencipta kecemerlangan hasil kemerdekaan yang diraih sejak 1957.
  • Kemerdekaan telah berjaya menjanakan kehidupan kita yang lebih makmur dengan pelbagai peluang dan ruang yang terbuka luas.
  • Negara kita telah membina tapak kukuh dalam semua bidang sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan teknologi.
  • Menjadi tanggungjawab dan peranan generasi remaja atau generasi 'Y' dalam memelihara dan meneruskan kesinambungan usaha-uasa yang telah dijayakan oleh generasi terdahulu.
IDEA-IDEA PENTING:- (Peranan-peranan yang wajid dilaksanakan oleh remaja)....
  • Generasi remaja tidak sepatutnya melupakan jasa dan pengorbanan generasi terdahulu dalam usaha memerdekakan negara selepas dijajah lebih 446 tahun.
  • Menghayati sejarah perjuangan bangsa menjadi satu tugas besar generasi remaja manakala usaha memupuk semangat patriotik perlu ditingkatkan.
  • Generasi 'Y' wajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu pengetahuan dan kemahiran agar kemajuan negara tidak terbantut.
  • Generasi remaja perlu memberikan komitmen yang tinggi dengan kesanggupan menyumbang tenaga kepada negara pada bila-bila masa.
  • Generasi remaja perlu menggunakan peluang ketika menuntut dengan menguasai pelbagai disiplin ilmu dan teknologi mutakhir agar dapat mempercepat negara menjadi negara maju dan disegani kawan dan lawan.
  • Remaja juga perlu giat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan memberikan khidmat membantu golongan yang miskin, orang tua, anak-anak yatim dan orang kurang upaya.
  • Remaja sepatutnya seharusnya memanfaatkan segala potensi yang ada dalam diri mereka untuk berusaha membangunkan masyarakat.
  • Remaja mestilah mengelakkan diri mereka terlibat dengan aktiviti yang sia-sia dan menjahanamkan diri dan masa depan negara.
  • Remaja perlu memastikan mereka sentiasa memiliki gaya hidup sihat, cergas, cerdas dan mengamalkan kehidupan bermasyarakat.
  • Generasi remaja yang penuh tenaga dan keupayaan perlu sentiasa menyokong dasar-dasar dan langkah-langkah kerajaan dalam kerangka memajukan negara.
PENUTUP:-
  • Kesedaran dan kefahaman remaja tentang peranan mereka dalam menjayakan visi dan misi negara akan membantu melestarikan kemakmuran dan mencapai wawasan negara.
  • Kemerdekaan yang dipertahankan ini amat besar maknanya jika golongan remaja terus mewarnainya.
  • Kemerdekaan ialah lambang kebebasan, kedaulatan, kekuatan dan kejayaan kepada setiap warganegara yang mendiami ibu pertiwi.

Tuesday, 15 July 2014

SKEMA JAWAPAN SPM 2009...!

Soalan 2(a): Petikan Umum
(i) Berikan maksud frasa keadaan yang merimaskan. (2 markah)
  • Maksud keadaan yang merimaskan ialah situasi/suasana yang tidak selesa/merunsingkan/ suasana yang gelisah   > (2 markah)
  • keadaan yang merunsingkan  > (1 markah)
  • situasi/suasana yang merimaskan  > (1 markah)
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang dialami jika seseorang tidak mendapat tidur yang cukup. Nyatakan 3 kesan tersebut.     (3 markah)
  • Antara kesan jika tidak cukup tidur ialah proses penyimpanan maklumat terganggu, tumpuan dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas dan menjejaskan pusingan biologi seseorang. > (3 markah)
  • Antara kesanya ialah:-
  1. proses penyimpanan maklumat terganggu.
  2. tumpuan dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas.
  3. menjejaskan pusingan biologi seseorang. > (1 markah) > jawapan dalam bentuk poin.
(iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan seseorang menghadapi masalah sukar tidur? Kemukakan 4 punca. (4m)
  • Pada pendapat saya antara punca sukar tidur ialah persekitaran bilik tidur yang tidak kondusif, masalah kesihatan yang dihadapi,  terlebih tidur pada waktu siang dan masalah rumah tangga.  > (4 markah)
  • Selain jawapan di atas diterima jika sesuai. > nyatakan sekurang-kurangnya 4 punca

Saturday, 12 July 2014

ESEI: KESAN NEGATIF LAMAN SOSIAL DI INTERNET...!

Baca contoh karangan di bawah dengan teliti. Kemudian senaraikan kesalahannya dan cuba bandingkan dengan cadangan daripada cikgu.

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan  terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
     Penggunaan laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan serta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.
            Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
            Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.
          Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti “Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.
(Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas.) Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Antara kesalahan atau kesilapan yang terdapat dalam karangan di atas:-
  • internet > Internet
  • "Facebook", "Punk", "Skin Head" > 'Facebook', 'Punk', 'Skin Head'
  • Oleh itu > Oleh hal itu
  • Unsur pornografi bukan hanya dari Barat sahaja ( salah fakta )
  • Penggunaan peribahasa yang tidak sesuai dengan situasi 
  • (        ) - Huraian isi yang kurang jelas / umum tanpa contoh yang sesuai

Friday, 11 July 2014

INTERNET / iNTERNET...?

Internet atau internet? Perkataan ini amat popular sekarang. Sesiapa pun pasti tidak dapat lari daripada menyebut dan menggunakannya. Internet menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer (kini juga telefon pintar) di seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia.
Cuma yang menimbulkan kekeliruan kepada pengguna bahasa Melayu, ejaan perkataan tersebut, adakah perlu dimulakan huruf besar ataupun sebaliknya. SEBENARNYA, kata internet merupakan kata nama khas dan perlu diejakan seperti kata nama khas yang lain iaitu PATUT dimulakan dengan huruf besar.
  • Internet BUKANNYA internet

Tuesday, 8 July 2014

ESEI: KECUAIAN KETIKA MENGARANG...!

Ketika menulis karangan, banyak pelajar secara sedar ataupun tidak sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang sepatutnya dapat dielakkan. Sebagai langkah positif ke arah mengurangkan kesilapan semasa mengarang, pelajar digalakkan membuat semakan yang teliti dan elakkan perasaan cepat berpuas hati.

Untuk perbincangan yang lebih menarik, cikgu tampilkan satu contoh karangan pelajar yang agak baik gaya penulisannya tetapi sayang seribu kali sayang, kesilapan yang dilakukannya sedikit sebanyak memberikan impresion yang tidak baik kepada pemeriksa.

Antara kesalahan yang dilakukan:-
  1. sering kali menempuh kegagalan SEPATUTNYA sering kali mereka menempuh kegagalan
  2. walaubagaimanapun SEPATUTNYA walau bagaimanapun
  3. Tetapi SEPATUTNYA tetapi
  4. adalah mendapatkan SEPATUTNYA adalah dengan mendapatkan
  5. Oleh itu SEPATUTNYA Oleh hal itu
  6. untuk masuk ke universiti SEPATUTNYA untuk layak ke universiti
  7. kehadapan SEPATUTNYA ke hadapan
  8. mari kita ambil contoh SEPATUTNYA mari kita mengambil contoh
  9. adalah mereka SEPATUTNYA adalah kerana mereka
  10. arah tuju SEPATUTNYA hala tuju 


Monday, 7 July 2014

ESEI: KESAN NEGATIF FENOMENA JEREBU...!


Dalam mendepani realiti baharu dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya fenomena jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan ini telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa di dalam mahupun di luar negeri.  Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya kes jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada kesejahteraan negara  dan yang paling terkesannya ialah rakyat yang tidak berdosa.

Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita terjejas teruk. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter sahaja. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua buah kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan, lapangan terbang dan kilang ditutup buat sementara. Oleh hal itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.

Jerebu juga boleh menyebabkan peningkatan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi tubuh semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana organ pernafasan mereka menjadi lemah dan ditambah pula udara sekeliling yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan lebih terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan menghidap sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.

Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar terbantut dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot dengan ketara kerana industri ini amat berkait rapat dengan kualiti alam sekitar dan industri hiliran. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas teruk akibat jerebu.

Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu juga dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen di udara akan berkurangan daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Tegasnya, hasil dan kualiti produk pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber pertanian akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang juga bergantung pada sektor pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.

Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, bagai aur dengan tebing. Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi seperti telur di hujung tanduk. . Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Ubah suai daripada Blog Cikgu Alieza

PROMOSI III