PENAJA

RAKAN ILMU

Saturday, 12 July 2014

ESEI: KESAN NEGATIF LAMAN SOSIAL DI INTERNET...!

Baca contoh karangan di bawah dengan teliti. Kemudian senaraikan kesalahannya dan cuba bandingkan dengan cadangan daripada cikgu.

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan  terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
     Penggunaan laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan serta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.
            Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
            Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.
          Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti “Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.
(Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas.) Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Antara kesalahan atau kesilapan yang terdapat dalam karangan di atas:-
  • internet > Internet
  • "Facebook", "Punk", "Skin Head" > 'Facebook', 'Punk', 'Skin Head'
  • Oleh itu > Oleh hal itu
  • Unsur pornografi bukan hanya dari Barat sahaja ( salah fakta )
  • Penggunaan peribahasa yang tidak sesuai dengan situasi 
  • (        ) - Huraian isi yang kurang jelas / umum tanpa contoh yang sesuai

No comments:

Post a Comment

PROMOSI III