PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 30 September 2014

SOALAN PERCUBAAN PT3 FARIS...!

Kini musim peperiksaan semakin panas! Ramai bakal calon PT3 dan SPM 2014 menghidap 'demam peperiksaan'. Tak perlu makan ubat, tak perlu jumpa bomoh, hanya perlu sedikit aktiviti ulang kaji dan usaha menyemak nota-nota pelajaran. Takut-takut ada yang masih perlu ditokok tambah.
Jadi, sebagai seorang guru cikgu nasihatkan bakal-bakal calon peperiksaan agar lebih tenang dan yakin akan usaha yang telah dan akan dilaksanakan. Kemudian, setelah berusaha dengan gigih, bertawakallah kepada Allah.
Bersama-sama ini cikgu sertakan soalan BM PT3 SMS. Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan untuk dijadikan sebagai bahan ulang kaji dan latihan. Ok. Selamat maju jaya.







Tuesday, 2 September 2014

ESEI: PERANAN REMAJA MEMUPUK PERPADUAN...!

Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara kita yang berpenghunikan penduduk berbilang kaum.  Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.  Remaja, sebagai pewaris negara ini memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Peranan pertama yang perlu dipikul oleh remaja ialah mereka sendiri perlu menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya.  Dalam hal ini setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya.  Remaja mestilah menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama.  Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu remaja perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif yang dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain.  Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.  Oleh hal yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan dalam kalangan mereka untuk memupuk semangat perpaduan.

Selain itu, remaja juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah lampau negara.  Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan.  Sebagai contoh. tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum ketika itu.  Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama.  Oleh hal itu, remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius.  Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.  Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada kisah sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.

Peranan yang berikutnya ialah remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.  Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.  Contohnya, kaum Melayu, Cina, dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini.  Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan, dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam, dan seumpamanya.  Remaja mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.  Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang tersendiri seperti dengan mengadakan 'rumah terbuka'. Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini.

Selanjutnya, remaja hendaklah mengelakkan diri daripada sikap mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme.  Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.  Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lain di negara ini.  Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif.  Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.  Contohnya, remaja tidak seharusnya menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.  Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat sikap etnosentrisme.

Kesimpulannya, remaja bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.  Semua pihak hendaklah bersinergi umpama aur dengan tebing untuk merealisasikan wawasan dan gagasan besar negara.  Kita tidak mahu generasi muda hari ini mengabaikan peranan mereka  untuk memupuk perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak.  Iltizam dan kesungguhan remaja dalam memupuk semangat perpaduan adalah dituntut demi mewujudkan semua negara yang bersatu padu, aman, maju, dan berdaya saing di peringkat global.  Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Ubah suai daripada Blog STPM Study

Monday, 1 September 2014

ESEI: CARA MENGHARGAI WARGA TUA...!

Warga tua merujuk  kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka mungkin merupakan ibu, bapa, datuk atau nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang paling banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak, memperjuangkan kemerdekaan serta memelihara keamanan negara misalnya. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan, ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh sesetengah masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap seperti Quran buruk. Sepatutnya, jasa dan sumbangan besar warga tua perlu dihargai dan disanjungi oleh semua pihak.
             
Ahli keluarga terutamanya perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu yang melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak, kaum bapa pula telah membanting tulang empat kerat mencari rezeki untuk menyara keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati, dihargai serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak, kita perlu menjaga ibu bapa kita terutamanya ketika mereka sudah tua serta uzur. Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua atau ke rumah-rumah kebajikan. Jika kita sanggup berbuat demikian, maka kita boleh dianggap sebagai kacang lupakan kulit.
            
Di samping itu, guru menjadi suri teladan dalam menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Kita perlu memberikan perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Ketika bersalam, anak-anak hendaklah mengucup tangan mereka. Hal ini demikian kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut. Ketika bersama dengan pelajar, guru seharusnya sentiasa mengingatkan pelajar betapa seseorang pelajar itu wajib meletakkan warga tua terutamanya ibu bapa kita di tempat yang tinggi dalam kehidupan kita.
           
Seterusnya, kerajaan dan agensi swasta turut berperanan dalam menghargai jasa dan sumbangan warga tua. Kerajaan dan egensi swasta hendaklah berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-dua buah agensi tersebut hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh,  rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka hendaklah dikenakan kadar bayaran yang rendah di hospital kerajaan atau di klinik swasta. Keprihatinan tersebut menunjukkan betapa sikap mengambil berat akan warga tua tanpa mengira pangkat, kaum dan agama demi keselesaan warga tua.
             
Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internet boleh menyiarkan cerita-cerita yang berkaitan  dengan pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Sebagai contoh,  rancangan yang disiarkan oleh TV3, iaitu ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh hal itu, kita sewajarnya tidak sama sekali mengabaikan kebajikan warga tua. 
                 
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana suatu hari nanti, kita juga pasti akan menjadi ’tua’ juga. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan,  membesarkan, dan mendidik kita hingga berjaya dalam hidup. 
 
Ubah suai daripada Subbash Ekambaram

PROMOSI III