ESEI: CARA MENGHARGAI WARGA TUA...!

Warga tua merujuk  kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka mungkin merupakan ibu, bapa, datuk atau nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang paling banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak, memperjuangkan kemerdekaan serta memelihara keamanan negara misalnya. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan, ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh sesetengah masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap seperti Quran buruk. Sepatutnya, jasa dan sumbangan besar warga tua perlu dihargai dan disanjungi oleh semua pihak.
             
Ahli keluarga terutamanya perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu yang melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak, kaum bapa pula telah membanting tulang empat kerat mencari rezeki untuk menyara keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati, dihargai serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak, kita perlu menjaga ibu bapa kita terutamanya ketika mereka sudah tua serta uzur. Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua atau ke rumah-rumah kebajikan. Jika kita sanggup berbuat demikian, maka kita boleh dianggap sebagai kacang lupakan kulit.
            
Di samping itu, guru menjadi suri teladan dalam menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Kita perlu memberikan perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Ketika bersalam, anak-anak hendaklah mengucup tangan mereka. Hal ini demikian kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut. Ketika bersama dengan pelajar, guru seharusnya sentiasa mengingatkan pelajar betapa seseorang pelajar itu wajib meletakkan warga tua terutamanya ibu bapa kita di tempat yang tinggi dalam kehidupan kita.
           
Seterusnya, kerajaan dan agensi swasta turut berperanan dalam menghargai jasa dan sumbangan warga tua. Kerajaan dan egensi swasta hendaklah berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-dua buah agensi tersebut hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh,  rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka hendaklah dikenakan kadar bayaran yang rendah di hospital kerajaan atau di klinik swasta. Keprihatinan tersebut menunjukkan betapa sikap mengambil berat akan warga tua tanpa mengira pangkat, kaum dan agama demi keselesaan warga tua.
             
Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internet boleh menyiarkan cerita-cerita yang berkaitan  dengan pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Sebagai contoh,  rancangan yang disiarkan oleh TV3, iaitu ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh hal itu, kita sewajarnya tidak sama sekali mengabaikan kebajikan warga tua. 
                 
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana suatu hari nanti, kita juga pasti akan menjadi ’tua’ juga. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan,  membesarkan, dan mendidik kita hingga berjaya dalam hidup. 
 
Ubah suai daripada Subbash Ekambaram

Comments

Popular Posts