PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 16 February 2015

TEMA SUTERA DALAM LUKISAN...!

Ramai pelajar mungkin keliru dan dikelirukan oleh penulis-penulis buku rujukan dengan pelbagai fakta yang kurang tepat mengenai tema novel Sutera Dalam Lukisan. Seboleh-bolehnya pelajar wajar bertanyakan guru subjek Bahasa Melayu mereka apabila berhadapan dengan perbezaan fakta yang terdapat dalam sesetengah buku rujukan.
Merujuk teks novel tersebut dan disokong oleh Panduan Pemarkahan SPM, tema novel Sutera Dalam Lukisan ialah:-
  • Kegigihan dan ketabahan seorang pemuda yang dianggap bodoh, dungu dan tidak berakal oleh masyarakat, berazam untuk mengubah dirinya menjadi manusia yang normal.
Pelajar-pelajar mestilah memasukkan TIGA kata kunci seperti bodoh, dungu dan tidak berakal serta berazam ketika memperkatakan tema novel berkenaan.

Saturday, 14 February 2015

ESEI: KEPENTINGAN RUKUN NEGARA...!

Rukun Negara : Matlamat dan Kepentingannya Kepada Negara

Tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita tahu kelima-lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada pembentukan negara.Tetapi persoalannya, berapa ramaikah dalam kalangan rakyat negara ini yang benar-benar faham atau menjadikan prinsip-prinsip tersebut sebagai asas dalam pembentukan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan keamanan, cinta akan negara dan cinta akan kedamaian.

Sebenarnya kelima-lima prinsip Rukun Negara ini berkait rapat dengan kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia. Dalamnya terangkum kesemua nilai hidup yang menjadi pegangan kita – memegang serta mengamalkannya tanpa rasa berbelah bagi untuk memastikan bukan sahaja rakyat negara ini hidup aman damai tetapi juga memastikan keamanan dan kestabilan negara terjamin.

Melalui Rukun Negara, antara objektif  masyarakat yang hendak dilahirkan oleh Malaysia adalah seperti berikut :

1. Mencapai Perpaduan yang Lebih Erat.
Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan sebuah negara di mana ahli–ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan masing-masing. Rakyat  negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai perbezaan yang wujud.
Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu di mana semua rakyat tampa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

2. Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik.
Pelembagaan negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalahgunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkan demokrasi. Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah di utamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum, jika mahu kestabilan dan keselamatan negara berkekalan.

3. Mencipta Sebuah Masyarakat Yang Adil.
Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan dengan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini, pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang  kita cita-citakan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

4. Membentuk Satu Sikap Yang Liberal.
Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama dan adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. Kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara Malaysia.

5. Membina Sebuah Masyarakat Progresif.
Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknolagi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Tetapi kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas agama dan nilai-nilai ketuhanan.



TIP MENGENAL KATA ADJEKTIF...!


Terdapat 5 cara untuk mengenal kata adjektif.
  • Dapat digunakan bersama derngan kata penguat {sangat besar, terlalu besar, sungguh besar, agak merah, paling merah, merah sekali ....}
  • Dapat disertai imbuhan 'ter' dan 'se' {terpanjang, sepanjang, terbesar, sebesar, tercantik, secantik, terpandai, sepandai....}
  • Hadir selepas kata nama {lukisan cantik, tulisan condong, rumah antik, kayu keras, kereta lama, semut merah ....}
  • Menggunakan kata nafi 'tidak' {tidak besar, tidak bijak, tidak rugi, tidak masak, tidak jujur, tidak berat, tidak mahal....}
  • Dapat diulang dengan imbuhan 'se' dan 'nya' {secantik-cantiknya, sekecil-kecilnya, sebijak-bijaknya, sejujur-jujurnya...}

Friday, 13 February 2015

LATAR SEBUAH NOVEL....!


Bermaksud latar belakang bagi sesebuah cerita. Latar terbahagi kepada TIGA iaitu:-
  1. Latar masa
  2. Latar tempat
  3. Latar masyarakat
Latar Masa :-
  • Latar masa ialah waktu atau tempoh sesuatu peristiwa dalam sesebuah cerita seperti novel, cerpen, drama, cerita klasik, puisi dan sebagainya.
  • Contohnya pagi, tengah hari, senja, zaman Jepun, zaman moden dan lain-lain.
Latar Tempat :-
  • Latar tempat ialah di mana sesuatu peristiwa itu berlaku, misalnya di dalam rumah, di Kota Bharu, di hadapan pagar, di dalam semak dan lain-lain.
Latar Masyarakat :-
  • Latar masyarakat ialah keadaan atau gambaran masyarakat di tempat sesuatu peristiwa terjadi, misalnya masyarakat desa, masyarakat remaja, masyarakat moden, masyarakat yang gila kuasa dan lain-lain.

Thursday, 12 February 2015

17 NILAI MURNI...!

Senarai nilai murni yang terkandung dalam subjek Bahasa Melayu bermatlamat untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu penghayatan dan amalan nilai murni ini bertujuan untuk membentuk generasi yangberhemah tinggi dan berperibadi mulia. 
Sebagai calon peperiksaan PT3 dan SPM pula, pelajar dikehendaki mengingati nilai-nilai murni ini dan perlu menyatakannya tanpa mengubah bentuk asal nilai murni tersebut seperti menambah atau menukar imbuhan. Hal ini menyebabkan jawapan yang diberikan itu menjadi tidak tepat dan salah. Contoh kesilapan biasa ialah kasih sayang - ditulis berkasih sayang, keadilan - ditulis adil dan sebagainya.
Senarai nilai murni (17) yang perlu dihafaz oleh pelajar ialah:-
  1. Baik hati
  2. Berdikari
  3. Hemah tinggi
  4. Hormat-menghormati
  5. kasih sayang
  6. Keadilan
  7. Kebebasan
  8. Keberanian
  9. Kebersihan fizikal dan mental
  10. Kejujuran
  11. Kerajinan
  12. Kerjasama
  13. Kesederhanaan
  14. Kesyukuran
  15. Patriotisme
  16. Rasional
  17. Semangat bermasyarakat

Wednesday, 11 February 2015

ASPEK SASTERA NOVEL 6:20...!

TEMA:-
  • Novel 6:20 membawa tema perjuangan golongan muda dalam menentang anasir-anasir Barat yang mempengaruhi jiwa mereka. Perjuangan ini diwakili oleh Sukma, Rafiq dan Teja yang berusaha gigih untuk menyelamatkan golongan remaja (pelajar sekolah menengah dan universiti) daripada terus hanyut oleh pengaruh pemikiran Barat yang menuntut kebebasan hidup seperti menganggotai kumpulan 'black metal' yang telah berlaku kepada Jerry.
PERSOALAN:-
  • Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anaknya. { Ibu Sukma berasa sangat bimbang apabila Sukma ingin berjumpa dengan tetamu-tetamu misteri di hadapan rumahnya pada jam 6:20 kerana baginya tindakan itu boleh mendatangkan bahaya kepada anaknya.}
  • Konflik dalam keluarga. { Dipaparkan melalui konflik yang berlaku antara ibu iaitu Pn. Delia dengan anaknya. Ibu Sukma itu beranggapan Sukma mengalami tekanan perasaan dan telah membelikannya sebuah buku untuk mengurangkan masalahnya.}
  • Tanggungjawab seorang sahabat. { Jerry sanggup membantu Sukma dengan memberitahu segala maklumat Kelab WX2 walaupun Jerry tahu bahawa nyawanya terancam. }
  • Berani menegakkan kebenaran. { Sukma, Teja dan Rafiq berusaha mencari lebih banyak bahan bukti dan maklumat berkaitan Kelab WX2. Sukma sanggup pergi ke Kelab WX2 seorang diri untuk mengetahui keadaan sebenar kelab itu. }
  • Menunaikan tanggungjawab terhadap perintah Allah. { Tuan Hj. Syaqir dan Sukma tidak lupa mengerjakan solat walaupun sibuk dengan urusan masing-masing.}
  • Prihatin terhadap masalah orang lain. { Tuan Hj. Syaqir berusaha mengumpulkan dana bagi membiayai pembedahan jantung dan merawat penyakit kulit Ehsan.}
  • Remaja yang mudah terpengaruh. { Iskandar, Jerry dan Reny menyertai kumpulan WX2 yang memperjuangkan kebebasan mutlak akibat dipengaruhi pemikiran Barat. }

Tuesday, 10 February 2015

ISTILAH WATAK...!


Watak ialah pelaku atau orang atau sesuatu yang memainkan peranan dalam sesebuah karya.
  • Watak antagonis - watak jahat
  • Watak protagonis - watak utama yang diberikan tumpuan dan sorotan utama oleh pengarang.
  • Watak bulat/bundar - memperlihatkan sifat-sifat manusia yang hidup di alam nyata serta digambarkan mempunyai kelebihan dan kekurangan, kekuatan dan kelemahan, kebaikan dan keburukan dan sebagainya.
  • Watak dinamik - watak yang berkembang dan berubah dari segi aksi, fikiran, pandangan atau perasaan.
  • Watak kodi - watak yang konvensional atau watak yang selalu terdapat dalam cerita rakyat.
  • Watak pipih - watak yang tidak berkembang dan tidak kompleks.
  • Watak sampingan - watak pembantu yang peranannya lebih kecil daripada watak utama.

Monday, 9 February 2015

BAGAI ISI DENGAN KUKU...!

Sesetengah maksud peribahasa amat mudah dikesan kerana makna kata dan susun katanya sudah menjelaskan maksud peribahasa yang tersirat.
  • Bagai isi dengan kuku = Persahabatan yang erat.
  • Seperti bumi dengan langit = Perbezaan yang sangat ketara.
  • Bumi mana yang tidak ditimpa hujan = Semua orang melakukan kesalahan.
  • Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing = Susah dan senang ditanggung bersama-sama.
  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya = Mendidik anak hendaklah dari kecil lagi.
  • Ukur baju di badan sendiri = Setiap kerja yang dilakukan mestilah sesuai dengan keupayaan diri.
  • Menangguk di air keruh = Mencari untung dalam keadaan kacau-bilau.
  • Sediakan payung sebelum hujan = Membuat persediaan awal sebelum datang musibah.

Sunday, 8 February 2015

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT....!


DEFINISI:-
  • Teknologi maklumat merupakan jaringan maklumat yang boleh diakses penggunaan talian secara terus daripada pelbagai sumber dari merata-rata tempat di seluruh dunia.
  • Maklumat diperoleh melalui rangkaian LAN (Local Area Network) atau rangkaian kawasan setempat. Komunikasi dilakukan secara e-mel,berkongsi pangkalan data dan menerusi laman sosial serta rangkaian Internet.
KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT:-
  • Dapat mengikuti arus perkembangan dunia:
  1. Mengetahui perkembangan terkini tentang negara luar - tentang penciptaan moden seperti kereta terbang, robot Asimo dan lain-lain.
  2. Maklumat ini boleh didapati melalui Internet - melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter, Google, Instagram, Yahoo Messenger dan lain-lain.
  3. Mengetahui berita mutakhir di dalam dan di luar negera melalui Internet - contoh berita peperangan di Syria.
  • ICT sebagai jaringan maklumat:
  1. Memperoleh maklumat dengan lebih cepat - memudahkan kerja rumah yang ditugaskan oleh guru.
  2. Berkongsi maklumat dengan sekolah dan pelajar - mendapatkan nota yang lebih efektif dari sekolah-sekolah terkemuka dan dari blog-blog guru pakar setiap mata pelajaran.
  3. Perkongsian kepakaran antara sekolah mahupun pelajar - Guru ataupun pelajar boleh merakam video PdP, latihan amali dan kursus dan lain-lain untuk perkongsian.
  4. Mengasah bakat pelajar dalam bidang telekomunikasi, seni persembahan dan pembikinan video dan rakaman.
  • Dapat menarit minat masyarakat:
  1. Menarik minat pelajar mendalami ilmu pengetahuan - pelajar yang kurang minat membaca boleh menggunakan ICT sebagai alternatif untuk mendapat ilmu pengetahuan.
  2. Pemaparan animasi canggih yang melibatkan audio dan visual berjaya menarik minat pelajar.
  3. Membantu memudahkan pengajaran dan pembelajaran guru dan murid.
  • Pembelajaran lebih seronok dan ceria:
  1. Pelajar seronok belajar menggunakan ICT.
  2. Animasi dan teknik penerangan yang inovasi membantu pelajar mudah memahami satu-satu tajuk dengan lebih mendalam.

Saturday, 7 February 2015

SOALAN RANGSANGAN SPM 2009 - 2014...!


SOALAN RANGSANGAN SPM 2009 - 2014:-
  • 2009 - Aktiviti Badan Beruniform (ilustrasi)
  • 2010 - Penjagaan Kesihatan (gambar rajah)
  • 2011 - Belajar Secara Berkumpulan (ilustrasi)
  • 2012 - Sambutan Hari Kemerdekaan di Sekolah (ilustrasi)
  • 2013 - Bangunan Bersejarah (ilustarasi)
  • 2014 - Kepentingan Sukan Lasak (ilustrasi)

Friday, 6 February 2015

KOMSAS SPM 2009 - 2013...!


Analisis Soalan Komsas SPM 2009 – 2013
TAHUN
CERPEN/DRAMA
PROSA TRADISI
PUISI TRADISI/SAJAK

2009

Cerpen Virus Zel untuk Abah – Antologi Kerusi

Kepahlawanan Tun Beraim Bapa – Antologi Kerusi

Sajak Anak Laut – Antologi Anak Laut


2010

Cerpen Lambaian Malar Hijau – Antologi Anak Laut

Pertarungan Tuah Jebat – Antologi Anak Laut

Syair Kelebihan Ilmu – Antologi Kerusi



2011

Drama Cempaka Berdarah – Antologi Harga Remaja

Hikayat Dua Geliga Hikmat – Antologi Dirgahayu Bahasaku


Pantun Enam Kerat – Antologi Dirgahayu Bahasaku

       
         2012

Cerpen Hutan Rimba – Dirgahayu Bahasaku

Merah Silu – Harga Remaja

Sajak Bangkitlah – Antologi Dirgahayu Bahasaku



2013

Cerpen Israk – Antologi Harga Remaja

Hikayat Indera Nata – Antologi Harga Remaja

Sajak Dirgahayu Bahasaku – Antologi Dirgahayu Bahasaku



Wednesday, 4 February 2015

TAJUK ESEI 2009...!


Analisis Jenis Soalan @ Tajuk SPM 2009......
Perbincangan:
  • Usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Pendapat:
  • Kebaikan-kebaikan aktiviti bercucuk tanam.
  • Pengetahuan tentang sejarah penubuhan negara amat penting untuk difahami demi memupuk rasa cinta akan negara.
Rencana:
  • Kesan-kesan pemanasan global terhadap bumi dan hidupannya.
Ulasan:
  • Pengajaran-pengajaran yang dapat dijadikan pedoman berdasarkan novel yang dibaca.

PROMOSI III