PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 30 June 2015

SAJAK: NADA...!


Jenis nada dalam sajak:-
  • Melankolik - Penggunaan kata yang mendayu-dayu untuk menyatakan sesuatu perasaan.
  • Romantis - Penggunaan gaya bahasa yang mengutamakan perasaan semata-mata dan bukan intelek serta lebih kepada keagungan, perasaan dan kecantikan.
  • Sinis - Gaya bahasa sindiran atau ejekan yang kasar.
  • Protes - Nada membantah, mengkritik dan menyatakan ketidaksenangan hati kepada sesuatu.
  • Patriotik - Menunjukkan semangat cinta akan negara, semangat untuk mempertahankan sesuatu, bersemangat berkobar-kobar.

Monday, 29 June 2015

ESEI: PERANAN BENDUNG PECAH RUMAH...!

Sebelum menulis karangan, pelajar diingatkan agar memahami tema dan kehendak atau tugasan soalan dengan sebaik-baiknya. Hal ini demikian dapat mengelakkan kejadian penghasilan karangan yang terpesong dari segi isi atau isi-isi yang diutarakan itu tidak relevan dengan tugasan soalan. Cuba teliti contoh soalan di bawah:-
  • Kejadian pecah rumah semakin berleluasa di kawasan taman perumahan sejak belakangan ini. Huraikan peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak bagi membendung masalah ini.
Tema soalan: Kejadian pecah rumah
Tugasan: Huraikan peranan semua pihak - membendung kejadian pecah rumah
 
Kunci soalan: semua pihak - individu, jiran dan anggota masyarakat, polis, rukun tetangga, pemimpin masyarakat, NGO, media massa dan kerajaan. Pelajar mestilah menghuraikan peranan yang PERLU dimainkan oleh pihak-pihak yang disebutkan. Penekanan penggunaan kata bantu juga berdasarkan soalan. Contohnya perlu, mesti, akan, sedang, belum dan sebagainya.
 
Antara cara menulis perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup pula, pelajar disarankan agar menggunakan ayat-ayat seperti ayat rangsangan (AR), ayat huraian (AH), ayat arahan (AA), ayat tanya (AT),ayat penegasan (AP) dan ayat peribahasa (AB).

PENDAHULUAN:- 
  • AR: Belakangan ini, pelbagai kejadian jenayah berlaku di mana-mana. Kejadian jenayah seperti pecah rumah, ragut, rompakan bersenjata, dan seumpamanya ini akan meningkat dari hari ke hari jika tanpa ada langkah-langkah  berkesan yang dilaksanakan.
  • AH: Kejadian jenayah bukan sahaja boleh mengakibatkan kerugian harta benda, kecederaan, malah juga boleh menyebabkan kematian.
  • AH: Kejadian kes pecah rumah menunjukkan peningkatan yang ketara belakangan ini berpunca daripada peningkatan kemasukan pendatang tanpa izin dan biasanya kes-kes ini semakin kerap berlaku pada musim-musim perayaan.
  • AC: Beberapa hari yang lepas, rakyat negara kita digemparkan dengan berita sebuah rumah yang tidak berpenghuni dipecah masuk, kemudian semua barangan berharga diangkut penjenayah menggunakan lori. Kejadian yang berlaku ini berlaku di depan mata jiran-jiran,di sebuah kawasan kejiranan di ibu kota.
  • AT: Persoalannya, mengapakah kejadian kes pecah rumah ini boleh berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan?
  • AB: Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kejadian ini pasti dapat dielakkan jika masyarakat kejiranan memiliki sikap saling bekerjasama dan bertanggungjawab.
  • AP: Pelbagai pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam membendung kejadian kes pecah rumah.

Saturday, 27 June 2015

POLA AYAT...!

SOALAN:-
Nyatakan pola ayat bagi ayat-ayat di bawah ini sama ada frasa nama + frasa nama (FN+FN), frasa nama + frasa kerja (FN+FK), frasa nama + frasa adjektif ( FN+FA) atau frasa nama + frasa sendi nama (FN+FSN).
  1. Bapa saya / seorang guru sekolah berasrama penuh.
  2. Bunga raya itu / berwarna kuning-kekuningan.
  3. Orang tua itu / mengerjakan sawah seorang diri.
  4. Mata pelajaran Bahasa Melayu / diajarkan di kelas peralihan itu.
  5. Kuih itu / daripada emak saya.
  6. Lembu itu / sangat gemuk.
Jawapan:-
  1. FN+FN
  2. FN+FA
  3. FN+FK
  4. FN+FK
  5. FN+FSN
  6. FN+FA

ESEI: BENDUNG KEGANASAN RUMAH TANGGA...!


IDEA-IDEA PENTING:-
(Usaha-usaha membendung keganasan dalam rumah tangga) -
  • Pasangan perlu menjalani kehidupan yang harmoni dan sentiasa memupuk kasih sayang.
  • Setiap pasangan wajib tahu dan jujur dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.
  • Masalah yang wujud perlu dibendung dari awal.
  • Pasangan mestilah bijak mengenal pasti punca berlakunya sesuatu masalah dan cuba mengelaknya.
  • Pasangan perlu berbincang tentang masalah yang timbul dan mesti ada sifat dan sikap tolak ansur.
  • Pasangan mestilah mengakui kelemahan dan kekurangan masing-masing dan bersedia melakukan perubahan demi kebaikan bersama-sama.
  • Mendapatkan bantuan orang ketiga dalam kalangan ahli keluarga.
  • Mendapatkan kaunseling dan rawatan doktor jika berlaku kecederaan.
  • Mangsa wajar melaporkan kes penderaan dan keganasan rumah tangga kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pasangan mestilah mempunyai pendidikan agama yang mantap, jika tidak mereka perlu berusaha belajar agama dan mengamalkannya.
  • Usaha daripada semua pihak untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat kerana banyak kes keganasan berpunca daripada masalah ekonomi rumah tangga.
  • Masyarakat sekeliling mestilah peka dan segera melaporkan kes penderaan dan keganasan kepada pihak berwajib.
  • Kempen kesedaran dan pendidikan kekeluargaan hendaklah sentiasa dilaksanakan.
  • Peranan media massa sebagai ejen perubahan masyarakat.
  • Keberkesanan tindakan pihak berwajib hendaklah ditingkatkan.
  • Penggubalan undang-undang baharu yang lebih berat agar kes ini dapat dikurangkan.
  • Pengaruh keganasan yang dihidangkan oleh filem-filem perlu dikawal.

Friday, 26 June 2015

SAJAK: PASAR PERASAAN...!



ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.

ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.

mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.

ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.

ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.

kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.

T.Alias Taib
Antologi Dirgahayu Bahasaku, DBP.

MAKSUD:-

Rangkap 1 - Pelbagai ragam masyarakat dapat dilihat di warung ( sentimental dan beremosi).

Rangkap 2 - Peniaga memperkatakan sesuatu mengikut rasa hati dan bukannya menggunakan akal.

Rangkap 3 - Golongan ini berhujah tanpa asas kukuh. Hujah mereka mudah dipatahkan.

Rangkap 4 - Di warung, masyarakat lebih banyak berbual-bual kosong.

Rangkap 5 - Mereka berbicara menggunakan akal yang cetek tanpa falsafah yang tinggi.

Rangkap 6 - Penyajak mendapati mereka kaya dengan perasaan tetapi kurang bijak dalam bercakap.

Rangkap 7 - Penyajak mendapati mereka semua tidak menggunakan akal ketika berurusan tetapi
                   sibuk dengan perkaran yang tidak membawa makna.

TEMA:-
  • Sajak ini bertemakan kerenah masyarakat yang begitu lantang bersuara di warung tetapi kurang menggunakan akal tetapi beremosi.
PERSOALAN:-
  • Kepelbagaian latar belakang masyarakat
  • Sikap emosional masyarakat ketika berbahas
  • Tahap pendidikan dan ilmu mempengaruhi perlakuan seseorang



ANALISIS: ESEI BHG. A...!



SPM 2006 - 2014

      TAHUN                      TEMA
  • 2006                        - Semangat patriotik, PLKN dan tokoh berjasa
  • 2007                        - Tanggungjawab menjaga kebersihan
  • 2008                        - Punca-punca pencemaran sungai
  • 2009                        - Aktiviti badan beruniform serta faedahnya
  • 2010                        - Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat
  • 2011                        - Faedah belajar secara kumpulan
  • 2012                        - Aktiviti sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah
  • 2013                        - Langkah-langkah menjaga keselamatan di jalan raya
  • 2014                        - Kepentingan aktiviti sukan lasak 
  • 2015                        - ??????

ANALISIS SOALAN 3b: SINTAKSIS...!



SPM 2005 - 2013

      TAHUN                   JENIS SOALAN 3b
  • 2005                    - Menukar ayat pasif kepada ayat aktif
  • 2006                    - Memisahkan ayat majmuk kepada dua ayat tunggal
  • 2007                    - Menukar ayat aktif kepada ayat pasif
  • 2008                    - Mengenal pasti pola ayat
  • 2009                    - Mengenal pasti subjek dan predikat
  • 2010                    - Membina ayat Tanya
  • 2011                    - Menggabungkan pelbagai ayat menjadi tiga ayat
  • 2012                    - Menukar ayat songsang kepada ayat biasa
  • 2013                    - Mengenal pola ayat
  • 2014                    - ?
  • 2015                    - ???

Thursday, 25 June 2015

SAJAK: ARKITEK KOTA...!

hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.

kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.

dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduh pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga menjalar di beranda.

pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.

dia pengukir ruang hidup,
penghias suasana sempurna,
membenarkan penemuan,
memungkinkan kemungkinan.

Muhammad Haji Salleh
Antologi Dirgahayu Bahasaku, DBP.

MAKSUD:-

Rangkap 1-
Hanya seorang yang berjiwa seni dan memiliki pengalaman pahit manis kehidupan dapat mengilhamkan sebuah kota yang sejahtera.
 
Rangkap 2-
Seorang arkitek yang baik ialah seorang pencinta alam, seorang yang banyak membaca, meninjau kehidupan dan pengkaji masyarakat. Beliau juga bijak membuat pertimbangan dan memiliki bakat kepimpinan.
 
Rangkap 3-
Beliau mesti melindungi hidupan, mengekalkan kehijauan bumi, mengelakkan pencemaran dan mementingkan keindahan.
 
Rangkap 4-
Orang yang merancang pembinaan bandar mestilah berani membawa perubahan yang pelbagai, seorang yang sanggup menerima pandangan orang lain, dan mementingkan perasaan dan keperluan pihak lain.
 
Rangkap 5-
Beliau bertanggungjawab mewujudkan keindahan melalui kreativiti, mewujudkan kesempurnaan, menggalakkan daya cipta, dan bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.
 
TEMA:-
Pelbagai pertimbangan dititikberatkan ketika merancang pembangunan sebuah bandar yang sejahtera.
 
PERSOALAN:-
  • Ciri-ciri seorang perancang bandar.
  • Masalah alam sekitar.
  • Kepelbagaian latar belakang manusia.
  • Sifat kreatif dapat menghasilkan sesuatu yang baik.
NILAI MURNI:-
  • Kebijaksanaan - perancang bandar yang bijak dapat melahirkan bandar yang sejahtera
  • Kerjasama - pembinaan sebuah bandar yang sejahtera perlukan kerjasama semua pihak.
  • Kebanggaan - masyarakat berbangga apabila terbinanya sebuah bandar lengkap dan cantik.
PENGAJARAN:-
  • Kita seharusnya berasa bangga terhadap kreativiti anak tempatan.
  • Kita mestilah berfikir dari semua sudut sebelum melakukan sesuatu kerja.
  • Kita mestilah mengutamakan penjagaan alam sekitar apabila memajukan sesebuah kawasan.
  • Kita hendaklah menggunakan kepakaran yang ada sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.

Wednesday, 24 June 2015

PERSEDIAAN KOMSAS SPM2015...!

Setelah membuat analisis kekerapan soalan Komsas SPM beberapa tahun belakangan ini, pelajar-pelajar mungkin dapat membuat telahan apakah tajuk soalan Komsas yang akan ditanya dalam SPM 2015. Tidak salah rasanya jika pelajar-pelajar membuat ulang kaji yang lebih untuk tajuk-tajuk tersebut.
Antara tajuk yang berkemungkinan besar 'keluar' yang perlu diberikan perhatian pada tahun ini ialah:-
  • Ibu dan Ceper
  • Pemain Catur
  • Mellisa
  • Biarkan Samudera
  • Idola
  • Penangungan
  • Tanggar Amanat
  • Gelanggang Tok Wali
  • Tiang Cengal Dinding Sayung
  • 1400
  • Merah Silu
  • Hikayat Siak
  • Dua Geliga Hikmat
  • Pantun Empat Kerat Budi
  • Pantun Empat Kerat Jenaka dan Sindiran
  • Syair Siti Sianah
  • Gurindam 12 Fasal Keenam
  • Seloka Emak Si Randang
  • Pantun Lapan Kerat
  • Syair Pemberontakan Patani
  • Gurindam Tonggak 12
  • Harga Remaja
  • Di Perpustakaan
  • Mengintai Ruang Insaf
  • Tiba Waktunya
  • Kecek
  • Pasar Perasaan
  • Di Bawah Langit yang Sama
  • Arkitek Kota

Tuesday, 23 June 2015

ESEI: PENTINGNYA PERKASAKAN INDUSTRI TANI...!


PENDAHULUAN:-
  • Negara kita tetap melaksanakan langkah memperkasakan industri pertanian selaras dengan hasrat kerajaan memajukan sektor ini sejajar dengan perkembangan sektor-sektor lain seperti sektor perindustrian dan perkilangan, sektor perlombongan, sektor perkhidmatan dan lain-lain.
  • Perkembangan ini juga selaras dengan pencapaian negara dalam bidang sains dan teknologi.
  • Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran komoditi pertanian demi memenuhi keperluan negara dan juga sebagai sumber eksport.
IDEA-IDEA PENTING:-
(Kepentingan memperkasakan industri pertanian....)
  • Mengelakkan daripada kebergantungan negara kepada komoditi pertanian yang diimport dari luar negara. - Import bahan makanan dari luar negara mencecah RM16 bilion setahun. - Langkah penjimatan.
  • Membuka peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada rakyat, - sektor pertanian mampu menangani masalah pengangguran dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.
  • Mempelbagaikan sumber eksport negara, tidak hanya bergantung kepada eksport bahan petroleum, barangan elektronik, minyak sawit dan lain-lain. Hal ini demikian dapat meningkatkan pendapatan negara dan memantapkan iklim ekonomi semasa negara.
  • Menggalakkan rakyat memajukan tanah-tanah terbiar untuk aktiviti pertanian yang menguntungkan. - meningkatkan nilai dan hasil tanah.
  • Mempertingkatkan kualiti alam sekitar dengan menambahkan peratus muka bumi yang ditutupi dengan pelbagai jenis tanaman. - mengurangkan kesan pemanasan global, kesan rumah hijau dan sebagainya.
  • Langkah keselamatan negara - mengelakkan negara dilanda musibah jika menghadapi peperangan, bencana alam dan seumpamanya.
  • Industri pertanian juga membantu industri-industri lain seperti bertindak sebagai sumber bahan mentah, misalnya getah untuk kilang tayar dan barangan plastik.
  • Mengurangkan pencemaran alam sekitar.
PENUTUP:-
  • Kerajaan perlu terus memandang ke hadapan dalam menelusuri arus kemajuan dunia. Kerajaan perlu lebih serius terhadap usaha memperkasakan industri pertanian negara demi menjaga kesinambungan kestabilan negara.

Monday, 22 June 2015

AYAT PERIBAHASA....!


3(e). Berikan peribahasa yang bersesuaian dengan maksud ayat-ayat di bawah ini

(i)    Ali senantiasa berwaspada apabila memberitahu sesuatu rahsia kepada orang lain.

....................................................................................................................................................................

(ii)   Apabila melakukan sesuatu pekerjaan itu hendaklah sesuai dengan keupayaan diri sendiri.

....................................................................................................................................................................

(iii)  Tindakan seorang pemain bola sepak di Sukan SEA 2015 telah memalukan negara Malaysia.

....................................................................................................................................................................

[ 6 markah ]
 
 
Cadangan Jawapan:-
  1. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
  2. Ukur baju di badan sendiri
  3. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.


Sunday, 21 June 2015

MENGUBAH / MERUBAH / MEROBAH...!

Pengimbuhan untuk kata 'ubah' sedikit mengelirukan pengguna bahasa, terutamanya pengguna bahasa yang kurang prihatin. Kata ubah boleh menggunakan imbuhan-imbuhan seperti:-
  • ubah + ber- = berubah / berubah-ubah
  • ubah + meng- = mengubah
  • ubah + meng -kan = mengubahkan
  • ubah + ter- = terubah
  • ubah + per-an = perubahan
  • ubah + peng- = pengubah
  • ubah + peng-an = pengubahan
  • ubah + memper-kan = memperubahkan
Ada sesetengah pengguna bahasa yang menggunakan imbuhan yang 'tidak wujud' sesuka hati sehingga wujudlah perkataan baharu yang terbukti SALAH dari segi ejaannya. Sila perhatikan perkataan yang dimaksudkan di bawah:-
  • merubah     X
Wujudnya perkataan di atas hasil pengimbuhan ubah + mer = merubah. Perkataan merubah tidak BETUL dari segi ejaan kerana tidak wujud sebenarnya imbuhan 'mer' dalam bahasa Melayu. Kes ini juga berlaku pada ejaan merbahaya, iaitu bahaya + mer = merbahaya. Jadi jelaslah bahawa ejaan perkataan merubah dan merbahaya adalah SALAH.
 
Bagaimana pula dengan ejaan perkataan merobah? Adakah ejaan ini betul atau salah?
Untuk kes ini, mungkin banyak yang tidak tahu atau sedar. Sebenarnya ejaan perkataan merobah yang juga membawa maksud mengubah adalah BETUL.
 
Perkataan robah wujud dan sama erti dengan ubah. Jika diimbuhkan dengan imbuhan awalan me- akan terbentuklah perkataan merobah.
  • robah + me- = merobah
Contoh ayat:-
  • Munculnya dia dalam hidup telah merobah peganganku tentang agama Islam.

Saturday, 20 June 2015

RAMADAN / RAMADHAN...!

Contoh kesalahan ejaan...!
Selamat menyambut bulan puasa diucapkan kepada kaum muslimin khususnya pelajar-pelajar sekalian, semoga pada tahun ini kita dapat meningkatkan amalan baik berbanding tahun-tahun lepas. Kesempatan pada kali ini, Cikgu tidak mahulah bercakap tentang ibadat puasa seperti ustaz-ustaz, tapi cuma perkara yang agak remeh ataupun yang dipandang remeh iaitu tentang ejaan perkataan bahasa Arab yang dimelayukan!
 
Perkara ini agak mengelirukan jika kita tidak merujuk buku panduan atau orang yang prihatin akan ejaan bahasa Melayu. Sebenarnya, semua ejaan bagi perkataan bahasa Arab yang dimelayukan telah mengalami proses tertentu, dan biasanya bunyi sebutan perkataan Arab tersebut telah dimelayukan juga. Maka ejaan-ejaan perkataan tersebut mestilah dieja dengan betul. Misalnya:-
  • Ramadan bukannya Ramadhan
  • Zuhur bukannya Dzohor / Dzuhur / Zohor
  • ibadat bukannya ibadah
  • hajah bukannya hajjah
  • masalah bukannya masaalah
  • muhibah bukannya muhibbah
  • azab bukannya adzab
  • fardu bukannya fardhu
  • sunat bukannya sunnat
  • azan bukannya adzan
  • reda bukannya redha
  • hijab bukannya hijab
  • Aidilfitri bukannya Aidil Fitri / Idulfitri / Aidul Fitri
 

Wednesday, 17 June 2015

ESEI: PERANAN REMAJA MEREALISASIKAN 1MALAYSIA...!


PENDAHULUAN:-
  • Gagasan '1Malaysia' bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Identiti setiap kaum yang berbeza itu dijadikan sebagai aset dan asas utama konsep ini ke arah mewujudkan keadilan untuk semua.
  • Sekolah dan universiti yang rata-rata terdiri daripada golongan remaja dan belia sebenarnya cerminan kepada 1Malaysia.
  • Sehubungan dengan itu, semua remaja dan belia mestilah mempunyai misi dan visi yang sama dengan kepimpinan negara.
IDEA-IDEA PENTING:-
Peranan remaja merealisasikan gagasan 1Malaysia ialah -
  • Remaja dan belia perlu menghayati falsafah muhibah dan kerukunan serta keharmonian perhubungan antara kaum selama ini. Keadaan ini wajar dilestarikan demi keamanan negara kita. Perpaduan antara kaum atau bangsa perlu diberikan penambahbaikan dengan mengetepikan masalah peribadi dan kepentingan kaum sendiri semata-mata.
  • Remaja dan belia harus mempunyai kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah, sesuai dengan peranan mereka sebagai bakal pemimpin dan peneraju negara pada masa depan.
  • Remaja dan belia mestilah berusaha ke arah menggilap potensi dan menterlahkan bakat yang ada.
  • Remaja dan belia tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkan prestasi akademik sebagai keutamaan dalam hidup. Mereka perlu mempunyai iltizam yang tinggi dalam mengejar ilmu pengetahuan terkini.
  • Remaja dan belia sepatutnya terlibat secara aktif dalam bidang sukan yang secara langsung menjadi landasan untuk memantapkan kerjasama antara kaum.
  • Golongan remaja dan belia perlu menyertai pelbagai program yang merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya dan sosial. Melalui program ini mereka dapat berinteraksi secara meluas. Aktiviti sukan dapat meningkatkan kerjasama antara kaum.
  • Remaja dan belia juga mestilah mengambil inisiatif untuk mengenali nilai, norma dan budaya kaum lain.
PENUTUP:-
  • Remaja berperanan penting dalam menjanakan agenda membina negara bangsa. Prasyarat untuk memajukan negara ialah rakyat perlulah dimajukan terlebih dahulu dan keadaan ini haruslah dimulakan dengan membentuk sikap bertolak ansur dan saling mempercayai antara satu sama lain.
  • Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Monday, 15 June 2015

KAEDAH PENGIRAAN BIL. PATAH PERKATAAN...!


Kaedah pengiraan bilangan patah perkataan untuk penulisan karangan dan ulasan bagi PT3, rumusan , karangan rangsangan dan karangan bahagian B, bagi SPM.

BINAAN AYAT...!


  • Ayat Tunggal
  • Ayat Majmuk
  1. Ayat Majmuk Gabungan
  2. Ayat Majmuk Campuran
  3. Ayat Majmuk Pancangan

Sunday, 14 June 2015

FATWA: MEROKOK HARAM...!!!


Jadi apa sebab nak berdalih lagi. Haram tetap haram. Berhentilah daripada menjadi penagih rokok.

PT3: PEMARKAHAN SOALAN SINTAKSIS...!

Format Bahasa Melayu PT3 mengkhususkan soalan tentang sintaksis atau bahagian ayat pada soalan 3 di bahagian A. Untuk soalan ini jumlah markah yang diperuntukkan adalah 10 markah, iaitu daripada 5 pecahan soalan yang setiap satunya tersedia 2 markah.
 
Contoh soalan:-
 
3. Tukarkan ayat-ayat aktif di bawah  kepada ayat-ayat pasif tanpa mengubah maksudnya.
 
(i) Kami menyiapkan semua tugasan yang telah diberikan oleh guru itu.
 
     ............................................................................................................................................... (2m)
 
Contoh jawapan:-
  • Semua tugasan yang telah diberikan oleh guru itu kami siapkan.  - 2m
  • Semua tugasan yang diberikan oleh guru itu kami siapkan. - 0m (tiada 'telah' - kata bantu)
  • Semua tugasan yang telah diberikan diberikan oleh guru kami siapkan. - 0m (itu digugurkan)
  • Semua tugasan itu kami siapkan. - 1m (tiada keterangan)
  • Menyiapkan semua tugasan yang telah diberikan oleh guru itu kami. - 0m (ayat songsang)
Komen:-
  1. Semasa menukarkan ayat, kata bantu (akan, sedang, telah...) dan kata ganti tunjuk (itu, ini) mestilah dikekalkan seperti dalam ayat asal.
  2. Kata keterangan juga tidak boleh ditiadakan.

Saturday, 13 June 2015

ESEI: USAHA MENJAYAKAN SEKOLAH PENYAYANG...!


PENDAHULUAN:-
  • Wawasan 2020 merupakan wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
  • Di samping setanding dengan negara-negara maju dari segi ekonomi, sosial, sains, teknologi, dan politik, nilai sayang-menyayangi tidak dikesampingkan.
  • Konsep Sekolah Penyayang lahir daripada gagasan 'Masyarakat dan Budaya Penyayang' yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
  • Konsep Sekolah Penyayang bertujuan menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani, dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.
  • Sekolah akan bertindak sebagai rumah kedua pelajar bagi merealisasikan Sekolah Penyayang.
IDEA-IDEA PENTING:-
(Usaha-usaha menjayakan Sekolah Penyayang)
  • Konsep Sekolah Penyayang diterapkan dengan memberikan penerangan tentang nilai-nilai murni masyarakat penyayang melalui mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam serta mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Lukisan.
  • Konsep ini juga diterapkan melalui program luar bilik darjah seperti mengadakan lawatan-lawatan ke rumah kebajikan, rumah orang kurang upaya dan lain-lain.
  • Menubuhkan kelab dan persatuan yang bercirikan 'badan kebajikan' untuk pelajar dan kakitangan sekolah bagi memastikan konsep ini dapat dihayati dengan lebih berkesan.
  • Unit Bimbingan dan Kaunseling diamanahkan untuk memberikan nasihat dan bimbingan kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin agar dapat menanamkan rasa sayang pelajar terhadap sekolah.
  • Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan dan selesa seperti mewujudkan taman-taman mini di sekolah.
  • Menganjurkan pertandingan keceriaan kelas, asrama dan lain-lain agar institusi sekolah menjadi lebih cantik, bersih dan menyenangkan.
  • Penubuhan sistem mentor-mentee untuk membimbing pelajar yang lemah dalam pelajaran. Pelajar yang lebih baik dalam akademik dilantik menjadi mentor membimbing rakan pelajar yang agak lemah dalam pelajaran. Hal ini akan menerbitkan semangat kerjasama dan saling membantu dalam kalangan pelajar.
  • Pihak kementerian menganjurkan pelbagai pertandingan di pelbagai peringkat agar dapat melahirkan rasa cinta dan kebertanggungjawapan pelajar terhadap sekolah.
PENUTUP:-
  • Konsep Sekolah Penyayang wajar direalisasikan dan diteruskan kerana melalui institusi sekolah, kita dapat melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan memerlukan antara satu sama lain.
  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Friday, 12 June 2015

JOM PERGI FORUM ISLAM...!

Jom ikut Cikgu ke majlis ilmu Forum Islam Gagasan Belia Negara, bertempat di Dewan Syed Jalaluddin, Universiti Malaysia Terengganu. Majlis itu akan berlangsung pada malam ini (12 Jun 2015) jam 8.00 hingga 10.00 malam. Salah seorang ahli panelnya iaitu Mohamad Azran Faris, merupakan anak sulung Cikgu. Beliau kini sedang menuntut di UMT di peringkat sarjana.
Insya-Allah.

ESEI: FAEDAH BELAJAR KUMPULAN...!



KARANGAN BAHAGIAN A (30 markah)

Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu demi mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik. Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi mencapai kejayaan.
Namun, belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.
 
Belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang yang pemalu tidak berani bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikirannya di depan rakan-rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka peluang kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran dengan acuan sendiri.
 
Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu sesama mereka melalui kaedah belajar secara berkumpulan. Mereka berpeluang untuk bertukat-tukar pendapat dan pandangan tentang kaedah menjawab soalan, bertukar nota pelajaran dan lain-lain. Mereka boleh berkongsi ilmu tentang sesuatu mata pelajaran dan bekerjasma menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Seseorang pelajar yang menghadiri kelas tuisyen akan lebih menguasai sesuatu ilmu berbanding dengan pelajar yang tidak berpeluang menghadiri kelas tuisyen. Melalui perbincangan secara berkumpulan, pelajar-pelajar dapat mengukuhkan kemahiran dan seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki kelak.
 
Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama dalam diri pelajar di samping dapat menerapkan nilai toleransi. Para pelajar dapat menyiapkan sesuatu tugasan dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang diamalkan. Contohnya, seseorang pelajar dapat menghasilkan karangan yang lebih baik dengan adanya maklumat dan idea yang lebih relevan daripada rakan-rakan. Natijahnya, belajar secara berkumpulan bukan saja dapat memupuk semangat bersatu padu, malah dapat mengeratkan hubungan sesama mereka dan meningkatkan prestasi mereka dalam akademik.
 
Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pemimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberikan sumbangan bermakna kepada negara pada suatu masa nanti.
 
(381 patah kata)
 

 
  • Contoh jawapan calon SPM 2011 (sedikit pengubahsuaian)
  • Calon ini mendapat markah cemerlang

Wednesday, 10 June 2015

MARKAH 3 ALPHA: PPT 2015...!


KESALAHAN BAHASA PT3...!

Ujian Bertulis Bahasa Melayu PT3 mengandungi soalan menguji kemahiran calon-calon mengenal pasti kesalahan bahasa dalam ayat (menggariskan kesalahan) dan calon-calon diminta membetulkan kesalahan bahasa tersebut. Calon diminta menulis jawapan yang betul di ruang yang disediakan. Setiap soalan bernilai 2 markah iaitu 1 markah untuk menggariskan kesalahan dengan tepat, dan 1 markah lagi untuk pembetulan yang tepat.
Soalan tentang kesalahan bahasa ini ditanya melalui soalan 1 yang mempunyai pecahan  sebanyak 4 soalan.
1. Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan bahasa. Gariskan kesalahan bahasa tersebut dan tulis jawapan yang betul pada ruang yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
i) "Murid itu selalu mengganggu kamu," kata Fatimah dan rakan-rakannya kepada guru disiplin.
   ..................................................................................
Jawapannya: kamu > pembetulannya ialah kami
ii) "Semua kerja rumah yang guru berikan perlu kausiapkan hari ini juga," pesan Abu kepada Ali.
    .................................................................................
Jawapannya: guru berikan > pembetulannya diberikan oleh guru   
iii) Pingat kebesaran telah dianugerahkan kepada tokoh masyarakat itu di atas kesungguhan beliau membantu penduduk di kawasan pedalaman meningkatkan taraf hidup.
   ...................................................................................
Jawapannya: di atas > pembetulannya ialah atas 
iv) Sultan Ahmad berkenan untuk berangkat ke majlis ulang tahun kelahiran baginda di balai penghadapan istana.
    .................................................................................
Jawapannya: kelahiran > pembetulannya keputeraan
Markah penuh untuk soalan ini ialah 8 markah.

Tuesday, 9 June 2015

ESEI: FAKTOR KEMEROSOTAN AKADEMIK...!

PENDAHULUAN:-
Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, pada 2006 terdapat 2.66 peratus pelajar sekolah menengah dan 4.87 peratus pelajar sekolah rendah yang buta huruf. Masalah ini perlu ditangani segera supaya tidak menular sehingga menggugat pembangunan modal insan di Negara ini. Gejala ini sering dikaitkan dengan sikap pelajar yang tidak berminat untuk belajar.
 
IDEA-IDEA PENTING:-
Antara faktor kemerosotan akademik pelajar ialah:
  • Sikap pelajar yang tidak minat untuk belajar.
  • Pelajar sekolah terlibat dengan kegiatan jenayah.
  • Pelajar ponteng sekolah.
  • Hubungan kekeluargaan pelajar yang bermasalah.
  • Ibu bapa menghadapi tekanan untuk mendidik anak secara sempurna kerana gangguan emosi.
  • Penceraian ibu bapa mengganggu emosi anak-anak.
  • Ibu bapa yang sibuk mengejar kesenangan hidup dan meletakkan kepentingan individu pada kedudukan yang lebih tinggi.
  • Kegagalan ibu bapa bertindak sebagai pelindung dan penjaga yang bertanggungjawab.
  • Pengaruh persekitaran seperti perubahan sistem sosial dan masyarakat.
  • Iklim pembelajaran yang negatif di sekolah.
  • Sekolah mempunyai pelbagai target pencapaian sehingga mengabaikan aspek akademik.
  • Kemerosotan disiplin di sesebuah sekolah.
  • Guru dibebani pelbagai tanggungjawab yang remeh-temeh.
  • Kurikulum sekolah yang sering berubah-ubah.
  • Dasar pendidikan negara yang tidak konsisten.
  • Masalah kemiskinan pelajar.
  • Pengaruh negatif media massa.

FASILITATOR PT3...!


Monday, 8 June 2015

CONTOH ESEI CEMERLANG...!

SOALAN:-
  • Amalan membaca merupakan amalan yang amat penting dalam kehidupan kita. Jelaskan peranan ibu bapa bagi memupuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka. Panjang karangan hendaklah melebihi 180 patah kata.



 

CONTOH ULASAN CEMERLANG...!



RAMADAN YANG TERISTIMEWA...!


  • Ejaan Ramadhan sepatutnya Ramadan

Wednesday, 3 June 2015

ULASAN: SEMANGAT KEJIRANAN...!


ARAHAN KHAS UNTUK PELAJAR  TG. 3 ALPHA DAN  3 LAMBDA
Buat ulasan berdasarkan soalan di atas menggunakan kertas kajang dan tarikh hantarannya adalah pada 16 Jun 2015. Semua pelajar digalakkan membuat tugasan berdasarkan perkara-perkara di bawah:- [Langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat]
  • Pendahuluan yang ringkas
  • Isi tersurat
  • Isi tersirat
  • Ungkapan bahasa menarik
  • Huraian ringkas dan padat
  • Menggunakan satu perenggan sahaja
  • Panjang ulasan tidak melebihi 100 patah kata.

HARIMAU MUDA TEWAS 1 - 5...!

Semalam pasukan Vietnam mengajarkan kita cara bermain bola sepak yang sebenar-benarnya. Ketika kita berangan-angan untuk menjinakkan Vietnam, kerana lawan kita selepas ini ialah Thailand, pemain-pemain Harimau Muda hilang punca di tengah padang dan padahnya kita tewas besar 1 - 5 di tangan Vietnam. Sungguh memalukan!
Adakah lagi ruang kita untuk ke peringkat seterusnya? Atau hanya sekadar disingkirkan di peringkat kumpulan? Pasukan yang akan ditemukan oleh Harimau Muda nanti ialah pasukan Thailand. Harimau Muda, mahu atau tidak mesti menewaskan Thailand, jika mahu bernafas lagi. Jika kalah, selamat tinggal acara bola sepak di persada Sukan SEA 2015.
 
Bola sepak oh bola sepak ......

NOVEL: TEMA NOVEL TG. 3...!


TEMA DAN HURAIAN PERISTIWA
NOVEL 6:20
  • Perjuangan golongan muda dalam menentang anasir-anasir negatif Barat yang cuba mempengaruhi jiwa mereka.
  1. Sukma sanggup pergi ke Kelab WX2 seorang diri untuk mengetahui aktiviti yang dijalankan oleh kelab tersebut.
  2. Sukma bekerjasama dengan Kak Ros untuk membanteras aktiviti yang dijalankan oleh ahli kelab WX2.
  3. Sukma dan rakan-rakan berusaha keras mengumpulkan bukti tentang kegiatan yang dijalankan oleh Kelab WX2.
  4. Jerry membantu Sukma dengan memberitahu maklumat yang berkaitan dengan Kelab WX2 walaupun dia tahu bahawa nyawanya terancam.
  5. Rafiq membantu Sukma menyelamatkan rakan-rakan mereka daripada terus terpengaruh oleh budaya Barat.
NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU
  • Keakraban dan keikhlasan persahabatan dua orang remaja walaupun berbeza latar belakang dan keturunan.
  1. Keikhlasan Hartini dalam persahabatan menyebabkan Haritini berusaha untuk meminta bantuan ayahnya bagi memujuk Pak Morit mengizinkan Satiah menyertai kumpulan belajar mereka.
  2. Hartini bersungguh-sungguh memujuk Pak Morit agar menghantar Satiah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
  3. Hartini dan Satiah sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama dan Hartini juga menganggap Satiah sebagai teman belajar yang akrab.
  4. Hartini sangat sedih dan tidak dapat mengawal perasaan ketika Satiah meninggal dunia.
NOVEL MERENANG GELORA
  • Cabaran dan tanggungjawab seorang pelajar dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawas.
  1. Badri menghadapi cabaran untuk membahagikan masa antara pelajaran, tugas pengawas dan aktiviti kokurikulum (berlatih bermain bola sepak).
  2. Cabaran dan tanggungjawab untuk membaiki hubungan dengan rakan-rakan Tingkatan 5 Bestari apabila rakan-rakannya menjauhinya setelah dia menjawat jawatan pengawas.
  3. Cabaran dan tanggungjawab sebagai anak dalam menjaga maruah keluarga. Badri sentiasa menjaga nama baik keluarganya dengan tidak pernah melanggar peraturan sekolah dan tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah.
 

Tuesday, 2 June 2015

NOVEL: PELERAIAN NOVEL TG.3....!


PELERAIAN
NOVEL 6:20 [Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu]
  • Ibu Sukma koma di hospital akibat tembakan ahli kumpulan WX2 semasa operasi polis. Sukma baru mengetahui bahawa penglibatan ibunya dalam kumpulan tersebut semata-mata penyamaran bagi mendapatkan maklumat untuk disampaikan kepada pihak berkuasa.
NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU [Johor, Sabah, Sarawak dan W.P Labuan]
  • Setelah bertahun-tahun menanggung penderitaan, akhirnya Satiah meninggal dunia. Dalam catatan hariannya, Satiah telah meminta Hartini agar menanam pohon cempaka putih di pusaranya. Permintaan tersebut ditunaikan oleh Hartini sebelum dia pulang ke asrama.
NOVEL MERENANG GELORA [Selangor, Melaka, N. Sembilan, W.P.K. Lumpur dan Putrajaya]
  • Badri dan rakannya berjaya merenang gelora dalam kehidupan. Misalnya Badri berjaya menjadi seorang doktor gigi, Shahrul dan Kumar berjaya membuka bengkel kereta dan Meng Kong meneruskan perniagaan bapanya.
                                                                                                                                                   

PROMOSI III