PENAJA

RAKAN ILMU

Thursday, 25 June 2015

SAJAK: ARKITEK KOTA...!

hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.

kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.

dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduh pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga menjalar di beranda.

pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.

dia pengukir ruang hidup,
penghias suasana sempurna,
membenarkan penemuan,
memungkinkan kemungkinan.

Muhammad Haji Salleh
Antologi Dirgahayu Bahasaku, DBP.

MAKSUD:-

Rangkap 1-
Hanya seorang yang berjiwa seni dan memiliki pengalaman pahit manis kehidupan dapat mengilhamkan sebuah kota yang sejahtera.
 
Rangkap 2-
Seorang arkitek yang baik ialah seorang pencinta alam, seorang yang banyak membaca, meninjau kehidupan dan pengkaji masyarakat. Beliau juga bijak membuat pertimbangan dan memiliki bakat kepimpinan.
 
Rangkap 3-
Beliau mesti melindungi hidupan, mengekalkan kehijauan bumi, mengelakkan pencemaran dan mementingkan keindahan.
 
Rangkap 4-
Orang yang merancang pembinaan bandar mestilah berani membawa perubahan yang pelbagai, seorang yang sanggup menerima pandangan orang lain, dan mementingkan perasaan dan keperluan pihak lain.
 
Rangkap 5-
Beliau bertanggungjawab mewujudkan keindahan melalui kreativiti, mewujudkan kesempurnaan, menggalakkan daya cipta, dan bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.
 
TEMA:-
Pelbagai pertimbangan dititikberatkan ketika merancang pembangunan sebuah bandar yang sejahtera.
 
PERSOALAN:-
  • Ciri-ciri seorang perancang bandar.
  • Masalah alam sekitar.
  • Kepelbagaian latar belakang manusia.
  • Sifat kreatif dapat menghasilkan sesuatu yang baik.
NILAI MURNI:-
  • Kebijaksanaan - perancang bandar yang bijak dapat melahirkan bandar yang sejahtera
  • Kerjasama - pembinaan sebuah bandar yang sejahtera perlukan kerjasama semua pihak.
  • Kebanggaan - masyarakat berbangga apabila terbinanya sebuah bandar lengkap dan cantik.
PENGAJARAN:-
  • Kita seharusnya berasa bangga terhadap kreativiti anak tempatan.
  • Kita mestilah berfikir dari semua sudut sebelum melakukan sesuatu kerja.
  • Kita mestilah mengutamakan penjagaan alam sekitar apabila memajukan sesebuah kawasan.
  • Kita hendaklah menggunakan kepakaran yang ada sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.

No comments:

Post a Comment

PROMOSI III