PENAJA

RAKAN ILMU

Friday, 31 July 2015

GEMPUR PT3 DI HUSM...!

Dewan Kuliah A, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Kubang Kerian.
 
Pagi tadi jam 10.45 - 12.30 ptg, Cikgu diundang mengendalikan 'Seminar Teknik Menjawab dan Cabaran KBAT PT3 2015' di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Seminar anjuran A Plus Education Solution, Pulau Pinang itu telah dihadiri oleh seramai 180 orang bakal calon PT3 negeri Kelantan.
Dalam seminar itu Cikgu telah mendedahkan bakal calon dengan teknik menjawab soalan dan bagaimana untuk memaksimumkan skor markah, kaedah pemarkahan dan kepelbagaian bentuk soalan KBAT Bahasa Melayu 2 PT3.
Terima kasih kepada penganjur dan terima kasih juga kepada para bakal calon PT3 2015 kerana memberikan kerjasama yang amat baik dalam menjayakan program ilmiah itu.
Terima kasih.


 

Thursday, 30 July 2015

CERPEN:MUTIARA BONDA...!


PLOT
PERMULAAN:-
  • Bonda menerima surat daripada anak lelaki tunggalnya, adik yang menuntut di Jordan.
  • Surat itu telah mengembalikan ingatan bonda ketika membesarkan adik (Mohd. Harraz), 10 tahun yang lalu.
PERKEMBANGAN:-
  • Penulis menceritakan kenakalan dan kedegilan adik.
  • Dia akan marah dan mengamuk jika permintaannya tidak dipenuhi.
  • Adik tidak berminat untuk belajar. Ketika awal darjah 6, dia mahu berhenti sekolah.
  • Keputusan adik itu telah menghancurkan harapan bonda yang mahukan adik menjadi seorang ustaz bagi menggantikan tempat arwah suaminya, Lebai Sidi.
KLIMAKS:-
  • Pada suatu malam adik telah terlibat dalam suatu kemalangan.
  • Dia mendapat kecederaan kerana motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta.
  • Selepas peristiwa itu, adik telah insaf dan menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajarannnya semula.
PELERAIAN:-
  • Adik melanjutkan pengajian di Universiti al-Bayt, Jordan.
  • Dia akan pulang  ke tanah air setelah tamat pengajiannya tiga bulan lagi.
  • Hal ini amat membahagiakan bonda.

Wednesday, 29 July 2015

PERIBAHASA SESUAI...!


Kemukakan peribahasa yang sesuai dengan maksud yang diberi di bawah ini.
[ 6 markah ]

(i)   Lebih baik rosak sedikit, asal jangan rosak kesemuanya; sebelum semua kemalaratan itu menjadi
       besar baiklah diusahakan untuk menghindarkannya.

       Biar titik jangan tumpah / biar genting jangan putus.

(ii)  Orang berkedudukan tinggi yang suka merendah diri tidak akan jatuh martabatnya.

       Bagai ular menyusur akar takkan hilang bisanya.

(iii) Datin Rokiah tidak membenarkan anak perempuannya bercinta dengan anak tukang kebunnya,
       kerana taraf hidup mereka yang jauh berbeza.

       Enggang sama enggang, pipit sama pipit.

Tuesday, 28 July 2015

KOMSAS: SELOKA SI LUNCAI...!


Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan...
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilatih,
Ada ternakan tidak dibela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tidak selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada mengkaji,
Ada mata tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan...!
Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.

Md. Ali Bachik (ILADAM)
Penyelenggara,
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
DBP.

i) Nyatakan sikap buruk Si Luncai.
[3 markah ]
Sikap buruk Si Luncai ialah ada rumah, tetapi tidak dijaga. Seterusnya walaupun mempunyai anak, tetapi tidak diberikan pendidikan yang baik. Akhir sekali Si Luncai memiliki ternakan, namun dia tidak membelanya.
 
ii) Berdasarkan seloka di atas, apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah tabiat buruk Si Luncai?
[ 3 markah ]
 
Pada pendapat saya, untuk mengubah tabiat buruk Si Luncai itu kita perlulah banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar agar Si Luncai sedar akan tabiat buruknya. Selain itu Si Luncai patut diberikan bimbingan oleh ahli keluarga terdekat. Akhir sekali, Si Luncai hendaklah diberikan bantuan berupa modal dan tenaga agar dia lebih bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki.
 
iii) Huraikan beberapa pengajaran daripada "Seloka Si Luncai".
[ 3 markah ]
 
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada seloka di atas ialah kita hendaklah rajin dan gigih berusaha mencari rezeki untuk membaiki kehidupan. Sepatutnya Si Luncai menggunakan kelebihan yang dimiliki seperti mempunyai ternakan dengan memelihara dengan baik agar mendapat hasil yang lumayan. Seterusnya, kita mestilah sentiasa menggunakan akal fikiran yang dikurniakan untuk melaksanakan pelbagai kerja. Si Luncai sering menghadapi kegagalan kerana tidak menggunakan akal yang waras dalam tindak-tanduknya.
Akhir sekali kita mestilah bertanya dan meminta bantuan jika berhadapan dengan sebarang masalah. Jangan jadi seperti Si Luncai yang terus berserah kepada nasib apabila menghadapi kegagalan.



Sunday, 26 July 2015

BAHASA DALAM / ISTANA....!

Suka atau tidak, pelajar-pelajar mesti mengambil cakna akan makna bahasa istana. Hal ini demikian kerana soalan-soalan berkenaan bahasa istana atau bahasa dalam akan ditanya secara langsung atau tidak langsung dalam PT3 ataupun SPM. Antara perkataan bahasa istana atau bahasa dalam yang biasa ditanyakan ialah:-
  • ampun kurnia  - maaf
  • anugerah  - beri, hadiah
  • beradu  - tidur
  • berangkat  - bertolak, berlepas
  • mencemar duli  - berjalan ke, pergi ke
  • berkenan  - sudi, suka
  • berputera  - beranak, bersalin
  • bertitah  - berkata, berucap
  • beta  - saya
  • daulat  - bahagia
  • gering  - sakit
  • bersiram  - mandi
  • hari keputeraan  - hari jadi
  • hulu  - kepala
  • iram-iram  - payung
  • kaus  - kasut
  • mahkota  - topi, alas kepala
  • makam  - kubur
  • mangkat  - mati
  • menghadap - menemui, menjumpai
  • permaisuri  - isteri
  • santap  - makan
  • sembah  - memberi salam
  • semayam  - tinggal, duduk
  • singgahsana  - kerusi

Friday, 24 July 2015

NILAI MURNI...!


Nilai Murni:-
Aspek nilai murni boleh dirumuskan sebagai sesuatu kebaikan yang dilakukan oleh seseorang. Pada asasnya nilai murni boleh dibahagikan kepada 17 (ditambah empat lagi berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Baharu), iaitu:-
  1. baik hati
  2. berdikari
  3. hemah tinggi
  4. hormat-menghormati
  5. kasih sayang
  6. keadilan
  7. kebebasan
  8. keberanian
  9. kebersihan fizikal dan mental
  10. kejujuran
  11. kerajinan
  12. kerjasama
  13. kesederhanaan
  14. kesyukuran
  15. rasional
  16. semangat bermasyarakat
  17. keyakinan
  18. tanggungjawab
  19. patriotik
  20. menghargai
  21. ketekunan

Thursday, 23 July 2015

KOMSAS: ISTILAH SASPENS...!

  • Unsur saspens ialah teknik penceritaan yang kerap digunakan oleh pengarang untuk memantapkan sesebuah karya yang dihasilkan. 
  • Unsur ini ialah unsur ketegangan yang terjadi hasil daripada konflik-konflik yang ditimbulkan oleh watak-watak dalam sesebuah cerita.
  • Pengarang mengolah unsur saspens dalam sesebuah karya agar penceritaannya menimbulkan ketegangan dan situasi mendebarkan dalam kalangan pembaca.
  • Teknik penceritaan lain yang digunakan oleh pengarang ialah:-
  1. Dialog
  2. Monolog
  3. Monolog dalaman
  4. Imbas muka
  5. Imbas kembali
  6. Kejutan dan lain-lain.                         

Tuesday, 21 July 2015

ESEI: PERANAN IPT MEMBANGUNKAN NEGARA...!



PENDAHULUAN:-
  • Landskap pendidikan negara akan memasuki fasa baharu apabila penjenamaan semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) disiapkan dan dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015 - 2025 (Pengajian Tinggi).
  • PSPTN bermatlamat untuk mentransformasikan dan mengangkat pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi.
  • Untuk mencapai matlamat ini Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini dipertanggungjawabkan untuk membantu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi agar Malaysia mencapai mampu meraih status negara maju.
  • Modal yang hendak dilahirkan oleh IPT bukan sahaja cemerlang akademik tetapi memiliki nilai kemanusiaan yang mapan dan mampu bersaing di peringkat global.
IDEA-IDEA PENTING:-
  • IPT perlu memperlengkapkan diri dengan memberikan penekanan dan tumpuan terhadap pemilihan ahli akademiknya yang terbilang dari segi kepakaran dan serba boleh. - Para pensyarah perlu menguasai ilmu sepenuhnya dan faham tentang aspirasi negara.
  • IPT mestilah berusaha gigih melahirkan graduan yang menyokong teras misi nasional dalam meningkatkan keupayaan dan inovasi negara. - Masyarakat amat mengharapkan IPT dapat melahirkan graduan yang mampu memterjemahkan pengetahuan kepada amalan.
  • IPT juga perlu melahirkan para graduan yang mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi seperti berfikiran analitikal. - Minda graduan juga mestilah diasah dengan tahap penaakulan yang tinggi agar dapat menabur bakti kepada agama , bangsa dan negara.
  • IPT dan kerajaan perlu mewujudkan pengkalan data yang lengkap mengenai keperluan tenaga manusia agar kebolehpasaran graduan yang dilahirkan adalah tinggi.
  • Pemimpin dan pihak pengurusan IPT mestilah berusaha membuat penambahbaikan tentang kualiti bidang pengajian yang ditawarkan agar graduan yang dilahirkan berdaya saing tinggi.
  • IPT perlu membuat perancangan strategik yang komprehensif agar mampu meneruskan kecemerlangan pada masa hadapan.
  • Kepimpinan melalui teladan - barisan kepimpinan IPT terutama naib canselor perlu melalui tapisan ketat sebelum dipilih menduduki kerusi-kerusi pentadbiran.
  • IPT juga perlu sedia menerima pandangan dan cadangan para ilmuwan dan cendekiawan yang melontarkan idea-idea bernas untuk memantapkan fungsi IPT tempatan.
KESIMPULAN:-
  • Sesungguhnya semua pihak mengharapkan IPT tempatan dapat terus relevan melahirkan para graduan yang terbilang selari dengan perkembangan dunia moden kini.

Thursday, 16 July 2015

MODEL G-CAKNA SAMBUNGAN...!

 
CADANGAN JAWAPAN:-
3(c)
Kesalahan Ejaan
  1. dikenalpasti - dikenal pasti
  2. peri bahayanya - peribahayanya
  3. series - serius
Kesalahan Imbuhan
  1. alami - mengalami
  2. pantauan - pemantauan
  3. dikuat kuasakan - dikuatkuasakan
3(d)
  1. dibersihkan oleh kami - kami bersihkan (tatabahasa); padang - gelanggang (istilah)
  2. beberapa batang-batang - beberapa batang (tatabahasa); pantas - kencang (istilah)
  3. bagi - untuk (tatabahasa); memancung - menyembelih (istilah)
3(e)
  1. Berapa tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.
  2. Membandarkan air ke bukit. (melakukan kerja yang sia-sia)
  3. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. (serba salah)
 


Monday, 13 July 2015

MODUL G-CAKNA 2015...!

 

Pada kesempatan kali ini, Cikgu ingin mengajak para pelajar untuk sama-sama menjawab soalan Modul G-Cakna Akademik SPM yang disediakan oleh JPN Kelantan.
 
3(a)
  1. mencalit = memalitkan : Budak nakal itu mencalit cat pada dinding bangunan sekolah.
  2. mencanting = melukiskan lilin pada kain; Emak sedang mencanting kain batik.
  3. mengukir : Mengukir kayu merupakan pekerjaan sambilan orang tua itu.
  4. mencanai = mengasah : Tukang perak itu sedang mencanai batu permata.
  5. menebuk = membuat lubang : Ayah sedang menebuk lubang pada tiang itu.
  6. melorek = menggaris : Ali sedang melorek bahagian kayu itu supaya ukirannya nampak jelas.
3(b)
  1. Graduan perlu berkemahiran tinggi dan tidak boleh terus mengharapkan kerja makan gaji sahaja.
  2. Adakah encik hendak pergi ke Ipoh walaupun banyak kerja di pejabat belum diselesaikan.
  3. Bapa baru pulang dari kebun lalu terus menuju ke meja makan.

Saturday, 11 July 2015

NOVEL: PLOT & TEKNIK PENCERITAAN...!


PLOT:-
  • Plot ialah susunan atau jalinan peristiwa dalam sesebuah cerita / cereka yang ingin disampaikan oleh seseorang pengarang.
  • Perkembangan plot ini berdasarkan hukum sebab dan akibat.
  • Perkembangan plot melalui beberapa peringkat iaitu:-
  1. Permulaan
  2. Perkembangan
  3. Perumitan
  4. Klimaks
  5. Peleraian
TEKNIK PENCERITAAN:-
  • Teknik penceritaan ialah cara seseorang pengarang mempersembahkan karyanya agar menjadi lebih menarik dan berkesan.
  • Pelbagai teknik penceritaan yang boleh digunakan, iaitu:-
  1. Teknik dialog
  2. Teknik monolog
  3. Teknik monolog dalaman
  4. Teknik pemerian / pemeri
  5. Teknik imbas kembali
  6. Teknik imbas muka
  7. Teknik suspens

Friday, 10 July 2015

NOVEL: LATAR MASYARAKAT 6:20...!


Penulis dalam satu sesi bengkel BM...
 
Pelbagai latar masyarakat yang ditonjolkan oleh penulis melalui novel 6:20. Novel ini mengisahkan kekentalan golongan muda menentang arus pengaruh negatif Barat yang dibawa oleh ahli kelab WX2 menonjolkan beberapa latar masyarakat. Antaranya masyarakat berpendidikan tinggi, masyarakat penyayang dan masyarakat yang taat akan perintah Tuhan.
 
Latar masyarakat yang berpendidikan tinggi dapat dibuktikan melalui watak-watak seperti Nor Sukma dan kawannya Rafiq. Nor Sukma, iaitu anak perempuan Puan Delia dan Haji Syaqir merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti awam dalam bidang Sains Politik. Rafiq pula ialah bekas pelajar universiti luar negara.
 
Latar masyarakat yang kedua ialah masyarakat penyayang. Contohnya ialah kasih sayang yang dipamerkan oleh Puan Delia kepada anaknya Nur Sukma. Puan Delia berasa sedih apabila melihat anaknya Nur Sukma dalam keadaan muram telah menghadiahkan sebuah buku kepadanya untuk membantu mengurangkan masalah yang dihadapi.
 
Masyarakat yang taat akan perintah Tuhan pula dapat dilihat melalui perwatakan Hj. Syaqir. Walaupun beliau seorang pemimpin masyarakat yang sentiasa sibuk, beliau tetap menunaikan solat Asar apabila tiba waktunya.

Wednesday, 8 July 2015

ESEI: KEPENTINGAN KLINIK 1MALAYSIA...!


PENDAHULUAN:-
  • Rancangan penubuhan Klinik 1Malaysia telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2010 pada 23 Oktyober 2010 yang lalu telah menjadi kenyataan.
  • Objektif utama penubuhan Klinik 1Malaysia adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar.
  • Pendekatan ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia: 'Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
  • Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menampung kos operasi bagi 50 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara.
IDEA-IDEA UTAMA:-
(Kepentingan penubuhan Klinik 1Malaysia)
  • Mengurangkan beban dam masalah pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di kawasan bandar.
  • Dapat mempertingkatkan akses penduduk bandar yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan rawatan perubatan ringan.
  • Menyediakan mutu perkhidmatan yang berkualiti kepada golongan yang berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.
  • Dapat mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kerajaan di bandar-bandar.
  • Dapat mengurangkan kebergantungan orang ramai terhadap klinik dan hospital swasta yang mengenakan bayaran yang tinggi.
  • Klinik 1Malaysia juga tidak mementingkan keuntungan kerana hanya mengenakan bayaran serendah RM1.
  • Menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat.
  • Meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia.
  • Meningkatkan keberkesanan pengawalan penyakit dalam kalangan masyarakat.
KESIMPULAN:-
  • Penubuhan Klinik 1Malaysia semestinya memberikan pelbagai manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun fokus utamanya ialah penduduk-penduduk bandar yang berpendapatan rendah dan sederhana.
  • Diharapkan projek murni ini dapat diteruskan dengan adanya usaha penambahbaikan yang berterusan.

Monday, 6 July 2015

SINTAKSIS: AYAT SONGSANG > AYAT BIASA...!

Beranak Songsang
 
Sebelum pelajar-pelajar menukarkan bentuk ayat songsang kepada bentuk ayat biasa, perkara yang utama yang perlu dilakukan ialah :-
  1. Mengenal pasti bahagian ayat itu sama ada subjek ataupun predikat.
  2. Membahagikan kepada dua bahagian - subjek / predikat atau predikat / subjek.
  3. Bentuk ayat songsang: predikat / subjek.
  4. Bentuk ayat biasa: subjek / predikat.
  5. Kebiasaannya bahagian ayat itu dipisahkan oleh kata sendi nama, kata hubung atau tanda baca.
Contoh soalan:
Tukarkan ayat songsang di bawah kepada ayat susunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.
  1. Mengajar di sekolah Faris, / guru itu.
  2. Dengan menggunakan komputer riba ,/ dia dapat mengakses Internet tanpa had.
  3. Yang berkereta besar itu / bapa saya.
  4. Kerana demam selesema yang teruk, / dia terpaksa tinggal di rumah sahaja.
  5. Mengerjakan solat terawih pada setiap malam bulan Ramadan / umat Islam di tempat saya.
Komen:
  • Semua bahagian hadapan ayat di atas ialah predikat ayat.
  • Untuk menukarkan bentuk ayat songsang di atas, pelajar mestilah meletakkan bahagian belakang ayat iaitu subjek di depan setiap ayat.
  • Lihat contoh jawapan di bawah.
  1. Guru itu / mengajar di sekolah Faris.
  2. Dia dapat mengakses Internet tanpa had / dengan menggunakan komputer riba.
  3. Bapa saya / yang berkereta besar itu.
  4. Dia terpaksa tinggal di rumah sahaja / kerana demam selesema yang teruk.
  5. Umat Islam di tempat saya / mengerjakan solat terawih pada setiap malam bulan Ramadan.

Friday, 3 July 2015

ESEI: USAHA MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH...!


Contoh Soalan:-
  • Sekolah merupakan sebuah kilang untuk melahirkan produk insan cemerlang dari segi mental dan fizikal bagi memenuhi tuntutan kehidupan di dunia dan di akhirat. Sekolah yang ceria dan segar menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan positif kepada pelajar dan guru. Jelaskan peranan semua pihak dalam usaha menceriakan kawasan sekolah.

TEMA:- KECERIAAN KAWASAN SEKOLAH
TUGASAN:- USAHA-USAHA UNTUK MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH
DIMENSI:- SEMUA PIHAK (PELAJAR, GURU, PENTADBIR, KAKITANGAN, IBU BAPA, MASYARAKAT, NGO DAN KERAJAAN).

PENDAHULUAN:-
AR: Keceriaan kawasan sekolah sangat berkolarasi dengan pencapaian akademik dan kokurikulum serta sahsiah pelajar-pelajarnya.
AH: Apabila kita berbicara tentang sekolah yang berprestasi tinggi dalam setiap peperiksaan awam, maka tidak boleh dinafikan bahawa sekolah-sekolah tersebut juga memiliki iklim pembelajaran dan pengajaran yang positif dan berkesan.
AH: Hal ini demikian sebenarnya amat berkait rapat dengan suasana sekolah yang cantik, bersih, segar, bersistem, lengkap dengan prasarana turut membantu proses melahirkan insan hebat di dalam kelas.
AB: Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.
AH: Keceriaan kawasan sekolah akan memberikan nilai tambah kepada warga sekolah mencapai visi dan misi melahirkan pelajar cemerlang yang akan menjadi generasi pelapis negara suatu masa nanti.
AP: Semua pihak mestilah sedar akan kepentingan menjaga dan meningkatkan keceriaan sesebuah kawasan sekolah dan mengorak langkah, berganding bahu melaksanakannya.
AA: Pelbagai usaha yang dapat dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk menceriakan kawasan sekolah.
 
AR - ayat rangsangan (ayat yang ada kaitan dengan tema)
AH - ayat huraian
AB - ayat peribahasa
AP - ayat penegasan
AA - ayat arahan (ayat yang ada kaitan dengan tugasan soalan/tajuk)
 
 

3(b): SINTAKSIS...!

Bagi SPM, soalan berkaitan tatabahasa akan disoal melalui Kertas 2, soalan 3. Aspek-aspek yang mungkin disoal termasuklah aspek:-
  • Morfologi
  • Sintaksis
  • Kesalahan ejaan dan imbuhan
  • Penggunaan kata dan istilah
  • Peribahasa
5 soalan yang akan dikemukakan melalui soalan 3 ini, iaitu 3(a), 3(b), 3(c), 3(d), dan 3(e).
 
Markah yang diperuntukkan bagi soalan berkaitan pengetahuan dan kemahiran bahasa ini adalah 30 markah.
 
Manakala bagi soalan 3(b), iaitu bahagian sintaksis, calon akan diuji penguasaan mereka terhadap aspek-aspek seperti berikut:-
  • Ayat tunggal - ayat majmuk
  • Jenis ayat (ayat penyata, ayat tanya, ayat seru, dan ayat perintah)
  • Ragam ayat - ayat aktif - ayat pasif
  • Ayat cakap ajuk - cakap pindah
  • Pola ayat dasar
  • Binaan ayat - ayat biasa - ayat songsang

Thursday, 2 July 2015

NOVEL: LATAR MASYARAKAT SDL...!


Latar masyarakat yang terdapat dalam novel Sutera Dalam Lukisan (SDL), karya Abd Talib Hassan ialah:-
  • Pelbagai golongan masyarakat yang menjalani kehidupan di sebuah kampung; - contohnya golongan tua yang diwakili oleh Sidang Saman, Mak Lamah, Mak Som, Opah Arah, Pak Long Dahlan. Manakala Adila, Bujei, Faizal, Same'ah, Alias, Sahak dan Sani mewakili golongan muda dan golongan kanak-kanaknya pula ialah Samsul, Husin dan Zulkarnain.
  • Masyarakat yang menganut agama Islam;- contohnya Mak Lamah mengingatkan Bujei agar belajar solat. Adila pula meminta Bujei mendalami ilmu agama.
  • Masyarakat yang berpendidikan tinggi;- contohnya Adila dan Faizal merupakan bekas pelajar luar negara dan mereka menuntut di sana selama lima tahun.
  • Masyarakat yang suka memandang serong tentang sesuatu perkara;- contohnya Bujei yang dituduh oleh bapa tirinya sebagai penyebab kematian ibunya sendiri yang menyebabkan Bujei dipandang serong oleh penduduk kampung.
  • Masyarakat yang tamak harta;- contohnya Harun yang merupakan bapa tiri Bujei ingin merampas tanah sawah dan tanah tapak rumah milik arwah ibu Bujei.

Wednesday, 1 July 2015

KOMSAS: ISTILAH 'P'...!


Istilah sastera yang bermula dengan huruf 'p'..
  • Pengajaran - sesuatu yang berkaitan, amanat, pesanan atau mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca.
  • Perlambangan - kata-kata yang merujuk atau mewakili sesuatu yang lain.
  • Persoalan - isu yang dipaparkan melalui peristiwa-peristiwa dan rangkap-rangkap puisi.
  • Personifikasi - perseorangan atau benda atau binatang yang diberikan sifat seperti manusia.
  • Perulangan - unsur retorik yang berdasarkan pengulangan bunyi dan kata.
  • Perwatakan - perihal sifat watak-watak sama ada luaran mahupun dalaman.
  • Plot - susunan penceritaan.
  • Pertengahan/pengakhiran/permulaan - bahagian plot cerita.


PROMOSI III