PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 31 August 2015

BUKAN KATA MAJMUK...!

Selain bentuk kata majmuk, terdapat juga golongan kata nama, kata adjektif, kata sendi nama, kata hubung dan kata tanya yang dieja secara bercantum. Antaranya ialah:-
  • Kata nama
  1. peribadi
  2. peribahasa
  3. dinihari
  4. perikemanusiaan
  5. haribulan
  • Kata adjektif
  1. sukacita
  2. dukacita
  3. dukalara
  • Kata sendi nama
  1. kepada
  2. daripada
  • Kata hubung
  1. apabila
  2. manakala
  3. darihal
  4. barangkali
  5. kadangkala
  6. apakala
  7. walhal
  • Kata Tanya
  1. bagaimana

Sunday, 30 August 2015

KATA MAJMUK...!


Kata majmuk ialah:-
  • dua atau lebih patah kata dasar yang digabung;
  • membentuk satu kata baharu yang mempunyai makna tersendiri;
  • dieja dalam dua bentuk iaitu dieja bercantum dan dieja terpisah;
Kata majmuk dieja bercantum:-
  1. tanggungjawab
  2. kerjasama
  3. suruhanjaya
  4. bumiputera
  5. beritahu
  6. antarabangsa
  7. jawatankuasa
  8. matahari
  9. olahraga
  10. setiausaha
  11. sukarela
  12. tandatangan
  13. warganegara
  14. pesuruhjaya
  15. kakitangan
Kata majmuk dieja terpisah:-
  1. gambar rajah
  2. alat tulis
  3. jalan raya
  4. air hujan
  5. mata pelajaran
  6. kapal terbang
  7. tengah hari
  8. lebuh raya
  9. merah muda
  10. Profesor Madya
  11. Timbalan Ketua Setiausaha
  12. garis pusat
  13. segi tiga
  14. lut sinar
  15. uurus setia
  16. hak milik
  17. atur cara
  18. kemas kini
  19. kraf tangan
  20. sama ada
  21. campur aduk
  22. urus niaga
  23. temu duga dan banyak lagi.....

Saturday, 29 August 2015

MENGESAN KESALAHAN BAHASA AYAT...!

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti. Gariskan kesalahan bahasa dan tulis pembetulannya di ruang yang disediakan.
  1. Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan bas mengambil masa lebih kurang lapan setengah jam.
  2. Kedua anaknya mendapat semua A+ dalam peperiksaan SPM dua tahun lalu.
  3. Berbagai barang dijual di pasar raya itu.
  4. Tiap-tiap warga negara wajib mempertahankan kedaulatan negara.
  5. Kerajaan terpaksa membelanjakan beratus ribu ringgit untuk membaiki jambatan itu.
  6. Satu per tiga daripada wang simpanannya didermakan kepada mangsa-mangsa banjir.
  7. "Beta tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa tuan hamba," kata Temenggung kepada Bendahara.
  8. Buku yang saya pinjam dari Ahmad sudah saya pulangkan kepadanya semula pada petang tadi.
  9. Ahmad tersinggung amat dengan sikap rakan-rakannya.
  10. Kalian mestilah datang di bilik saya pagi esok untuk mengambil lencana masing-masing.
Jawapan:-
  1. lapan jam setengah
  2. Kedua-dua orang
  3. Berbagai-bagai /Pelbagai
  4. warganegara
  5. beratus-ratus ribu ringgit
  6. Satu pertiga
  7. Beta > Hamba
  8. dari > daripada
  9. dengan > akan
  10. di bilik > ke bilik

Friday, 28 August 2015

MENCIUM ATAU MENGUCUP...!

Salah satu aspek bahasa Melayu yang tidak boleh dipinggirkan ialah aspek makna dan penggunaan kata dalam ayat. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir kata bahasa Melayu yang mempunyai sebutan, makna dan penggunaan yang hampir sama menyebabkan berlakunya kesalahan dari segi penggunaannya oleh pengguna bahasa.

Sila teliti perkataan-perkataan di bawah:-
  • mencium  = menyedut bau sesuatu, menghidu
Ayat:
Amin mencium bau buah durian itu sebelum membelinya.
  • mengucup  = menyentuh dengan bibir
Ayat:
Sebelum pulang, saya mengucup dahi ibu saya.
  • menghisap  = menyedut minuman, asap rokok dan lain-lain ke dalam mulut atau hidung.
Ayat:
Menghisap rokok ialah amalan yang buruk dan membahayakan kesihatan.
  • menghirup  = menelan benda cair atau menyedut udara
Ayat:
Mereka menghirup kopi panas sambil menghirup udara sejuk di di lereng bukit. 

Thursday, 27 August 2015

BIDALAN PT3 DAN SPM...!

Peribahasa bahasa Melayu terbahagi kepada 4 jenis, iaitu:-
  1. Simpulan Bahasa
  2. Perumpamaan
  3. Bidalan
  4. Pepatah
Kesempatan kali ini Cikgu akan mengutarakan perbincangan tentang 'bidalan' yang terkandung dalam sukatan PT3 dan SPM. Perbincangan ini termasuklah tentang makna dan penggunaan bidalan tersebut dalam ayat.
  • Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.
Maksud:
Urusan sendiri ditinggalkan kerana mementingkan urusan kerja orang lain.
Ayat:
Orang itu umpama anak kera disusui, anak sendiri di rumah kebuluran apabila dia sibuk membantu orang luar sedangkan keluarga sendiri diabaikan.
  • Baik mengikut resmi padi, makin menunduk makin berisi.
Maksud:
Semakin merendah diri apabila semakin berjaya.
Ayat:
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai olehnya tidak menjadikan seorang yang sombong, sebaliknya dia sentiasa merendah diri bak kata bidalan, baik mengikut resmi padi, makin menunduk makin berisi.
  • Bangkai gajah bolehkah ditudung dengan nyiru?
Maksud:
Sesuatu perbuatan yang amat buruk dilakukan tidak dapat disembunyikan lagi.
Ayat:
Perbuatannya yang kejam itu tidak dapat disembunyikan lagi kerana bangkai gajah bolehkah ditudung dengan nyiru?
  • Bertanam tebu di bibir.
Maksud:
Mengeluarkan kata-kata atau janji-janji manis untuk memujuk.
Ayat:
Hati-hati dengan kata-kata peniaga itu kerana dia bertanam tebi di bibir, nanti kamu akan menyesal.
  • Cacing hendak menjadi naga.
Maksud:
Orang golongan bawahan yang mahu berlagak seperti golongan kenamaan.
Ayat:
Perangai Karim yang sering berlagak seperti orang atasan itu tidak ubah seperti cacing hendak menjadi naga.
  • Enggang lalu ranting patah.
Maksud:
Perkara yang terjadi secara kebetulan dan meninggalkan kesan buruk.
Ayat:
Ali yang melalui kawasan operasi menangkap penagih itu juga ditangkap kerana disyaki juga seorang penagih dadah.
  • Harapkan pagar, pagar makan padi.
Maksud:
Orang yang diharapkan atau dipercayai tetapi akhirnya menjadi pengkhianat.
Ayat:
Penjawat awam itu dibuang kerja kerana menyalahgunakan kuasanya ibarat harapkan pagar, pagar makan padi.
  • Hujan jatuh ke pasir.
Maksud:
Berbudi kepada orang yang tidak tahu berterima kasih.
Ayat:
Layanan baik keluarga Ali kepada anak yatim itu seperti hujan jatuh ke pasir sahaja kerana akhirnya dia tidak ambil peduli kebaikan Ali apabila dia sudah dewasa.
  • Ikan pulang ke lubuk.
Maksud:
Balik ke kampung atau tempat asal.
Ayat:
Bertahun-tahun lamanya dia merantau, akhirnya dia kembali ke kampung halamannya seperti ikan pulang ke lubuk.
  • Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan.
Maksud:
Ingin mendapat sebanyak-banyaknya. Sangat berbesar hati. Menerima sesuatu dengan sepenuh hati.
Ayat:
Bantuan berupa wang saku kepada pelajar miskin adalah seperti kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan.
  • Malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut.
Maksud:
Jika malas berusaha tentulah hidup serba susah.
Ayat:
Mereka selalu lemah dalam pelajaran kerana malas bertanyakan guru kerana malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut.
  • Marahkah pijat kelambu dibakar.
Maksud:
Takutkan bahaya kecil, keuntungan yang besar dibuang. Akhirnya merana badan.
Ayat:
Kerana marah akan motornya yang selalu bocor tayar, akhirnya Dollah membuang motornya ke sungai.
  • Menarik rambut di dalam tepung.
Maksud:
Bersikap bijaksana dan berhati-hati ketika menyelesaikan masalah.
Ayat:
Dalam perbincangan itu, Cikgu Azemi bersikap menarik rambut di dalam tepung kerana beliau tidak mahu ada pihak yang berkecil hati.
  • Mendukung biawak hidup.
Maksud:
Melakukan pekerjaan yang amat menyusahkan diri atau mempunyai anak isteri yang menyusahkan hati.
Ayat:
Mak Timah seperti mendukung biawak hidup apabila terpaksa memelihara anak yang tidak siuman.
  • Musang berbulu ayam.
Maksud:
Orang jahat yang menyamar sebagai orang baik-baik.
Ayat:
Hati-hati bergaul dengan budak itu, kerana dia musang berbulu ayam, kelak kita akan mendapat susah.
  • Orang buta diberi bersuluh.
Maksud:
Melakukan perbuatan yang sia-sia.
Ayat:
Tiada guna menghadiahkan cincin kepada si kudung seperti orang buta diberi bersuluh.

Wednesday, 26 August 2015

MAKNA KATA GANDA SEPARA...!

Kata ganda separa ialah kata ganda yang mengalami pengulangan suku kata pertama pada kata asalnya.
Selain itu, bunyi vokal pada suku kata pertama juga berubah menjadi vokal yang dilambangkan dengan huruf e. Lihat contoh di bawah:-
  • jari             > jajari                > jejari
  • kuda           > kakuda            > kekuda
  • laki             > lalaki               > lelaki
Kata ganda separa tidak diberi tanda sempang (-) seperti kata ganda yang lain.
Kini, proses penggandaan separa digunakan untuk membentuk istilah baharu, contohnya:-
  • buli-buli               > bebuli
  • bola-bola              > bebola
  • sendi-sendi           > sesendi
Senarai kata ganda separa dan penggunannya dalam ayat
  1. bebalai                   - Ayah sedang berehat di atas bebalai itu.
  2. bebawang              - Pokok jenis bebawang tumbuh subur di kawasan itu.
  3. bebenang               - Bebenang skru itu telah haus.
  4. bebuli                    - Bebuli itu berisi air sirap.
  5. dedaun                  - Dedaun kering jatuh di halaman rumahnya.
  6. gegendang            - Gegendang telinganya telah pecah.
  7. jejari                     - Ukuran jejari bulatan itu adalah 5 sentimeter.
  8. kekabu                  - Emak mengisi bantal itu dengan kekabu.
  9. kekisi                    - Ayah sedang memasang kekisi pada tingkap.
  10. kekuda                  - Kekuda yang buruk itu telah diganti dengan kekuda yang baharu.
  11. lelabah                  - Pondok yang buruk itu dipenuhi sarang lelabah.
  12. lelabi                     - Bentuk lelabi hamper sama dengan kura-kura.
  13. lelangit                  - Ayah memasang lelangit di dalam bilik saya.
  14. pepijat                   - Pepijat banyak di tilam yang buruk itu.
  15. sesiku                    - Tukang rumah itu menggunakan sesiku untuk mengukur sudut tepat.
  16. tetamu                   - Emak sedang sibuk melayan tetamu.
  17. tetupai                   - Tetupai pada tiang rumah itu masih kukuh.     

Tuesday, 25 August 2015

PERCUBAAN SPM - SBP 2015: BM1...!

Bahagian B
 
[100 markah]
 
[Masa yang dicadangkan: 1 jam 30 minit]
 
 
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan. 
  1. Remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan. Huraikan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh remaja sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran era globalisasi.
  2. Gaya hidup sihat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam pelbagai aspek kehidupan. Jelaskan peranan ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga mereka mengamalkan gaya hidup sihat.
  3. Untuk menjadi negara maju, rakyat negara kita perlu celik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) namun, kemasukan TMK ke negara kita turut membawa pelbagai implikasi. Huraikan pernyataan tersebut.
  4. Kebanjiran pendatang asing di beberapa buah negara dunia, menimbulkan pelbagai masalah. Bincangkan.
  5. Peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; hidup sandar-menyandar; bagai aur dengan tebing; dan serumpun bak serai merupakan antara peribahasa Melayu yang membuktikan bahawa perpaduan atau semangat kerjasama amat penting dalam budaya kita. Huraikan kepentingan perpaduan atau semangat kerjasama dalam kalangan rakyat di negara kita.

 
KERTAS SOALAN TAMAT

Monday, 24 August 2015

MENEMUI / MENEMUKAN...!

Menemui dan menemukan merupakan kata kerja transitif (KKT) yang berasal dari kata dasar yang sama iaitu temu yang mengalami proses pengimbuhan imbuhan meN-i dan meN-kan.
Seperti yang kita maklum, setiap kata kerja transitif (KKT) mestilah diikuti dengan objek, tidak kiralah jenis objek itu sama ada objek konkrit mahupun objek abstrak.
  • KKT ------------> OBJEK
Contoh penggunaan KKT yang betul dalam ayat.
  1. Emak menceritakan (KKT) pengalamannya (OBJEK) kepada saya.
  2. Ayah merindui (KKT) anaknya (OBJEK) yang berada di luar negara.
  3. Kakak memberikan (KKT) bantuan (OBJEK) yang banyak kepada orang itu.
Contoh penggunaan KKT yang salah dalam ayat.
  1. Emak menceritakan (KKT) tentang pengalamannya (OBJEK) kepada saya.
  2. Ayah merindui (KKT) akan anaknya (OBJEK) yang berada di luar negara.
  3. Kakak memberikan (KKT) banyak bantuan (OBJEK) kepada orang itu.
Penggunaan kata sendi 'tentang', 'akan', dan kata adjektif 'banyak' telah menjadikan ayat-ayat di atas menjadi TIDAK GRAMATIS kerana telah menyalahi peraturan iaitu:-
  • KKT ----mesti diikuti OBJEK------ ; KKT-------------------> OBJEK
Berkenaan kata kerja transitif 'menemui' dan 'menemukan', satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah dari segi maknanya, sebelum memilih kata (OBJEK) yang sesuai.
Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, menemui bermaksud melawat, mengunjungi, menziarahi manakala menemukan pula bermaksud menjumpai sesuatu, mendapatkan sesuatu.
Jadi cuba teliti ayat-ayat yang menggunakan kata 'menemui' dan 'menemukan' di bawah:-
  1. Ali telah menemui dompet wang di tepi jalan.
  2. Emak menemukan ayah di pejabatnya.
Lucu dan pelikkan?
Sebenarnya ayat-ayat di atas BETUL dari segi penggunaan KKT yang mesti diikuti OBJEK iaitu dompet dan ayah tetapi SALAH dari segi makna.
  • Manakan boleh Ali 'melawat' dompet?
  • Manakan boleh emak menjumpai ayah di pejabat sedangkan tujuannya ke pejabat untuk bertemu ayah?
Ayat 1 dan 2 di atas menjadi BETUL jika ditulis begini....
  1. Ali telah menemukan dompet wang di tepi jalan.
  2. Emak menemui ayah di pejabatnya.


Saturday, 22 August 2015

NOVEL: BEZA WATAK UTAMA DAN JAHAT...!

SUTERA DALAM LUKISAN
Menerusi novel Sutera dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan, watak utama Bujei dilihat amat ketara perbezaan dari segi perwatakannya  dengan watak jahat atau watak hitam iaitu Alias.
Bujei digambarkan sebagai seorang yang mudah percaya akan kata-kata orang lain, buktinya Bujei mudah mempercayai kata-kata Alias yang memfitnah Adila menghidap penyakit AIDS. Bujei juga lebih suka bergaul dengan kanak-kanak, contohnya dia bergaul dengan Samsul, Kasim, Sani, Sulaiman dan Husin.
Manakala Alias pula, penulis menggarapkan perwatakannya sebagai seorang yang suka membuat fitnah kepada seseorang. Contohnya dia memfitnah Adila menghidap AIDS bertujuan untuk menghalang Bujei daripada berbaik-baik dengan Adila.
Alias juga suka mempermain-mainkan kanak-kanak. Bujei yang kebetulannya bersikap keanak-anakan sering dibuli Alias seperti menjanjikan upah selepas Bujei membasuh motosikalnya.

Friday, 21 August 2015

ESEI: PENDAHULUAN SYARAHAN...!

CONTOH SOALAN:-
Sekolah anda telah menganjurkan pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk yang ditetapkan ialah "Kepentingan Masyarakat Penyayang dalam Kehidupan Rakyat di Malaysia".
Tulislah teks syarahan itu selengkapnya.

CONTOH PENDAHULUAN

     Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Azemi bin Zawawi, Pengetua Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Guru-Guru Penolong Kanan, Guru-Guru kanan, Guru-Guru Cemerlang, guru-guru dan rakan-rakan pelajar sekalian. Pada kesempatan pagi yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan syarahan yang bertajuk "Kepentingan Masyarakat Penyayang dalam Kehidupan Rakyat di Malaysia". Ungkapan yang berbunyi "yang tua dihormati, yang muda disayangi" membawa erti yang besar dalam konteks hubungan antara dua generasi yang berbeza. Yang semestinya mempunyai jurang perbezaan yang amat ketara dalam pelbagai sudut, apatah lagi jika mahu pula dibuat perbandingan antara kaum, agama dan budaya amalan masyarakat di negara kita.
Perbezaan-perbezaan yang wujud inilah menjadi cabaran besar dan perit dalam melahirkan komuniti masyarakat penyayang ......

Thursday, 20 August 2015

ESEI: PUNCA KEJADIAN TANAH RUNTUH...!


PENDAHULUAN:-
Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa telah banyak meragut nyawa selain menyebabkan kehilangan tempat kediaman, kerugian harta benda dan menjejaskan kualiti alam sekitar.
Fenomena sebegini amat berkait rapat dengan sikap masyarakat yang terlalu mementingkan keuntungan semata-mata daripada berusaha mengekalkan kelestarian alam semula jadi.
Hal ini demikian, kita perlulah mencari akar umbi dan punca yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh pada masa ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
 
IDEA-IDEA PENTING:-
  • Kerja-kerja penarahan cerun merupakan salah satu punca berlakunya kejadian tanah runtuh.
Aktiviti pemotongan dan pengubahsuaian cerun bukit dan tanah tinggi bagi tujuan membina bangunan atau laluan kenderaan akan melemahkan struktur tanah.
Malah beban yang berlebihan di puncak cerun juga akan menyebabkan kejadian geluncuran tanah berlaku dengan begitu mudah.
Ditambah pula dengan kelekaan melakukan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan cerun secara berkala oleh pihak-pihak bertanggungjawab , sudah pasti risiko kejadian tanah runtuh lebih besar akan berlaku.
Sesungguhnya peribahasa sediakan payung sebelum hujan mestilah dijadikan peringatan dalam menjaga keselamatan aktiviti pembangunan di cerun-cerun bukit dan kawasan tanah tinggi.
  • Aktiviti pembangunan dan kegiatan ekonomi juga menjadi punca kejadian tanah runtuh.
Pembinaan hotel, kawasan kediaman mewah dan pembinaan lebuh raya secara tidak terkawal dan terancang akan menjadi penyumbang besar kejadian tanah runtuh.
Aktiviti penambakan dan pemotongan bukit yang tidak mengambil kira sudut kecuraman, kekuatan batuan, darjah luluhawa serta pengaruh litupan tumbuhan memburukkan keadaan.
Sikap pemaju yang mengetepikan aspek keselamatan dan kecuaian pihak berwajib dalam mengawasi projek-projek pembangunan tanah tinggi menyebabkan nyawa manusia menjadi taruhan.
  • Penebangan hutan tanpa kawalan kerana pembalakan dan aktiviti pertanian secara haram.
Industri pembalakan dan aktiviti pertanian secara haram di kawasan hutan simpanan menggalakkan berlakunya penggondolan hutan.
Belakangan ini pula pembalakan secara haram semakin berleluasa menyebabkan kemusnahan anak-anak pokok seterusnya menjadikan hakisan cerun bukit semakin giat.
Struktur tanah di kawasan tersebut juga menjadi semakin longgar dan lemah akibat ketiadaan pelindung dan tanaman tutup bumi.
Fenomena ini mudah kita lihat dengan jelas apabila kita menggunakan lebuh raya Timur-Barat atau berkunjung ke kawasan peranginan Cameron highlands, Lojing dan sebagainya.
  • Faktor semula jadi.......
 
 
 
 



Wednesday, 19 August 2015

ALANG-ALANG MENYELUK PEKASAM ....!

Kita sering memberikan maksud peribahasa alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan dengan membuat sesuatu kerja mestilah bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa ini kita sama ertikan dengan peribahasa seperti:-
  1. Alang-alang mandi biarlah basah
  2. Alang-alang berdakwat biarlah hitam
  3. Alang-alang berminyak biarlah licin
  4. Alang-alang didengar orang, baik dilangsung sama sekali
SEBENARNYA tanggapan yang kita buat selama ini itu tidak tepat. Selepas merujuk Kamus Peribahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Cikgu mendapati bahawa maksud sebenar peribahasa 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan' adalah lebih bersifat negatif iaitu;-
  • Kalau sudah terlanjur jahat, biarlah diperoleh hasil daripadanya.
Hal ini demikian jelas menunjukkan bahawa peribahasa tersebut sama sekali tidak boleh disamaertikan dengan peribahasa 1 - 4 di atas.
Peribahasa 1 - 4 bermaksud:-
  • Sesuatu pekerjaan atau tindakan yang sudah dimulakan hendaklah diteruskan sehingga sempurna maksudnya atau tercapai hasilnya atau:-
  • Apabila membuat sesuatu pekerjaan, hendaklah bersungguh-sungguh sehingga Berjaya.

Monday, 17 August 2015

PT3: PERCUBAAN SBP 2015...!

BAHAGIAN A
(25 markah)
1. Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan bahasa. Gariskan kesalahan bahasa tersebut
    dan tulis jawapan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan.
    i) Sejak kehilangan Kharizah dilaporkan oleh saya kepada polis minggu lalu, sehingga kini masih
        tiada sebarang khabar berita tentangnya.
        .........................................................................................................................................................
   ii) Antara isu yang dibicarakan dalam buku itu adalah masalah moral remaja kini yang semakin
        merosot.
        .........................................................................................................................................................
  iii) Di dalam persidangan itu, Puan Intan diminta membentangkan usul berkaitan isu alam sekitar.
        ........................................................................................................................................................
  iv) Walaupun telah ditegur oleh pengawas, namun semua pelajar-pelajar itu masih melakukan
        kesalahan yang sama.
        ........................................................................................................................................................
[ 8 markah ]

    Jawapan:-
   i) saya laporkan
  ii) ialah
 iii) Dalam
 iv) semua pelajar

Komen penulis:-

  • Ayat pasif diri I dan II (yang menggunakan kata ganti nama diri I dan II) tidak boleh digunakan imbuhan awalan 'di' pada kata kerja pasifnya. Kata ganti nama diri pula wajib ditulis di depan kata kerja pasif. Hal ini disebut Frasa Bentuk Terikat. Contoh saya dengan laporkan tidak boleh diselitkan dengan perkataan lain.
  • Kata pemeri 'ialah' digunakan di depan kata nama (masalah).
  • Di ialah kata sendi untuk menunjukkan tempat, lokasi. Manakala kalangan bukannya tempat atau lokasi.
  • Semua pelajar-pelajar ialah kesalahan dari segi frasa nama. Semua membawa maksud banyak atau jamak. Manakala pelajar yang digandakan juga membawa maksud banyak atau jamak.
    

Saturday, 15 August 2015

NOVEL: ISU SOSIAL 6:20...!

Sesetengah soalan novel agak mengelirukan pelajar apabila menggunakan istilah yang jarang-jarang digunakan. Misalnya isu sosial, isu ekonomi dan seumpamanya.

Contoh soalan:
  • Dalam setiap novel terdapat pelbagai isu sosial yang diketengahkan oleh pengarang untuk mengundang keprihatinan pembaca. Jelaskan beberapa isu sosial dan peristiwa yang berkaitan dengannya.
Contoh jawapan:
Berdasarkan 6:20, pengarang Siti Jasmina Ibrahim telah menyelitkan pelbagai isu sosial dalam karyanya. Antara isu sosial itu ialah isu penglibatan remaja dengan budaya Barat iaitu 'Black Metal'. Contoh peristiwanya ialah Sukma, Rafiq dan Teja bersungguh-sungguh berusaha menyelamatkan golongan remaja daripada terus hanyut oleh pengaruh pemikiran Barat, seperti Jerry yang mengnggotai kumpulan WX2.

Isu sosial kedua yang diketengahkan penulis ialah isu kegiatan pengedaran dadah yang merupakan musuh utama negara. Pihak berkuasa melakukan operasi menggempur lokasi simpanan dadah Pati 1 yang didalangi kumpulan WX2 setelah mendapat maklumat daripada Sukma dan rakan-rakannya.

Kepincangan institusi kekeluargaan juga merupakan isu sosial yang ditonjolkan oleh Siti Jasmina Ibrahim. Contohnya nenek dan Aim terpaksa hidup dalam pelbagai kepayahan menyara kehidupan mereka selepas ayah Aim meninggal dunia, ditambah lagi dengan masalah ibu Aim yang lari meninggalkan mereka berdua.

  • Isu sosial - isu yang berkaitan dengan kemasyarakatan / kekeluargaan / kemanusiaan
  • Isu ekonomi - isu yang berkaitan dengan perniagaan / usahawan / untung, rugi

Friday, 14 August 2015

NOVEL: WATAK PUTIH/HITAM LBM...!


Kesempatan pada kali ini Cikgu akan berbicara tentang watak putih dan watak hitam yang ditonjolkan penulis melalui novel Lestari Bukit Menghijau.
Kebiasaannya, setiap novel menonjolkan pelbagai watak untuk menghidupkan jalan cerita dan sesetengah watak ini boleh diteladani dan sesetengahnya tidak.
Watak putih ataupun watak baik sewajarnya kita teladani manakala watak hitam atau watak jahat pula hendaklah kita jauhi sikap dan perbuatan buruknya.

Melalui novel Lestari Bukit Menghijau, watak putihnya ialah Zahiran. Zahiran ialah seorang yang baik hati. Dia telah membantu Pak Tua menukarkan tayar jip Pak Tua yang pancit. Zahiran juga mencintai alam sekitar dan sedar bahawa manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar.
Selain itu, Zahiran seorang pelajar yang bijak sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka di Londang.
Manakala watak hitam atau jahat dalam novel ini ialah watak Seleman dan Kasa. Mereka berdua sering bersikap buruk sangka terhadap orang lain, contohnya mereka menganggap Pak Tua sebagai orang gila. Mereka juga menyebarkan fitnah iaitu mereka memfitnah Pak Tua dengan mengatakan Pak Tua seorang penjenayah apabila melihat sekumpulan lelaki asing berjumpa dengan Pak Tua.
Mereka juga bersikap tidak bertanggungjawab apabila membakar reba kering di kawasan pokok bintangor kepunyaan Pak Tua sehingga menyebabkan berlaku kebakaran.

Thursday, 13 August 2015

ESEI: PUNCA REMAJA TERJEBAK ....!


PENDAHULUAN:-
  • Dadah merupakan bahan terlarang yang membawa ancaman kepada masyarakat terutamanya remaja.
  • Penyalahgunaan dadah bukan perkara baharu di dunia ini.
  • Masalah ini berlaku sejak ratusan lalu.
  • Sebenarnya dadah merupakan bahan perubatan yang amat penting sebagai bahan penahan sakit dan digunakan secara meluas ketika proses pembedahan.
  • Tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan.
  • Masalah mula timbul apabila segelintir manusia menyalahgunakan dadah untuk tujuan keseronokan dan kepuasan diri sendiri.
  • Antara jenis dadah adalah seperti heroin, marijuana, morfin, ganja, syabu dan lain-lain.
Pelbagai punca yang menyebabkan remaja terjebak dengan masalah dadah, antaranya:-

IDEA-IDEA PENTING:-
  • Keinginan mencuba sesuatu perkara yang baharu - keinginan ini akan menjadi lebih parah apabila remaja itu bergaul dengan remaja yang rosak akhlak dan miskin akidah.
  • Remaja cuba mencari kelainan dalam mendapatkan kepuasan dan keseronokan diri sendiri - mereka tidak memikirkan kesan dan akibat; yang penting mereka memperoleh kepuasan!
  • Kurang kesedaran dalam diri menjadi punca utama remaja terjebak dengan penyalahgunaan dadah - remaja jenis ini kehilangan fokus dalam hidupnya, hidup seperti layang-layang terputus talinya.
  • Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga - ibu bapa kadang-kadang mengabaikan aspek ini kerana lebih mengutamakan tuntutan mencari nafkah dalam persekitaran yang semakin mencabar.
  • Lompang ilmu agama dan kerohanian dalam diri para remaja kerana kegagalan ibu bapa menyebabkan remaja begitu mudah hanyut dan tersungkur dalam kancah penyalahgunaan dadah.
  • Akibat kejahilan diri, sesetengah remaja mengambil dadah sebagai ubat 'booster' untuk berjaga malam, konon-kononnya untuk menelaah pelajaran.
  • Remaja mengambil dadah sebagai alternatif untuk melupakan kesengsaraan dan rasa kecewa dalam mengharungi kehidupan. - mereka tersilap langkah kerana dadah bukannya cara penyelesaian tetapi satu langkah ke arah kemusnahan hakiki.
  • Remaja terjebak dengan dadah juga mungkin disebabkan oleh faktor ingin melarikan diri daripada permasalahan.
  • Ada juga remaja terjebak dengan dadah kerana tertipu oleh rakan taulan - mungkin juga terperangkap dengan ejen pengedar dadah.
  • Pengaruh media massa - terdapat filem-filem yang secara terangan mempromosikan dadah kepada masyarakat, artis dan idola remaja mempamerkan contoh teladan yang negatif.
  • Langkah pencegahan dan penguatkuasaan masih lemah dan tertinggal di belakang.
  • Pengedaran dadah semakin sukar dibendung dengan wujudnya penjualan secara 'online' melalui Facebook, Twitter dan lain-lain.
PENUTUP:-
  • Remaja ialah pewaris kepimpinan negara.
  • Andaikata remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara merupakan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, maka akan hancur punah sebuah negara bangsa.
  • Maka usah difikirkan lagi hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berjaya.
  • Jangan mimpi di siang hari.

Wednesday, 12 August 2015

10 TERKAYA DI MALAYSIA 2015...!

richest men

SOALAN 3 PERCUBAAN KELANTAN...!


Hari ini cikgu ingin berbincang tentang topik binaan ayat iaitu subjek dan predikat berdasarkan soalan Peperiksaan Percubaan PT3 2015, negeri Kelantan.

Soalan:
3. Tentukan binaan subjek dan predikat bagi setiap ayat di bawah.
    (i) Bahasa pasar tidak mempunyai sistem bahasa yang khusus.
   (ii) Bilik pengetua sudah dipasang alat pendingin hawa.
  (iii) Bedak wangi ini sesuai untuk kulit anda.
  (iv) Rumah batu dua tingkat itu mahal harganya.
   (v) Pegawai Pendidikan Daerah menyampaikan sijil kepada peserta kem motivasi.

Jawapan:
   (i) Subjek: Bahasa pasar, Predikat: tidak mempunyai sistem bahasa yang khusus.
  (ii) Subjek: Bilik pengetua. Predikat: sudah dipasang alat pendingin hawa.
 (iii) Subjek: Bedak wangi ini. Predikat: sesuai untuk kulit saya.
 (iv) Subjek: Rumah batu dua tingkat itu. Predikat: mahal harganya.
  (v) Subjek: Pegawai Pendidikan Daerah. Predikat: menyampaikan sijil kepada peserta kem motivasi.

Monday, 10 August 2015

UJIAN LISAN MENDENGAR 2015...!

Esok 11 Ogos 2015, semua calon PT3 2015 seluruh negara akan menduduki Ujian Lisan 'Mendengar' Bahasa Melayu. Ujian ini yang hanya mengambil masa selama 30 minit menguji kefahaman calon berasaskan petikan yang diperdengarkan melalui pemain DVD.

Selamat menghadapi ujian dan selamat maju jaya.

Sunday, 9 August 2015

ESEI: MENULIS PENDAHULUAN...!


Perenggan pendahuluan amat penting ditulis dengan teknik penulisan yang menarik di samping pemilihan kata yang matang untuk menarik perhatian pemeriksa untuk terus membacanya.
Pelbagai bentuk pendahuluan yang boleh digunakan, antaranya:-
  • Pendahuluan Jenis Definisi
  • Pendahuluan Jenis Pendapat
  • Pendahuluan Jenis Persoalan
  • Pendahuluan Jenis Sejarah
  • Pendahuluan Jenis Suasana
  • Pendahuluan Jenis Berita
  • Pendahuluan Jenis Peribahasa
PENDAHULUAN JENIS DEFINISI
       Buli boleh didefinisikan sebagai suatu perlakuan mengasari seseorang yang lemah bertujuan untuk menunjukkan kekuatan dan ego masing-masing. Buli juga boleh dimaksudkan sebagai tingkah laku yang agresif sama ada secara fizikal atau psikologikal ke atas mangsa sehingga mendatangkan kecederaan dan sesetengahnya boleh menyebabkan kematian. Lazimnya seseorang pembuli terdiri daripada individu yang ......

PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT

...... bersambung selepas ini.
  

Saturday, 8 August 2015

KEM WACANA PT3...!


Walaupun sibuk menerima undangan ceramah PT3 pihak luar, sekolah sendiri tidak pernah diabaikan. Pagi ini, tepat jam 8.00 - 10.00 pagi Cikgu untuk kesekian kalinya mengetuai bengkel Kem Wacana PT3 Bahasa Melayu, peringkat sekolah. Program ilmu ini berlangsung di Dewan Mahathir Hashim. Terima kasih Cikgu Pn. Nor Siah, Pn. Siti Aminah, Pn. Nini kerana sudi menghulurkan kerjasama. 

Thursday, 6 August 2015

KATA HAMPIR SAMA...!

Dalam bahasa Melayu, terdapat golongan kata yang sama, hampir sama dari segi ejaan dan bunyi sebutan namun mempunyai makna atau maksud yang berbeza. Hal ini kadang-kadang memberikan masalah kepada sesetengah pelajar membezakan makna atau maksudnya dan bagaimana penggunaannya dalam ayat.
Untuk calon-calon SPM, mereka perlulah lebih berhati-hati kerana kebiasaannya kata golongan jenis ini sering diuji melalui soalan 'membina ayat' iaitu soalan 3(a).
Contoh kata hampir sama:-
  • hemah dengan hemat
  • jarang dengan jarang-jarang
  • pekarangan dengan perkarangan
  • setengah dengan sesetengah / setengah-setengah
  • taksir dengan tafsir
  • pandang dengan pindang
  • perah dengan peras
  • pucuk dengan pecut
  • merentas dengan meretas
  • telur dengan telor
  • meramaskan dengan merimaskan
  • pura dengan pura-pura
  • mendudukkan dengan menduduki
  • sedat dengan sendat
  • mulus dengan tulus
  • tunggal dengan tunggul
  • merasa dengan berasa
  • betul dengan betul-betul
  • oleh dengan oleh-oleh
  • ada dengan ada-ada
  • sangga dengan sanggah
  • carik dengan calit
  • asuh dengan asah
  • lewat dengan lewah
  • baru dengan baharu
  • para dengan para-para
  • jemput dengan jemputan
  • apa dengan apa-apa
  • tembak dengan tembuk
Banyak lagi perkataan yang tergolong dalam kategori seperti yang disebutkan di atas. Jika berkesempatan, Cikgu akan menjelaskan maksud dan bagaimana cara penggunannya dalam ayat melalui 'post' yang akan datang.

ESEI: MANFAAT BERBELANJA SECARA BERHEMAH...!


PENDAHULUAN:-
  • Dewasa ini isu-isu kenaikan harga barangan keperluan semakin diperkatakan.
  • Kenaikan harga barangan keperluan ini mempunyai perkaitan dengan kadar permintaan yang tinggi berbanding dengan penawaran sesetengah barangan keperluan yang terhad.
  • Hal ini demikian juga ada kaitan dengan peningkatan kos pengangkutan, cukai yang semakin naik dan musim perayaan.
  • Lebih membimbangkan lagi, sesetengah peniaga sengaja memanipulasi harga sesuka hati tanpa memikirkan kebajikan pengguna.
  • Justeru, para pengguna sewajarnya bijak berbelanja dengan membeli barangan mengikut keperluan dan elakkan daripada sikap boros dan membazir.
  • Kita perlulah berbelanja dengan cara lebih berhemah.
  • Banyak manfaat apabila kita berbelanja secara berhemah.
IDEA-IDEA PENTING:-
  • Dapat menjimatkan wang perbelanjaan kita. - Dalam konteks ini, kita hendaklah membuat perancangan teliti terlebih dahulu sebelum berbelanja. Kita perlulah berbelanja mengikut kemampuan dan membeli barangan yang perlu sahaja. Wang yang dapat dijimatkan boleh disimpan untuk perbelanjaan lain atau disimpan untuk keperluan masa depan. Sediakan payung sebelum hujan.
  • Berbelanja secara berhemah dapat mengelakkan pembaziran. - Membazir amalan syaitan. Perbuatan membazir merupakan perbuatan yang merugikan diri kita. Dalam hal ini, jika kita membeli makanan untuk makan tengah hari, kita hendaklah membeli mengikut keperluan, bukannya membeli mengikut nafsu dan keinginan semata-mata. Makanan yang dibeli secara berlebihan pasti akan dibuang, dan dengan ini berlakulah pembaziran.
  • Berhemah ketika berbelanja juga dapat mengelakkan kita daripada dibelenggu oleh masalah hutang. - Belakangan ini ramai dalam kalangan kita yang terperangkap oleh belenggu hutang kerana sikap buruk ketika berbelanja. Lebih parah lagi apabila kita menggunakan kad kredit tanpa had ketika berbelanja. 40 peratus eksekutif muda hari ini diisytiharkan bangkrap kerana gagal membayar hutang kad kredit. Kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan diri bukannya mengikut perasaan. Ukur baju di badan sendiri.
  • Meningkatkan kecemerlangan dalam hidup juga merupakan manfaat berbelanja secara berhemah. - Wang yang dapat dijimatkan ketika berbelanja dapat dijadikan modal perniagaan, membayar yuran pengajian dan lain-lain. Hal ini demikian semestinya akan membantu kita menjadi manusia yang lebih berjaya dalam hidup. Ada padi semua jadi, ada beras semua deras.
PENUTUP:-
  • Kesimpulannya, amalan berbelanja secara berhemah banyak mendatangkan manfaat kepada kita. Amalan baik ini wajar menjadi budaya hidup masyarakat kita. Ibu bapa merupakan orang yang terawal menjadi teladan kepada anak-anak agar generasi masa depan lebih peka dan prihatin ketika berbelanja. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
 
 

Wednesday, 5 August 2015

SAJAK: ORANG TUA...!

Nampakkah kau
wanita tua di tepi jalan
mukanya comot rambutnya kusut
membawa bersamanya beg using
berjalan ke sana ke mari
tanpa suatu destinasi.

Nampakkah kau
lelaki tua di hujung jalan
kemejanya kotor seluarnya rabak
duduk di sudut tangga
menunggu sisa makanan restoran mamak
untuk mengalas perut yang kosong.

Nampakkah kau
darah berlumuran di jalan raya
mayat si tua dibiarkan di situ
dan
di bilik mayat pula
tiada siapa dating menuntutnya.

Nampakkah ia sepertimu
mereka juga dicipta oleh-Nya
tetapi bezanya mereka diabaikan
ditinggalkan
oleh anak-anak jahil tidak berbudi
nampakkah kau?

Puspa Rani a/p Munusamy
Antologi Harga Sebuah Lukisan, DBP.

(i) Berdasarkan rangkap pertama sajak di atas, bagaimanakah keadaan wanita tua itu?
[ 3 markah ]
 
Berdasarkan rangkap pertama sajak tersebut, keadaan wanita tua itu ialah mukanya comot (1) dan rambutnya kusut. (2)
- nyatakan 2 keadaan dengan ayat lengkap, markahnya adalah 3
 
(ii) Nyatakan persoalan-persoalan yang terkandung dalam sajak di atas.
[ 3 markah ]
 
Persoalan pertama yang terkandung dalam sajak di atas ialah golongan tua yang diabaikan dan persoalan keduanya ialah semua manusia tidak mengira darjat diciptakan oleh Allah.
- nyatakan 2 persoalan dengan menggunakan ayat lengkap.
 
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah orang tua diabaikan oleh anaknya sendiri?
[ 4 markah ]
 
Pada pendapat saya sesetengah orang tua diabaikan oleh anak-anak mereka sendiri kerana mereka menghidap penyakit mental. Selain itu anak-anak yang tidak mempunyai pendidikan agama yang sempurna juga tidak takut akan dosa kerana mengabaikan ibu bapa mereka.
- beri 2 sebab serta menggunakan ayat lengkap . - 4 markah


 



Tuesday, 4 August 2015

ULASAN: PANDUAN MENJAWAB...!

Kesempatan pada kali ini Cikgu akan menceritakan panduan menulis ulasan berdasarkan kaedah pemarkahan dan teknik penulisannya selaras dengan kehendak lembaga.
Soalan 'Ulasan' bernilai 15 markah diajukan melalui soalan di Bahagian C memerlukan pelajar atau calon membuat ulasan atau huraian ringkas tentang bahan rangsangan yang diberikan. Bahan rangsangan ini pula berupa carta, gambar rajah, poster, iklan dan lain-lain.
Antara perkara yang mesti diambil perhatian oleh pelajar atau calon semasa menulis ulasan ialah:-
  • Panjang ulasan MESTILAH tidak melebihi 100 patah kata - dimaafkan sehingga 105 patah kata sahaja.
  • Ulasan yang melebihi 105 patah kata tidak akan mendapat markah cemerlang (14 - 15 markah)
  • Ulasan boleh ditulis dalam satu perenggan sahaja.
  • Jumlah perenggan tidak diambil kira.
  • Ulasan boleh ditulis berserta pendahuluan atau tanpa pendahuluan.
  • Isi tersurat dan isi tersirat wajib. Jumlahnya mungkin 2 - 2
  • Ungkapan menarik contohnya peribahasa digalakkan.
Contoh soalan dan jawapan:-
Petikan daripada Kertas Percubaan 2015PT3, Sasbadi Sdn. Bhd.

     Melancong ke destinasi-destinasi menarik kini menjadi pilihan terutama kepada mereka yang berkemampuan. Jauh berjalan, luas pandangan. 
Sebelum merancang untuk melancong, kita perlulah melaksanakan beberapa langkah penting, antaranya menentukan destinasi pilihan. Destinasi yang menjadi pilihan pula bergantung kepada beberapa faktor seperti jarak, keistimewaan dan kemudahan yang ditawarkan serta kos yang terpaksa ditanggung.
Setelah  pilihan dibuat, kita perlulah menyediakan  peruntukan untuk kos pengangkutan, penginapan, makanan dan hiburan. Untuk hal sedemikian, kita bolehlah menggunakan wang simpanan dan sikap berjimat cermat amatlah dituntut ketika berbelanja.
Semasa merancang juga, amatlah perlu kita membuat persiapan bagi menghadapi saat-saat kecemasan, misalnya kemalangan kecil. Dengan persiapan yang rapi, akan menjadikan aktiviti melancong kita menarik dan menyeronokkan.

(104 patah kata)


Sunday, 2 August 2015

SOALAN EJAAN...!

2. Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan. Kenal pasti kesalahan tersebut dan tulis ejaan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
 
   (i) Kami berdoa kepada Allah semuga mengampunkan dosa-dosa yang pernah kami lakukan.
        semoga______________
 
  (ii) Setengah-setengah atlit negara menerima latihan intensif di luar negara untuk memastikan
        mereka beroleh kemahiran dan keyakinan yang tinggi. 
        atlet_________________
 
 (iii) Ibu singgah di Pasaraya Cermat untuk membeli sos cili, sos bilis dan rempah kari daging.
        Pasar Raya Cermat_____
 
[ 3 markah ]
 
 
       

Saturday, 1 August 2015

KESALAHAN EJAAN YANG UMUM...!

KESALAHAN EJAAN IMBUHAN
  • kebanyakkan  > kebanyakan
  • mempercepatkan  > mempercepat / mencepatkan
  • memperolehi  > memperoleh
  • perlantikan  > pelantikan
  • mensasarkan  > menyasarkan
  • mententeramkan  > menenteramkan
  • menyintai  > mencintai
  • juru cakap  > jurucakap
  • pra-sekolah  > prasekolah
  • anti dadah  > antidadah
  • mempastikan  > memastikan
  • 60an  > 60-an
  • merbahaya  > berbahaya
  • menghadkan  > mengehadkan
KESALAHAN EJAAN KATA MAJMUK
  • kuatkuasa  > kuat kuasa
  • janakuasa  > jana kuasa
  • campurtangan  > campur tangan
  • campuraduk  > campur aduk
  • tanggung jawab  > tanggungjawab
  • jawatan kuasa  > jawatankuasa
  • keretapi  > kereta api
  • matapelajaran  > mata pelajaran
  • ulangkaji  > ulang kaji
  • wawan cara  > wawancara
  • ibupejabat  > ibu pejabat
  • hari bulan  > haribulan
  • kata-kata aluan  > kata alu-aluan
KESALAHAN EJAAN KATA PINJAMAN
  • perabut  > perabot
  • pelakun  > pelakon
  • lanskap  > landskap
  • tips  > tip
  • ibadah  > ibadat
  • masaalah  > masalah
  • pamiran  > pameran
  • dzuhur  > zuhur
  • redha  > reda
  • ramadhan  > ramadan
  • stesyen  > stesen
  • kontingen  > kontinjen
  • hadith  > hadis
  • maksima  > maksimum
  • minima  > minimum
  • hajjah  > hajah
KESALAHAN EJAAN KATA SENDI
  • ke60  > ke-60
  • ke -V  > ke V
KESALAHAN EJAAN GANTI NAMA
  • diri mu  > dirimu
  • kepada Mu Tuhan  > kepada-Mu Tuhan
  • ku ambil  > kuambil

PROMOSI III