PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 26 October 2015

AYAT PERINTAH....!

Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan oleh pihak lain. Ayat perintah dapat dibahagikan kepada 4 iaitu:-
  • Ayat Suruhan, contohnya;-
  1. Keluar dari bilik ini.
  2. Pergi dari sini
  3. Tengok barang-barang ini.
  4. Awak buat kerja itu sekarang.
  5. Ambil bola itu.
  6. Awak tunggu dia di sini.
Ayat suruhan boleh menggunakan partikel -lah untuk menjadikannya lebih lembut, contohnya;-
  1. Keluarlah dari bilik ini.
  2. Pergilah dari sini.
  3. Tengoklah barang-barang ini.
  4. Awak buatlah kerja itu sekarang.
  5. Ambillah bola itu.
  6. Awak tunggulah di sini.
  • Ayat Larangan, contohnya;-
  1. Jangan ambil hak orang.
  2. Jangan duduk di sini.
  3. Kamu jangan beritahu dia.
  4. Usah kauambil hati.
Ayat larangan boleh dilembutkan dengan menambahkan partikel -lah, contohnya;-
  1. Janganlah ambil hak orang.
  2. Janganlah duduk di sini.
  3. Kamu janganlah beritahu dia.
  4. Usahlah kauambil hati.
  • Ayat Silaan, contohnya;-
  1. Sila datang ke rumah saya.
  2. Sila serahkan borang itu dengan segera.
  3. Jemput masuk.
Ayat silaan juga boleh dilembutkan dengan menambahkan partikel -lah, contohnya;-
  1. Silalah datang ke rumah saya.
  2. Silalah serahkan borang itu dengan segera.
  3. Jemputlah masuk.
  • Ayat Permintaan, contohnya;-
  1. Minta tuan bukakan pintu ini.
  2. Minta kamu semua bertenang.
  3. Tolong selesaikan masalah itu.
Ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam ayat larangan.
Contoh ayat silaan dan ayat permintaan yang tidak betul;-
  1. Silalah merokok.
  2. Jemputlah buat bising.
  3. Sila jangan merokok.
  4. Tolong jangan bising.
  5. Minta jangan berludah.

Friday, 23 October 2015

TERNAK DAN TERTAWA...!

Kesempatan kali ini Cikgu akan mengetengahkan kes pengecualian yang berlaku terhadap perkataan 'ternak' dan 'tertawa' apabila menerima imbuhan awalan men-.
Kebiasaannya semua perkataan yang bermula dengan huruf 't' apabila menerima imbuhan awalan men-, akan berlaku pengguguran kepada huruf 't' tersebut. Sila teliti contoh perkataan yang bermula dengan huruf 't' apabila menerima imbuhan awalan men-:-
  • tembak + men- = menembak bukannya mentembak
  • tolak + men- = menolak bukannya mentolak
  • tampar + men- = menampar bukannya mentampar
  • tiru + men- = meniru bukannya mentiru
  • tanya + men- = menanya bukannya mentanya
Semua huruf 't' di permulaan perkataan tembak, tolak, tampar, tiru, tanya dan lain-lain mengalami pengguguran apabila menerima imbuhan awalan men-.

Pengguguran huruf 't' bagi dua perkataan yang diimbuhkan dengan awalan men- di bawah tidak berlaku kerana aspek pengecualian.
  1. ternak + men- = menternak bukannya menernak
  2. tertawa + men- = mentertawa bukannya menertawa
Tegasnya perkataan ternak dan tertawa mempunyai keistimewaan tersendiri dan kekal diejakan seperti di bawah:
  • menternak dan
  • mentertawa

Thursday, 22 October 2015

ESEI: PENTING POKOK DALAM KEHIDUPAN...!


Antara kepentingan pokok dalam kehidupan manusia ialah:-
  • menjadi teduhan bagi sesebuah rumah
  • bekalan oksigen yang menjadi nadi kehidupan manusia diperoleh
  • menjadi penebat haba yang menghalang haba daripada masuk ke dalam rumah
  • melindungi manusia daripada terik cahaya matahari
  • membantu menyejukkan badan
  • menyerap dan mengurangkan kadar kelajuan air hujan
  • membantu menghalang hakisan tanah
  • mencantikkan pemandangan dengan pokok yang menghiasi landskap
  • membantu mengembalikan fungsi penyaman udara semula jadi
  • mengurangkan kebergantungan manusia terhadap penyaman udara moden
  • mengurangkan kesan pemanasan global
  • membekalkan sumber makanan kepada manusia
Manakala langkah-langkah menggalakkan masyarakat menanam pokok ialah:-
  • memberikan info, mengadakan ceramah, kempen "Hijaukan Bumi Kita"
  • mengadakan pertandingan landskap indah di semua peringkat
  • mewajibkan pemaju perumahan menanam pokok tutup bumi
  • mengenakan kompaun terhadap pihak yang menebang pokok secara sewenang-wenangnya
  • menyemaikan perasaan cinta akan suasana hijau dalam diri generasi muda 'Y'

Tuesday, 20 October 2015

MENEMBAK MATI...!

Frasa 'menembak mati' boleh digunakan atau tidak? Cuba kita teliti ayat-ayat  di bawah:-
  • Polis berjaya menembak mati seorang penjenayah ketika berbalas-balas tembakan.
  • Perompak itu telah menembak mati seorang pengawal keselamatan yang cuba melawan.
Sebenarnya ayat-ayat seperti di atas kerap kita terbaca dalam akhbar ataupun kita terdengar melalui pembacaan berita oleh juruhebah televisyen yang cantik rupawan. Disebabkan sudah terbiasa, kita berasakan tiada apa-apa cacat celanya. Sesuai dengan peribahasa alah bisa tegal biasa. Sesuatu yang salah sebenarnya, tetapi jika kerap digunakan sebagai betul, maka akhirnya kita rasa perkara itu adalah betul.

Berdasarkan rumus ayat aktif transitif, kata kerja transitif mestilah diikuti oleh objek iaitu kata nama. Oleh hal yang demikian, kata kerja transitif 'menembak' mestilah diikuti objek (iaitu objek yang kena) dalam ayat tersebut.
  • Polis berjaya menembak (kata kerja transitif) seorang penjenayah (objek) hingga mati ketika berbalas-balas tembakan.
Begitu juga dengan ayat yang kedua:-
  • Perompak itu telah menembak (kata kerja transitif) seorang pengawal keselamatan (objek) yang cuba melawan hingga mati.
Ringkasnya kedua-dua ayat di atas hendaklah ditulis seperti di bawah:-
  • Polis berjaya menembak seorang penjenayah hingga mati ketika berbalas-balas tembakan.
  • Perompak itu telah menembak seorang pengawal keselamatan yang cuba melawan hingga mati.

Monday, 19 October 2015

KESALAHAN ISTILAH DAN TATABAHASA...!

Kita masih menumpukan perbincangan berkenaan aspek pengetahuan dan kemahiran bahasa yang diuji melalui soalan 3(d). Calon-calon diingatkan bahawa soalan 3(d) ini boleh berbentuk tiga ayat, yang setiap satu ayat mengandungi satu kesalahan istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Soalan 3(d) ini juga boleh dikemukakan dalam bentuk petikan. Calon-calon diminta mengesankan kesalahan-kesalahan berkenaan, kemudiannya mencadangkan cara pembetulannya.

Sila lihat contoh soalan di bawah:-

Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin petikan isu semula.

Tenaga angin digunakan sebagai punca tenaga sejak beribu tahun dahulu bagi menggerakkan kapal enjin. Turbin angin adalah alat yang digunakan untuk menukarkan kepada tenaga angin kepada tenaga elektrik. Malaysia mempunyai kawasan sumber tenaga angin yang banyak, maka penggunaan teknologi turbin angin boleh dilancarkan dengan meluas.
[6 markah]

Contoh Jawapan:-
Kesalahan Istilah
  1. punca - sumber
  2. kapal enjin - kapal layar
  3. dilancarkan - dilaksanakan
Kesalahan Tatabahasa
  1. beribu - beribu-ribu
  2. adalah - ialah
  3. menukarkan kepada tenaga - menukarkan tenaga

Sunday, 18 October 2015

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN TG. 4 SBP 2015...

BAHASA MELAYU
KOD: 11O3/2


Soalan 1: Rumusan - Langkah-langkah menangani kenaikan kos sara hidup

Soalan 2: Pemahaman
  • 2(a) - Petikan Umum
  • 2(b) - Petikan Prosa Moden - Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja
  • 2(c) - Petikan Prosa Klasik - Kepimpinan Melalui Teladan 
  • 2(d) - Petikan Puisi Tradisi - Gurindam 12, Fasal ke-3
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
  • 3(a) - Bina ayat
  • 3(b) - Kenal pasti jenis-jenis ayat
  • 3(c) - Mengesan kesalahan ejaan dan imbuhan
  • 3(d) - Mengesan kesalahan istilah dan tatabahasa
  • 3(e) - Nyatakan peribahasa berdasarkan ayat
Soalan 4: Novel
  • 4(a) - Huraikan 2 persoalan yang terdapat dalam sebuah novel
  • 4(b) - Huraikan 3 pedoman yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.

PERCUBAAN SPM 2015: KEDAH...!

BAHASA MELAYU
KOD: 1103/2


Soalan 1: Rumusan - Kepentingan Pokok kepada Kehidupan Manusia
Soalan 2: Pemahaman
  • 2(a) Petikan Umum
  • 2(b) Petikan Prosa Moden - Cerpen 'Biarkan Samudera' Antologi Harga Remaja
  • 2(c) Petikan Prosa Tradisi - Pelayaran Yang Penuh Peristiwa, Antologi Harga Remaja
  • 2(d) Petikan Puisi  Tradisi - Gurindam
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
  • 3(a) Bina ayat
  • 3(b) Pisahkan ayat-ayat dalam perenggan menjadi 6 ayat tunggal
  • 3(c) Kesalahan Ejaan dan Imbuhan
  • 3(d) Kesalahan Istilah dan Tatabahasa
  • 3(e) Nyatakan Peribahasa yang Sama Maksud Peribahasa di bawah
Soalan 4: Novel
  • 4(a) Huraikan dua peristiwa pada peringkat peleraian.
  • 4(b) Huraikan persoalan tentang semangat kerjasama yang terdapat dalam setiap novel.

Saturday, 17 October 2015

SONGSANG > BIASA...!


Contoh Soalan:-
3(b)
Tukarkan ayat susunan songsang di bawah kepada ayat susunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.

(i)    Sawah padi ialah habitat semula jadi ikan pelaga siam.

(ii)   Kerana jerebu yang teruk, dia diserang penyakit asma yang serius.

(iii)  Dengan menggunakan tablet, pengguna dapat mengakses Internet tanpa mengira masa.
[6 markah]

Contoh Jawapan:-

(i)    Habitat semula jadi ikan pelaga siam ialah sawah padi.

(ii)   Dia diserang penyakit asma yang serius kerana jerebu yang teruk.

(iii)  Pengguna dapat mengakses Internet tanpa mengira masa dengan menggunakan tablet.

Friday, 16 October 2015

ESEI: MEMBENDUNG KEGANASAN RUMAH TANGGA...!


PENDAHULUAN:-
  • Mutakhir, kes penderaan dan keganasan rumah tangga semakin berleluasa.
  • Kes sebegini tidak boleh dipandang remeh dan enteng oleh mana-mana pihak kerana akibatnya adalah sangat buruk sehingga ada menyebabkan kecederaan parah dan kematian.
  • Keganasan rumah tangga merupakan penyalahgunaan kuasa oleh ahli keluarga bertujuan untuk mengawal atau mendominasi mangsa dengan cara meletakkan mangsa dalam keadaan takut dicederakan secara fizikal mahupun mental.
  • Keganasan rumah tangga biasanya berpunca daripada tiadanya persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga antara suami isteri.
  • Latar belakang keluarga dan status ekonomi pasangan suami isteri juga menjadi punca masalah ini berlaku.
IDEA-IDEA PENTING:-
(Cara-cara membendung kes keganasan rumah tangga)
  • Pasangan hendaklah menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
  • Pasangan suami isteri mestilah tahu dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
  • Sebarang masalah yang timbul hendaklah dibendung dari awal secara matang dan jika perlu, mintalah bantuan daripada keluarga terdekat atau rakan dan jiran-jiran.
  • Keganasan rumah tangga dapat dibendung di peringkat awal sekiranya pasangan dapat mengenal pasti punca berlakunya sesuatu masalah.
  • Pasangan yang menghadapi masalah yang berat haruslah mendapatkan bantuan Jabatan Pembangunan Wanita (Unit Kaunseling) atau PPWN untuk mendapatkan khidmat nasihat.
  • Jika tahap keganasan rumah tangga di tahap serius, mangsa perlu melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO) daripada mahkamah.
  • Mangsa keganasan sama ada suami, isteri atau anak-anak yang cedera mestilah mendapatkan rawatan perubatan di hospital.
  • Masyarakat sekeliling, contohnya jiran terdekat atau ahli keluarga sentiasa prihatin akan kebajikan tetangga iaitu dengan segera melaporkan kes keganasan yang berlaku kepada pihak berwajib.
  • Keganasan rumah tangga juga amat berkait rapat dengan tahap pendidikan agama pasangan dan ahli keluarga, oleh itu sebelum bernikah mereka mestilah mengikuti kursus praperkahwinan secara mendalam agar dapat menjalani kehidupan berkeluarga dengan lebih sempurna.
  • Kementerian Kebajikan Masyarakat mestilah membantu meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga kerana banyak juga punca kejadian keganasan rumah tangga bertitik tolak daripada masalah kemiskinan dan kemelaratan pasangan suami isteri.
  • Kerajaan wajar menggubal undang-undang yang berkaitan dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah dalam kes keganasan rumah tangga.
  • Kerajaan juga wajar menjalankan kempen 'Rumahku, Syurgaku' melalui media massa dan digerakkan secara berkala agar lebih menimbulkan kesedaran kepada rakyat.
PENUTUP:-
  • Keganasan rumah tangga jika tidak dibendung secara serius boleh menjadi bom jangka yang boleh merencatkan pembangunan insan dan seterusnya boleh menjadi punca kepada masalah sosial yang kronik di negara kita.
  • Semua pihak perlu sandar-menyandar dalam usaha membendung kejadian kes keganasan rumah tangga.
  • Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Thursday, 15 October 2015

ESEI: MENGEKALKAN BANGUNAN BERSEJARAH...!


PENDAHULUAN:-
  • Bangunan bersejarah begitu banyak di Malaysia, terutamanya di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.
  • Walaupun masa telah berlalu, Malaysia masih mampu mengekalkan bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul.
  • Di Kuala Lumpur, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara.
  • Banyak usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan bangunan bersejarah terus kekal berdiri megah mendepani arus pembangunan.
IDEA-IDEA PENTING:-
(Kaedah-kaedah mengekalkan)
  • Kerajaan mewartakan bangunan bersejarah sebagai warisan kebangsaan yang perlu dipelihara.
  • Kerajaan mengambil inisiatif melakukan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah.
  • Mengindahkan kawasan persekitaran dengan landskap yang menarik.
  • Menaik taraf bangunan tanpa merosakkan identiti asal bangunan bersejarah.
  • Menjadikan bangunan bersejarah sebagai destinasi pelancongan dengan menyediakan prasarana yang serba lengkap.
  • Keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan bangunan bersejarah.
  • Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bangunan bersejarah kepada negara.
  • Melantik petugas-petugas khas bergaji yang menjaga keselamatan dan pemulihan bangunan bersejarah.
  • Kerajaan melalui kementerian yang bertanggungjawab menyediakan peruntukan untuk kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah.
  • NGO dan badan swasta sama-sama menyumbangkan dana untuk memastikan bangunan bersejarah terus tersergam megah di bumi Malaysia.
  • Para pelancong yang berkunjung diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan bangunan bersejarah.
  • Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meningkatkan promosi agar bangunan bersejarah menjadi aset industri pelancongan yang bernilai tinggi.
PENUTUP:-
  • Semua pihak wajar memberikan kerjasama yang erat dalam usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah agar terus kekal dan berpanjangan.
  • Budaya silam ialah cerminan masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa.

Wednesday, 14 October 2015

CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH...!


Contoh Soalan:-
Tukarkan dialog di bawah dalam bentuk cakap pindah dengan mengekalkan susunan asalnya. Gunakan bahasa yang gramatis.

Ali    : Adakah kamu seronok belajar di pusat pengajian ini?
Ayu  : Saya seronok kerana banyak kemudahan yang disediakan.
Ali    : Ya ke. Ada perkhidmatan Internet percuma?
Ayu  : Ya, di setiap bangunan disediakan perkhidmatan WIFI percuma.
Ali    : Jika begitu saya juga mahu belajar di tempat kamu.
Ayu  : Boleh, awak mohonlah apabila permohonan kemasukan dibuka nanti.

Contoh Jawapan:-

Ali bertanyakan Ayu sama ada dia seronok belajar di pusat pengajian itu. Ayu menyatakan bahawa dia seronok kerana banyak kemudahan yang disediakan di pusat pengajian itu. Ali inginkan kepastian dengan bertanyakan sama ada terdapat perkhidmatan Internet percuma. Ayu mengiakan dengan memberitahu bahawa setiap bangunan di pusat pengajiannya menyediakan perkhidmatan WIFI dengan percuma. Ayu kemudiannya menyatakan keinginannya belajar di pusat pengajian itu. Ali bersetuju dan menyuruh Ayu membuat permohonan apabila permohonan kemasukan dibuka.

SAJAK ASAP: SOALAN PT3 2015...!

6. Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
    menggunakan ayat anda sendiri.

Asap

Asap,
mengapakah
bisamu
memedihkan mataku
menangis - tanpa sebab?

Asap,
mengapakah rongga-ronggamu
semakin lama semakin membesar
dan aku tenggelam lemas
tanpa airnya?

Asap,
hanya satu jantungku ini
telah kaurampas
berjuta-juta yang lain
tua dan muda
tanpa belas.

Asap,
tidak dapat kerasai
dengan sentuhan
tetapi bahangmu cukup
memusnahkan segala
tanpa apinya.

Maya Iza Azizan
Antologi Kasut Kelopak Jantung,
DBP

(i)     Dalam sajak tersebut, penyajak menyatakan beberapa kesan asap terhadap manusia.
         Nyatakan dua kesan asap tersebut.
[3 markah]

(ii)    Pelbagai unsur gaya bahasa digunakan dalam sajak Asap.
         Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak Asap berserta contoh yang sesuai.
[3 markah]

(iii)   Untuk mengatasi masalah pencemaran udara semua pihak haruslah memainkan peranan.
         Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah
         pencemaran udara?
[4 markah]

JAWAPAN CADANGAN:-

(i)     Penyajak telah menyatakan beberapa kesan asap terhadap manusia. Antara kesannya
         ialah boleh memedihkan mata. Selain itu asap juga menyebabkan manusia menjadi
         lemas dan sukar bernafas.

(ii)    Gaya bahasa pertama yang terdapat dalam sajak Asap ialah sinkope, contohnya kata
         mataku, kaurampas dan kurasai. Selain itu gaya bahasa asonansi, iaitu pengulangan
         huruf vokal dalam baris yang sama, contohnya mengapakah rongga-ronggamu

(iii)   Pada pendapat saya, langkah pertama yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah
         pencemaran udara adalah dengan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian
         di jalan raya. Selain itu langkah tegas perlu diambil untuk mencegah pembakaran secara
         terbuka.

Tuesday, 13 October 2015

ESEI: PEP. AKHIR SBP TING. 4 2015...!

 
Bahagian B
[100 markah]
 
[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]
 
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah kata.
  1. Setiap murid mempunyai cita-cita untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
  2. Budaya penyayang merupakan tonggak keharmonian dalam sesebuah institusi keluarga. Jelaskan peranan ibu bapa dalam mewujudkan budaya penyayang dalam kalangan ahli keluarga.
  3. Dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, pihak-pihak tertentu alpa akan tanggungjawab melestarikan alam sekitar. Sebagai seorang warganegara yang peka terhadap alam sekitar, tulislah sebuah rencana bertajuk "Melestarikan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama".
  4. Kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara ASEAN menjadikannya antara lokasi strategik untuk menjalankan sindiket pemerdagangan manusia. Jelaskan kerjasama yang boleh dilaksanakan oleh negara serantau dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia.
  5. Drama berperanan sebagai wahana untuk mendidik masyarakat. Bincangkan.
 
 
KERTAS SOALAN TAMAT 
 
 


Monday, 12 October 2015

SKEMA PT3 BM 2015...!

Disebabkan soalan PT3 antara sekolah mungkin tidak sama, Cikgu hanya akan menumpukan perbincangan tentang skema jawapan berdasarkan sekolah sendiri. Jawapan yang dicadangkan ini tidak semestinya BETUL seratus peratus dan hanyalah sebagai rujukan semata-mata. Jawapan yang hakikinya adalah daripada Lembaga Peperiksaan sahaja.

S02A1

Bahagian A
[25 markah]

1. Dalam petikan di bawah ini, terdapat empat kesalahan Bahasa. Gariskan empat kesalahan Bahasa
    tersebut dan tulis jawapan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan. Anda tidak perlu
    menyalin petikan itu semula.

Duli Yang Mulia Sultan Kedah berkenan untuk mencemar duli ke Majlis Anugerah Cemerlang SMK Ibrahim. Semua warga sekolah itu teruja amat dengan keberangkatan tiba baginda yang disambut dengan meriah sekali. Semasa berucap, baginda menasihati murid-murid agar bijak memanfaatkan segala kemudahan pendidikan yang kerajaan sediakan bagi meningkatkan kecemerlangan mereka. Mereka juga diseru agar terus gigih menuntut ilmu demi untuk memenuhi aspirasi negara. Sebelum berangkat pulang, baginda beramah mesra dengan para guru dan semua murid-murid sekolah itu.

(i)      ...................................
(ii)     ...................................
(iii)    ...................................
(iv)    ...................................
[8 markah]
Komen Cikgu:-
Bentuk 'format' soalan 1 pada kali ini berbeza sekali berbanding dengan format soalan pada tahun lepas. Pada kali ini calon-calon diminta menggariskan kesalahan bahasa yang terdapat dalam perenggan, bukan lagi menggariskan satu kesalahan bahasa bagi setiap ayat, yang jumlahnya empat ayat.
Cara pemarkahan masih sama, iaitu 1 markah bagi setiap kesalahan bahasa yang digaris dan 1 mata lagi bagi setiap kesalahan yang diperbetul.

Berdasarkan soalan 1 di atas, Cikgu dapat mengesan kesalahan bahasa dengan mudah sekali, iaitu:-
dengan menggariskan perkataan 'berucap', 'yang kerajaan sediakan', 'demi untuk' dan 'semua murid-murid' yang jelas digunakan secara salah.

(i)    berucap                           > bertitah ( Bahasa istana)
(ii)   yang kerajaan sediakan     > yang disediakan oleh kerajaan (Pasif diri ke-3)
(iii)  demi untuk                       > demi / untuk (Kata sendi)
(iv)  semua murid-murid           > semua murid (Kata bilangan jamak)

2. Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan. Kenal pasti kesalahan tersebut dan tulis ejaan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
[3 markah]

(i)   Guru mata pelajaran Geografi menyuruh murid-muridnya menyediakan alat tulis yang sesuai
       untuk memudahkan mereka melukis gambarajah proses pembentukan tasik ladam.

       gambarajah  > gambar rajah

(ii)  Demi keselesaan hidup rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman, kerajaan sentiasa bersikap
       prihatin untuk mengambil pendekatan yang pro-aktif dalam menjayakan projek yang dirancang.

       pro-aktif   > proaktif

(iii) Dengan menggunakan resepi yang diwarisi sejak turun-temurun, martabak yang dijual di restoran
       itu amat enak sekali.

       resepi   > resipi  

SKEMA PT3 2015...!

Pagi tadi selesailah sudah Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) untuk subjek Bahasa Melayu Bertulis dan juga Matematik. Jadi pada malam ini, jika berkesempatan Cikgu akan cuba berkongsi jawapan subjek Bahasa Melayu berdasarkan pengamatan dan penilaian Cikgu. Sudah semestinya jawapan yang dicadangkan nanti tidak 100% betul seperti skema yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.

Namun, sekurang-kurangnya dapatlah meredakan hati sedikit.....

Sabar...... janji malam nanti!!

Sunday, 11 October 2015

JAWAPAN SOALAN PT3...!

Berdasarkan respons soalan tentang kesalahan ejaan PT3, post sebelum ini, Cikgu dapat mengagak bahawa calon-calon PT3 2015 sebenarnya telah membuat persiapan yang agak rapi. Banyak jawapan yang diberikan adalah tepat. No komen....!
Jawapan untuk latihan tersebut ialah:-
  1. lagenda - legenda
  2. memamerkan - mempamerkan
  3. Dzohur - Zuhur
  4. atlit - atlet
  5. raksaksa - raksasa
  6. tips - tip
  7. kebanyakkan - kebanyakan
  8. kerinting - keriting
  9. panatia - panitia
  10. Analisa - Analisis

PT3: KESALAHAN EJAAN...!


ARAHAN SOALAN:
Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan. Kenal pasti kesalahan itu dan tulis ejaan yang betul pada ruang yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
  1. Beliau amat mengagumi bakat serba boleh dan populariti lagenda seni tanah air itu.     
  2. Setiap sekolah mestilah memamerkan pelan lokasi bilik kelas di tempat yang strategik.
  3. Amin mengerjakan solat Dzohur di surau sekolahnya kerana terpaksa balik lewat kerana kegiatan kokurikulum.
  4. Segelintir atlit negara diberikan latihan intensif di seberang laut untuk mempertingkatkan kemahiran mereka.   
  5. Projek perumahan raksaksa akan dibina secepat mungkin di kawasan petempatan baharu itu.
  6. Penceramah subjek Bahasa Melayu PT3 itu suka memberikan tips panduan belajar kepada bakal calon PT3 2015.
  7. Mutakhir ini kebanyakkan pelajar sibuk mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan semakin dekat.
  8. Rambut adik yang kerinting itu bertambah cantik apabila dipakaikan skaf oleh ibu.
  9. Saya tidak dapat masuk ke kelas kamu pada hari ini kerana ada mesyuarat panatia Sains.
  10. Analisa keputusan percubaan PT3 baru-baru ini tidak begitu memuaskan Tuan Pengetua.
Jawapan:-
  1. ............................
  2. ............................
  3. ............................
  4. ............................
  5. ............................
  6. ............................
  7. ............................
  8. ............................
  9. ............................
  10. ............................         

Saturday, 10 October 2015

ANALISIS SOALAN NOVEL 2001 - 2014...!

  1. Sinopsis ( Jul 2002, Jun 2011, Nov 2013)
  2. Tema (Nov 2002, Jun 2007)
  3. Persoalan (Nov 2001, Nov 2003, Nov 2006, Nov 2011)
  4. Watak & Perwatakan (Nov 2003, Jun 2004, Jun 2005, Jun 2006, Nov 2007, Nov 2009, Nov 2011, Jun 2014)
  5. Plot (Nov 2001, Jul 2003, Nov 2008)
  6. Konflik (Nov 2004)
  7. Latar (Nov 2002, Jul 2003, Nov 2008)
  8. Latar tempat ( -banding dua buah novel - Nov 2005)
  9. Latar masa (Jun 2009)
  10. Latar masyarakat (Jun 2010)
  11. Nilai (Jul 2002, Nov 2004, Jun 2006, Jun 2007,  Nov 2009, Jun 2014)
  12. Pengajaran (Jun 2004, Nov 2005, Nov 2006, Jun 2008, Nov 2010, Jun 2011)
  13. Peristiwa / teladan (Jun 2005)
  14. Peristiwa (Nov 2007, Jun 2009, Jun 2010, Nov 2010, Nov 2013)
  15. Pemilihan tajuk dan kandungan (Jun 2008)

NOVEL: PENGAJARAN DALAM SDL...!

Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil sebagai panduan melalui novel Sutera Dalam Lukisan (SDL) ini, antaranya ialah:-
  • Kita haruslah tolong-menolong antara sesama manusia; - Contohnya Adila banyak membantu memulihkan Bujei kembali normal setelah dipinggirkan oleh masyarakat kampungnya. Bujei dikatakan seorang budak dungu, bodoh dan tidak berakal setelah dituduh membunuh ibu dan membakar rumahnya oleh Harun, bapa tirinya.
  • Kita mestilah ikhlas membantu seseorang yang memerlukan; - Contohnya Adila juga ikhlas membantu dengan mendermakan darahnya kepada Sahak yang terlibat dalam kemalangan. Sahak memerlukan darah jenis AB yang sukar didapati.
  • Kita hendaklah sentiasa bekerjasama melakukan sesuatu pekerjaan; - Contohnya Samsul dan Bujei sama-sama menurunkan khemah setelah selesai majlis perkahwinan Same'ah. Penduduk kampung juga sama-sama membantu membuat persiapan majlis perkahwinan itu.
  • Kita mestilah menjaga maruah dan harga diri;- Contohnya Bujei yang telah dibimbing dan dipulihkan semangatnya oleh Adila tidak lagi takut akan perbuatan jahat Alias. Beliau menuntut ganti rugi daripada Alias yang telah merosakkan radionya.
  • Kita mestilah akur dan mendengar nasihat ibu bapa;- Contohnya Adila mendengar dan menurut nasihat ibu bapanya agar dia menerima tawaran pekerjaan sebagai pensyarah walaupun ini bermakna dia terpaksa berpisah dengan Bujei.

SYAIR DEFINISI ORANG BERAKAL...!

Orang berakal sangat mulia,
pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.

Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.

Telek pandangan dengan makrifat,
Sangat mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.

Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.

Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hati dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.

Demikian lagi dengan olehmu,
Tanda berakal kasihkan ilmu,
Suka menelaah tiadalah jemu,
Mencari kupasan jangan tersemu.

Abu Hassan Sham (Penyelenggara)
Antologi Harga Remaja,
DBP.

1. Berdasarkan rangkap keenam, apakah reaksi rakyat yang dikasihi oleh raja?
[2 markah]
    Reaksi rakyat apabila semakin disayangi oleh raja ialah rakyat tersebut akan semakin beringat.
    Selain itu, mereka akan berusaha memikat hati rakan-rakannya. Akhir sekali akan bersifat
    sentiasa merendah diri dan mahu kekal berkhidmat.

2. Pada pendapat anda, mengapakah segala tindakan kita perlu menggunakan akal yang waras?
[4 markah]
    Pada pendapat saya, segala tindakan kita perlu menggunakan akal yang waras adalah untuk
    mengelakkan tindakan itu menyusahkan diri, keluarga dan orang lain.
    Selain itu, tindakan kita yang menggunakan akal yang waras boleh dijadikan contoh kepada orang
    lain terutamanya golongan muda.

3. Jelaskan nilai-nilai murni yang terdapat dalam syair di atas.
[3 markah]
    Nilai murni yang pertama daripada syair di atas ialah kepatuhan. Contohnya penyair menyarankan
    kita mengikuti tingkah laku anbia dan aula. Seterusnya nilai rendah diri. Penyair menjelaskan
    perlunya sikap rendah diri kepada rakan walaupun kita disayangi pemimpin. Nilai murni ketiga
    ialah kerajinan. Contohnya rajin membaca untuk memudahkan kita menyelesaikan segala perkara
    yang berlaku. 



Friday, 9 October 2015

NOVEL: LATAR MASYARAKAT SDL...!


Antara latar masyarakat yang terdapat dalam novel Sutera Dalam Lukisan (SDL)ialah:-
  • Pelbagai golongan masyarakat yang hidup di dalam sebuah kampung; contoh golongan tua iaitu Sidang Saman, Mak Lamah, Mak Som, Opah Arah, Pak Lang Dahlan. Manakala golongan muda dan kanak-kanak ialah Adila, Bujei, Faizal, Same'ah, Alias, Sahak dan Sani.
  • Masyarakat yang beragama Islam; contohnya Mak Lamah mengingatkan Bujei agar belajar bersolat, manakala Adila mengingatkan Bujei agar belajar tentang agama.
  • Masyarakat yang berpendidikan tinggi; contohnya Adila dan Faizal menuntut di luar negara selama 5 tahun.
  • Masyarakat yang suka memandang serong terhadap sesuatu perkara; contohnya Bujei dituduh oleh bapa tirinya sendiri sebagai penyebab kematian ibunya sendiri menyebabkan Bujei dipandang serong oleh penduduk kampung sehingga mengalami tekanan dan dianggap tidak waras.
  • Masyarakat yang tamak; contohnya Harun yang merupakan bapa tiri Bujei ingin merampas tanah sawah dan tanah tapak rumah milik arwah ibu Bujei.
  • Masyarakat yang prihatin; Adila seorang gadis bandar berusaha gigih memulihkan Bujei, begitu juga Sidang Saman, Mak Lamah dan bapa Adila menyokong usaha Adila membantu Bujei.
  • Masyarakat yang suka menindas insan lemah; contohnya Alias dan Opah Arah yang suka menindas Bujei yang dianggap gila. Alias sentiasa membuli Bujei dengan cara menyuruh Bujei mencuci motosikalnya tanpa diberi upah. Opah Arah pula sering memaki dan menghina Bujei.
  • Masyarakat yang suka menyebarkan fitnah; contohnya Harun menyatakan bahawa Bujei yang bertanggungjawab membakar rumah dan membunuh ibunya. Selain itu Alias memfitnah Adila yang dia telah rosak dan ingin memperalatkan Bujei agar menjadi suaminya.

Thursday, 8 October 2015

ESEI: UBI MENGIKUT TEMA...!

Ungkapan bahasa indah (UBI) jika dimasukkan dalam penulisan karangan, menjadikan karangan lebih menarik dan matang. UBI ini termasuklah penggunaan peribahasa, kata-kata hikmat, dan mungkin juga penggunaan kosa kata luas.
Di bawah ini disenaraikan UBI mengikut tema sesebuah karangan:-
 
Tema Amalan Membaca
  1. Membaca jambatan ilmu
  2. Ilmu pelita hidup
  3. Rakyat berilmu negara maju
  4. Banyak berjalan luas pandangan, banyak membaca luas pengetahuan
  5. Seperti katak di bawah tempurung
  6. Bangsa membaca bangsa berjaya
  7. Membaca memerdekakan minda
  8. Masyarakat membaca masyarakat berilmu
Tema Patriotik
  1. Harap sokong, sokong membawa rebah
  2. Biar putih tulang, jangan putih mata
  3. Gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama
  4. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
  5. Ibarat telur sesangkak, pecah sebutir, pecah semua
  6. Menang sorak, kampung tergadai
  7. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri
Tema Kejiranan
  1. Bersatu teguh bercerai roboh
  2. Hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing
  3. Muafakat membawa berkat
  4. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
  5. Bagai isi dengan kuku
  6. Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
  7. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
  8. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
  9. Kerana mulut badan binasa
Tema Kesihatan
  1. Mencegah lebih baik daripada mengubati
  2. Bagai ayam berak kapur
  3. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis
  4. Otak cerdas datang dari badan yang cergas
  5. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan
  6. Di mana ada gula, di situ ada semut
Tema Pengangkutan
  1. Biar lambat asalkan selamat
  2. Pandu cermat jiwa selamat
  3. Malang tidak berbau
  4. Sudah terhantuk baru terngadah
  5. Berhati-hati di jalan raya, ingat orang yang tersayang
Tema Pendidikan
  1. Tuntut ilmu hingga ke negeri China
  2. Jauh berjalan luas pandangan
  3. Ilmu itu pelita hidup
  4. Ibarat pohon tidak berbuah
  5. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
  6. Genggam bara api biar sampai jadi jadi arang
Tema Berjimat cermat
  1. Sediakan payung sebelum hujan
  2. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
  3. Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit
  4. Ukur baju di badan sendiri
  5. Besar periuk, besar kerak
  6. Alah membeli menang memakai
  7. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis

NOVEL: NILAI MURNI DALAM SDL...!

Antara nilai murni yang terdapat dalam novel Sutera Dalam Lukisan ialah baik hati, contohnya Adila begitu bersungguh-sungguh membantu Bujei pulih menjadi manusia normal. Bujei bersifat dungu, bodoh dan tidak berakal seperti yang digelar oleh masyarakat menjadi sedemikian kerana ditimpa pelbagai musibah seperti kematian ibunya dan kejahatan bapa tirinya.
Nilai seterusnya ialah kerjasama iaitu kerjasama dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan. Contohnya Adila menolong Same'ah menyiapkan bunga telur sempena majlis perkahwinannya.
Semangat bermasyarakat juga merupakan nilai murni yang ditonjolkan dalam novel ini. Penduduk kampung sama-sama membantu semasa majlis perkahwinan Same'ah, seperti ada yang terlibat dengan kerja-kerja memasak, menghias rumah dan menghidangkan makanan.
Ringkasan tentang nilai murni SDL yang lain ialah:-
  • Keberanian - setelah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar Adila, Bujei mula menunjukkan sikap berani, apabila menuntut ganti rugi radionya yang dirosakkan oleh Alias.
  • Kasih sayang - Adila yang secara sukarela membantu dan memulihkan Bujei akhirnya mula menyayangi Bujei dan memberitahu Pak Long bahawa beliau sedia menerima Bujei sebagai suaminya.

Wednesday, 7 October 2015

ESEI: CIRI PEMAKANAN BERKHASIAT...!


PENDAHULUAN:-
  • Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat.
  • Cara terbaik untuk memastikan keperluan makanan ahli keluarga dipenuhi adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan dan mengamalkan prinsip-prinsip pemakanan sihat.
IDEA-IDEA PENTING:-
(Ciri-ciri pemakanan berkhasiat)
  1. Makan pelbagai jenis makanan untuk memastikan tubuh badan mendapat semua khasiat yang diperlukan untuk tumbesaran dan kesihatan.
  2. Makan bijiran dan kekacang secukupnya.
  3. Melebihkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  4. Menyeimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal seharian.
  5. Memilih makanan yang rendah lemak dan kolesterol.
  6. Mengurangkan pengambilan gula dan garam dalam diet pemakanan harian.
  7. Perlu minum air kosong sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.
  8. Mengurangkan penggunaan lemak dalam penyediaan makanan.
  9. Mengambil garam secara sederhana bagi mengelakkan penyakit darah tinggi.
  10. Makanan ringan dan yang diawet perlu dikurangkan pengambilannya.
  11. Elakkan makan malam pada atau selepas jam tujuh petang.
  12. Mengurangkan makan di luar kerana makanan yang dimasak di restoran dan lain-lain banyak mengandungi garam, gula, serbuk perisa dan campuran bahan kimia.
  13. Makan ikut keperluan, bukan makan ikut nafsu.
  14. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
  15. Budaya berkunjung ke warung-warung pada tengah malam untuk menikmati roti canai, nasi lemak dan teh tarik hendaklah dihentikan.
  16. Masyarakat perlu digalakkan mengambil makanan yang segar dan ditanam secara organik.
PENUTUP:-
  • Banyak faktor menyebabkan berlakunya pengabaian tentang pengambilan makanan yang berkhasiat.
  • Antaranya tahap kesedaran masyarakat masih rendah.
  • Faktor sosioekonomi juga boleh mempengaruhi cara pemakanan dalam kalangan masyarakat.

Tuesday, 6 October 2015

KOLEKSI SIMPULAN BAHASA...!

A  
Ada angin: berperangai tidak menentu
Ada hati: ada keinginan
Air muka: wajah / maruah
Angkat bakul: memuji diri sendiri

B
Banyak lemak: terlalu manja
Batu loncatan: sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mendapat sesuatu yang lebih besar
Bau-bau bacang: hubungan persaudaraan yang jauh
Bermuka dua: tidak jujur / belot
Bidan terjun: orang yang diminta melakukan sesuatu pekerjaan secara mendadak
Buruk siku: meminta kembali sesuatu yang telah diberikan

C
Cakar ayam: tulisan yang buruk
Curi tulang: tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh
Cepat tangan: suka mencuri

D
Dalam tangan: pasti dimiliki
Durian runtuh: mendapat untung secara tiba-tiba

E
Embun jantan: titis embun yang besar-besar / larut malam

G
Gatal mulut: suka bercerita keburukan orang
Gelap mata: tidak dapat berfikir lagi baik atau buruk...
Gigi air: tepi sungai atau laut
Gulung tikar: muflis /bangkrap

H
Halwa telinga: bunyi-bunyian / nyanyian untuk hiburan
Harga diri: maruah
Harga mati: harga tetap
Hentam kromo: melakukan sesuatu dengan sesuka hati
Hisap darah: memeras / menindas orang

I
Ibu ayam: perempuan yang memperdagangkanperempuan lain
Ikat perut: menahan lapar kerana miskin
Iri hati: dengki / cemburu
Isi hati: perasaan dalam hati

J
Jauh hati: merajuk
Juling air: juling sedikit
Jatuh hati: tertarik / jatuh cinta
Jantung hati: orang yang disayangi

K
Kacang hantu: orang jahat
Kaki bangku: tidak pandai main bola
Kerang busuk: tersengih-sengih tanpa sebab
Kutu embun: orang yang suka merayau pada waktu malam
Kepala angina: orang yang mudah berubah perangainya

L
Langkah bendul: adik terlebih dulu kahwin berbanding kakaknya
Langkah kanan: bernasib baik
Langkah kiri: malang
Langkah seribu: cabut lari
Lepas tangan: tidak mahu bertanggungjawab
Lidah bercabang: suka berbohong
Lipas kudung: pantas melakukan sesuatu

M
Makan angin: melancong / bersiar-siar
Makan hati: rasa sedih yang amat sangat
Mandi kerbau: mandi yang tidak bersih
Mencuit hati: menggelikan hati
Mulut murai: orang yang bercakap banyak

N
Naik angin: marah
Naik hantu: mengamuk
Naik minyak: marah
Nyawa-nyawa ikan: hampir-hampir mati

PELANGGARAN HUKUM DM...!

Kesalahan umum pemakaian Hukum DM berpunca daripada pengaruh penggunaan frasa nama bahasa Inggeris. Hal ini demikian kadang-kadang sukar untuk diperbetul kerana alah bisa, tegal biasa. Disebabkan terbiasa dengan perkara yang salah, menyebabkan kita tidak lagi kekok dan berasa tiada apa-apa kesalahan yang berlaku.

Contoh Penyalahgunaan Hukum DM:-
  • lain-lain hal
  • Rosmadi Kedai Cermin Mata
  • Yusuf Restoran
  • goreng pisang
  • mini bas
  • cili sos
  • lain-lain perkara
  • ayam kari
  • Merdeka Studio
  • daging rendang
Pembetulannya:-
  • hal-hal lain
  • Kedai Cermin Mata Rosmadi
  • Restoran Yusof
  • pisang goreng
  • bas mini
  • sos cili
  • perkara-perkara lain
  • kari ayam
  • Studio Merdeka
  • rendang daging

Monday, 5 October 2015

KATA SETARA DAN KATA GANDA...!

Selain kata ganda, pelajar juga mestilah mengetahui kata setara dan cara penggunaannya. Kebanyakan pelajar dan pengguna bahasa Melayu tidak menyedari kewujudan kata setara, sehingga menyebabkan cara penggunaan kata setara menjadi tidak gramatis dalam ayat.
Antara perbezaan kata setara dengan kata ganda berirama:-
  • Kata setara terdiri daripada DUA perkataan yang sama jenis atau sifat, contohnya -
  1. kasih sayang [ kasih - kata adjektif; sayang - kata adjektif ]
  2. pinggan mangkuk [ pinggan - kata nama; mangkuk - kata nama ]
  3. suami isteri [ suami - kata nama; isteri - kata nama ]
  4. jimat cermat [ jimat - kata adjektif; cermat - kata adjektif ]
  • Dua perkataan kata setara mempunyai makna tersendiri, contohnya -
  1. ibu bapa [ ibu - perempuan yang mempunyai anak; bapa - lelaki yang mempunyai anak ]
  2. ayam itik [ ayam - sejenis burung; itik - sejenis burung yang boleh berenang ]
  • Kata ganda pula, hanya perkataan depan sahaja mempunyai makna. Kata kedua tidak mempunyai makna apa-apa. Contohnya -
  1. kuih-muih [ kuih - sejenis makanan yang manis dan enak; muih - ? ]
  2. lauk-pauk [ lauk - sejenis makanan yang dimakan dengan nasi; pauk - ? ]
  • Kata setara tidak boleh digandakan, contohnya -
  1. ibu bapa > ibu-ibu bapa   X
  2. jimat cermat > jimat-jimat cermat    X
  3. suami isteri > suami-suami isteri   X
         

Sunday, 4 October 2015

MAAHAD TAHFIZ SAINS NURUL AMAN...!


Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.


Jam 3.30 - 5.30 petang tadi Cikgu diundang untuk menyampaikan ceramah BM PT3 di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas. Lebih kurang 60 orang pelajar terlibat dalam ceramah tersebut. Tumpuan utama ceramah Cikgu pada kali ini adalah tentang kaedah-kaedah menjawab soalan ulasan dan esei yang terbaik. Atas permintaan tenaga pengajar di sana juga, teknik menjawab soalan pemahaman komsas dibincangkan.
Alhamdulillah, Cikgu rasakan semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan program ilmu tersebut.

Saturday, 3 October 2015

ESEI: MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU...!

Pagi ini Cikgu berkesempatan membaca sebuah artikel 'Memperkasa Bahasa Kebangsaan' tulisan Dr. Aminudin Mansor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 2 Oktober.
Cikgu mendapati penulis banyak mengutarakan saranan dan pendapat mengenai bagaimana sewajarnya peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak dalam memperkasakan bahasa Melayu yang kini kelihatan agak tenggelam dek ledakan arus kemajuan global.
Penulis menyarankan usaha mendaulatkan, memperkasakan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sewajarnya menjadi tanggungjawab semua murid, guru, rakyat dan pemimpin negara ini. Beliau mengingatkan kita bahawa usaha ini tidak harus dipandang ringan dan mudah. Hal ini demikian kerana usaha berkenaan membabitkan rasa cinta, rasa tanggungjawab dan keprihatinan yang mendalam terhadap bahasa Melayu.
Antara saranan dan cadangan yang dikemukakan oleh penulis demi memperkasakan bahasa Melayu ialah:-
  • Bulan Oktober setiap tahun merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang perlu diinsafi fungsi dan tujuan sambutannya; Sepatutnya sempena dengan sambutan ini, keprihatinan kita mengangkat martabat dan kedudukan bahasa kebangsaan semakin membara.
  • Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sama ada di media baharu, sebagai bahasa pengantara pelbagai urusan seharian perlu betul, tepat dan berkesan. Bahasa yang baik, betul dan tepat akan mencerminkan ketamadunan dan kesantunan bangsa yang cemerlang. Semua ini seharusnya dipikul oleh setiap rakyat.
  • Bahasa Melayu telah melalui sejarah perkembangan yang agak panjang. Selepas merdeka bahasa Melayu berkembang pesat dan menjadi nadi kehidupan masyarakat sama ada rakyat marhaen yang terdiri daripada peniaga, pekebun, nelayan, buruh hinggalah kepada golongan pemimpin atasan.
  • Sekitar tahun 80-an hingga 90-an bahasa Melayu mengalami sedikit kemuraman, apabila bahasa Inggeris mula mengambil tempat sebagai bahasa pertuturan utama dalam kalangan menengah Melayu. Lebih terkesan lagi dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara ini.
  • Kerajaan melaksanakan dasar PPSMI dan menyisihkan bahasa Melayu dalam arus pendidikan perdana atas alasan untuk menambahkan jumlah tenaga manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi. Kerajaan pada ketika itu beranggapan dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kefahaman murid tentang subjek tersebut dapat dilipatgandakan.
  • Selepas beberapa tahun pelajar dijadikan bahan uji kaji, pelaksanaan PPSMI dimansuhkan kerana mendapat tentangan banyak pihak. Sementelah pula pelaksanaan PPSMI telah menyebabkan pencapaian pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut semakin merosot.
  • Pemansuhan PPSMI secara tidak langsung telah mengembalikan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Pelajar lebih mudah mempelajari subjek Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.
  • Langkah seterusnya pada pendapat penulis adalah dengan menggunapakaikan istilah bahasa Melayu menggantikan penggunaan istilah bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi. Kenapakah perlu ditukar sehingga menyebabkan identiti bahasa yang asli, tulen, asal yang diwarisi sejak berzaman-zaman hilang entah ke mana? Janganlah mudah menjual hak kepunyaan kita atas alasan demi perpaduan!
  • Kini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM (2013 - 2015) - Pendidikan prasekolah hingga lepasan sekolah menengah menekankan pembelajaran Bahasa Melayu melalui lima aspirasi sistem pendidikan iaitu melalui akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
  • Langkah mengantarabangsakan bahasa Melayu seperti bekerjasama dengan universiti-universiti luar negara bagi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai salah satu subjek bahasa asing yang ditawarkan kepada bakal graduan mereka. Menganjurkan pertandingan peringkat dunia seperti penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) boleh diteruskan. Pertandingan tahun ini telah menghimpunkan peserta dari 51 buah negara meliputi enam buah benua, membuktikan bahawa bahasa Melayu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Para peserta dari negara Amerika Syarikat, Itali, Bulgaria, Jepun, Belanda, England, Poland, Slovakia, Turki, Korea Selatan dan lain-lain telah mempamerkan kefasihan, kepetahan dan kelancaran berpidato dalam bahasa Melayu.
  • Pihak kementerian, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mewajibkan semua mahasiswa mempelajari bahasa Melayu dan mensyaratkan wajib lulus sebelum mereka bergraduat. Hal ini demikian juga perlu dilaksanakan kepada pelajar-pelajar asing yang menuntut di negara kita.
Langkah dan usaha-usaha ini jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan disokong oleh semua rakyat Malaysia, kita percaya kedudukan bahasa Melayu akan semakin teguh dan semakin berperanan dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

PROMOSI III