ESEI: MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU...!

Pagi ini Cikgu berkesempatan membaca sebuah artikel 'Memperkasa Bahasa Kebangsaan' tulisan Dr. Aminudin Mansor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 2 Oktober.
Cikgu mendapati penulis banyak mengutarakan saranan dan pendapat mengenai bagaimana sewajarnya peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak dalam memperkasakan bahasa Melayu yang kini kelihatan agak tenggelam dek ledakan arus kemajuan global.
Penulis menyarankan usaha mendaulatkan, memperkasakan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sewajarnya menjadi tanggungjawab semua murid, guru, rakyat dan pemimpin negara ini. Beliau mengingatkan kita bahawa usaha ini tidak harus dipandang ringan dan mudah. Hal ini demikian kerana usaha berkenaan membabitkan rasa cinta, rasa tanggungjawab dan keprihatinan yang mendalam terhadap bahasa Melayu.
Antara saranan dan cadangan yang dikemukakan oleh penulis demi memperkasakan bahasa Melayu ialah:-
  • Bulan Oktober setiap tahun merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang perlu diinsafi fungsi dan tujuan sambutannya; Sepatutnya sempena dengan sambutan ini, keprihatinan kita mengangkat martabat dan kedudukan bahasa kebangsaan semakin membara.
  • Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sama ada di media baharu, sebagai bahasa pengantara pelbagai urusan seharian perlu betul, tepat dan berkesan. Bahasa yang baik, betul dan tepat akan mencerminkan ketamadunan dan kesantunan bangsa yang cemerlang. Semua ini seharusnya dipikul oleh setiap rakyat.
  • Bahasa Melayu telah melalui sejarah perkembangan yang agak panjang. Selepas merdeka bahasa Melayu berkembang pesat dan menjadi nadi kehidupan masyarakat sama ada rakyat marhaen yang terdiri daripada peniaga, pekebun, nelayan, buruh hinggalah kepada golongan pemimpin atasan.
  • Sekitar tahun 80-an hingga 90-an bahasa Melayu mengalami sedikit kemuraman, apabila bahasa Inggeris mula mengambil tempat sebagai bahasa pertuturan utama dalam kalangan menengah Melayu. Lebih terkesan lagi dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara ini.
  • Kerajaan melaksanakan dasar PPSMI dan menyisihkan bahasa Melayu dalam arus pendidikan perdana atas alasan untuk menambahkan jumlah tenaga manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi. Kerajaan pada ketika itu beranggapan dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kefahaman murid tentang subjek tersebut dapat dilipatgandakan.
  • Selepas beberapa tahun pelajar dijadikan bahan uji kaji, pelaksanaan PPSMI dimansuhkan kerana mendapat tentangan banyak pihak. Sementelah pula pelaksanaan PPSMI telah menyebabkan pencapaian pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut semakin merosot.
  • Pemansuhan PPSMI secara tidak langsung telah mengembalikan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Pelajar lebih mudah mempelajari subjek Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.
  • Langkah seterusnya pada pendapat penulis adalah dengan menggunapakaikan istilah bahasa Melayu menggantikan penggunaan istilah bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi. Kenapakah perlu ditukar sehingga menyebabkan identiti bahasa yang asli, tulen, asal yang diwarisi sejak berzaman-zaman hilang entah ke mana? Janganlah mudah menjual hak kepunyaan kita atas alasan demi perpaduan!
  • Kini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM (2013 - 2015) - Pendidikan prasekolah hingga lepasan sekolah menengah menekankan pembelajaran Bahasa Melayu melalui lima aspirasi sistem pendidikan iaitu melalui akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
  • Langkah mengantarabangsakan bahasa Melayu seperti bekerjasama dengan universiti-universiti luar negara bagi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai salah satu subjek bahasa asing yang ditawarkan kepada bakal graduan mereka. Menganjurkan pertandingan peringkat dunia seperti penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) boleh diteruskan. Pertandingan tahun ini telah menghimpunkan peserta dari 51 buah negara meliputi enam buah benua, membuktikan bahawa bahasa Melayu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Para peserta dari negara Amerika Syarikat, Itali, Bulgaria, Jepun, Belanda, England, Poland, Slovakia, Turki, Korea Selatan dan lain-lain telah mempamerkan kefasihan, kepetahan dan kelancaran berpidato dalam bahasa Melayu.
  • Pihak kementerian, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mewajibkan semua mahasiswa mempelajari bahasa Melayu dan mensyaratkan wajib lulus sebelum mereka bergraduat. Hal ini demikian juga perlu dilaksanakan kepada pelajar-pelajar asing yang menuntut di negara kita.
Langkah dan usaha-usaha ini jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan disokong oleh semua rakyat Malaysia, kita percaya kedudukan bahasa Melayu akan semakin teguh dan semakin berperanan dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

Comments

Popular Posts