PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 10 May 2016

JEMPUT DAN UNDANG....!

Lihat penggunaan kata 'jemput' dan 'undang' dalam ayat-ayat di bawah. Jika diteliti berdasarkan aspek makna dan penggunaannya, didapati terdapat sedikit masalah!
  • Jangan jemput dia ke majlis kita.
  • Jangan undang dia ke majlis kita.

  • Kad jemputan perkahwinan itu bertarikh 11 Mei 2016.
  • Kad undangan perkahwinan itu bertarikh 11 Mei 2016.

  • Ibu pergi menjemput adik di Lapangan Terbang Sultan Ismail.
  • Ibu pergi mengundang adik di Lapangan Terbang Sultan Ismail.

  • Ibu menggoreng jemput-jemput untuk hidangan sarapan pagi.
  • Ibu menelaah buku undang-undang sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.
Jika dipandang sebelah mata, kita mungkin akan melakukan kesilapan besar secara tanpa sengaja! Musim cuti persekolahan akan berkunjung tidak beberapa lama lagi. Pasti akan ada yang bakal menerima kad jemputan/undangan perkahwinan. Yang belum menerima pun, kena bersedia juga. Maklumlah, tuntutan hidup bermasyarakat juga perlu diambil kira.

Berbalik semula kepada penggunaan kata jemput dan undang dalam kalangan pengguna bahasa, ramai antara kita yang tidak begitu cakna akan makna dan penggunaan sebenar perkataan tersebut, sehingga  menjadikan penggunaannya sama sekali tidak betul dan tidak tepat.

Untuk makluman semua, kata jemput bermaksud pergi menunggu atau mengambil seseorang di sesebuah lokasi contohnya stesen bas, lapangan terbang dan lain-lain. Contoh ayat:-
  • Saya pergi menjemput penceramah itu di lapangan terbang. { Ayat ini membawa maksud saya ke lapangan terbang untuk menunggu dan mengambil penceramah itu.}
Manakala kata undang pula bermaksud mengajak, mempelawa, memanggil, mempersila seseorang datang atau pergi ke sesebuah tempat. Contoh ayat:-
  • Saya akan mengundang semua sahabat ke majlis perkahwinan anak saya nanti. { Ayat ini bermaksud saya akan mengajak semua sahabat ke majlis perkahwinan anak saya. }
Berdasarkan makna dan penggunaan sebenar kata jemput dan undang seperti yang dijelaskan di atas, maka telah berlaku ketidaktepatan dari segi makna dan penggunaan kata jemput dan undang dalam contoh-contoh ayat. Ayat-ayat yang dimaksudkan ialah:-

  • Jangan jemput dia ke majlis kita.
  • Kad jemputan perkahwinan itu bertarikh 11 Mei 2016.
  • Ibu pergi mengundang adik di Lapangan Terbang Sultan Ismail.

No comments:

Post a Comment

PROMOSI III