PENAJA

RAKAN ILMU

Sunday, 24 December 2017

MAKLUMAT PELEPASAN CUKAI 2017...!

Image result for LHDN
*PELEPASAN CUKAI 2017*
Tinggal berapa hari lagi
Eloklah mula buat perancangan bayaran cukai untuk tahun 2017 ni. Boleh mula berbelanja pada pelepasan2 cukai yang diberi kerajaan dan simpan resit2nya. Ini utk mengelakkan tahun depan masa isi E-Filing LHDN baru kita kelam-kabut nak ambil tahu belanja apa yang boleh ditolak
Berdasarkan  laman web LHDN, di sini  disenaraikan perbelanjaan yang dapat mengurangkan cukai individu bagi tahun 2017.
1. Perbelanjaan terhadap Ibu Bapa
Perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa (keadaan kesihatan disahkan oleh pengamal perubatan) – Terhad RM5,000 atau
Pelepasan Untuk Ibu Bapa – Terhad RM1,500 setiap ibu dan bapa, dengan syarat ibu bapa mestilah:
• Berumur 60 tahun dan ke atas
• Berpendapatan tidak melebihi RM24,000 setahun (jika bekerja)
• Pelepasan perbelanjaan perubatan tidak dituntut

Boleh dapat pelepasan sehingga RM3,000 jika kedua-dua ibu bapa layak..
2. Yuran Pendidikan Diri Sendiri.
Terhad RM7,000. (Tahun 2016: RM6,000)
•  Kursus yang layak bagi peringkat Sijil / Diploma / Sarjana Muda - Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi
•  Kursus yang layak bagi Peringkat Sarjana / PhD - sebarang bidang atau kursus kajian

3. Kesihatan
• Belanja perubatan bagi penyakit yang sukar diubati atas diri sendiri, suami / isteri atau anak – Terhad RM6,000
• Pemeriksaan perubatan penuh atas diri sendiri, suami / isteri atau anak – Terhad RM500

4. Simpanan Tabung SSPN - Terhad RM 6,000.
5. Perkeso - Terhad RM250
6. Gaya Hidup
Pembelian bahan bacaan, komputer, telefon pintar, tablet, alat sukan, yuran keahlian gimnasium dan langganan internet – Terhad RM2,500
7. Peralatan Penyusuan
Pembelian peralatan penyusuan ibu (potongan dibenarkan sekali setiap 2 tahun untuk pembayar cukai wanita sahaja) – Terhad RM1,000

8. Pra-Sekolah Anak-AnakYuran penghantaran anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah – Terhad RM1,000
9. Insurans nyawa dan KWSP - Terhad RM6,000
10. Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertangguh - Terhad RM3,000
11. Insurans pendidikan dan perubatan - Terhad RM3,000
12. Bayaran zakat - Tiada had (100% pelepasan)
Setakat ni, inilah sahaja pelepasan yang ada bagi tahun 2017 yang boleh kita maksimumkan belanja untuk minimumkan cukai. Yang penting jangan lupa simpan resit!
Harap senarai ini dapat kita buat persediaan awal terutama pada mereka yang baru pertama kali nak isytihar cukai, yang baru dinaikkan gaji, atau yang dapat bonus.
Pendapatan bercukai pada tahun 2017 adalah RM34,000 setahun yang diperolehi dari mana2 sumber seperti penggajian (gaji+elaun+bonus+insentif), perniagaan, komisen dan lain2.
Sekian, Terima kasih.

Friday, 22 December 2017

SEMAKAN TAWARAN TG. 1 SBP 2018...!

Image result for uksbp kemasukan tingkatan 1 sbp

Ibu bapa dan calon-calon UKSBP boleh mula membuat semakan tawaran Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh bagi tahun 2018 secara online pada 30 Disember 2017. Tarikh pendaftaran Tingkatan 1 SBP pula dijadualkan berlangsung  pada 10 Januari 2018.

Wednesday, 13 December 2017

KEPUTUSAN PT3 ESOK...!

Image result for pt3 2017
14 Disember 2017 (Khamis)  ialah tarikh yang ditunggu-tunggu oleh calon PT3 2017. Esok akan diumumkan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 bagi tahun 2017 dan calon-calon biasanya akan memperoleh keputusan masing-masing selepas jam 10 pagi.

Seperti yang diketahui umum, PT3 adalah sejenis pentaksiran (bukan peperiksaan) yang berasaskan sekolah masing-masing. Maka, sebarang perbandingan analisis pencapaian PT3 antara sekolah, PPD, JPN dan Kementerian Pelajaran adalah tidak wajar.

Keputusan PT3 ini lebih kepada pengukuran individu calon di peringkat sekolah masing-masing. 

Sunday, 10 December 2017

ALANG YANG MENGELIRUKAN...!

Related image
Terdapat beberapa pepatah Melayu yang bermula dengan perkataan 'alang' yang SATUNYA sering ditafsirkan secara SALAH. Umum menganggap kesemua maksud pepatah yang bermula dengan 'alang' ini sama makna, walhal sebaliknya. Cuba kita analisis pepatah yang dimaksudkan.
  1. Alang-alang berminyak biar licin
  2. Alang-alang mandi biar basah
  3. Alang-alang berdakwat, biar hitam
  4. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Pepatah 1 - 3 mempunyai makna / maksud  yang sama atau hampir sama sahaja. Ketiga-tiganya bermaksud / bermakna 'sesuatu kerja yang dilakukan itu hendaklah dilakukan sehingga selesai'.

Berbeza dengan pepatah no. 4, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan mempunyai makna / maksud yang sangat berbeza berbanding pepatah 1 - 3. Pepatah ini bermaksud / bermakna yang negatif ( tidak baik ).

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan bermaksud / bermakna 'kalau sudah terlanjur dalam melakukan sesuatu perbuatan jahat, biarlah dilakukan sehingga memperoleh hasilnya'.

Contoh penggunaanya:
Walaupun perbuatan mengambil rasuah itu kesalahan jenayah yang berat, namun pegawai polis itu tetap dengan kegiatannya demi mengumpulkan harta kekayaan kerana dia berfikiran alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Beringatlah!

Saturday, 9 December 2017

PEPATAH BERMULA ADA...!

Image result for pepatah melayu
Banyak juga pepatah yang bermula dengan perkataan 'ada'. Jom mari kita kongsikan pepatah-pepatah Bahasa Melayu yang bermula dengan perkataan 'ada' itu.
  1. Ada air adalah ikan - Ada negeri pastinya ada rakyatnya.
  2. Ada angin, ada pokoknya - segala sesuatu mestilah ada asal mulanya.
  3. Ada asap, ada api - tidak dapat dipisahkan.
  4. Ada bangkai adalah hering - di mana perempuan jahat, di situlah ada lelaki jahat.
  5. Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh - Di mana-mana kita berada, akan ada rezeki kita.
  6. Ada bukit, ada paya - Ada yang senang, ada yang susah; ada yang kaya, ada yang miskin.
  7. Ada gula adalah semut - tempat mudah memperoleh rezeki, di situ banyak orang.
  8. Ada hari, ada nasi - Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki.
  9. Ada hujan ada panas, ada hari boleh balas - Perbuatan jahat akan mendapat balasan juga.
  10. Ada nyawa, ada rezeki - Asal masih hidup, tentu beroleh rezeki.
  11. Ada padi semua jadi, ada beras semua deras - Kerja akan dilakukan cepat jika cukup upahnya.
  12. Ada sampan hendak berenang - Sengaja mencari jalan yang sukar.
  13. Ada ubi ada batas, ada budi ada balas - Buat baik akan dibalas baik.

TEMA KARANGAN SPM 2017...!

Image result for spm 2017
Alhamdulillah, Peperiksaan SPM 2017 telah menemukan noktahnya. Semoga calon-calon dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan sempurna. Kini apa yang perlu dilakukan oleh calon-calon ialah bersabar menanti keputusan dan sebaik-baiknya berdoa ke hadrat Ilahi serta bertawakal.

Pada kali ini Cikgu akan berkongsi tentang soalan karangan BM1 2017, bahagian B iaitu tema-temanya sebagai panduan berguna kepada bakal calon SPM 2018.

Bahagian B:
  1. Soalan meminta calon memberikan komen tentang impian seseorang anak yang seharusnya membanggakan kedua-dua orang ibu bapa mereka.
  2. Calon diminta menghuraikan peranan sekolah untuk memupuk amalan mencintai alam sekitar dalam kalangan murid.
  3. Soalan ini berkehendakkan calon menjelaskan langkah-langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dapat menghasilkan makanan yang cukup untuk keperluan rakyatnya.
  4. Bagi soalan ke-4, calon dikehendaki menulis kebaikan-kebaikan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kepada masyarakat antarabangsa.
  5. Tidak sepertimana biasa, soalan ke-5 yang biasanya berkisar tentang soalan atau tajuk kesusasteraan, pada kali ini pula calon diminta menjelaskan kelebihan-kelebihan yang akan diperoleh individu yang bersifat pemurah.
Pada tahun 2017 ini soalan atau tajuk esei yang popular ialah soalan kedua, iaitu yang berkaitan dengan peranan sekolah dan alam sekitar.

Saturday, 4 November 2017

TAJUK ESEI BM1 ESOK....?

Sekadar untuk perkongsian dengan pembaca khususnya bakal-bakal calon SPM 2017. Untuk Kertas Bahasa Melayu 1 esok, cikgu dapati ramai guru membuat telahan atau jangkaan tentang tajuk esei yang mungkin keluar. Tak salah untuk para pembaca blog ini mengambil langkah-langkah perlu. Antara tajuk atau tema yang popular ialah:-
  • Usaha / Faedah amalan membaca
  • Faedah amalan menabung
  • Cara-cara menangani perbelanjaan keluarga
  • Langkah menangani gejala sosial / jenayah / buli / disiplin dalam kalangan pelajar
  • Usaha melestarikan permainan tradisional
  • Semangat kejiranan

Monday, 9 October 2017

JAWAPAN BM PT3 2017...!

BAHAGIAN A

Soalan 1.

1. Keadaan hidup yang amat susah sekali di zaman penjajahan Portugis telah menjadikan nenek              begitu cekal dalam menempuh kehidupan.

    pada

2. Walaupun belum masih mendapat pekerjaan yang tetap, golongan remaja patut dapat berdikari dan      mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.

    masih belum

3. Cikgu Ali  meminta ahli-ahli pengakap saling berpegang-pegangan tangan semasa menyeberangi        sungai yang cetek itu.

    saling berpegangan / berpegang-pegangan

4. Tengku Putera menghadap ayahanda baginda bagi memohon perkenan sebelum bertolak ke                   seberang laut untuk menuntut ilmu.

     berangkat

Soalan 2.

  (i) Juruulas
 (ii) tengah hari
(iii) e-mel

          

Sunday, 8 October 2017

SEMOGA CEMERLANG PT3 2017...!

Image result for pt3
Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Esok pagi calon-calon PT3 akan mula menempuhi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2017. Semoga calon-calon sekalian dapat menjawab soalan peperiksaan dengan berhati-hati. Jauhi sifat yakin yang melampau sebaliknya sentiasa membuat pertimbangan yang betul ketika menjawab atau memilih jawapan.
Calon yang cemerlang ialah calon yang sentiasa fokus, tenang dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum menulis jawapan. Ingat mungkin soalan yang mudah itu mangundungi pelbagai perangkap yang mengelirukan.
Tidak salah jika calon-calon menjawab dahulu soalan-soalan mudah, sebelum menjawab soalan yang lebih sukar. Perancangan masa ketika peperiksaan amatlah penting.

Selamat menempuh PT3, semoga Berjaya dengan cemerlang.

Sunday, 1 October 2017

SISTEM BAHASA PT3...!

Bahagian A ini mengandungi 4 soalan, iaitu soalan 1 tentang mengesan kesalahan Bahasa, soalan 2 adalah tentang ejaan, soalan 3 pula adalah tentang ayat, manakala soalan 4 adalah mengenai peribahasa.
Bahagian A ini menyajikan markah keseluruhan sejumlah 25 markah, iaitu:-
  • Soalan 1 - 8 markah
  • Soalan 2 - 3 markah
  • Soalan 3 - 10 markah
  • Soalan 4 - 4 markah

Contoh Soalan 1:
Dalam petikan di bawah ini terdapat 4 kesalahan bahasa. Gariskan 4 kesalahan bahasa tersebut dan tulis jawapan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
( 8 markah )

Media massa merupakan salah satu saluran komunikasi yang berkesan bagi menyalurkan berbagai maklumat kepada masyarakat. Namun sejak belakangan ini, media massa telah banyak disalahgunakan oleh setengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Penyebaran berita palsu, berita berunsurkan propaganda, fitnah dan juga bahan-bahan porno seolah-olah tidak terkawal lagi. Pihak berwajib seharusnya menjalankan banyak langkah membanteras gejala ini agar gejala ini dapat diminimumkan dengan segera. Masyarakat terutamanya golongan-golongan remaja perlu memiliki jati diri yang tinggi agar media massa dapat digunakan secara positif.

  1. ............................................
  2. ............................................
  3. ............................................
  4. ...........................................
JAWAPAN:

Media massa merupakan salah satu saluran komunikasi yang berkesan bagi menyalurkan berbagai maklumat kepada masyarakat. Namun sejak belakangan ini, media massa telah banyak disalahgunakan oleh setengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Penyebaran berita palsu, berita berunsurkan propaganda, fitnah dan juga bahan-bahan porno seolah-olah tidak terkawal lagi. Pihak berwajib seharusnya menjalankan banyak langkah membanteras gejala ini agar gejala ini dapat diminimumkan dengan segera. Masyarakat terutamanya golongan-golongan remaja perlu memiliki jati diri yang tinggi agar media massa dapat digunakan secara positif.

  1. berbagai-bagai / pelbagai
  2. sesetengah / setengah-setengah
  3. banyak menjalankan langkah / menjalankan langkah yang banyak
  4. golongan

  1.  

Saturday, 30 September 2017

ESEI: MANFAAT AKTIVITI BERSUKAN...!

PENDAHULUAN:-
  • Bersukan merupakan satu aktiviti yang begitu popular dan digemari belakangan ini.
  • Pelbagai jenis aktiviti sukan yang menjadi pilihan, antaranya bola sepak, badminton, hoki, tenis, joging, berenang, angkat berat dan lain-lain.
  • Aktiviti sukan ini biasanya dijalankan pada waktu senggang seperti selepas waktu persekolahan, selepas waktu kerja mahupun pada cuti hujung minggu.
  • Pelbagai manfaat yang akan kita peroleh jika menyertai aktiviti sukan.
IDEA-IDEA PENTING:-
  • Dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang.
  • Dapat menjauhkan diri daripada penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit yang berkaitan kardiovaskular.
  • Bersukan dapat mengasah dan menggilap bakat serta dapat melahirkan atlet berwibawa pada masa depan.
  • Aktiviti ini juga dapat memupuk semangat perpaduan, setia kawan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.
  • Dapat mengurangkan stres dan permasalan yang dihadapi.
  • Menjadikan pelajar lebih sihat jasmani dan cerdas mental.
  • Dapat mengurangkan aktiviti-aktiviti yang cenderung ke arah yang negatif.
  • Dapat memupuk sikap yakin diri, meningkatkan kemahiran sosial dan menanam sifat kepemimpinan seseorang.
  • Dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.
  • Aktiviti bersukan juga mampu menjadi sumber pendapatan.

Saturday, 2 September 2017

PANDUAN PENGGUNAAN PW....!


PENGGUNAAN PENANDA WACANA
SALAH
BETUL
Justeru itu
justeru
Selain daripada itu
Selain itu
Selain dari itu
Selain itu
Sehubungan itu
Sehubungan dengan itu
Ini kerana
Hal ini demikian kerana
Bagaimana pun
bagaimanapun
Dalam pada itu
Sementara itu
Ini sepatutnya
Hal ini sepatutnya
Di dalam hal ini
Dalam hal ini
Akan tetapi
Tetapi
Oleh kerana
Oleh sebab / kerana
Ini menyebabkan
Hal ini menyebabkan
Sayogia
Seyogia
Jika sekiranya
Jika / sekira
Agar supaya
Agar / supaya
Demi untuk
Demi / untuk
Demi kerana
demi

Tuesday, 22 August 2017

RESULT SPM ULANGAN LUSA....!

Calon-calon yang menduduki peperiksaan SPM Ulangan pada bulan Jun lepas akan memperoleh result atau keputusan masing-masing pada hari Khamis 24 Ogos 2017. Tahniah kepada yang berjaya dan yang masih gagal, cuba lagi.


Thursday, 10 August 2017

KERAP SALAH EJA....!


Bil
SALAH
BETUL
1
alergik
alergi
2
ansurans
ansuran
3
atlit
atlet
4
agen
ejen
5
alat siaraya
alat siar raya
6
ambulan
ambulans
7
bergu
beregu
8
bertungkus-lumus
bertungkus lumus
9
cop nama
cap nama
10
cendera hati
cenderahati
11
cendikiawan
cendekiawan
12
dasyat
dahsyat
13
durhaka
derhaka
14
emel
e-mel, meng-e-melkan
15
fardhu
fardu
16
fax
faks, faksimile
17
gambarajah
gambar rajah
18
hajjah
hajah
19
insya Allah
insya-Allah
20
insuran
insurans
21
istirehat
istirahat
22
juwita
juita
23
janakuasa
jana kuasa
24
juru acara
juruacara
25
keretapi
kereta api
26
katrij
kartrij
27
kontingen
kontinjen
28
kerinting
keriting
29
kadang-kala
kadangkala
30
kuatkuasa
kuat kuasa
31
karenah
kerenah
32
limau kasturi
limau kesturi
33
leukimia
leukemia
34
losyen
losen
35
menyakinkan
meyakinkan
36
mengenengahkan
mengetengahkan
37
mengkedepankan
mengedepankan
38
mententeramkan
menenteramkan
39
mensasarkan
menyasarkan
40
merbahaya
berbahaya, membahayakan
41
margasatwa
mergastua
42
mee
mi
43
menghadkan
mengehadkan
44
majerin
marjerin
45
naskah
naskhah
46
respon 
respons
 47
redha
reda 
 48
rempah ratus 
rempah-ratus 

GADJET / GAJET / PERANTI.....!

Hari ini, keghairahan pengguna bahasa Melayu meminjam perkataan daripada bahasa-bahasa lain berlaku secara leluasa. Hal ini amat ketara berlaku apabila ramai antara kita mengguna pakai kata atau istilah bahasa Inggeris terutama yang ada kaitan dengan dunia media sosial. Perkataan seperti 'download', 'install', 'upload', 'copy', 'run', 'delete', 'save', 'refresh', 'login', 'sign in' dan seumpamanya begitu meluas digunakan dalam kalangan masyarakat. Kita seolah-olah sudah selesa dan menerimanya sebagai kosa kata baharu dalam percakapan ibunda kita.

Baru-baru ini muncul satu isu dalam kalangan warga sekolah. Penggunaan perkataan 'gadjet' / 'gajet' yang merujuk komponen yang berkaitan dengan peralatan komunikasi seperti telefon pintar, laptop, tablet dan seumpamanya. Ketika kerja-kerja penandaan oleh guru pemeriksa sedang rancak berjalan, timbul isu sama ada istilah-istilah pinjaman yang disebut tadi boleh digunakan dalam penulisan, ataupun tidak?

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan istilah-istilah asli bahasa Melayu bagi menggantikan istilah-istilah pinjaman yang sedikit sebanyak telah mencemarkan bahasa Melayu yang kita cintai. 

Para pengguna bahasa Melayu dinasihatkan agar mula berjinak-jinak dengan istilah yang diperkenalkan oleh pihak DBP ini supaya penggunaan bahasa rojak yang mula berkembang itu dapat dibanteras dengan seberapa segera.

Antara istilah baharu yang diperkenalkan ialah:-
  • Gajet/gadjet - peranti
  • role model - suri teladan
  • backdrop - latar pentas
  • highlight - imej tumpu
  • selfie - swafoto
  • parking - parkir
  • postmortem - pascanilai
  • countdown - kira detik
  • road show -jerayawara
  • fitting room - bilik acu
  • resort - persantaian
  • bunting - gegantung
  • online - dalam talian
  • save - simpan
  • upload - muat naik
  • download - muat turun



Monday, 24 July 2017

MEMPERKASAKAN BAHASA HARI INI...

Marilah kita sama-sama memperkasakan bahasa kita dengan cara memperbanyak aktiviti latihan menjawab soalan ulang kaji. Bahasa Melayu merupakan subjek yang berkaitan kemahiran dan pastinya membuat latih tubi menjawab soalan ialah cara yang terbaik.
  • Latihan membina ayat daripada perkataan yang mengelirukan:-
  1. pelanggaran - perlanggaran
  2. mengajarkan - mengajar
  3. memperkasakan - perkasa
Contoh ayat:-
  • Dewasa ini kes-kes pelanggaran disiplin sekolah berlaku secara berleluasa.
  • Perlanggaran kereta dengan bas itu menyebabkan lima orang terbunuh.
  • Saya mengajarkan subjek Bahasa Melayu di Tingkatan 3 Delta.
  • Cikgu mengajar saya subjek Bahasa Melayu sebentar tadi.
  • Langkah kerajaan untuk memperkasakan bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan kedaulatan bahasa Melayu.
  • Hang Tuah ialah seorang pahlawan Melayu yang sangat perkasa.

Sunday, 23 July 2017

IMBUHAN PINJAMAN ANTI-...!

Cuba lihat bagaimana penggunaan imbuhan pinjaman 'anti-' di bawah:-

  • antisosial
  • antidadah
  • antioksidan
  • antikerajaan
  • antinasional
  • anti-Rusia
  • anti-Israel
  • anti-Barat
  • anti-Malaria
  • antirasuah
  • antipembangkang
  • antipelambakan
Sudah pasti kita dapat melihat DUA kumpulan kata yang berbeza apabila menggunakan imbuhan pinjaman 'anti-', satu yang dieja bergabung dan satu lagi yang dieja menggunakan tanda sempang (-). Kedua-dua kumpulan kata di atas adalah betul cara mengejanya. Hal ini demikian adalah kerana:-
  • Setiap imbuhan apabila ditemukan dengan kata nama khas (huruf besar di depan) akan dibubuh tanda sempang, tidak kira sama ada imbuhan itu imbuhan asli mahupun imbuhan pinjaman. Sila rujuk contoh penggunaan di bawah:-
  1. serumah / se-Malaysia
  2. antibuli / anti-Komunis
  3. prokerajaan / pro-Amerika


Thursday, 22 June 2017

KESALAHAN EJAAN BERMUSIM....!

Kesilapan ejaan boleh dikatakan mengikut musim ataupun lebih tepat jika kita kata 'bermusim'. Kita sering menemukan kesalahan ejaan sesuatu perkataan itu bermusim mengikut masa dan situasi. Contohnya, sekarang kita berada dalam bulan Ramadan, dan tidak beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri, perasan atau tidak banyak sekali ejaan sesuatu perkataan yang berkaitan Ramadan dan Aidilfitri diejakan secara salah sama ada di media cetak, media elektronik, dan kini juga di media sosial.
Antara kesalahan ejaan tersebut ialah:-
  • Aidilfitri diejakan sebagai (>) idul fitri, Aidul Fitri dan Aidil Fitri
  • Idulfitri / Aidul Fitri / Aidil Fitri > Aidilfitri
  • Ramadhan > Ramadan
  • pasaraya > pasar raya
  • jalanraya / lebuhraya > jalan raya / lebuh raya
  • kueh raya > kuih raya
  • kain sampin > kain samping
  • murtabak > martabak (sejenis makanan)
  • satey ayam / satay ayam > sate ayam
  • zakat-fitrah > zakat dan fitrah, zakat fitrah
  • hari lembaran > hari lebaran
  • maaf lahir dan batin > maaf zahir dan batin

Monday, 12 June 2017

SISTEM BAHASA...!

Bahagian yang amat penting dan mesti dikuasai oleh pelajar. Tajuk-tajuk yang perlu diberikan perhatian adalah seperti:-
  • Kata nama am dan nama khas
  • Kata ganti nama
  • Kata bilangan
  • Kata penjodoh bilangan
  • Kata kerja dan lain-lain.
Sama ada untuk pentaksiran PT3 mahupun peperiksaan SPM, sistem bahasa mempunyai pengaruh yang besar terhadap markah keseluruhan yang diperoleh oleh pelajar ataupun calon.
Mari kita sama-sama memberikan perhatian tentang permasalahan di bawah.
  • Membezakan penggunaan kata nama am dan nama khas
Cuba kesan penggunaan kata nama am dan nama khas yang tidak gramatis dalam ayat-ayat di bawah.
  1. Laungan azan itu menandakan masuknya waktu solat Zuhur.
  2. Saya mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah itu.
  3. Pelancong dari Barat itu dapat bertutur dengan fasih Bahasa Melayu.
  4. Bandaraya Kuala Lumpur bermandikan cahaya ketika menyambut hari kemerdekaan.
  5. Kota Bharu disytiharkan bandar raya Islam sejak beberapa tahun yang lalu.
Di sini cikgu sertakan jawapan, dan jika diteliti dengan betul-betul, mungkin ada sedikit rasa keliru..
  1. Zuhur > zuhur (nama am)
  2. bahasa Melayu > Bahasa Melayu (nama khas)
  3. Bahasa Melayu > bahasa Melayu (nama am)
  4. hari kemerdekaan > Hari Kemerdekaan (nama khas)
Soalan no.4 dan no.5 bagi perkataan 'Bandaraya dan bandar raya', semuanya betul berdasarkan kontek ayat. Bandaraya Kuala Lumpur merupakan kata nama khas dan bandar raya dalam ayat no.5 ialah kata nama am.

# Yang lain-lain, kita bincangkan kemudian.

Monday, 29 May 2017

TUGASAN F3 SEMPENA CUTI....!

Assalamualaikum pelajar semua,

Selamat bercuti dan selamat mengerjakan ibadat puasa Ramadan. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat yang banyak daripada amalan baik yang dilakukan. Pesan cikgu, walaupun kita semua seronok bercuti, pelajaran jangan sesekali diabaikan.

Di bawah ini cikgu sertakan tugasan untuk disiapkan semasa cuti persekolahan.

Tugasan:
  • Tulis sebuah karangan yang panjangnya melebihi 180 patah kata dengan menekankan aspek isi yang cukup, dihuraikan dengan menyertakan contoh terkini dan sesuai serta jangan abaikan aspek tatabahasa dan penggunaan ungkapan bahasa yang menarik.
  1. Dewasa ini didapati banyak sekali remaja yang tidak menggunakan masa terluang mereka dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Mereka lebih tertarik menghabiskan masa dengan pelbagai peranti canggih seperti telefon pintar, tablet, laptop dan lain-lain. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang efektif untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dengan kegiatan sukan dan aktiviti kemasyarakatan?
# Tugasan hendaklah dihantar pada hari pertama persekolahan dibuka.
# Tugasan hendaklah ditulis tangan sahaja.
# Tugasan hendaklah dihantar kepada guru Bahasa Melayu masing-masing.

Friday, 21 April 2017

ESEI: RASUAH: PUNCA DAN LANGKAH MEMBANTERASNYA...!

PENDAHULUAN:
  • Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 mendefinisikan amalan rasuah sebagai penerimaan apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakan untuk membolehkan seseorang melakukan sesuatu perbuatan atau tidak diambil sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Antara contoh suapan tersebut termasuklah wang ringgit, komisen, hadiah, lesen, tanah dan seumpamanya.
  • Persoalannya kini mengapakah perbuatan rasuah ini boleh berlaku dan semakin berleluasa di negara kita sejak belakangan ini.
  • Peningkatan jumlah kes rasuah yang berjaya dibongkar kini adakah disebabkan oleh pertambahan dari segi perlakuan rasuah dalam kalangan masyarakat atau kerana kecekapan petugas membanteras rasuah semakin menyerlah.
  • Pelbagai punca yang mendorong kejadian rasuah akan dikupas dengan mendalam sambil membincangkan juga langkah-langkah yang proaktif membanteras gejala yang merosakkan negara ini.
IDEA-IDEA PENTING:
  • PUNCA-PUNCA BERLAKU RASUAH
  1. Dorongan nafsu manusia yang inginkan kekayaan dalam sekelip mata
  2. Kelembapan jentera pentadbiran kerajaan
  3. Kakitangan kerajaan atau swasta yang berpendapan rendah dan bebanan hidup
  4. Kelemahan dari segi penguatkuasaan
  5. Hukuman terhadap pesalah ringan dan tidak berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan
  6. Kesedaran betapa rasuah boleh menghancurkan negara masih rendah dalam masyarakat
  7. Semakin ramai anggota masyarakat meninggalkan agama
  • LANGKAH-LANGKAH MEMBANTERAS KES RASUAH
  1. Kempen kesedaran perlu dijalankan secara bersungguh-sungguh agar nafsu tamak, mengejar kekayaan dengan cara rasuah dapat dibendung.
  2. Setiap kementerian terutamanya yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi memastikan kakitangannya berkhidmat dengan cekap dan sistematik.
  3. Kerajaan dan majikan perlu sentiasa membuat semakan dan pelarasan gaji kepada setiap kakitangan berasaskan keadaan ekonomi semasa.
  4. Bersambung.......

PROMOSI III