FRASA MENARIK DALAM ESEI...!

1. Belakangan ini, isu berkaitan dengan remaja dalam kalangan masyarakat saban waktu diwara-warakan dalam media arus perdana malah sering menjadi polemik yang hangat diperdebatkan di negara kita. Lantaran itu, semua pihak mestilah komited dan beriltizam untuk mendepani isu ini kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah cara-cara untuk ………………………………?
2.  Semua pihak mestilah berusaha untuk memperkasakan remaja supaya ‘generasi Y’ ini dapat diperkasakan di negara kita. Penggemblengan tenaga dan usaha untuk menjayakannya amatlah diharapkan kerana orang bijak pandai pernah berpesan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dalam pada itu, usaha yang sistematik dan proaktif mestilah digerakkan mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu, mestilah bermula dengan langkah pertama
3.  Mafhum daripada sepotong hadis yang bermaksud,jagalah masa sihatmu sebelum tiba masa sakit. Hadis ini jelas menggambarkan betapa pentingnya kesihatan diri dalamkehidupan kita. Kesihatan merupakan kurniaan Tuhan yang sangat bernilai. Kesihatan yang baik membolehkan kita menguruskan kehidupan dengan baik. Persoalannya, adakah kita sedar tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan? Lantaran  itu, kita perlu mencari wasilah dan ikhtiar untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera. Situasi ini bertepatan dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
4.  Sebagai sahmura negara, remaja seharusnya rajin berusaha seperti lebah menghimpunkan madu. Mengapakah wujud sikap malas dalam diri? Berpeganglah pada prinsip bukan senang untuk menjadi senang dan bukan susah untuk menjadi susah.
5.  Disiplin merupakan elemen terpenting dalam kehidupan remaja / pelajar. Tanpa disiplin tidak mungkin tugasan seharian dapat diselesaikan dengan baik. Jagalah dan pupuklah disiplin dalam diri seperti menjaga nyawa sendiri. Hal ini kerana tiada apa-apa di dunia ini yang dapat menandingi nikmat hidup kurniaan Tuhan. Jadilah manusia yang bersyukur . Hayatilah juga mafhum mulia  yang menyatakan bahawa kehidupan sebagai sebatang tubuh. Jika ada anggotanya yang sakit, justeru semua tubuh akan berasa sakit dan bersama-sama berjaga malam. Senario ini juga terungkap dalam aforisme yang berbunyi yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa disiplin diri maka tempanglah kehidupan.
6. Badan cergas , otak cerdas. Slogan ini sering kita dengar dan kita lihat melalui paparan  media massa. Seiring dalam mengejar arus globalisasi, amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat harus ditingkatkan bagi merealisasikan visi dan misi negara menjadi negara maju pada tahun 2020. Sejajar dengan itu, bagi merealisasikan misi negara tersebut, kita perlu melahirkan masyarakat yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan berpandangan jauh serta mempunyai emosi yang stabil kerana daripada aspek-aspek inilah lahirnya masyarakat yang akan menjadi peneraju untuk menggerakkan kemajuan negara pada masa hadapan.
7.  Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Budaya kuning yang kian menular umpama virus epidemik dalam masyarakat telah menyebabkan remaja semakin alpa dan lalai tentang tanggungjawab mereka terhadap tanah air tercinta ini. Era globalisasi sejajar dengan arus pemodenan telah mengaburi mata setiap individu untuk mengutamakan kesejahteraan negara. Nilai materialistik dan individualistik yang menguasai jiwa masyarakat telah menyukarkan modus operandi  untuk menyuburkan semangat perpaduan atau nasionalisme yang semakin sirna. Setiap rakyat Malaysia memikul tanggungjawab yang berat untuk menghidupkan nilai perpaduan dan  kesyukuran  yang begitu syumul pada suatu masa dahulu. Sebagai warganegara yang mendukung nilai cinta akan negara, kita perlu mengamalkan prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
8. Remaja  kontemporari yang kononnya semakin bijak telah mula tenggelam punca dan sanggup melakukan tindakan dan tingkah laku ganas di luar batasan. Pelbagai krisis yang melanda mereka telah menjadi anasir perosak sehingga situasi yang harmoni dan harmonis bertukar menjadi neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi mula melanda golongan sahmura ini sehingga menimbulkan kesan kemurungan dan halunisasi. Memandangkan fenomena ini berupaya mengancam kesejahteraan komuniti, heterogen sinergi menanganinya harus diambil dengan seberapa segera. Kata orang tua-tua, api kecil baik dipadam.

Pandangan cikgu tentang penggunaan frasa/klausa/istilah/kata ketika menulis atau menghasil
kan karangan:-

1. Penggunaan frasa/klausa/istilah/kata yang tertentu ketika menulis karangan perlulah berhati-hati kerana boleh menyebabkan sesuatu hasil karangan menjadi sukar difahami dan berjela-jela huraiannya.
2. Sesetengah pelajar atau calon peperiksaan menggunakan teknik hafalan bagi ayat-ayat tertentu, kemudian dimasukkan terus sebagai perenggan pendahuluan atau permulaan perenggan tanpa melihat kesesuaian dengan ayat-ayat yang dihasilkan selepas itu.
3. Penggunaan frasa atau kata tertentu yang 'melampau' menyebabkan seseorang pemeriksa sukar memahami maksud yang mahu disampaikan, atau kadang-kadang penggunaan frasa tersebut langsung tidak sesuai. Lihat contoh  (8) di atas, .... sehingga menimbulkan kesan kemurungan dan halunisasi. Apakah maksud halunisasi? Jika tidak salah, kata halunisasi merujuk istilah perubatan yang bermaksud suara halus yang sering didengari oleh pesakit mental. Cuba baca satu lagi contoh penggunaan frasa yang tidak sesuai, "memandangkan fenomena ini berupaya mengancam kesejahteraan komuniti, heterogen sinergi menanganinya harus diambil dengan seberapa segera". Cikgu ingin bertanya, kenapakah kita perlu menggunakan frasa heterogen sinergi sehingga boleh mencacatkan keseluruhan isi yng mahu disampaikan?  Heterogen sinergi dalam ayat tersebut lebih sesuai digantikan dengan frasa 'kerjasama yang erat', . Janganlah sekali-kali kita beranggapan bahawa penggunaan frasa atau istilah tertentu itu akan diberikan martkah bonus oleh setiap pemeriksa.

Comments

Popular Posts