PENAJA

RAKAN ILMU

Thursday, 31 January 2013

DISKUSI BAHASA 2...!


Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.

(a)   Berjuta ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membaiki kerosakan kemudahan asas akibat 
        perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.
  1. Berjuta ringgit - Berjuta-juta ringgit.
  2. kemudahan asas - kemudahan awam
(b)   Pak Tua menceritakan tentang pengalamannya yang menggores hati, iaitu kekejaman Jepun sewaktu
        menjajah tanah air kita.
  1. menceritakan tentang pengalamannya - menceritakan pengalamannya / bercerita tentang...
  2. menggores hati - menyayat hati
(c)   Bangunan baharu perlu dibina dengan segera kerana bilangan pelajar itu semakin melimpah dari tahun
        ke setahun.
  1. dari tahun ke setahun - dari setahun ke setahun /dari tahun ke tahun
  2. melimpah - bertambah

ESEI: KELAS TUISYEN...!


Soalan:
Bincangkan kebaikan dan keburukan kelas tuisyen.

PENDAHULUAN:-
  • Dewasa ini kecemerlangan pendidikan anak-anak menjadi matlamat para ibu bapa.
  • Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja asalkan anak-anak mereka berjaya dalam akademik.
  • Ibu bapa sedia menghabiskan wang ringgit demi memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak seperti menyediakan peralatan lengkap persekolahan, mengadakan kelas tuisyen berbayar, membeli peralatan multimedia pembelajaran dan sebagainya.
  • Kelas tuisyen berbayar telah menjadi fenomena baharu dalam sistem pendidikan kita, dan boleh dikatakan lebih daripada lapan puluh peratus pelajar menghadiri kelas tuisyen ini khususnya pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.
  • Pelbagai kebaikan yang diperoleh pelajar melalui pembelajaran di kelas tuisyen, namun jika tidak dilaksanakan secara berhemah, kelas tuisyen juga boleh mengundang beberapa keburukan. 
ISI-ISI PENTING:-
  • Kebaikan-kebaikan:-
  1. Menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar.
  2. Menyediakan pembelajaran yang lebih khusus kepada teknik menjawab soalan pepeiksaan.
  3. Memberikan pendedahan pelbagai kaedah pembelajaran kepada pelajar.
  4. Membantu pelajar membuat persiapan lengkap bagi menghadapi peperiksaan.
  5. Meluaskan peluang pelajar untuk bergaul dengan pelajar yang datang dari pelbagai latar sekolah.
  6. Menggalakkan pelajar menggunakan masa lapang untuk aktiviti yang lebih berfaedah.
  7. Membantu pelajar lemah dan ketinggalan dalam pelajaran di sekolah.
  8. Mengelakkan pelajar daripada tercebur kepada aktiviti yang kurang sihat.
  • Keburukan-keburukan:-
  1. Memerlukan belanja yang agak besar.
  2. Mengurangkan masa rehat pelajar pada hujung minggu.
  3. Merenggangkan hubungan pelajar dengan ahli keluarga.
  4. Mendedahkan pelajar kepada rakan-rakan baharu yang mungkin terlibat dengan aktiviti negatif.
  5. Pembelajaran di kelas tuisyen kadang-kadang tidak berkualiti kerana lebih mengira keuntungan.
  6. Menyebabkan pelajar dibebani dengan pelbagai tugasan yang lebih banyak.
  7. Mengurangkan aktiviti riadah pelajar.
  8. Memberikan tekanan kepada sesetengah pelajar.
  • PENUTUP:-
  1. Tidak dapat dinafikan bahawa kelas tuisyen amat berguna kepada sesetengah pelajar jika diaplikasikan dengan sebaiknya. Namun, jika sebaliknya, kelas tuisyen juga mampu menjadi faktor kegagalan seseorang pelajar.
  2. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

MAKNA KATA...!

  • aleksia - Ketidakupayaan membaca secara menyeluruh yang menimbulkan masalah pembelajaran.
  • alfabetologi - Pengkajian tentang abjad. Juga disebut alfabetolografi.
  • aliterasi - Pengulangan konsonan dalam baris puisi.
  • alo - Awalan dalam linguistik untuk merujuk kelainan yang jelas dalam bentuk unit linguistik.
  • alofon - Kelainan bunyi yang merupakan anggota daripada satu fonem.
  • alograf - Kelainan yang merupakan anggota daripada satu grafem.
  • alokin - Kelainan yang merupakan anggota daripada satu kinem atau unit gerak isyarat.
  • alokron - Kelainan yang tidak distingtif dalam keupayaan bunyi bahasa.
  • alomorf - Kelainan yang tidak distingtif yang merupakan anggota daripada satu morfem.
  • alonim - Kelainan sesuatu nama. 
  • alotagma - Kelainan yang tidak distingtif yang merupakan anggota daripada satu tagmen.

LANGKAH MENCEGAH GEJALA...!


Soalan:
Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar mutakhir ini semakin membimbangkan. Semakin ramai pelajar yang terlibat dan dibimbangi pelajar-pelajar ini akan terjerumus ke lembah yang lebih hina. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu yang boleh dilaksanakan bagi membanteras gejala ponteng dalam kalangan pelajar.

[ Soalan / tajuk esei seperti di atas sebenarnya agak universal dari segi langkah membanteras seperti langkah membanteras gejala merokok, melepak, pergaulan bebas, penagihan dadah, buli, vandalisme dan sebagainya. ]

PENDAHULUAN:-
  • Mutakhir ini gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan. Gejala ini jika dibiarkan berterusan tanpa sebarang langkah konkrit, maka dikhuatiri akan menggelapkan masa depan golongan remaja dan seterusnya negara.
ISI-ISI PENTING:-
  • Peranan ibu bapa dengan mendidik anak menjadi insan yang bersahsiah mulia, terdidik dalam segi keagamaan dan mempunyai pandangan hidup yang jelas.
  • Ibu bapa perlu menanam minat belajar dan menuntut ilmu dengan cara menjadi teladan serta sentiasa mengambil berat tentang pelajaran anak-anak.
  • Peranan guru juga amat berpengaruh; seseorang guru hendaklah memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berkesan dan menarik minat pelajar.
  • Guru juga seharusnya sentiasa menanamkan kesedaran betapa pentingnya pelajaran kepada anak-anak muridnya.
  • Pihak pentadbir hendaklah menjadikan sekolah sebagai tempat belajar yang menarik dan kondusif sesuai dengan minat dan kesukaan pelajar.
  • Pihak pentadbir juga hendaklah menguatkuasakan peraturan disiplin dengan tegas tetapi berwibawa.
  • Semua guru serta badan kepimpinan pelajar seperti pengawas, PRS, BPI mestilah berganding bahu membanteras gejala ini.
  • Masyarakat sekeliling juga mestilah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah serta ibu bapa dalam mengangani gejala ini.
  • Langkah penguatkuasaan yang lebih berkesan juga dapat diaplikasikan jika mendapat kerjasama pihak polis, majlis agama dan lain-lain.
  • Pelajar sendiri perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi tentang kepentingan ilmu pengetahuan demi kelangsungannya pada masa hadapan.
PENUTUP:-
Semua pihak perlu berusaha bersungguh-sungguh, jangan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam untuk membanteras gejala ponteng dalam kalangan pelajar. Pepatah Melayu ada mengatakan, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Wednesday, 30 January 2013

JENIS KESALAHAN BAHASA...!


BIL
CONTOH AYAT
JENIS KESALAHAN
1
Anak-anak perlulah menghargai pengorbanan ibu-bapa mereka.
Kata/ejaan – ibu bapa
2
Maharaja itu menganggap dirinya mahakuasa.
Imbuhan – maha kuasa
3
Ramai yang tertidur di dalam mesyuarat itu.
Tatabahasa – dalam….
4
Antara masalah-masalah kesihatan yang dihadapi ialah obesiti.
Tatabahasa – Antara masalah
5
Abang sedang mengecaj bateri telefonnya.
Istilah - mengecas

MAHARAJA / MAHA RAJA...!

Kata maha ialah kata imbuhan pinjaman yang boleh bertindak sebagai kata penguat yang membawa maksud paling, sangat atau amat. Pengguna bahasa Melayu diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan ini secara salah atau tidak gramatis, iaitu:-
  • Apabila dugunakan dengan kata adjektif (Tidak boleh dirapatkan), contohnya:-
  1. maha mulia
  2. maha adil 
  3. maha esa
  4. maha besar
  5. maha mengasihani
  6. maha agung
  • Apabila digunakan dengan kata nama (Hendaklah dirapatkan), contohnya:-
  1. mahaguru
  2. mahasiswa
  3. mahasiswi
  4. maharaja
  5. maharani
  6. mahameru

SIMPULAN BAHASA (1)....!

Frasa indah ataupun juga disebut ungkapan bahasa indah (UBI) amat digalakkan penggunaannya dalam penulisan karangan. Di samping dapat memperkukuh hujah atau idea, frasa indah ini boleh membantu sesuatu penulisan menjadi lebih matang, puitis dan menarik. Salah satu bentuk frasa indah dalam penulisan ialah penggunaan peribahasa. Seperti diketahui umum, peribahasa boleh dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu:-
  1. Simpulan Bahasa
  2. Perumpamaan
  3. Bidalan
  4. Pepatah
Kesempatan kali ini, cikgu akan mengutarakan topik simpulan bahasa.

SIMPULAN BAHASA
  • Ungkapan yang biasa terdiri daripada dua patah perkataan.
  • Membawa maksud yang berbeza sekali daripada maksud perkataan yang membentuknya.
A
Ada hati - Ada keinginan yang melebihi kesanggupan
Ada jalan - Ada cara untuk melakukan sesuatu
Alas perut - Makan sedikit untuk mengurangkan rasa lapar
Ambil berat - Memberikan perhatian
Ambil hati - Melakukan sesuatu supaya disukai orang
Anak angkat - Anak orang lain yang dijaga seperti anak sendiri
Anak emas - Orang yang disayangi
Anak yatim - Anak yang kematian ibu atau bapa
Angkat kaki - Cabut lari atau meningggalkan sesuatu tempat dengan terburu-buru
Atas pagar - Tidak menyebelahi mana-mana pihak

B
Baik hati - Orang yang suka membantu orang dalam kesusahan
Banyak mulut - Orang yang suka bercakap atau berleter
Batu api - Orang yang suka menghasut
Bawa diri - Kecewa atau merajuk
Bawa mulut - Orang suka bercerita tentang hal orang lain
Bekas tangan - Hasil ciptaan seseorang
Buka mata - Insaf akan kesalahan yang dilakukan
Busuk hati - Hati yang jahat
Buta huruf - Tidak tahu membaca

C
Cakap besar - Orang suka mengaku dirinya seorang yang hebat
Campur tangan - Ambil tahu akan urusan orang lain
Cari jalan - Berusaha untuk menyelesaikan masalah

D
Durian runtuh - mendapat rezeki dengan tidak diduga

G
Gaji buta - Gaji yang diterima dengan tidak perlu bekerja keras

H
Harga diri - Maruah seseorang
Harga mati - harga tetap atau paku belanda
Hidung tinggi - Orang sombong
Hilang akal - Tidak tahu apa yang hendak dibuat

I .............. hingga ke Z selepas ini.

ESEI: MENGGALAKKAN GOTONG-ROYONG....!

Soalan:
Kelebihan amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat tidak dapat disangkal lagi. Apakah langkah-langkah untuk menggalakkan amalan gotong-royong dalam kalangan pelajar?


PENDAHULUAN:-
  • Gotong-royong telah menjadi amalan turun-temurun masyarakat Melayu.
  • Kehidupan mereka tidak dapat lari daripada semangat tolong-menolong, sandar-menyandar ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
  • Namun sayang seribu kali sayang, kini amalan gotong-royong semakin dilupakan terutamanya dalam kalangan pelajar.
  • Pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan bagi menggalakkan amalan gotong-royong dalam kalangan pelajar.
ISI-ISI PENTING:-
  • Ibu bapa sewajarnya menanamkan amalan gotong-royong kepada anak-anak sejak di dalam buaian lagi.
  • Ibu bapa juga mestilah lebih mempamerkan teladan yang baik terhadap anak-anak mereka.
  • Anggota keluarga juga perlu memainkan peranan menggalakkan anak-anak mendekatkan diri dengan aktiviti gotong-royong.
  • Guru-guru di samping tugas hakiki mendidik anak bangsa, seharusnya sentiasa memberikan nasihat dan tunjuk ajar tentang kelebihan gotong-royong.
  • Kementerian Pelajaran melalui pihak sekolah mestilah memperbanyak aktiviti yang mendorong pelajar menjalankan aktiviti gotong-royong.
  • Masyarakat sekeliling sentiasa menyokong segala program yang diatur untuk tujuan tersebut di samping menjadi cerminan kepada golongan pelajar.
  • Peranan media massa menyebarkan maklumat tentang kepentingan gotong-royong kepada golongan pelajar melalui kempen-kempen yang berkesan.
  • Golongan pelajar juga perlu sedar betapa berfaedahnya amalan gotong-royong ini jika sentiasa diutamakan.
  • Golongan pendakwah boleh membantu menyemaikan amalan ini dalam kalangan pelajar.
PENUTUP:-
  • Kesimpulannya, semua pihak perlu lebih komited menyemaikan amalan gotong-royong dalam kalangan pelajar agar amalan yang mulia ini terus hidup dalam kalangan pelajar. 

Tuesday, 29 January 2013

KALI DAN KALA...!

Satu perkara yang boleh mengelirukan pelajar mahupun pengguna bahasa Melayu adalah tentang ejaan bagi kata yang terkandung perkataan 'kala' dan 'kali'. Apa yang menimbulkan kekeliruannya adalah sama ada kata tersebut dieja rapat ataupun terpisah, misalnya:-
  • seringkali / sering kali ??
  • kadangkala / kadang kala ??
Pada kesempatan ini, cikgu ingin memberikan panduan atau tip mudah untuk mengejakan perkataan-perkataan seperti di atas. Bagi semua kata yang ada 'kali', hendaklah diejakan TERPISAH.

Manakala bagi semua kata yang ada 'kala' pula, hendaklah dieja RAPAT. Lihat contoh-contoh di bawah:-
  • KALI
  1. sering kali
  2. kerap kali
  3. acap kali
  4. beberapa kali
  5. tiga kali
  • KALA
  1. tatkala
  2. kadangkala
  3. apakala
  4. dahulukala
  5. sediakala
  6. manakala

KERANDA 152...!


Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak Keranda 152
Ke tanah perkuburannya parlimen
Sepuluh tahun nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu.

Usman Awang, 1967

SOALAN SPM 2010...!



Subjekpdf
Bahasa Melayu Kertas 1SPM 2010 BM kertas 1.pdf
SPM 2010 BAHASA MELAYU kertas 1.pdf
Bahasa Melayu Kertas IISPM 2010 BM kertas 2.pdf
SPM 2010 BAHASA MELAYU kertas 2.pdf
Matematik Kertas ISPMU 2010 MATEMATIK kertas 1.pdf
SPMU 2010 MATHEMATICS kertas 1.pdf
Matematik Kertas IISPM 2010 MATEMATIK kertas 2.pdf
SPM 2010 MATHEMATICS KERTAS 2.pdf
Sejarah
Sains
Sains Tambahan Kertas IADDITIONAL SCIENCE Kertas 1.pdf
Sains Tambahan Kertas IIADDITIONAL SCIENCE Kertas 2.pdf
Sains Tambahan Kertas IIIADDITIONAL SCIENCE Kertas 3.pdf
Sains Gunaan Kertas IAPPLIED SCIENCE Kertas 1.pdf
Sains Gunaan Kertas IIAPPLIED SCIENCE Kertas 2.pdf
Bahasa Cina Kertas IBAHASA CINA Kertas 1.pdf
Bahasa Cina Kertas IIBAHASA CINA Kertas 2.pdf
Bahasa Tamil Kertas IBAHASA TAMIL Kertas 1.pdf
Biologi Kertas IBIOLOGY Kertas 1.pdf
Biologi Kertas IIBIOLOGY Kertas 2.pdf
Biologi Kertas IIIBIOLOGY Kertas 3.pdf
Kimia Kertas ICHEMISTRY Kertas 1.pdf
Kimia Kertas IICHEMISTRY Kertas 2.pdf
Kimia Kertas IIICHEMISTRY Kertas 3.pdf
English for Science & Technology Paper IENGLISH FOR SCIENCE AND TECHNOLOGY Kertas 1.pdf
English for Science & Technology Paper IIENGLISH FOR SCIENCE AND TECHNOLOGY Kertas 2.pdf
Fizik Kertas I
Fizik Kertas IIPHYSICS Kertas 2.pdf
Fizik Kertas IIIPHYSICS Kertas 3.pdf
Pendidikan Syari'ah Islamiah Kertas IPENDIDIKAN SYARI'AH ISLAMIAH Kertas 1.pdf
Pendidikan Syari'ah Islamiah Kertas IIPENDIDIKAN SYARI'AH ISLAMIAH Kertas 2.pdf
Tasawwur Islam Kertas ITASAWWUR ISLAM Kertas 1.pdf
Tasawwur Islam Kertas IITASAWWUR ISLAM Kertas 2.pdf
Pendidikan Al-Quran & Sunnah Kertas IPENDIDIKAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH Kertas 1.pdf
Pengetahuan Sains Sukan Kertas IIPENGETAHUAN SAINS SUKAN Kertas 2.pdf

ULASAN KOMSAS SPM 2012...!


SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
FORMAT KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 (1103/2)

Markah Penuh: 110 markah


Soalan 1: Rumusan ( 30 markah )
Soalan 2: Pemahaman ( 35 markah )
  • 2(a) - Petikan Umum
  • 2(b) - Petikan Prosa Moden
  • 2(c) - Petikan Prosa Klasik
  • 2(d) - Petikan Puisi
Soalan 3: Pengetahuan Bahasa dan Kemahiran Tatabahasa ( 30 markah )
Soalan 4: Novel ( 15 markah )

Soalan KOMSAS (SPM) merujuk soalan pemahaman iaitu soalan no. 2(b), 2(c) dan 2(d) berdasarkan teks sastera iaitu Antologi Harga Remaja (Tg. 4) dan Antologi Dirgahayu Bahasaku (Tg. 5).

Di bawah ini ialah analisis soalan pemahaman KOMSAS SPM 2011 dan SPM 2012.
ANALISIS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS SPM 2011 - 2012
GENRE
TAHUN
PERINCIAN PETIKAN
ANTOLOGI
ASPEK KOMSAS
PROSA
MODEN
SPM 2011
Drama - Cempaka Berdarah
Harga Remaja
Nilai Murni
SPM 2012
Cerpen - Hutan Rimba
Dirgahayu Bahasaku
Nilai Kemanusiaan
PROSES
KLASIK
SPM 2011
Hikayat  Dua Geliga Hikmat
Dirgahayu Bahasaku
-
SPM 2012
Merah Silu
Harga Remaja
-
PUISI
SPM 2011
Pantun Enam Kerat
Dirgahayu Bahasaku
Pengajaran
SPM 2012
Bangkitlah
Dirgahayu Bahasaku
Pengajaran

Monday, 28 January 2013

ESEI SPM 2012(2)...!

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2012
BAHASA MELAYU KERTAS 1(1103/1)

BAHAGIAN B

Soalan 2:
Kebersihan kawasan sekitar penting untuk kesihatan dan keselesaan hidup. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir anggota masyarakat yang mengabaikan aspek kebersihan ini.
Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk 'Menjaga Kebersihan Tanggungjawab Kita Bersama'.

Tulislah rencana itu selengkapnya.

* Karangan ini adalah jenis berformat. 2 markah format akan ditolak jika tidak menulis menggunakan format rencana,
  • Tajuk rencana (1m)
  • Nama penulis (1m)
Antara idea yang boleh dikemukakan adalah seperti berikut:-
  • Peranan ibu bapa mendidik anak-anak agar mementingkan kebersihan dan kesihatan.
  • Peranan pihak sekolah merealisasikan perkara tersebut.
  • Peranan media massa menyebarkan maklumat kepada semua pihak.
  • Peranan kerajaan menguatkuasakan undang-undang.
  • Peranan pihak swasta membantu agensi berkaitan bagi mencapai tujuan tersebut.

             

ESEI SPM 2012(1)...!

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2012
BAHASA MELAYU KERTAS 1 (1103/1)

BAHAGIAN B
Soalan 1.
Setiap tahun sekolah anda menganjurkan pelbagai program motivasi dan anda sering terlibat dalam program-program tersebut.
Berikan pendapat anda tentang faedah-faedah menyertai program motivasi.

* Calon perlu menulis penglibatannya dalam program motivasi yang disertainya.

Antara idea yang boleh dikemukakan adalah seperti berikut:-

  • Meningkatkan jati diri
  • Membina keyakinan diri
  • Suntikan minat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh
  • Dapat bergaul dengan pelajar-pelajar lain dan berkongsi idea serta pengalaman
  • Dapat menambahkan ilmu pengetahuan yang pelbagai
  • Melakukan anjakan paradigma daripada negatif kepada positif
  • Menyedari peripentingnya kasih sayang dan keprihatinan dalam keluarga
  • Menyedari peripentingnya pengurusan masa secara bijaksana

KESALAHAN BAHASA 3....!

Kesalahan yang paling kerap berlaku oleh pengguna bahasa yang kurang berilmu dan kurang prihatin akan peraturan bahasa ialah kesalahan tatabahasa. Kesalahan jenis ini biasanya melibatkan penggunaan kata kerja, kata tugas mahupun kata adjektif. Kesilapan jenis juga biasanya melibatkan lebih daripada satu perkataan.
Contoh kesalahan dan pembetulannya:-
  1. Ibu amat merindui akan anak tunggalnya yang kini sedang menuntut di luar negara.
  2. Blog yang baharu itu telah dihasilkan oleh saya.
  3. Para pelajar disarankan agar saling bantu-membantu ketika menyiapkan tugasan itu.
  4. Pandangan yang diutarakan itu adalah berdasarkan al-Quran.
  5. Buku himpunan hadis-hadis nabi telah kehabisan di pasaran.
  6. Harga-harga baju di pameran itu mahal-mahal dan tiada banyak pilihan.
  7. Penampilannya pada malam tadi begitu cantik sekali.
  8. Jangan mengotorkan kelas dengan lebihan makanan itu.
  9. Semua juru-juruterbang MAS akan menghadiri kursus di Kota Bharu.
  10. Selain daripada mengerjakan solat, umat Islam juga disarankan agar memperkukuh silaturahim.
JAWAPAN:-
  1. Ibu amat merindui anak.... / Ibu amat rindu akan ...
  2. ... telah saya hasilkan.
  3. ..... saling membantu / .... bantu-membantu....
  4. .... diutarakan itu adalah dengan berdasarkan ... / diutarakan itu berdasarkan ....
  5. ... himpunan hadis....
  6. Harga-harga baju ................. mahal .. / Harga baju di pameran itu ..... mahal-mahal .....
  7. ....begitu cantik / cantik sekali
  8. Jangan kotorkan .....
  9. Semua juruterbang ....
  10. Selain mengerjakan solat ....

Sunday, 27 January 2013

KATA PENGUAT...!

Penggunaan kata penguat dalam bahasa Melayu amat penting. Kata penguat berfungsi sebagai penguat kepada maksud sesuatu kata adjektif (kata sifat). Kata penguat dapat dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu:-
  • Kata penguat depan (KPD)
..............................+ Kata adjektif (KA) - [ begitu, paling, agak, demikian ]
  1. Kata penguat depan (KPD) hanya boleh digunakan di depan kata adjektif (KA)
  2. Contohnya:-
               a. begitu cantik.
               b. paling cantik
               c. agak cantik
               d. demikian cantik
  • Kata penguat belakang (KPB)
Kata adjektif (KA) + ............................... [ sekali, benar, betul, nian, juga ]
  1. Kata penguat belakang (KPB) hanya boleh digunakan di belakang/selepas kata adjektif (KA)
  2. Contohnya:-
               a. cantik sekali
               b. cantik benar
               c. cantik betul
               d. cantik nian
               e. cantik juga
  • Kata penguat bebas (KPBe)
..............................+ Kata adjektif (KA) +............................... [ amat, sungguh, sangat ]
  1. Kata penguat belakang (KPBe) boleh digunakan sama ada di depan atau di belakang kata adjektif.
  2. Contohnya:-
               a. amat cantik / cantik amat
               b. sungguh cantik / cantik sungguh
               c. sangat cantik / cantik sangat
              


ESEI: KEPENTINGAN KOKURIKULUM...!


TAJUK: 
  • Kepentingan kokurikulum kepada golongan remaja/pelajar
PENDAHULUAN:
  • AR: Kementerian Pelajaran Malaysia begitu memandang berat tentang keterlibatan para pelajar dalam aktiviti kokurikulum kerana sumbangan dan peranannya mampu melahirkan generasi muda yang mapan sahsiah dan unggul cendekiawannya.
  • AH: Kegiatan kokurikulum yang terbahagi kepada tiga disiplin utama iaitu sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta badan beruniform wajib disertai oleh setiap pelajar.
  • AA: Pelbagai kepentingan yang diperoleh oleh golongan pelajar daripada penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum.
ISI PENTING:
  • Melahirkan golongan pelajar yang serba-serbi sempurna sama ada dari segi akademik, sahsiah diri dan kepemimpinan serta tahap kesihatan yang terbaik.
  • Memberikan ruang dan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat serta kebolehan individu yang dimiliki setiap pelajar.
  • Memupuk semangat kerjasama dan kebergantungan dalam kalangan pelajar.
  • Mendidik pelajar menjadi bakal pemimpin yang serba boleh.
  • Meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang tidak diperoleh di bilik darjah.
  • Menanam semangat cinta akan negara.
  • Memupuk semangat perpaduan antara kaum.
  • Menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah.
  • Menjauhi pelajar daripada terlibat dengan aktiviti yang negatif.
  • Mengisikan masa lapang pelajar secara terancang.
  • Melahirkan golongan pelajar yang cerdas minda dan cergas fizikal.
  • Meningkatkan minat pelajar tentang aktiviti persekolahan.
  • Membantu kerajaan dalam menangani isu kebejatan sosial dalam kalangan remaja.
  • Menjadi medan Kementerian Pelajaran Malaysia menyampaikan visi serta misi kerajaan.
  • Melahirkan golongan pelajar yang lebih mapan dari segi disiplin dan kepemimpinan.
  • Mengeratkan hubungan antara guru dengan pelajar serta ibu bapa.
  • Mendekatkan pelajar dengan program sekolah.
PENUTUP:
  • Kokurikulum wajar diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak memandangkan sumbangan dan peranan yang dimainkannya begitu besar dan berpengaruh.
  • Walaupun masih mempunyai kekurangan tersendiri, namun aktiviti ini seharusnya dikemaskinikan sentiasa agar yang kurang dapat ditambah, yang bocor dapat ditampung dan yang lemah dapat diperkasakan.

DISKUSI BAHASA 1...!

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan cuba kenal pasti kesalahannya serta cadangkan cara pembetulannya.
  1. Adalah dimaklumkan bahawa kegiatan kokurikulum pada minggu ini akan dibatalkan.
  2. Ibu menghadiahkan adik sepasang baju kurung berwarna merah sempena harijadinya yang ke 16.
  3. Alat penghawa dingin yang dijual di pasar raya itu dikatakan berkualiti tinggi.
  4. Datuk gemar menceritakan berkenaan peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu kepada cucu-cucunya.
  5. Ramai di antara pelajar yang tidak memberi perhatian semasa guru mengajar.
  6. Kami saling bersalam-salaman selepas tamat perlawanan itu.
  7. Ikan yang baru dibeli itu emak simpan di dalam peti sejuk.
  8. Pasukan polis sedang menjejaki penjenayah itu berasaskan pada maklumat yang diberikan oleh orang asli.
  9. Kegiatan seludup beras di sempadan semakin menular kerana harga beras di pasaran semakin tinggi.
  10. Jimat-cermat merupakan amalan yang sangat dituntut oleh agama.
JAWAPAN:-
  1. Dengan ini dimaklumkan....
  2. Ibu menghadiahi adik.... hari jadi.. ke-16
  3. Alat pendingin hawa...
  4. Datuk gemar menceritakan peristiwa....
  5. Ramai antara pelajar...
  6. Kami saling bersalaman....
  7. Ikan yang baru dibeli itu disimpan oleh emak/disimpan emak....
  8. ...... berasaskan maklumat....
  9. Kegiatan menyeludup beras....
  10. Jimat cermat ........

KESALAHAN BAHASA 2...!

Tulisan sebelum ini cikgu telah memperkatakan kesalahan bahasa Melayu jenis kesalahan ejaan. Untuk kali ini pula cikgu akan cuba mengetengahkan beberapa kesalahan bahasa Melayu jenis pengimbuhan. Kebanyakan pengguna bahasa sebenarnya sudah memahami proses pengimbuhan terhadap kata dasar atau kata akar namun, mungkin ada segelintir pengguna yang masih keliru dan mereka ini perlu dibantu.
* KESALAHAN PENGIMBUHAN
  • Pasukan The Red Warriors telah mensasarkan kejayaan menjuarai dua buah piala pada tahun ini.
  1. Mensasarkan sepatutnya dieja sebagai menyasarkan. (dieja sepertimana kata yang bermula dengan huruf 's': seri - menyeri, sapu - menyapu, selam - menyelam, sasar - menyasar)
  • Kerajaan akan mempastikan rancangan perlaksanaan projek itu berjalan dengan lancar.
  1. Mempastikan sepatutnya dieja sebagai memastikan. (pasang - memasang, pukul - memukul)
  2. Perlaksanaan sepatutnya dieja sebagai pelaksanaan. (lantik - pelantikan, letak - peletakan.

Saturday, 26 January 2013

PELBAGAI MAKNA KATA...!


BINA AYAT
Merujuk kepada soalan Bahasa Melayu Kertas 2 SPM, soalan bahagian Penguasaan dan Kemahiran Bahasa, pelajar-pelajar akan diuji tentang cara membina ayat dengan menggunakan pelbagai jenis kata. Pelajar mungkin sekadar diminta membina ayat berdasarkan makna kata, pengimbuhan kata dan juga makna  yang berbeza bagi perkataan yang sama. Lihat contoh soalan di bawah:-
  • BINA AYAT YANG MENUNJUKKAN MAKNA YANG BERBEZA
a) Kompleks
- Masalah itu tidak dapat diselesaikan kerana terlalu kompleks. ( kompleks bermaksud rumit/sulit )
b) Kompleks
- Kompleks sukan itu dibina untuk memberi kemudahan kepada masyarakat sekitar. ( kompleks bermaksud
   kelompok bangunan )
a) Karang
- Terdapat pelbagai jenis karang di dasar laut itu. ( karang bermaksud timbunan batu kapur di dasar laut )
b) Karang
- Sila karang cerita tentang pengalaman yang ditempuh semasa cuti yang lalu. ( karang bermaksud menulis )



BUKU MURAH...!

Konsep Kesalahan Bahasa Dalam Bahasa Melayu
Konsep Kesalahan Bahasa Dalam Bahasa Melayu 
PENULIS / PENYELENGGARA:
Awang Sariyan
PENERBIT: DBP
NO. KK: 400 449852
ISBN: 9836245758
TAHUN: 2002
HALAMAN: 46

KESALAHAN BAHASA...!

Pelbagai jenis kesalahan yang terdapat dalam sesebaris ayat yang dibina oleh pengguna bahasa yang kurang prihatin akan peraturan penggunaan setiap aspek ilmu bahasa Melayu. Antara kesalahan yang lumrah adalah seperti kesalahan dari segi pengimbuhan, ejaan, penggandaan, penggunaan kata sendi, pemeri dan lain-lain. Sebagai pelajar yang memiliki pengetahuan bahasa Melayu yang mantap, agak mudah untuk kita mengesan kesalahan-kesalahan tersebut. Cuba teliti beberapa kesalahan bahasa Melayu di bawah:-
* KESALAHAN EJAAN:-
  • Orang tua yang berambut kerinting itu berpakaian lusoh.
  1. Kerinting sepatutnya dieja sebagai keriting.
  2. Lusoh sepatutnya dieja sebagai lusuh.
  • Umat Islam menjadikan amalan mengerjakan ibadah itu sebagai pencuci diri daripada dosa.
  1. Ibadah sepatutnya dieja sebagai ibadat.
  2. Pencuci sepatutnya dieja sebagai penyuci. (kata dasarnya ialah suci, bukannya cuci)
  • Mesyuarat Agong PIBG akan berlangsung pada bulan May depan.
  1. Agong sepatutnya dieja sebagai Agung.
  2. May sepatutnya dieja sebagai Mei.
  • Emak telah membeli mee goreng dan satay untuk juadah makan tengahari nanti.
  1. Mee sepatutnya dieja sebagai mi, satay sepatutnya dieja sebagai sate.
  2. Tengahari sepatutnya dieja sebagai tengah hari.

Friday, 25 January 2013

KEPUTUSAN STAM 30 JANUARI...!

Sijil Tinggi Agama Malaysia
Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diumumkan pada 30 Januari 2013 (Rabu).

Thursday, 24 January 2013

NIK SAFIAH KARIM...!


Kesempatan pada kali ini cikgu ingin bercerita tentang tokoh bahasa tersohor yang sekampung dengan cikgu. Beliau ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim.

"Memang benar bahasa Inggeris itu bahasa dunia dan bertaraf antarabangsa, tetapi keistimewaan bahasa Melayu tidak boleh digugat. Martabatkanlah bahasa tanah air kita dengan berasa bangga untuk mengamalkan penggunaannya di mana-mana sahaja. Jika kita lihat bangsa Jepun, mereka tetap berbicara dengan bahasa Jepun walau dalam majlis formal."

"Kebanyakan daripada orang Melayu sendiri lebih suka berbual dalam bahasa Inggeris, begitu juga ketika majlis-majlis rasmi. Sedangkan, apalah salahnya jika mereka bercakap dalam bahasa Melayu kerana sudah jelas negara kita telah mengiktirafkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kita perlu mengagungkan bahasa sendiri."
- saranan yang biasa diucapkan beliau.

PERSONALITI TOKOH
NAMA: Nik Safiah Karim
TARIKH LAHIR: 17 Disember 1939
TEMPAT LAHIR: Kampung Banggol, Jalan PCB, 15350 KOTA BHARU, KELANTAN.

PENDIDIKAN:
  • Sek Rendah. Inggeris Perempuan
  • Maktab Perempuan Melayu (kini Kolej Tunku Kursiah)
  • St. Francis Institution, Melaka
  • Universiti Malaya - Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian
  • Ohio University, USA - Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Linguistik
JAWATAN YANG PERNAH DISANDANG:
  • Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial
  • Ketua Jabatan Pengajian Melayu
  • Timbalan Ketua Pengarah DBP
  • Pengasas dan Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia
  • Pengasas PERTIWI dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia
  • Pengerusi bersama Suruhanjaya Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
  • Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Negara
ANUGERAH:
  • Pingat Kesatria Mangku Negara
  • Johan Mangku Negara
  • Johan Panglima Negara
  • Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon
  • Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah
  • Anugerah Profesor Emeritus

Monday, 21 January 2013

EH, SALAH TU...!


Jika kita menggunakan jalan raya untuk ke sesebuah destinasi, apabila menghampiri sesuatu selekoh terutama yang banyak berlaku kemalangan, sudah pasti kita akan tersenyum sinis. Kenapa? Hal ini kerana kita akan berhadapan dengan kesilapan bahasa yang lumrah. Papan tanda "AWAS SELEKOH MERBAHAYA", betulkah penggunaan ejaan bagi kata 'merbahaya' itu?
  • merbahaya > kata dasar ialah bahaya
  • mer > bertindak sebagai imbuhan awalan
  • setahu saya, tidak wujud sama sekali imbuhan 'mer' dalam bahasa Melayu
  • merbahaya sepatutnya dieja sebagai 'berbahaya'
  • AWAS SELEKOH BERBAHAYA 

DALAMNYA MESEJ PANTUN...!

PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,
   Kelapa muda jadi kemirau,
      Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
   Rasa sedih buat tak hirau,
      Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
   Galah pendek buluh sumpitan,
      Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
   Sudah takdir sudah suratan,
      Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
   Gelama tidak berumpan lagi,
      Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang baru,
   Yang lama tidak berkenan lagi,
      Ibarat melukut di tepi gantang.

Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
Antologi Dirgahayu Bahasaku (Teks Tingkatan 5)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Betapa indah, puitis dan bermakna ciptaan nenek moyang kita. Menggambarkan keikhlasan hati dan ketinggian budi dalam melafazkan isi hati.

MAKSUD PANTUN RANGKAP PERTAMA
- Pantun ini menggambarkan perasaan kecewa yang cuba disembunyikan oleh seseorang. Mungkin seseorang itu terpaksa memendamkan rasa demi menjaga hati dan perasaan orang lain sesuai dengan sikap dan pegangan masyarakat lampau yang amat mementingkan orang sekeliling.

MAKSUD PANTUN RANGKAP KEDUA
- Pantun ini menjelaskan bahawa sesuatu musibah yang menimpa seseorang itu bukan berpunca daripada orang lain melainkan perkara itu telah ditakdirkan.

PENGAJARAN DARIPADA PANTUN RANGKAP KETIGA
- Tiga pengajaran yang boleh diambil daripada maksud pantun rangkap ini ialah:-
  • Kita janganlah mudah mengetepikan orang yang sudah lama bersama-sama kita apabila mendapat orang baharu.
  • Kita hendaklah menghargai orang lama walaupun telah mendapat orang baharu kerana sumbangan yang telah diberikan.
  • Kita mestilah mengenang jasa dan sumbangan orang lama.

Sunday, 20 January 2013

AKU...


aku...
kerdil di lebuh kemajuan
mencari isi yang dah basi, ketika haruan menjolok arus
persis meronta menadah doa
hanya ihsan
dan belas kasihan
meronta minta dikasihan

aku...
masih kaku membilang batu
titis hujan satu, satu
lalu air deras mengalir
tinggal aku
menggagahi sisa usia

satu gejolak meronta di minda
perjuangan apa yang mahu aku langsungkan??


Kota Bharu, 21 Januari 2013

SEKAPUR SIRIH...


Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pembaca budiman sekalian, pepatah ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya; bermaksud sesuatu yang dinamakan kejayaan itu tidak akan digapai tanpa sebarang kudrat melakarkan usaha. Dan sejauh mana keberhasilannya pula bergantung kepada sekuat mana diri berusaha untuk lebih berjaya.
Begitulah jua isu bahasa, setinggi mana duduknya bahasa kita, bergantung kepada sekuat mana iltizam kita mengangkatnya.
Rasa terpanggil demi menjulang bahasa Melayulah, yang menjadi sandaran blog kerdil ini dilahirkan.

"Takkan Melayu Hilang Di Dunia"

PROMOSI III

Loading...