ESEI: PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN...!
Pengurusan masa yang berkesan sangat penting kepada setiap orang. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa masa itu emas, menunjukkan masa merupakan sesuatu yang sangat bernilai dan tiada tandingannya. Dalam sepotong hadis, Rasulullah menyatakan bahawa masa ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, maka masa akan memotong kita. Begitulah pentingnya masa kepada semua orang, terutamanya kepada pelajar sekolah. Mereka perlu bijak menguruskan masa kerana pelbagai faedah akan diperoleh jika dapat menguruskan masa dengan berkesan.
Pengurusan masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah dibuat secara berjadual. Pada masa yang sama, mereka tidak akan berada dalam keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang diberikan tugasan supaya menyiapkan buku skrap Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan mengenai sumbangan negara kita dalam membantu negara-negara yang mengalami bencana alam di rantau Asia dapat diselesaikan mengikut tempoh yang dirancang jika pelajar tersebut membuat jadual kerja yang lebih terancang. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pengurusan masa yang berkesan menyebabkan seseorang itu mampu menyusun aktiviti secara lebih terancang.
Selain itu, dapat membentuk disiplin diri yang terpuji juga merupakan faedah yang akan diperoleh jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan. Seseorang itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji al-Quran. Jadual yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut berupaya menguruskan kehidupannya dengan teratur kerana mereka dapat melaksanakan urusan kehidupan mereka secara teratur. Mereka perlu mematuhi jadual yang telah dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku, seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah menguruskan masa dengan berkesan. Pakar motivasi pendidikan, Dr. Ismail Zain sering mengingatkan pelajar sekolah supaya bijak merancang masa kerana kecemerlangan datang daripada pengurusan masa yang berkualiti. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, disiplin diri yang terpuji dapat dibentuk jika seseorang itu menguruskan masa dengan berkesan.
Akhir sekali, pengurusan masa yang berkesan juga mampu meningkatkan kecemerlangan diri setiap orang. Masa yang dirancang dengan sempurna dapat meningkatkan kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Hal ini demikian kerana seseorang yang bijak merancang masa mampu mengelakkan diri mereka daripada membazir masa dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Masa yang dirancang secara berkualiti dapat melahirkan insan yang holistik. Sebagai contoh, pelajar yang bijak merancang masa akan cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Hal ini dapat direalisasikan jika mereka merancang masa yang berkualiti seperti menetapkan tempoh masa untuk belajar, mengikuti kelas tuisyen, berekreasi, menonton televisyen, membantu ibu bapa dan mengaji al-Quran. Pelajar yang merancang masa seperti ini dapat membina kecemerlangan diri mereka kerana kehidupan seharian mereka telah dihabiskan dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Mereka bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum tetapi pada masa yang sama terhindar daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat. Oleh itu,jelas menunjukkan bahawa jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan, kecemerlangan diri akan dapat dinikmati dalam kehidupan mereka.
Kesimpulannya, setiap masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa yang terlepas tidak akan kembali semula. Berapa banyak masa yang telah kita bazirkan sebelum ini perlu dihitung semula kerana kita tidak berupaya untuk mengembalikan semula masa yang telah berlalu. Peribahasa ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadi, segala-galanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Sumber: Ubah suai daripada Blog Cikgu Azaman
So amazing ..... I am so glad that y'all did this karangan ....
ReplyDeleteBecause this karangan is so popular!!!!!
bagusnya ayat ini ! 🤩
ReplyDeleteWuish 7 tahun kemudian baru ada reply 😮
Delete