FIKSYEN SAINS DALAM PENULISAN...!


BENGKEL penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan yang diadakan di Auditorium Universiti Malaysia Kelantan (UMP) baru-baru ini mendapat sambutan dalam kalangan penulis Kelantan.
Bengkel sehari itu sarat dengan ilmu dan petua bernas dalam penghasilan novel yang yang bercorak sains dan teknologi. Bengkel ini dibimbing oleh tokoh sastera iaitu Dr. Saleeh Rahamad, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas, Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar dan Prof Madya Dr. Lim Swee Tin.
Turut serta sebagai panel ialah Pengarah Penerbitan UTM Press, Dr. Kassim Thukiman dan timbalannya, Khalid Mazlan yang bersemangat menggamit penyertaan khalayak penulis merebut peluang berkarya dan menyertai sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi yang yang dimulakan sejak 2009.
Program seumpama ini seharusnya direbut oleh kepimpinan persatuan penulis sebagai aktiviti yang berharga dalam membina ilmu ahli-ahli tanpa perlu menampung sebarang kos kecuali pengangkutan untuk ke UMK.
Paling tidak, ganjaran hadiah yang ditawarkan iaitu RM15,000 untuk juara bagi novel fiksyen sains teknologi terbaik, tempat kedua RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000 menjadi penyuntik semangat untuk mencungkil bakat yang ada.
Seperti kata, Mazlan dalam ucapan pembukaan bengkel berkenaan, banyak insentif bakal diperoleh pemenang termasuk cetakan beroyalti sebanyak 3,000 naskhah. Selain itu ada cadangan untuk dijadikan teks Komsas sekolah menengah. Ini menjadi rebutan peminat sastera untuk menyemarakkan fiksyen bercorak sains dan teknologi dalam kesusasteraan tanah air.
"Kalau dahulunya, karya fiksyen sains dan teknologi boleh dihitung dengan jari biarlah kali ini kita sama-sama menjadi pendukung untuk mewarnai dunia kesusasteraan dengan genre moden berasaskan cereka sains tanpa mengabaikan mesej positif kepada khalayak pembaca," katanya.
Dr. Hashim dalam bicaranya mengenai Fiksyen Sains Dan Teknologi Musim Ke-3, Apa Yang Dicari berkata, kriteria pemilihan adalah berkaitan dengan ilmu sains dan teknologi sebagai penggerak plot naratif.
Manakala idealisme dan gagasan pemikiran lebih menjuruskan kepada usaha membentuk jati diri bangsa dan melahirkan masyarakat saintifik yang berinovasi.
Nilai kreativiti karya yang dibangunkan melalui reka cipta yang asli secara luwes dan fasih; nilai bahasanya indah, kreatif, imaginatif dan berkesan. Kuat menunjang temanya, bukan sahaja membawa makna cerita bahkan bahasa itu sendiri dilihat sebagai idea, pemikiran dan ideologi.
Nilai keseimbangan yakni karya terbina secara harmonis antara subjek dengan teknik pengolahan serta mampu menarik minat pembaca ialah taruhan utama setiap sayembara yang dianjurkan.
Beliau berkata, nilai kognitif pula mampu menjana daya penaakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik, mengemukakan pemikiran positif, bervariasi, ganda depan, memancar citra tempatan, nilai akhlak yang menyumbangkan pembinaan sahsiah dan menyanjungi kemurnian adab Timur.
Malah, katanya, nilai keprihatinan yakni karya peka terhadap aspirasi nasional, dinamika sosial dan isu kemanusiaan sejagat perlu diselitkan dalam penghasilan karya.
"Karya yang besar lazimnya membawa satu falsafah tentang kehidupan masa depan dengan ideologi tertentu. Ideologi itu dibahaskan dan dinilai kembali sebagai satu saringan ilmu yang diwacanakan.
"Oleh itu, adalah menjadi harapan supaya peserta sayembara tidak hanya memaparkan elemen sains dan teknologi sebagai penggerak naratif tetapi mampu menggerakkan satu idea yang lebih besar terhadap pembangunan manusia khususnya bangsa Malaysia," katanya.
Dr. Ahmad Zaki dalam bicaranya Memfiksyen Sains dan Teknologi berpegang kepada kata kunci bahawa penulis mencipta teknologi tanpa kekangan bahan, masa dan ruang malah mampu berimaginasi menerjah alam futuristik untuk mencipta teknologi.
Justeru, katanya, pengkarya atau penulis juga mampu menzahirkan ilham yang pelbagai dalam bentuk sastera dengan melampaui rakaman fakta dan realiti dan menjadikan hasilnya sebagai wadah fiksyen yang ilmiah unsurnya dan berkesan menyampaikan ilham agung serta mesej yang tersirat.
Menurutnya, ilusi imaginasi ialah kejayaan pengkarya menggunakan elemen seni untuk memanjangkan imaginasi pembaca dan pada masa yang sama pembaca perlu percaya dan yakin spekulatif sains dan teknologi yang diceritakan dalam novel mungkin boleh berlaku secara saintifik dalam persekitaran komuniti mereka.
"Cipta teori atau hukum sains dan teknologi baru untuk dijadikan persoalan menarik dalam novel fiksyen sains dan teknologi boleh digarapkan dengan mewujudkan pertentangan dengan teori asal (antitesis), mencipta teori yang belum pasti kesahihannya, menukar elemen dalam teori asal, menukar persekitaran atau menerapkan teori asal pada aplikasi yang belum pernah digunakan adalah pendekatan bijak menghasilkan karya fiksyen yang berkualiti.
"Penghasilan karya ini tidak seharusnya bergantung kepada imaginasi tetapi masih perlu berpaut kepada kajian dan penyelidikan, merujuk buku, ensiklopedia dan sebagainya ," ujarnya.
Dr. Ahmad Zaki berkata, contoh perwatakan bagi karya fiksyen sains dan teknologi mungkin boleh diserlahkan seperti protagonis dan antagonis yang membabitkan watak manusia, robot, komputer atau makhluk asing.
Dr. Lim Swee Tin pula dalam bicaranya Menjengah Kekuatan Kkarya Pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-2 berkata, novel adalah rakaman wacana dalam kehidupan. Seawal huruf sehinggalah pengakhirannya novel memerihalkan sebuah pemikiran.
Novel sains dan teknologi, katanya, secara mudah boleh difahami sebagai karya yang menggunakan tema yang bersangkutan dengan bidang sains dan secara relatifnya masih baharu di persada kesusasteraan.
Ini sewajarnya perbanyakkan peneroka dan penggeraknya yakni warga karyawan sendiri serta mereka yang meminatinya.
Beliau turut membicarakan skop kreatif dalam penghasilan novel, kriteria nilai dan kesan karya; kekuatan karya musim pertama, kesepaduan elemen struktur karya, perincian elemen struktur novel, ketelitian sebagai satu teknik penggarapan dan panjang lebar kupasan mengenai novel Equilibria hasil karya Sri Rahayu Mohd. Yusop yang memenangi tempat kedua.
Sementara itu, Dr. Saleeh Rahamad memperkatakan etika, ideologi, nilai dan idealisme, undang-undang, agama, khurafat dan politik dalam bicaranya yang bertajuk Paksi Cereka Sains; Etika, Ideologi dan Nilai.
"Novel yang dicari bukanlah sebuah alam utopia, sebuah dunia antah berantah sehingga menjangkau latar waktu masa depan tetapi cukuplah dengan dunia masa kini yang latarnya yang kita kenali. Yang utama ialah penjelasan sains dalam perkara yang menggerakkan plot dan memadai juga dengan pengetahuan sains yang sedia ada.
"Tujuannya adalah untuk mendekatkan pembaca dengan dunia sains dan mereka dapat memahami misteri dalam alam sains. keghairahan untuk mencari dunia asing dan latar masa depan hanya akan memerangkap teks ke dalam genre fantasi," katanya.
Keseluruhannya bengkel ini adalah ruang awal untuk bertatih sementara sayembara adalah taruhannya. Dengan petua dan laras yang diberikan oleh ahli panel memudahkan peserta menepati kriteria yang diperlukan oleh sayembara ini.


Sumber: Ubah suai dari Utusan Malaysia, 15/12/2013


Comments

Popular Posts