BIDUK LALU KIAMBANG BERTAUT...!

Peribahasa juga merupakan bahagian tajuk penting yang perlu dikuasai oleh pelajar sama ada di peringkat PMR mahupun SPM. Maksud dikuasai di sini ialah, para pelajar seharusnya mengetahui maksud dan bagaimana menggunakan paribahasa tersebut dalam ayat. Pelajar-pelajar mestilah sentiasa merujuk kamus peribahasa ataupun bertanyakan masalah kepada orang yang lebih tahu.
Di bawah, cikgu ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang peribahasa yang kebanyakan daripada kita menganggapkan sama maksud dan penggunaannya walhal jika diberikan sedikit perhatian, sebenarnya kedua-dua ungkapan peribahasa di bawah memiliki maksud yang agak berbeza.
  • (1) carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
  • (2) air yang dicencang tidak akan putus
Peribahasa (1) membawa maksud perselisihan/pergaduhan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan, biasanya akan berbaik semula dalam jangka masa yang terdekat. Peribahasa ini memang sama maksud dengan peribahasa seperti:-
  • biduk lalu kiambang bertaut
Manakala peribahasa (2) bermaksud perselisihan/pergaduhan antara adik-beradik atau ahli keluarga walau separah mana sekalipun, hubungan kekeluargaan (hubungan darah) tetap tidak akan terputus. Misalnya perbalahan/perselisihan/pergaduhan antara anak dengan bapa, walaupun anak telah terbunuh, hubungan keluarga iaitu bapa dan anak tidak akan terputus sampai bila-bila.
Penggunaan Peribahasa Dalam Ayat:-
  1. Perselisihan faham antara Ali dengan Ahmad tidak akan berpanjangan kerana mereka itu adik-beradik ibarat carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
  2. Walaupun usaha memisahkan anak-beranak itu dibuat, namun mereka tetap tidak dapat dipisahkan kerana air yang dicencang tidak akan putus.
  3. Jangan kita masuk campur dalam pergaduhan yang berlaku antara adik-beradik kerana pergaduhan itu tidak akan berpanjangan, seperti biduk lalu kiambang bertaut.

Comments

Popular Posts