MARCAPADA INI, MUTAKHIR INI...!

Sebelum ini cikgu ada membincangkan kesalahan penggunaan 'penanda wacana' dalam penulisan karangan. Kecenderungan pelajar untuk menggunakan 'penanda wacana' yang difikirkan 'hebat' adalah kerana mereka beranggapan bahawa pemeriksa akan memberikan markah yang baik khusus untuk penanda wacana yang digunakan. Untuk makluman pelajar, sebenarnya tidak ada peruntukan markah yang khusus untuk penggunaan penanda wacana, lebih-lebih lagi penanda wacana yang tidak sesuai atau sama sekali tidak boleh digunakan.
Penanda wacana seperti 'mutakhir ini' dan 'marcapada ini' sering digunakan oleh pelajar, walhal penggunaannya benar-benar SALAH dan tidak menepati peraturan bahasa yang baku.

  • Mutakhir misalnya merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 bermaksud terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu dan kemas kini. Contoh penggunaan dalam ayat ialah:-
  1. Berita mutakhir (terbaharu) tentang penculikan itu akan disiarkan oleh Buletin TV3.
  2. Buku Kamus Dewan Edisi ke-4 menjadi rujukan mutakhir (terakhir) kepada pelajar-pelajar.
  3. Mutakhir (Akhir-akhir ini), ramai pelajar terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Cuba analisis pula contoh ayat yang menggunakan perkataan 'mutakhir ini' di bawah:-
  1. Sejak mutakhir (akhir-akhir ini) ini, gejala sosial semakin menular dalam kalangan pelajar.- Penggunan kata 'ini' berulang-ulang. - SALAH
  • Begitu juga dengan penggunaan 'marcapada' yang bermaksud dunia sekarang ini. Jadi jika pelajar menggunakan kata 'marcapada' dengan kata 'ini', maka terlahirlah ayat seperti di bawah:-
  1. Marcapada (Dunia sekarang ini) ini, ramai pelajar suka akan hiburan. - Pengulangan kata ini - SALAH
  • Penggunaan yang betul kata marcapada ialah:-
  1. Diharapkan dengan kursus seperti ini para remaja tidak akan terpedaya dengan marcapada yang penuh dengan pancaroba.


Comments

Post a Comment

Popular Posts