ESEI: MEMBENDUNG KEGANASAN RUMAH TANGGA...!


PENDAHULUAN:-
  • Mutakhir, kes penderaan dan keganasan rumah tangga semakin berleluasa.
  • Kes sebegini tidak boleh dipandang remeh dan enteng oleh mana-mana pihak kerana akibatnya adalah sangat buruk sehingga ada menyebabkan kecederaan parah dan kematian.
  • Keganasan rumah tangga merupakan penyalahgunaan kuasa oleh ahli keluarga bertujuan untuk mengawal atau mendominasi mangsa dengan cara meletakkan mangsa dalam keadaan takut dicederakan secara fizikal mahupun mental.
  • Keganasan rumah tangga biasanya berpunca daripada tiadanya persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga antara suami isteri.
  • Latar belakang keluarga dan status ekonomi pasangan suami isteri juga menjadi punca masalah ini berlaku.
IDEA-IDEA PENTING:-
(Cara-cara membendung kes keganasan rumah tangga)
  • Pasangan hendaklah menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
  • Pasangan suami isteri mestilah tahu dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
  • Sebarang masalah yang timbul hendaklah dibendung dari awal secara matang dan jika perlu, mintalah bantuan daripada keluarga terdekat atau rakan dan jiran-jiran.
  • Keganasan rumah tangga dapat dibendung di peringkat awal sekiranya pasangan dapat mengenal pasti punca berlakunya sesuatu masalah.
  • Pasangan yang menghadapi masalah yang berat haruslah mendapatkan bantuan Jabatan Pembangunan Wanita (Unit Kaunseling) atau PPWN untuk mendapatkan khidmat nasihat.
  • Jika tahap keganasan rumah tangga di tahap serius, mangsa perlu melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO) daripada mahkamah.
  • Mangsa keganasan sama ada suami, isteri atau anak-anak yang cedera mestilah mendapatkan rawatan perubatan di hospital.
  • Masyarakat sekeliling, contohnya jiran terdekat atau ahli keluarga sentiasa prihatin akan kebajikan tetangga iaitu dengan segera melaporkan kes keganasan yang berlaku kepada pihak berwajib.
  • Keganasan rumah tangga juga amat berkait rapat dengan tahap pendidikan agama pasangan dan ahli keluarga, oleh itu sebelum bernikah mereka mestilah mengikuti kursus praperkahwinan secara mendalam agar dapat menjalani kehidupan berkeluarga dengan lebih sempurna.
  • Kementerian Kebajikan Masyarakat mestilah membantu meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga kerana banyak juga punca kejadian keganasan rumah tangga bertitik tolak daripada masalah kemiskinan dan kemelaratan pasangan suami isteri.
  • Kerajaan wajar menggubal undang-undang yang berkaitan dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah dalam kes keganasan rumah tangga.
  • Kerajaan juga wajar menjalankan kempen 'Rumahku, Syurgaku' melalui media massa dan digerakkan secara berkala agar lebih menimbulkan kesedaran kepada rakyat.
PENUTUP:-
  • Keganasan rumah tangga jika tidak dibendung secara serius boleh menjadi bom jangka yang boleh merencatkan pembangunan insan dan seterusnya boleh menjadi punca kepada masalah sosial yang kronik di negara kita.
  • Semua pihak perlu sandar-menyandar dalam usaha membendung kejadian kes keganasan rumah tangga.
  • Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Comments

Popular Posts