PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 28 July 2015

KOMSAS: SELOKA SI LUNCAI...!


Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan...
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilatih,
Ada ternakan tidak dibela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tidak selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada mengkaji,
Ada mata tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan...!
Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.

Md. Ali Bachik (ILADAM)
Penyelenggara,
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
DBP.

i) Nyatakan sikap buruk Si Luncai.
[3 markah ]
Sikap buruk Si Luncai ialah ada rumah, tetapi tidak dijaga. Seterusnya walaupun mempunyai anak, tetapi tidak diberikan pendidikan yang baik. Akhir sekali Si Luncai memiliki ternakan, namun dia tidak membelanya.
 
ii) Berdasarkan seloka di atas, apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah tabiat buruk Si Luncai?
[ 3 markah ]
 
Pada pendapat saya, untuk mengubah tabiat buruk Si Luncai itu kita perlulah banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar agar Si Luncai sedar akan tabiat buruknya. Selain itu Si Luncai patut diberikan bimbingan oleh ahli keluarga terdekat. Akhir sekali, Si Luncai hendaklah diberikan bantuan berupa modal dan tenaga agar dia lebih bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki.
 
iii) Huraikan beberapa pengajaran daripada "Seloka Si Luncai".
[ 3 markah ]
 
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada seloka di atas ialah kita hendaklah rajin dan gigih berusaha mencari rezeki untuk membaiki kehidupan. Sepatutnya Si Luncai menggunakan kelebihan yang dimiliki seperti mempunyai ternakan dengan memelihara dengan baik agar mendapat hasil yang lumayan. Seterusnya, kita mestilah sentiasa menggunakan akal fikiran yang dikurniakan untuk melaksanakan pelbagai kerja. Si Luncai sering menghadapi kegagalan kerana tidak menggunakan akal yang waras dalam tindak-tanduknya.
Akhir sekali kita mestilah bertanya dan meminta bantuan jika berhadapan dengan sebarang masalah. Jangan jadi seperti Si Luncai yang terus berserah kepada nasib apabila menghadapi kegagalan.



No comments:

Post a Comment

PROMOSI III