PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 24 August 2015

MENEMUI / MENEMUKAN...!

Menemui dan menemukan merupakan kata kerja transitif (KKT) yang berasal dari kata dasar yang sama iaitu temu yang mengalami proses pengimbuhan imbuhan meN-i dan meN-kan.
Seperti yang kita maklum, setiap kata kerja transitif (KKT) mestilah diikuti dengan objek, tidak kiralah jenis objek itu sama ada objek konkrit mahupun objek abstrak.
  • KKT ------------> OBJEK
Contoh penggunaan KKT yang betul dalam ayat.
  1. Emak menceritakan (KKT) pengalamannya (OBJEK) kepada saya.
  2. Ayah merindui (KKT) anaknya (OBJEK) yang berada di luar negara.
  3. Kakak memberikan (KKT) bantuan (OBJEK) yang banyak kepada orang itu.
Contoh penggunaan KKT yang salah dalam ayat.
  1. Emak menceritakan (KKT) tentang pengalamannya (OBJEK) kepada saya.
  2. Ayah merindui (KKT) akan anaknya (OBJEK) yang berada di luar negara.
  3. Kakak memberikan (KKT) banyak bantuan (OBJEK) kepada orang itu.
Penggunaan kata sendi 'tentang', 'akan', dan kata adjektif 'banyak' telah menjadikan ayat-ayat di atas menjadi TIDAK GRAMATIS kerana telah menyalahi peraturan iaitu:-
  • KKT ----mesti diikuti OBJEK------ ; KKT-------------------> OBJEK
Berkenaan kata kerja transitif 'menemui' dan 'menemukan', satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah dari segi maknanya, sebelum memilih kata (OBJEK) yang sesuai.
Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, menemui bermaksud melawat, mengunjungi, menziarahi manakala menemukan pula bermaksud menjumpai sesuatu, mendapatkan sesuatu.
Jadi cuba teliti ayat-ayat yang menggunakan kata 'menemui' dan 'menemukan' di bawah:-
  1. Ali telah menemui dompet wang di tepi jalan.
  2. Emak menemukan ayah di pejabatnya.
Lucu dan pelikkan?
Sebenarnya ayat-ayat di atas BETUL dari segi penggunaan KKT yang mesti diikuti OBJEK iaitu dompet dan ayah tetapi SALAH dari segi makna.
  • Manakan boleh Ali 'melawat' dompet?
  • Manakan boleh emak menjumpai ayah di pejabat sedangkan tujuannya ke pejabat untuk bertemu ayah?
Ayat 1 dan 2 di atas menjadi BETUL jika ditulis begini....
  1. Ali telah menemukan dompet wang di tepi jalan.
  2. Emak menemui ayah di pejabatnya.


No comments:

Post a Comment

PROMOSI III