PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 26 October 2015

AYAT PERINTAH....!

Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan oleh pihak lain. Ayat perintah dapat dibahagikan kepada 4 iaitu:-
  • Ayat Suruhan, contohnya;-
  1. Keluar dari bilik ini.
  2. Pergi dari sini
  3. Tengok barang-barang ini.
  4. Awak buat kerja itu sekarang.
  5. Ambil bola itu.
  6. Awak tunggu dia di sini.
Ayat suruhan boleh menggunakan partikel -lah untuk menjadikannya lebih lembut, contohnya;-
  1. Keluarlah dari bilik ini.
  2. Pergilah dari sini.
  3. Tengoklah barang-barang ini.
  4. Awak buatlah kerja itu sekarang.
  5. Ambillah bola itu.
  6. Awak tunggulah di sini.
  • Ayat Larangan, contohnya;-
  1. Jangan ambil hak orang.
  2. Jangan duduk di sini.
  3. Kamu jangan beritahu dia.
  4. Usah kauambil hati.
Ayat larangan boleh dilembutkan dengan menambahkan partikel -lah, contohnya;-
  1. Janganlah ambil hak orang.
  2. Janganlah duduk di sini.
  3. Kamu janganlah beritahu dia.
  4. Usahlah kauambil hati.
  • Ayat Silaan, contohnya;-
  1. Sila datang ke rumah saya.
  2. Sila serahkan borang itu dengan segera.
  3. Jemput masuk.
Ayat silaan juga boleh dilembutkan dengan menambahkan partikel -lah, contohnya;-
  1. Silalah datang ke rumah saya.
  2. Silalah serahkan borang itu dengan segera.
  3. Jemputlah masuk.
  • Ayat Permintaan, contohnya;-
  1. Minta tuan bukakan pintu ini.
  2. Minta kamu semua bertenang.
  3. Tolong selesaikan masalah itu.
Ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam ayat larangan.
Contoh ayat silaan dan ayat permintaan yang tidak betul;-
  1. Silalah merokok.
  2. Jemputlah buat bising.
  3. Sila jangan merokok.
  4. Tolong jangan bising.
  5. Minta jangan berludah.

No comments:

Post a Comment

PROMOSI III