PENAJA

RAKAN ILMU

Tuesday, 20 October 2015

MENEMBAK MATI...!

Frasa 'menembak mati' boleh digunakan atau tidak? Cuba kita teliti ayat-ayat  di bawah:-
  • Polis berjaya menembak mati seorang penjenayah ketika berbalas-balas tembakan.
  • Perompak itu telah menembak mati seorang pengawal keselamatan yang cuba melawan.
Sebenarnya ayat-ayat seperti di atas kerap kita terbaca dalam akhbar ataupun kita terdengar melalui pembacaan berita oleh juruhebah televisyen yang cantik rupawan. Disebabkan sudah terbiasa, kita berasakan tiada apa-apa cacat celanya. Sesuai dengan peribahasa alah bisa tegal biasa. Sesuatu yang salah sebenarnya, tetapi jika kerap digunakan sebagai betul, maka akhirnya kita rasa perkara itu adalah betul.

Berdasarkan rumus ayat aktif transitif, kata kerja transitif mestilah diikuti oleh objek iaitu kata nama. Oleh hal yang demikian, kata kerja transitif 'menembak' mestilah diikuti objek (iaitu objek yang kena) dalam ayat tersebut.
  • Polis berjaya menembak (kata kerja transitif) seorang penjenayah (objek) hingga mati ketika berbalas-balas tembakan.
Begitu juga dengan ayat yang kedua:-
  • Perompak itu telah menembak (kata kerja transitif) seorang pengawal keselamatan (objek) yang cuba melawan hingga mati.
Ringkasnya kedua-dua ayat di atas hendaklah ditulis seperti di bawah:-
  • Polis berjaya menembak seorang penjenayah hingga mati ketika berbalas-balas tembakan.
  • Perompak itu telah menembak seorang pengawal keselamatan yang cuba melawan hingga mati.

No comments:

Post a Comment

PROMOSI III