SOALAN SPM BOCOR...!

Guru didakwa dalang soalan SPM bocor

KUALA LUMPUR - Seorang guru didakwa menjadi dalang kepada kebocoran soalan Matematik dan Matematik Tambahan, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2013.
Soalan-soalan berkenaan didakwa ‘dibocorkan’ melalui beberapa siri seminar khas yang dijalankan di sebuah masjid, menjelang hari-hari akhir tarikh peperiksaan berlangsung.

Malah aktiviti berkenaan dikatakan berlaku sejak 2007 lagi dan telah ada laporan yang dibuat namun tiada sebarang tindakan ke atas individu berkenaan sehingga kini.


Perkara itu didedahkan Mohd Husaine Jaslee, 30, kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selepas menerima maklumat daripada sekumpulan pelajar dan juga calon SPM, sebaik selesai kertas Matematik pada 18 November lalu.

Menurutnya, sekumpulan pelajar dari sekolah menengah di Zon Keramat itu memaklumkan mereka mendapat maklumat berhubung soalan bocor daripada rakan mereka yang menghadiri seminar berkenaan.

“Soalan dan susunannya sama bagi Matematik kertas II tetapi urutan soalan diubah-ubah bagi kertas satu. Setiap ayat, nombor, diagram dan apa sahaja dalam kertas soalan memang sama dengan apa yang dibocorkan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab, Mohd Husaine kemudiannya mengumpulkan bukti dan melaporkan ke Lembaga Peperiksaan Malaysia.



Sumber: Sinar Harian, 23/11/2013.

Comments

Popular Posts