SAJAK: KATA-KATA...!


Sajak Kata-kata
Hashim Yaacob
Antologi Harga Sebuah Lukisan
Sajak  
Maksud
Kalau kita dicerca dengan kata
kita diam tak terkata.
Pertahankanlah maruah kita
lawan kata dengan kata.

Penyajak menggesa supaya kita tidak membisu apabila menghadapi cercaan lisan. Sebaliknya, orang yang dicerca harus melawan balik dengan kata. Maruah perlu dijaga dan dipelihara.
Kalau mereka mengherdik dengan kata
carilah daya kata.
Kalah kita
jangan kerana putus kata.

Jika orang mengherdik (bercakap dengan bahasa yang buruk atau tidak layak), orang yang dicerca harus menyusun kekuatan kata untuk hujah balas yang bijak. Kita akan dianggap kalah kerana kelu untuk bersuara.
Ini martabat bangsa kita
ini kedaulatan negara kita
kita pelihara
dengan kepantasan kata daripada kepala.

Kita tidak boleh membiarkan sahaja martabat bangsa dan kedaulatan negara diinjak begitu sahaja. Kita mesti melindungi bangsa dan negara dengan hujah-hujah bernas daripada minda yang hebat.
Kita merdeka bukan kerana senjata.
Kita merdeka kerana bijak kata.


Negara bebas daripada belenggu penjajahan tanpa pertempuran tentera. Negara merdeka justeru pemimpin bijak di meja rundingan, dan rakyat yang bangkit bersuara membela tanah air tercinta.
Aduhai anakanda
Kalau hidup mahu terbela
pandailah mengucap kata.


Sebagai penutup sajak, sekali lagi penyajak menegaskan betapa kalau hidup mahu terbela, iaitu tidak diinjak dan ditindas (seperti lembu dicucuk hidung - peribahasa berkaitan), maka kita harus pandai menggunakan kekuatan kata atau hujah yang bernas.

TEMA:-
  • Maruah dan jati diri yang perlu dipertahankan dengan kebijaksanaan kata-kata.
PERSOALAN:-
  • Keperluan mempertahankan diri.
  • Kebijaksanaan berkata-kata dengan bernas.
  • Kata-kata mampu memartabatkan bangsa dan kedaulatan negara.
  • Kemerdekaan negara dicapai melalui kebijaksanaan berkata-kata.
  • Bijak berkata-kata menjamin kehidupan yang lebih baik.
NADA:-
  • Patriotik

Comments

Popular Posts